Followers

5.30.2012

Tak Tahu Nak Cakap Apa


Aku tahu aku dah lama tak jenguk blog aku sendiri. Bayangkan kalau aku selaku tuan kepada blog aku ni pun tak datang melawat, apatah lagi orang lain.

Selalu aku janji untuk konsisten dan tidak akan menganaktirikan blog aku ni, tapi janji tu tidak dapat aku tepati memandangkan aku tak ada isi pun nak tulis sesuatu. Dari aku melalut tak tentu hala, eloklah dibiarkan begitu ye tak. Okey, aku tahu korang akan kesan satu unsur escapisme kat situ, tapi itulah yang sebenarnya berlaku.

Nak dijadikan cerita, dua tiga hari ni aku paksa diri aku untuk cuba membaca artikel mahupun buku-buku ilmiyyah yang datang dari luar kelas untuk aku letakkan diri aku di landasan yang betul. Jauh benar aku menyimpang dari kehidupan yang sebenarnya. Inilah yang dikatakan oleh sepotong syair arab :

Mahukan kejayaan tapi kamu tidak melalui jalannya
Sesungguhnya perahu itu tidakkan belayar di atas daratan.

Macamana mahu menjadi orang yang berilmu jika aku cuba mencapainya dengan kemalasan. Kejayaan itu takkan bergolek datang menghadap aku. Jadi aku kena paksa sikit diri aku untuk berada kembali di laluan kejayaan yang sebenar.

Cerita tentang usaha, ada satu hikayat arab. Seorang yang baru belajar dan dengan tergesa-gesa ingin terus mengamalkan ilmu yang baru diperolehinya tanpa memahami dengan lebih mendalam. Ilmu itu adalah Tuhan yang memberi rezeki. Lalu yakinlah dia bahawa Tuhan ini maha kuasa untuk memberikan rezeki kepadanya sedang ia lupa tentang usaha untuk mendapatkan rezeki. Berdoalah dia sehari-hari di masjid dengan harapan makanan akan terhidang didepan matanya.

Ditunggu-tunggu sehingga hari petang, perutnya sudah berbunyi sedang makanan yang didoakan sejak subuh hari tidak lagi sampai kepadanya. Tidak tahan dengan kelaparan dan kesejukan, dia membaluti tubuhnya dengan karpet masjid hinggalah tidak nampak kelibatnya dan tertidur pula dia di dalamnya. Selang beberapa ketika, datang seorang tua dengan membawa makanan, hajat dihati ingin berkongsi dengan orang yang berada di masjid, tapi tidak kelihatan pula kelibat manusia didalam masjid ketika itu.

Aroma makanan yang dibawa, cepat ditangkap oleh si lapar tadi. Dalam keadaan tidak larat untuk memanggil akibat terlalu lapar dan si pemurah pembawa makanan itupun kelihatan ingin beredar dari masjid itu, segera si lapar dengan segala keringat yang ada berdehem. Deheman dari dalam karpet itu menarik perhatian si pemurah dan lantas mendapatkan si lapar dan segera menawarkan makanan. Perkataan pertama yang keluar dari mulut si lapar pada si pemurah, "Aku kini sedar bahawa doa semata-mata tidak cukup untuk mendapatkan hajat aku, ianya mestilah diiringi usaha walaupun usahaku tadi hanyalah berdehem"

Jadi aku harap, aku akan kembali aktif dan meluangkan lebih masa untuk blog aku yang usianya dah bertahun-tahun. Sekian dulu.