Followers

11.20.2009

Bersih+Sihat =Iman dan Bebas Taun

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

النظافة من الإيمان



Doa Mengelakkan Wabak

Hari ini, mungkin rata-rata masjid membaca khutbah berkenaan dengan wabak taun atau kolera yang melanda negeri Terengganu sekarang. Saya mengetahui tentang wabak ini pada Jumaat lepas, kebetulan pergi ke rumah ibu saudara saya di kampung sebelah. Cadangnya mahu meminta beliau untuk mengecop beberapa dokumen saya. Tapi beliau tiada di rumah ketika itu, kata adiknya, beliau bermesyuarat. Permaisuri Agung dijangkiti wabak taun, maka segala macam pegawai kesihatan, doktor dan mana-mana yang terlibat dipanggil mesyuarat. Termasuklah ibu saudara saya yang bekerja sebagai pegawai farmasi negeri.

Maka berbalik kepada isi penyampaian khutbah tadi, maka pesanan berkenaan penjagaan kebersihan dititikberatkan, tips-tips untuk mengelakkan dari dijangkiti taun juga disebut. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, bagi yang pergi ke masjid untuk mendengar khutbah tadi beroleh manfaat dari apa yang disampaikan oleh tuan khatib itu.

Islam memang menggalakkan kebersihan, bahkan menjaga kebersihan dikira suatu ibadah. Sabda Nabi yang menjadi pembukaan kepada entri kali ini adalah menggambarkan betapa kebersihan adalah cabang dari iman. Barangsiapa yang tidak menjaga kebersihan, maka pasti imannya tidak mencukupi.

Tapi, kadang-kadang.. Selaku Muslim, kerap juga kita yang menjadikan Islam sebagai agama tidak menitikberatkan soal kebersihan, baik dari soal persekitaran, makanan, pakaian dan sebagainya. Jika bagi muslim yang bersembahyang, maka dari sudut tubuh badan, pakaian dan tempat solatnya pasti sudah bersih kerana syarat sah solat adalah suci dari hadas dan tidak membawa najis.

Masjid menjadi tempat solat bagi muslimin, boleh dipuji kerana rata-ratanya mengutamakan kebersihan, tapi cubalah pergi ke tandasnya. MasyaAllah, boleh tahan juga puntung-puntung rokok yang dihisap ketika berak bertaburan diatas lantai. Ada juga kotak-kotak rokok yang telah kosong ditinggalkan di dalam tandas. Mungkin mereka berdalilkan malaikat tidak pergi ke tandas maka bolehlah mereka membuang sampah tanpa rasa khuatir lagi. Patutlah kebersihan dikira sebahagian dari iman, rupanya mereka yang membuang sampah merata-rata di tandas adalah mereka yang tidak mengimani Allah itu Maha Tahu.

Saya tinggal di asrama dalam satu jangka masa yang lama juga, maka ragam dan karenah mereka yang berada di asrama dapat juga saya ingati. Ada yang suka jika biliknya bersepah-sepah tanpa dikemas, ada juga yang mengemas bila ditegur, ada yang mengemas bila ada pertandingan dan ada yang sentiasa kemas dan bersih. Tapi untuk memastikan keseluruhan asrama itu kemas dan bersih, ianya agak sukar.

Jika soal pakaian, saya berpeluang mengajar di Darul Taqwa, walaupun hanya menggantikan seorang ustazah dalam masa dua hari. Saya melihat, segelintir pelajar memakai baju yang tidak dibasuh selama 2-3 hari. Mereka kanak-kanak, memang pada mereka tak perlu sangat untuk menjaga keterampilan, asal kawan-kawan mereka tidak lari dari mereka itupun sudah cukup buat mereka. Lalu, orang yang sepatutnya berperanan di sini adalah keluarga mereka, imma ibu bapa, penjaga, tok, nenek, kakak dan abang. Tak manis jika yang dihantar ke sekolah dengan sistem pendidikan Islam, dilihat comot macam pekerja kontrak membaiki jalan. Mereka wajib menjaga imej Islam. Jangan sampai guru-guru di sana pula yang membasuh baju anak-anak kita.
Kasihanilah anak-anak kita.



Soal mengisi perut pula, Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk mencari yang sedap segala ianya memenuhi dua kriteria, iaitu halalan dan tayyiba. Halal adalah untuk pembangunan rohani, ianya menentukan sihat sakit rohani kita. Maka dengan memakan makanan yang halal, maka segala benda yang melibatkan rohani juga akan lebih mudah dilakukan, hati juga lebih senang menerima kebaikan.

Toyyiba pula adalah untuk memastikan penampung ruh iaitu jasad kita sentiasa segar bertenaga. Apa yang pelik, bab makan, orang melayu khususnya memang mengutamakan yang sedap dari yang berkhasiat. Sanggup mengembara berpuluh-puluh Kilometer untuk merasa kesedapan sup tulang, gulai kawah, sup ekor dan macam-macam menu lagi. Ada seorang yang punya pertalian saudara dengan saya yang juga tinggal di kampung saya, sanggup ke Dungun semata-mata untuk merasa sup ekor yang diwar-warkan sedap oleh ramai kenalannya.

Yang berhijrah dari kedai ke kedai pun tidak kurang ramainya. Malam ni jadualnya ke kedai ini, esoknya ke kedai lain pula. Begitulah seterusnya hingga berjumpa menu di hospital yang serba diet itu. Saya bercakap ini bukan soal untuk memarahi anda yang suka makan di kedai-kedai, warung-warung dan restoran-restoran. Tapi, berpada-pada kerana diet Ramadhan yang datang setahun sekali itu dikhuatiri tidak dapat membersihkan perut anda yang sarat dengan segala menu itu.

Alhamdulillah, setakat ini keluarga saya memilih untuk memasak tidak kira menjadi atau tidak tetapi ayah saya tetap berkata ya dan tidak banyak soal. Bahkan, lauk dirumah walaupun tidak semewah lauk di restoran yang serba ada, tetapi lebih bermakna tanpa kehadiran MSG, kicap sotong dan perasa-perasa yang datang entah dari mana puncanya. Selain itu, ayah juga boleh dikira sebagai pendorong untuk emak saya terus memasak. Setiap hari akan adalah komen yang keluar dari mulut ayah saya agar masakan emak saya sentiasa maju dari hari ke hari. Tapi dengan syarat, sebagai tukang masak, jangan cepat putus asa.

Oleh itu, saya menyeru semua yang sudah berkeluarga, sekurang-kurangnya galakkan isteri anda memasak, jangan nak merasa air tangan tukang-tukang masak restoran semata. Kalau isteri tak pandai, belikan dia buku resepi yang berlambak-lambak di pasaran. Gantikan gelang tangan dan rantai emas kepada segala set masakan didapur dan bahan-bahan untuk memasak sebagai hadiah alternatif baru kepada si isteri tercinta. Dengan izin yang Maha Pencipta, hubungan anda akan bahagia selalu.

P/s: Saya tak kahwin lagi. Idea di atas ini adalah dari pemerhatian saya kepada kedua-dua orang tua saya. Hadiah ayah saya kepada emak tidak meletakkan emas sebagai aulawiyyat, tetapi kuali, microwave, kuali bahulu, senduk, alat-alat untuk kuih tradisional dan sebagainya. Mungkin tidaklah sesedap hotel, tapi air tangan ibu sentiasa menyebabkan anak-anak rasa lapar. Setakat ini dulu, saya rasa lapar. :) Wassalam.

11.18.2009

Assalamualaikum



Entri kali ini mengajak pembaca-pembaca samada dari kalangan pejuang Islam atau pejuang nasional agar melazimi semula ucapan salam. Sebagai menjadikan tulisan ini sebagai retorik semata-mata, marilah kita sama-sama merenung kepada hadith nabi s.a.w yang berbunyi :

إن من أشراط الساعة أن يسلم الرجل الرجل لا يسلم إلا للمعرفة
Sesungguhnya diantara syarat-syarat Qiamat bahawa seorang laki-laki hanya mengucapkan salam terhadap orang-orang yang dikenalinya sahaja sebagai tanda saling kenal. (Hadith sahih riwayat Ibnu Mas'ud)

Apa yang terjadi sekarang jauh lebih tenat dari apa yang disabdakan oleh baginda s.a.w. Jika Nabi mengatakan bahawa salam pada akhir zaman dijadikan sebagai tanda sudah saling mengenali, sekarang antara orang yang mengenali pun sudah jarang mengeluarkan salam. Sedangkan salam merupakan satu doa. Tapi apa nak buat, kita masing-masing malas nak mendoakan rakan-rakan seperjuangan kita sendiri.

Jika dalam perbualan telefon, ada juga yang lebih senang memulakan perbualan tanpa salam dan lebih hebat, terus hoi, wei, yo bro, wassup, wai dan sebagainya. Bahkan saya dapat merasakan bahawa jika salam dihulurkan kepada orang yang tidak kita kenali akan menjadi suatu kepelikan. Memang pelik jika kita terus melazimi perkara ini menjadi pelik.

Jadi, dari sudut hati saya sendiri, saya mahu mengenakan kempen Assalamualaikum Dalam Hidup. Mulai hari ini, setiap entry saya akan bermula dengan lafaz salam, insyaAllah. Jika berminat, jangan malu-malu untuk bersama Rasulullah, saya dan Ummat Islam lain.

Gejala Futur Di Medan Dakwah



Futur adalah salah satu dari jenis-jenis penyakit yang biasanya hinggap pada para daie. Dari sudut bahasanya ia membawa kepada dua maksud. Yang pertama adalah terputus langsung selepas bersikap konsisten dan berhenti selepas aktif bergerak. Yang kedua pula didefinisikan sebagai sikap malas, melambat-lambatkan dan bertangguh dalam keadaan dulunya sentiasa pantas dan efisien.

Maksud dari istilah penggunaannya pula adalah erti kepada sejenis penyakit yang mungkin dan boleh menimpa sebahagian para amil dakwah. Tahap biasa akan membawa para daie menjadi malas, bertangguh dan lambat dan jika dijangkiti futur tahap kronik, ianya akan membawa kepada putus langsung selepas bersikap konsisten dan komited sebelum itu.

Bahaya Futur

Setelah mengetahui serba sedikit tentang definisi futur, saya memilih untuk menceritakan tentang bahayanya agar para daie menyedari risiko jika tidak memilih jalan yang boleh menjauhkan diri dari gejala futur ini.

الوقاية خير من العلاج

1) Perkara pertama yang bakal menimpa kepada mereka yang futur adalah pengabaian terhadap amanah selepas persetujuan kita menerima amanah. Firman Allah :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.

Cerita disebalik ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah dialog antara Allah dan Nabi Adam A.S bilamana Allah menawarkan amanah ini kepada baginda lantas baginda bertanya tentang amanah ini. Allah berfirman kepada Adam:
إن أطعت غفرت لك وإن عصيت عذبتك
"Jika kamu taat, Aku akan mengampunkan kamu dan jika kamu gagal melaksanakannya, maka azabKu bagimu"

Maka bahaya pertama adalah amanah terabai dan sekaligus dijanjikan Allah dengan azabNya atas mereka yang memungkiri janji dalam melaksanakan amanahNya.

2) Gugur dari jalan dakwah. Perkara ini adalah satu yang patut dipandang serius oleh para daie yang memilih jalan dakwah sebagai landasan hidup mereka. Semakin hari, maka sikap diam dari dakwah ini akan sebati dan membenih di dalam hati, lalu satu lagi amanah Allah diabaikan.

3) Mengakhiri hidup dalam keadaan futur. Sedangkan amal manusia itu ditentukan berdasar kepada penghujung hidup kita. Sabda Rasulullah s.a.w :

إن العبد ليعمل عمل أهل النار وإنه من أهل الجنة ويعمل عمل أهل الجنة وإنه من أهل النار، وإنما الأعمال بالخواتيم
Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga dan ada yang melakukan amalan ahli syurga sedangkan ia termasuk dalam golongan ahli neraka, sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada penghujung hidupnya

Dibimbangi jika kita futur dan kita mati, maka amal baik yang dilakukan sebelum ini menjadi debu dan sia-sia.

Faktor Yang Membawa Kepada Penyakit Futur

1- Melampau dan berlebih-lebih dalam mengerjakan perkara agama.

2- Terlalu menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang harus seperti makan, minum, tidur dan lain-lain.

3- Perpecahan yang berlaku dalam jemaah, konteks pemimpin adalah putus asa dan dalam konteks ahli adalah bosan dengan perpecahan lantas memilih untuk mengasingkan diri.

4- Kurang mengingati mati dan hari akhirat. Lupa bahawa hari itu akan dihisab segala amalan.

5- Kurang beribadat

6- Masuknya benda-benda haram dan syubhah ke dalam kantung perut masing-masing.

7- Para amil dakwah menumpukan hanya kepada satu perkara dalam agama dan bersikap acuh tak acuh kepada perkara lain.

8- Bersikap sambil lewa terhadap sunnatuLlah di dalam kehidupan.

9- Bersahabat dengan orang yang tidak punya azam yang tinggi dan cita-cita yang besar.

10- Tiada persedian dalam berhadapan dengan liku-liku dalam dakwah.

11- Tidak memberi hak kepada badan dek kerana terlampau banyak kewajipan dan kurangnya aktivis dakwah.

12- Melakukan maksiat samada kecil atau besar.

Penawar Futur

1- Membaca al-Quran dan mengambil iktibar dari kisah-kisah al-Quran. Oleh itu sewajarnya bagi setiap amil agar memiliki satu al-Quran dan terjemahannya.

2- Menyelami Seerah Nabawiyyah

3- Membaca sejarah-sejarah pejuang Islam.

4- Melazimi solat-solat jemaah

5- Menpergiatkan amalan sunat. Istighfar, zikir, memberi salam dan sebagainya.

6- Mengelak dari melakukan perkara makruh.

7- Selalu bersama orang yang soleh.

8- Menghadiri majlis ilmu.

9- Selalu berhubung sesama ahli.

10- Pengurusan yang baik dan berdisiplin.

11- menjaga masa

12- Kreatif dalam membina aktiviti

13- Membina kesatuan fikrah dan amal

14- Melazimkan diri dengan aktiviti jamaah.

Kuliah Maghrib
Madrasah Pecah Rotan

11.16.2009

Bukan Kejadian Di Sini, Ini Di Tempat Lain.. Harap Maklum!

Saya mahu bercakap soal orang yang bercakap bohong. Saya benci apabila dibohongi, apatah lagi jika bohong itu merupakan bohong yang terkantoi dan cuba ditegakkan juga benang yang basah, lebih malang lagi ada juga terpedaya dengan cara pembohongannya.

Itu tidak mengapa kerana yang mempercayainya bukan saya, tapi yang lebih sadis adalah jika orang yang tidak bersalah juga turut dikaitkan, bahkan kantoi pembohongan yang kedua ini lebih besar dari kantoi pembohongan yang pertama dan lebih parah lagi, selepas kantoi pembohongan yang kedua ini, masih ada lagi orang-orang yang kurang daya untuk berfikir secara waras mempercayai kaki bohong yang kantoi. Aduh, apa nak jadi dunia sekarang ini pun aku tak tahu. Kata Nabi, "Orang beriman tak masuk lubang biawak (dibohongi) dua kali"

Bahaya Si Mulut Manis

Dunia ini, ramai yang bermulut manis tetapi berperangai masam, busuk dan teruk. Kita boleh lihat gelagat mereka di sekeliling kita, saya juga berpeluang ditemukan Allah dengan mereka yang bermulut manis ini, cakap semasa di depan kita, dialah yang terbaik dan sentiasa mahukan yang terbaik, tapi hakikatnya tidak begitu. Oleh sebab kita manusia, maka secara automatik akan ada juga terselit sifat2 begitu.

Orang yang mulut manis dan pijak semut tak mati ini, jika perutnya jahat dan busuk, maka tipudaya yang dibawanya juga lebih hebat celakanya dari orang yang bermulut jahat. Anda mahu bukti? Saya tidak dapat memberi anda bukti dengan bukti dari saya tapi pasti jika anda panjang umur, anda akan bertemu dengan spesis-spesis manusia dan salah satunya jenis bermulut manis.

Lidah Biawak

Pada asalnya, kasihan juga apabila biawak yang tidak bersalah dijadikan bidalan kepada orang yang suka putar belit, tapi setelah fikir-fikir kembali ianya sekadar simbolik, maka saya gunakan juga. Simboliknya terletak pada perkataan 'bercabang'. Bercabang maksudnya dua arah. Apabila berbual dengan yang ini, versi cerita jadi begitu, tapi bila berbual dengan yang itu, versinya jadi lain pula.

Jika soal remeh, mungkin tidak membawa kesan, tapi cuba bayangkan jika ianya melibatkan diri dan maruah seseorang. Sudah tentu tindakan itu boleh mendatangkan kesan yang teruk dan dahsyat. Maruah amat-amat dijaga oleh Islam, ianya sepenting nyawa dan agama. Buat apa bernyawa tetapi tidak bermaruah dan apa guna beragama jika tiada maruah. Contoh boleh reka sendiri.

Fitnah Yang Bangkit

Bila cerita mula jadi hebat, mustahillah jika ianya tidak meniti di bibir mulut orang ramai. Fitnah pun timbul, sana fitnah sini, sini fitnah sana. Masing-masing nak mempertahankan hujah masing. Ada yang kukuh dan ada yang dangkal. Makin hari, fitnah membaham makin ramai orang yang tidak bersalah.

Asalnya seorang, lalu dikait-kaitkan dengan orang sekian-sekian, si polan-si polan makin hari makin besar, hinggalah mulut yang berbohong dan menabur fitnah ini sudah bosan berbohong atau diberi hidayat atau mulutnya sudah tersimpul kerana kesan pembohongannya kian jelas.

Jangan jadi Umno

UMNO adalah parti yang ditubuhkan atas dasar kebangsaan dan penubuhannya itu selaras dengan kehendak penjajah yang mahu meninggalkan bumi Malaysia ini kepada pengganti yang dipercayai dapat mengekalkan dasar-dasar British.

Dasar perjuangan peringkat awalnya dulu begitu murni dan tulus. Makin dewasa UMNO, makin kuat penyakit-penyakit yang biasanya hinggap pada parti-parti yang tidak menjaga kesihatan. Rasuah, salah guna kuasa, pilih bulu, sayang kroni, projek mega dan sebagainya mula menjadi barah.

Setelah melihat sakit yang melanda UMNO itu teruk, ada juga pihak yang mahu membawa virus itu ke dalam institusi mereka. Ada juga yang mahu menipu, ada juga yang mahu kroni naik walaupun kadang-kadang kroni itu tidak tahupun usaha untuk menaikkan beliau dilakukan. Layak ke, tak layak ke kroni kita itu, tak kiralah, yang penting sikap jujur yang ada pada ilmu yang kita pelajari setiap hari hampir tidak digunakan.

Lebih malang lagi, jika sandiwara kotor kita ini menyebabkan kroni yang tidak bersalah dan tidak tahu menahupun turut tercalit tahi, maka itu adalah tindakan yang jahat dan kotor dalam sejarah pengkronian. Hey brader, matlamat tak menghalalkan cara, al-ghaayah la tubarrizul waseelah, omputeh ambo tak reti.

Akhir sekali, ingatlah pepatah dari orang-orang lama, sepandai-pandai tupai menipu, akhirnya tersungkur juga pada kebenaran.

P/s :
- Kejadian ini tidak berlaku di Malaysia, ianya berlaku jauh dihujung kampung di Uganda.
- Baca artikel ini dan cuba kaitkan ditempat anda, jika ada spesis-spesis ini, maka artikel ini dituju khas buat anda dan jika tiada, jadikan artikel ini sebagai amaran kepada spesis belit yang berkeliaran di mana saja.
- Terima kasih kepada yang mencetus idea ini.
- Kepada yang memimpin, jangan tak boleh ditegur langsung. Teguran tu membawa kepada kecemerlangan, bukannya nak tikam belakang. Lagipun, saya ni tak suka tikam, lambat mati, tembak je terus, takpun langgar je. hehe.
Kepada yang berbohong, rentikanlee.. Takde pekdah apepun.

11.12.2009

Nasib Kita Teruk? Ada Lagi Yang Lebih Teruk.



Dalam susah, jenguklah ke bawah, nescaya akan adalah orang lebih susah dari kita. Jika kita senang, maka pandanglah ke atas, nescaya akan terlihatlah orang yang jauh lebih senang dari kita.

Saya jarang menonton rancangan bersamamu terbitan TV3, apabila saya menonton siaran tersebut pada malam semalam, saya terus berfikir, susahnya orang.

Kisah dari negeri Perak kalau tidak silap saya, memaparkan tentang seorang yang kurang upaya malah punya anak yang mengalami sakit patah tulang sewaktu kecil. Tapi kerana semangat dan jiwa yang kuat untuk berdikari, beliau mampu untuk mengendalikan sebuah bengkel motosikal. Dibantu adik beliau, kadang-kadang bengkelnya itu tidak dikunjungi pelanggan pun dalam masa 3-4 hari.

Itulah yang saya katakan, betapa berat pun ujian yang ditimpakan ke atas kita, pasti akan ada lagi ujian yang jauh lebih berat yang ditimpa ke atas orang lain. Kerana itulah, kadang-kadang saya kerap merasa belas apabila melihat mak cik-mak cik atau pak cik-pak cik yang berniaga di pasar-pasar dan sebagainya dan jualannya tidak laku. Kerap saya membayangkan, macamana jika ayah atau ibu saya berada di tempat itu.

Ingatlah, kadang-kadang Allah memberi kita rezeki lebih kerana Allah mengkehendaki kita menyalurkan pula rezeki yang kita dapat itu kepada mereka yang memerlukan. Hulurkan tangan, ringankan beban.

P/s : Politik-politik juga, biar berpada-pada.

11.05.2009

Bila Musim Kujuh...

Bulan 11, 12, 1, 2 dan kadang-kadang berlanjutan ke bulan 3 adalah bulan yang sinonim dengan basah. Kujuh atau boh bak kata orang Terengganu. Kata pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Alhamdulillah, disebabkan rumah aku tidak terlalu dekat dengan pantai, maka tiada perlu aku menurut kehendak tersurat yang ada pada pepatah itu.

Jangan pening.. Aku sengaja menggunakan intro sebegitu agar orang yang membaca tertanya-tanya, apa motif sebenar entry ini ditulis. Tiada apa yang boleh dijadikan rujukan dalam entry ini, cuma sekadar bercerita tentang pengalaman sepanjang diam aku di kampung aku yang berhampiran dengan pantai. Seberang jalan je.

10 tahun lalu..

Sebut sahaja musim bah, orang-orang yang bermastautin di kawasan berdekatan pantai pasti akan melakukan persiapan rapi. Masa akhir bulan 10 tu dah siap-siap baiki atap-atap yang ada ke'tiris'an serius, zink-zink reput diganti baru, bahkan ada juga yang siap menindih atap rumah mereka dengan kayu yang diletakkan batu di atasnya bagi mengimbangi kuasa angin yang begitu hebat hingga boleh menyebabkan atap mereka terkopak.

Dulu sebelum rumah aku direnovate sana-sini, aku kira banyak batang juga pohon kelapa yang mengelilingi rumah ini. Ada diantaranya dibiar terbuai-buai dan ada juga yang perlu ditebang. Biasanya khidmat penebang masa ini boleh dianggap lumayan, samaada mereka perlu menebang pohon yang dikhuatiri akan tumbang dan yang telah tumbang. Di kawasan kampung aku dan sekitarnya, kami akan menggunakan khidmat Awang Gagah. Jangan tanya aku beliau itu gagah atau tidak kerana gelaran itu sinonim dengannya sejak lama dahulu.

Aku selaku kanak-kanak waktu itu, sentiasa menunggu proses penebangan dilakukan dari awal Pak Awang ini menghidupkan chainsawnya hingga saat-saat kami boleh meniti di atas batang nyiur yang tumbang sebelum batang itu dipendekkan oleh pak Awang. Apa yang disukai oleh kanak-kanak seangkatan aku adalah umbut nyior. Berebut-rebut.. Orang lain lah, aku tak suke berebut, maklumlah.. Pemalu.

Dapat habuan masing-masing, maka berhimpunlah diatas batang nyior yang dikerat sambil bercerita itu dan ini.

Seingat aku, rumah aku pernah 2 kali ditimpa pohon nyior tumbang, sebelah kiri dan sebelah kanan, pada musim tengkujuh berasingan. Kali pertama ketika mak aku baru melahirkan adik aku si BiraPantai tu. Pohon nyior yang 2 kali ketinggian rumah aku atau lebih lagi jatuh merintangi tengah-tengah rumah aku, namun tiada siapa yang cedera. Kata mak, sampai tercabut umbi kelapa, tak mencecah tanah disebabkan terimbang dengan berat hujung pucuk sana dengan umbinya. Pecah jugalah sedikit dinding simen dirumah aku, kesannya masih boleh dilihat sehingga sekarang.

Kali kedua terkena di sisi kiri rumah, akibatnya malam itu, habis lenjun satu sudut rumah aku dek kerana atap dah pecah. Pergh, dek kerana tu.. hehe.. Masa tu, kudrat untuk menolong ayah aku mengalih barang-barang yang ada di bawah atap yang rabak itu masih tiada, aku hanya memerhati sahaja.

Antara persiapan yang dibuat oleh penduduk di bira pantai ini adalah menyiapkan nebeng angin, hampir setiap rumah dibuat nebeng angin. Bahan-bahannya adalah batang nyior, tiang letrik kayu yang sudah disisihkan TNB, dulu digelar LLN atau Lembaga Letrik Negara. Kemudian di alang dengan kayu yang agak tebal, mungkin saiz 4x4, buluh juga ada digunakan. Barulah dihiaskan dengan sebanyak mungkin daun nyior yang luruh atau diambil di tempat-tempat yang ada ditebang. Zink-zink yang sudah tidak digunakan juga dijadikan sebahagian dari kejayaan mereka menebeng angin agar rumah mereka tidak tanggal di sana dan terkopak di sini.

Tapi sejak kebelakangan ini, jarang sudah tradisi seperti ini menjadi rutin, mungkin rumah masing-masing sudah kukuh. Dulu rumah kayu je, sekarang ni kebanyakannya adalah rumah batu, atap genting pulak tu. Jadi taklah bimbang sangat dengan ancaman tengkujuh ni.

Apa yang aku sukai pasal musim tengkujuh ni adalah pada waktu malam, duduk ramai-ramai adik beradik, mak pulak rebus ubi, makan cecah nyior atau gula, minum pulak dengan kopi berasap nipis.. Pergh.. Bende lain tolak tepi la.. Lagi satu, bila berkumpul, maka macam-macam cite la keluar. Al-maklumlah, nak tengok TV ayah tak bagi, ribut katanya. Tapi mungkin itu hikmah tengkujuh, merapat kembali yang jauh, mengerat kembali yang terjurang.

P/s : Apa yang tak best bile berhenti beli ubi kat tepi jalan pakai kereta yang mewah sikit, harganya tak sama macam naik kereta buruk. Moga-moga kerajaan terfikir akibat dari melupuskan kereta lama, ubi akan dijual mahal. hehe. Gambar akan disiarkan malam ni, tak jumpe material la.. heh.