Followers

8.31.2008

Ahlan Ya Ramadhan


Kelaparan, kepanasan dan kehausan menjadi suatu kelaziman apabila menjejakkan diri ke Madrasah Tarbiyyah Ramadhan, semuanya adalah untuk mengajar pelajar yang memasukinya pada pengambilan 1 Ramadhan ini agar sentiasa memahami betapa peritnya mereka yang berada di dalam kesusahan.

Madrasah Ramadhan memberikan pelbagai keistimewaan kepada pelajarnya agar mereka yang memasukinya menjadi pelajar yang betul-betul dapat menjadi insan bertaqwa tatkala menamatkan pembelajaran mereka pada 30 Ramadhan akan datang. Tiada lagi kawan syaitan yang mengganggu proses pembelajaran kita selama 30 hari ini.

Madrasah ini juga turut memberikan biasiswa dan anugerah Lailatul Qadar kepada pelajarnya yang tekun dan bernasib baik untuk menerima ganjaran yang banyaknya umpama kita bekerja selama 1000 bulan bahkan lebih dari itu. Proses ini jika dilalui dengan penuh tekun dan sabar, nescaya kita akan menjadi seorang graduan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Salam Ramadhan saya ucapkan buat semua sahabat-sahabiah yang sentiasa disisi sepanjang meletakkan diri ini sebagai mata rantai kepada perjuangan Islam. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik untuk melatih diri kita agar tergolong dalam skuad elit mukmin dan semoga dengan rahmat Allah, kita memperoleh maghfirah dan rahmatNya dalam menelusuri jalan menujuNya ini. Ameen.

8.23.2008

Tamrin Siyasi 08'


Gambar kenangan Tamrin Siyasi '08

Setelah tiga hari memerah tenaga dan idea, akhirnya tamrin siyasi yang direncanakan khusus untuk tahun akhir KUDQI dapat disempurnakan penutupnya. Menulis dalam keadaan letih mungkin tidak memberi semacam kepuasan kepada diri kerana tidak dapat mengeluarkan untaian kata yang pelbagai. Mungkin akan selalu diulang-ulang perkataan yang sama, mungkin kurang nilai inteleknya dan mungkin timbul berbagai kemungkinan lagi.

MAHALNYA HARGA MERENDAH DIRI

Rendah diri dipandang tinggi, tinggi diri dipandang benci.

Mengendalikan program untuk mereka yang lebih senior dari kita bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan umpama mengoyak kulit kacang dan memakannya, apatah lagi jika antara pengendali dan peserta mempunyai hubungan yang agak rapat dan dalam keadaan kita mengetahui sedalam mana ilmunya. Berdiri di hadapan mereka dan mengarah itu dan ini sedikit sebanyak menyedarkan diri saya agar dapat menyediakan diri dengan kesediaan yang lengkap untuk mengharungi dunia da'wah yang penuh liku.

Penda'wah yang sebenar tidak memilih sasaran da'wah mereka, matlamat mereka tidak hanya ingin mengislamkan individu, bahkan mengislamkan negara. Maka dengan mengetahui betapa besarnya keperluan bagi seorang pendakwah, betapa besarnya matlamat da'wah, saya patut berterima kasih kepada Allah kerana menjadikan saya sebahagian daripada tamrin ini.

Kerjasama yang diberikan oleh para peserta yang amat merendah diri dengan saya juga amat mahal harganya, hilang segala rasa kurang selesa dan gemuruh sewaktu memberikan pengisian sepanjang program tersebut. Tawadhu' kalian amat besar ertinya buat saya. Moga Allah memberikan bimbingan sepanjang perjalanan menuju redhaNya ini.

AMAL JAMA'IE, SEBUTAN DAN AMALAN


Amal jama'ie atau lebih mesra di bibir mulut bangsa Melayu sebagai bekerjasama adalah suatu amalan yang sihat yang sememangnya mesti disuburkan dalam gerakan da'wah. Namun amal jamaie ini mempunyai satu tuntutan sebelum ianya dapat dilaksanakan iaitu mengiltizamkan diri dengan jemaah Islam yang memenuhi syarat-syarat jamaah Islam sebenar.

"talzimu jama'atal muslimina wa imaamahum"

Menyebut dua patah perkataan Amal Jamai'e ini sememangnya mudah, namun untuk menjadikannya sebagai kenyataan dalam kehidupan, ternyata tidak semudah mengungkapnya. Amal jamaie memerlukan segenap keikhlasan, ketaatan dan istiqomah yang juga nampak mudah disebut tapi payah sekali untuk merealisasikannya. Semuanya ini memerlukan kesabaran dan rasa kebergantungan kepada Allah yang amat tinggi. Semoga kita tergolong dari kalangan hambanya yang istiqomah.

MENGGARAP WEHDATUL FIKR WAL AMAL


Mesyuarat adalah panduan dalam berjemaah, ketaatan kepada keputusan mesyuarat adalah satu wadah untuk mencapai wehdatul fikr dan wehdatul amal

Saya bukanlah seorang yang layak berbicara tentang hal-hal berkaitan tarbiyyah dengan begitu terperinci, sekadar memberi ma'na dari kacamata seorang yang mentah benar di dalam bidang ini. Semoga sebarang penafsiran yang dibuat tidakkan lari dari landasan asalnya.

Kesatuan fikrah dan gerakerja adalah satu elemen penting dalam berjamaah. Maksudnya disini bukanlah menutup segala ruang perbincangan dan hanya berjalan diatas satu cadangan sahaja, bahkan ianya lebih kepada membentuk fikrah yang dapat menerima keputusan syura dan menggerakkan segala yang dirancang itu seumpama cadangan itu terbit dari idea kita(komitmen). Segalanya memerlukan mesyuarat sebagai tunjang asas untuk membentuk satu konsep yang digelar wehdatul fikr dan wehdatul amal.

Wala' memainkan peranan yang penting dalam memastikan konsep wehdatul fikr dan wehdatul amal ini berjalan dengan baik. Bagaimana wala' dapat dipupuk andai jiwa kontang dengan program-program tarbiyyah? Adakah dengan tidak memahami konsep wala' kita merasakan bahawa wala' ini adalah seumpama angguk tanpa bantah setiap arahan yang dikeluarkan oleh ketua? Semuanya ini perlu difahami anda ingin terjun ke medan da'wah dan siasah ini agar diri kita tidak terjerumus kepada fikiran-fikiran yang kacau.

MEMBIAKKAN PEMIKIRAN DENGAN KAJIAN


Ilmu tidak akan datang kalau tidak dicari, ianya takkan hadir jika tidak memberi

Setelah seringkali kita diisi dengan pelbagai bentuk program berbentuk ilmiyah, kadang-kadang kita seringkali menerimanya tanpa sebarang kajian susulan. Sekadar menerimanya bulat-bulat, ianya tidak akan membantu dalam meningkatkan kadar intelektualiti kita.

Pada zaman kegemilangan Islam di era khilafah Abbasiyyah, masyarakat barat ketika itu memandang Baghdad sebagai simbol kemajuan sehinggakan masyarakat barat ketika itu turut tidak ketinggalan menggayakan busana-busana muslimah. Bukanlah tentang fesyen yang saya ingin fokuskan, namun betapa kemajuan yang dicapai ketika itu adalah dari kesungguhan cendikiawan-cendikiawan Islam yang begitu tekun meneliti dan mengkaji setiap benda baru yang mereka ketahui.

Andai ini dapat dipraktikkan oleh segenap masyarakat, nescaya tidak akan mustahil umat Islam berbangsa Melayu menjadi ikon kepada bangsa lain baik dari sudut kehebatan ilmu hingga kepada cara pemakaian sebagaimana kita mengagumi dan meniru gaya barat pada masakini.

Keberkesanan agenda da'wah itu terletak kepada dalaman diri da'ie itu sendiri dan bagaimana untuk memenangkan Islam diatas muka bumi pula terletak kepada sejauh mana tingginya nilai Islam dalam diri orang yang memeperjuangkannya. Kata Abul A'la Al-Maududi ;

"Islam tidak akan menang sehingga orang yang memperjuangkan Islam menegakkannya di dalam dirinya dahulu."

Maka atas dasar tazkirah, saya sekali lagi mengingatkan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat lain agar terlebih dahulu mematuhi etika-etika yang ditetapkan syara' dalam menghadirkan diri dalam saf perjuangan. Moga Allah menunjukkan kita jalan serta memancarkan kita dengan sinaran taufiq dan hidayahNya.

8.18.2008

Musafir Lagi.


Dalam perjalanan menuju ke Lata, turut kelihatan Sabri
yang sentiasa sibuk dengan handphonenya

Ahad lalu saya dan beberapa orang rakan lain kembali bermusafir, tapi musafir kali ini tidaklah begitu jauh yang membolehkan saya menghimpunkan dua solat. Sekadar menempuh masa selama satu jam, kami sampai ke Lata Belatan, Besut untuk menghantar barang-barang makanan bagi menjayakan satu tamrin. Semangat untuk memartabatkan tarbiyyah menghilangkan keletihan.

Memilih untuk menggunakan laluan alternatif untuk
mengangkut barang
ke seberang sungai.

Bersama saya ialah, Sabri Mamat, Muizuddin, Amir Omar dan Saifuddin. Masing-masing membayangkan misi mereka selain dari menghantar barang iaitu aktiviti berendam. Orang yang paling bersemangat tentulah Sabri, dengan bekalan makanan yang memang dah dibeli awal-awal lagi. Ucapan terima kasih diucapkan kepadanya atas keprihatinan tersebut.

Maggi pun jadi laa..

Memang indah jika berukhuwwah, kesepian tanpanya dan jika ukhuwwah dibina kerana Allah maka berpeluanglah meletakkan diri dalam 7 golongan yang dijanjikan teduhan dari Allah. Subhanallah.

Moga ukhuwwah yang dijalin mendapat berkat dari Rabbul Jalil.

PAS Untuk Semua


Di hadapan Masjid Negeri, Ipoh.

Begitulah tema Muktamar Parti Islam seMalaysia (PAS) kali ke-54. Saya adalah salah seorang dari ribuan pemerhati yang hadir pada muktamar yang berlangsung di Ipoh itu. Mendapat panggilan pada petang Selasa dari Ustaz Kamaruzzaman (HEPKUDQI) bagai orang mengantuk disorong bantal. Dalam keadaan masih buntu untuk memikirkan bagaimana mahu ke Ipoh, tiba-tiba ustaz Kamaruzzaman yang mesra dipanggil ustaz Zaman mempelawa saya untuk bersamanya ke Ipoh. Kami pergi bersama seorang lagi teman saya dan juga setiausaha saya di dalam persatuan, Muizuddin.


Pandangan dari dalam Masjid Negeri yang menjadi destinasi kami bermalam.

Kami tiba kira-kira jam 11 malam dan menghabiskan masa kira satu jam untuk mencari tempat untuk bermalam, setelah berkira-kira untuk tidur di dalam kereta, saya dan Muizuddin masing-masing memikirkan jalan untuk masuk ke dalam Masjid Negeri yang pada asalnya disangkakan berkunci. Setelah berpusing beberapa kali, akhirnya barulah terperasan yang masjid itu hanya diletak mangga yang tak dikunci. Begitulah adat bermusafir, saya dan Muiz saling berpandangan. "Alhamdulillah, akhirnya jumpa jugak tempat nak rehat" katanya.


Sekitar muktamar Dewan Ulama' PAS.

Kebetulannya, Muktamar Dewan Ulama' PAS berlangsung tidak jauh dari Masjid Negeri, hanya seberang jalan. Ustaz Zaman menjadi perwakilan negeri di muktamar itu, saya dan Muiz pula bercadang untuk ke muktamar Dewan Pemuda di Stadium Indra Mulia dan sempat mengikuti perbahasan disana sampai Zohor. Antara perwakilan yang menggamit perhatian adalah wakil dari Wilayah dan juga dari Terengganu iaitu ustaz Wan Sukairi Abdullah. Sebelah petangnya pula saya berpeluang untuk mengikuti perbahasan di muktamar Dewan Ulama'. Isu yang dibangkitkan adalah seperti da'wah bil hal yang patut menjadi teraju utama dalam menggerakkan dewan ulama', menerampilkan ulama' agar tidak hanya digunakan untuk waktu-waktu terdesak seumpama terompah kayu yang keperluannya hanya diwaktu terdesak.


Muktamar Dewan Pemuda.

Manakala di muktamar Dewan Pemuda pula isu hadiah yang diberi oleh golongan tertentu kepada YB-YB PAS yang amat-amat memerlukan kredibiliti YB untuk menolak hadiah-hadiah itu agar dapat mengelak fitnah. Hadiah kereta kata perwakilan itu, hebatnya ujian dunia YB-YB ni kata saya dalam hati. Kalau tak cukup mantap aqidah perjuangan, pasti tersungkur. Saranan ini mendapat sokongan ramai agar fitnah akibat dari penerimaan itu tidak membawa PAS tersasar dari perjuangan. Banyak lagi isu-isu hangat yang dibawa, tapi agak panjang untuk dikarang disini.


Ribuan hadirin yang hadir ke perasmian dan ucapan dasar oleh presiden.

Muktamar Pusat pula memperlihatkan satu kemantapan ucapan dasar yang disampaikan Dato' Seri Presiden yang bertajuk PAS Untuk Semua yang turut menjadi tema muktamar kali ini. Sebelum ucapan dasar berlangsung, para hadirin dihidang dengan lintas langsung perbarisan tentera merah (Unit Amal) dengan iringan lagu Al-Amal yang betul-betul menyebabkan bulu roma saya tegak berdiri, begitulah hebatnya lagu yang digubah dari prinsip perjuangan Al-Banna itu. Selepas semua pimpinan masuk, sekali lagi semua hadirin diminta berdiri untuk menyanyikan lagu tema PAS, masing-masing melaungkan dengan penuh bersemangat yang menjadikan paduan suara antara pimpinan, perwakilan dan pemerhati menjadi satu irama yang begitu membangkit semangat.


Pandangan dari belakang sewaktu perbahasan ucapan dasar Presiden.

Isu-isu yang mendapat perhatian untuk dibahaskan pada muktamar kali ini adalah seperti tarbiyyah yang patut diperkukuhkan kembali agar PAS menjadi satu parti yang utuh untuk menjalankan setiap apa yang terkandung dalam perlembagaannya. Begitu juga tentang hubungan PAS dengan parti-parti lain dalam pakatan rakyat. Dalam ramai perwakilan yang mengibaratkan hubungan di dalam PR ini bagai suami dan isteri, tiba-tiba seisi dewan tertarik dengan hujah dari perwakilan Terengganu, ust. Mohd Noor Hamzah yang menegaskan hubungan antara parti-parti Pakatan tidak lebih dari sekadar kawan. Begitu juga penekanan beliau kepada 5 perkara penting yang perlu diteliti oleh parti.



Keletihan selepas memandu dari Ipoh ke Gua Musang, Ustaz Kamaruzzaman yang demam dan selesema terlena dan Muiz yang mengambil giliran memandu melalui felda Aring hingga ke Kenyir. Musafir yang memenatkan berbaloi dengan pengalaman yang bermakna.
Saya berangkat pulang dari Ipoh pada hari Sabtu dengan menyimpan hasrat untuk menjadi seorang yang mampu memberi sedikit sumbangan untuk menyalakan semangat da'wah dan menyebarfahamkan Islam kepada masyarakat. Moga Allah membimbing hamba untuk terus istiqamah dengan apa yang hamba impikan. Ya Muqollibal Qulub, Thabbit Qalbi Ala Dinika Wa Tho'atik.

8.11.2008

Hebatnya Harapan, Hebatnya Perubahan!

"Jadi ke pergi Indon Yu?" tanya saya kepada Yunus, pelajar tahun 3 Usuluddin syu'bah Tafsir.

"InsyaAllah jadi, setakat ni tengah usaha cari duit laa, nak tanggung saro hidup dinung" katanya bersahaja dengan dialek Besut. "Ni dapat dari abang aku, RM1500, yang kerja kat KL tu... Tapi aku akan bayar balik, tak sedap gak pakai duit orang banyak-banyak ni.." celotehnya lagi.
Menurutnya selepas ini dia akan ke rumah ibu saudaranya pula, meminjam wang untuk belajar. Pada saya, semangat begini memang perlu dicontohi oleh semua namun bukan semua yang mampu bersemangat begini.

Teringat kata senior saya sewaktu sempat berada di Syria dulu, "manusia ni macam spring, semakin ditekan semakin tinggi spring tu akan melompat naik, namun silap gaya tak naik-naik.." katanya sambil merenung menembusi tingkap bait Andalus. Mungkin akibat kesempitan, semangat untuk terus belajar menjadi lebih padu.

"Kenapa tak kerja dulu ke, cari-cari duit dulu ke..?" tanya saya kepada sahabat saya ini. "Ingat-ingatnya nak buat macam tu jugak, tapi fikir-fikir balik takut bile dah ralit dengan kerja, nak sambung pun dah nak, tak nak" jawabnya.



"Lagipun Mad, aku belajar ni bukan apa, lama aku perhati pasal benda ni... Masa duk Darul Islah dulu, yang sekampung dengan aku yang masuk kat situ bukan main ramai, keluarnya sorang je, Darul Quran pun sama, masuk ramai, keluarnya sorang...Maksudnya, macam dah jadi satu tanggungjawab aku terhadap masyarakat dan harapan masyarakat kampung aku tu terletak atas bahu aku" katanya lagi.

Saya terkedu mendengar jawapan kawan saya ini yang mungkin pada mereka yang tidak mengenalinya dan terserempak dengannya, pasti tak akan menyangka bahawa dia ini masih belajar kerana penampilannya yang menjurus kearah lagak orang yang sudah bekerja. Namun terselit jauh dihatinya untuk menggalas beban tanggungjawab membentuk masyarakat yang harmoni dan mengenali tuhan.

PERUBAHAN BAGI YANG MEMPUNYAI QOLB



Ya Allah, tuhan yang maha membolak-balikkan hati manusia. Sebenarnya saya sering juga mendengar kisah-kisah wali-wali Allah yang pada asalnya dari ahli maksiat. Begitu juga dengan kisah-kisah sahabat yang sewaktu musyrik mereka, begitu banyak perkara yang dilakukan yang kadangkala mereka sendiri akan menangis dan ketawa pabila mengenangkannya.

Sayyidina Umar misalnya, menangis kerana mengenang sewaktu musyriknya yang hilang pertimbangan hingga sanggup menanam anak perempuannya hidup dan juga peristiwanya ketawa kerana memakan patung berhala yang dibuatnya dari buah tamar. Siapa sangka orang yang ingin membunuh Muhammad tunduk dan memeluk Islam di hadapan orang yang ingin dibunuhnya itu. Allah ya muqollibal Qulub.

Semakin meningkat usia, semakin banyak kedengaran cerita-cerita tentang kawan-kawan yang melalui proses perubahan ini. Samaada melalui naqal-naqal yang thiqah mahupun mengalaminya sendiri sewaktu bersama mereka yang mengalami perubahan ini. Siapa sangka dari seorang rempit berubah menjadi seorang yang tekun menuntut ilmu. Siapa sangka dari seorang yang wara' menjadi seorang yang pongos dan memualkan. Semuanya mendapat peranan dari seketul daging kecil bernama hati.

Mungkin saya juga mengalami perubahan tersebut dalam tidak menyedari sejauh mana saya berubah. Apa yang penting, doakanlah perubahan yang dialami ini bukanlah satu perubahan yang semakin teruk bahkan perubahan yang cemerlang. Allahumma thabbit qalbi ala dinika wa to'atik!

Terima kasih kepada Yunus yang sedikit sebanyak memberi inspirasi untuk menulis dan juga menyedarkan saya betapa harapan yang terpikul di bahu kita memberi satu tekanan untuk melonjakkan kita ke atas.

8.03.2008

Syria, Aku Akan Kembali Pada Mu

"Hai, macam tak percaya je kita nak gi Syria ni, " ngomel Ziyad, antara orang paling ceria malam tu, berbeza pula dengan Amir, saya lihat die sedikit sedih, sedihnya bukan kerana manja, tetapi kerana mengenangkan macamana kehidupan orang tuanya semasa dia tidak ada lagi untuk menolong ayahnya mengait sawit.

Khairul dan sahabatnya yang menulis ni lebih kelihatan selamba dan masing-masing sememangnya terfikir, macamana agaknya nak ke negara orang ni, negara yang jauh berbeza dengan tempat asal. Gambaran tentang Syria sememangnya telah terbayang saat melihat kandungan CD yang dikirim oleh Akh Ramlan, kadang-kadang akan menerbitkan tawa saat membayangkan Taqiuddin cuba membuat rumah yang mereka diami itu nampak lebih luas dengan aksi turun naik tangga di depan kamera. Alangkah indahnya bersahabat, ragamnya melapangkan.

Sewaktu berkunjung ke rumah persatuan

Syria... Satu negara yang bersempadan dengan Lubnan, Jordan dan Palestin begitu menggamit perasaan untuk menjadikan diri ini sebahagian dari ahlinya. Lupakan dulu kesejukan salji di Buldan juga kesesakan kota bersejarah Damascus itu, bumi yang cukup masyur dengan terhiasnya ulama'-ulama' yang masih segar menabur benih ilmu ke dalam sanubari rakyatnya dengan hasil karya mereka yang cukup dikenali di Malaysia. Sebut sahaja Dr. Wahbah Zuhaily, Dr. Saied Ramadhan al-Buthi, Syeikh Kurayyim Rajih, Syeikh Nuruddin 'Itr dan ramai lagi.

Sewaktu berada di Darul Quran dulu, selalu benar bertanya tatkala melihat nama-nama ulama' ini terpampang di kitab-kitab karangan mereka namun apabila sampai ke Syria, bukan wajah sahaja yang dapat dilihat bahkan bertalaqqi terus dengan mereka, walau terangguk-angguk kerana masih kurang tangkap dengan apa yang disampaikan dalam slang 'Amiyah itu.

Sebelum Muqobalah ke Jamiah Aboul Nour bagi jurusan Dakwah Islamiyyah Wal Lughatul Arabiyyah, kerap juga berjalan turun ke pasar secara berkumpulan dari puncak Jabal Qasiyun dan dua tiga kali juga tersasar semasa berjalan pulang. Itulah pengalaman yang pasti akan membuatkan orang kehairanan pabila melihat saya senyum ketika memutarkannya kembali. InsyaAllah, aku akan kembali ke Syria, bukan sekadar pemuja kegembiraan di dalamnya bahkan untuk menjadi pemungut mutiara ilmu yang tekun.

8.01.2008

Buat Sahabat

Dalam satu post terdahulu, saya ada menyebut untuk menceritakan perihal sahabat-sahabat yang tidak pernah jemu untuk mendampingi saya. Mungkin kerana itulah pengaruh kawan-kawan dalam kehidupan seseorang begitu kuat kerana masa yang diperuntukkan kawan-kawan adalah lebih berbanding masa yang ada untuk memesrai keluarga.

PROGRAM UKHUWWAH


ketam dan program ukhuwwah sabri

Alhamdulillah, berada di batch ini begitu menyeronokkan kerana dalam setiap diri kawan baik saya yang ramai itu masing-masing mempunyai satu visi dan misi yang amat penting untuk dilaksanakan. Kata Akh Sabri Mamat, "kalau boleh ana nak generasi kita ni adalah satu generasi yang terkenal dengan penguasaan ilmu..." adalah kata-kata yang menyebabkan saya jadi teruja untuk sama-sama menjadi watak yang penting untuk merealisasikan matlamat tersebut. Sabri merupakan sahabat yang rapat dengan saya, beliau adalah orang yang sepatutnya menjawat jawatan yang saya sandang sekarang kerana pada saya beliau memang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berkualiti.

Perkara yang membuatkan saya menukilkan kisah Sabri sebagai kisah pembuka kepada kisah saya ini adalah kerana usaha dan tanggungjawab beliau untuk menjaga kesinambungan ukhuwwah agar tidak terjejas. "kite gi tangkap ketam kat rusila nak tak?-Mad, wat bako ayam sekali kat umah enta- jom rehlah di blukar bukit" dan bermacam lagi ajakan ke program pengutuhan ukhuwwah pastinya akan turut diakhiri dengan "jangan lupe bawak same geng2 enta yang sekolah lame dulu" atau "bawak skali saing2 sekampung yee".

Begitulah personaliti Sabri yang benaknya sentiasa padat dengan bentuk-bentuk program erat ukhuwwah dan dakwah. Saya hanya akan tersenyum jika beliau mengajak saya ke Rusila untuk menangkap ketam atau BBQ kerana disebalik pelawaan itu pasti akan diselitkan pelbagai aktiviti yang cukup menghibur jasmani dan merehatkan rohani.

MULUT DAN HATI YANG BERBEZA

"Argh, tekanannya kalau orang pinjam barang2 dalam bilik ni x reti nk bagi balik" adalah ungkapan yang sering dikeluarkan oleh seorang yang sentiasa bergurau dengan semua orang. Apa yang pasti, tiada seorangpun yang belajar di KUDQI yang tidak tercuit dengan gelagat sahabat saya seorang ni. Dalam lucunya, Abdul Hadi Mohd memang seorang yang tak berkira jika ada kawan-kawan lain mahu menggunakan sebarang benda yang ada di biliknya asalkan barang itu dipulangkan semula dalam keadaan yang elok.

Satu figura yang cukup popular di KUDQI. Sebut saja ustaz Hadi, pasti nama ini akan membayangkan seorang pemuda yang berwajah keanak-anakan dengan fe'elnya yang senang mesra dengan sesiapapun. Walaupun begitu, Hadi juga lebih dikenali dengan mulutnya yang mampu memanaskan telinga orang yang hendak ditegurnya. Namun dalam kelaseran mulut beliau itu, ada satu sikap yang boleh dipuji. Sikapnya yang suka berterus-terang dan juga bukan seorang yang menyimpan dendam. Panasnya seketika, jika ditanya berkenaan perkara yang menyebabkannya marah itu, beliau semacam tidak lagi mengingati perkara itu dan hanya menilai apa kesalahannya hingga menyebabkan beliau diuji sebegitu. Memang seorang yang sesuai untuk dijadikan sahabat.