Followers

11.05.2009

Bila Musim Kujuh...

Bulan 11, 12, 1, 2 dan kadang-kadang berlanjutan ke bulan 3 adalah bulan yang sinonim dengan basah. Kujuh atau boh bak kata orang Terengganu. Kata pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Alhamdulillah, disebabkan rumah aku tidak terlalu dekat dengan pantai, maka tiada perlu aku menurut kehendak tersurat yang ada pada pepatah itu.

Jangan pening.. Aku sengaja menggunakan intro sebegitu agar orang yang membaca tertanya-tanya, apa motif sebenar entry ini ditulis. Tiada apa yang boleh dijadikan rujukan dalam entry ini, cuma sekadar bercerita tentang pengalaman sepanjang diam aku di kampung aku yang berhampiran dengan pantai. Seberang jalan je.

10 tahun lalu..

Sebut sahaja musim bah, orang-orang yang bermastautin di kawasan berdekatan pantai pasti akan melakukan persiapan rapi. Masa akhir bulan 10 tu dah siap-siap baiki atap-atap yang ada ke'tiris'an serius, zink-zink reput diganti baru, bahkan ada juga yang siap menindih atap rumah mereka dengan kayu yang diletakkan batu di atasnya bagi mengimbangi kuasa angin yang begitu hebat hingga boleh menyebabkan atap mereka terkopak.

Dulu sebelum rumah aku direnovate sana-sini, aku kira banyak batang juga pohon kelapa yang mengelilingi rumah ini. Ada diantaranya dibiar terbuai-buai dan ada juga yang perlu ditebang. Biasanya khidmat penebang masa ini boleh dianggap lumayan, samaada mereka perlu menebang pohon yang dikhuatiri akan tumbang dan yang telah tumbang. Di kawasan kampung aku dan sekitarnya, kami akan menggunakan khidmat Awang Gagah. Jangan tanya aku beliau itu gagah atau tidak kerana gelaran itu sinonim dengannya sejak lama dahulu.

Aku selaku kanak-kanak waktu itu, sentiasa menunggu proses penebangan dilakukan dari awal Pak Awang ini menghidupkan chainsawnya hingga saat-saat kami boleh meniti di atas batang nyiur yang tumbang sebelum batang itu dipendekkan oleh pak Awang. Apa yang disukai oleh kanak-kanak seangkatan aku adalah umbut nyior. Berebut-rebut.. Orang lain lah, aku tak suke berebut, maklumlah.. Pemalu.

Dapat habuan masing-masing, maka berhimpunlah diatas batang nyior yang dikerat sambil bercerita itu dan ini.

Seingat aku, rumah aku pernah 2 kali ditimpa pohon nyior tumbang, sebelah kiri dan sebelah kanan, pada musim tengkujuh berasingan. Kali pertama ketika mak aku baru melahirkan adik aku si BiraPantai tu. Pohon nyior yang 2 kali ketinggian rumah aku atau lebih lagi jatuh merintangi tengah-tengah rumah aku, namun tiada siapa yang cedera. Kata mak, sampai tercabut umbi kelapa, tak mencecah tanah disebabkan terimbang dengan berat hujung pucuk sana dengan umbinya. Pecah jugalah sedikit dinding simen dirumah aku, kesannya masih boleh dilihat sehingga sekarang.

Kali kedua terkena di sisi kiri rumah, akibatnya malam itu, habis lenjun satu sudut rumah aku dek kerana atap dah pecah. Pergh, dek kerana tu.. hehe.. Masa tu, kudrat untuk menolong ayah aku mengalih barang-barang yang ada di bawah atap yang rabak itu masih tiada, aku hanya memerhati sahaja.

Antara persiapan yang dibuat oleh penduduk di bira pantai ini adalah menyiapkan nebeng angin, hampir setiap rumah dibuat nebeng angin. Bahan-bahannya adalah batang nyior, tiang letrik kayu yang sudah disisihkan TNB, dulu digelar LLN atau Lembaga Letrik Negara. Kemudian di alang dengan kayu yang agak tebal, mungkin saiz 4x4, buluh juga ada digunakan. Barulah dihiaskan dengan sebanyak mungkin daun nyior yang luruh atau diambil di tempat-tempat yang ada ditebang. Zink-zink yang sudah tidak digunakan juga dijadikan sebahagian dari kejayaan mereka menebeng angin agar rumah mereka tidak tanggal di sana dan terkopak di sini.

Tapi sejak kebelakangan ini, jarang sudah tradisi seperti ini menjadi rutin, mungkin rumah masing-masing sudah kukuh. Dulu rumah kayu je, sekarang ni kebanyakannya adalah rumah batu, atap genting pulak tu. Jadi taklah bimbang sangat dengan ancaman tengkujuh ni.

Apa yang aku sukai pasal musim tengkujuh ni adalah pada waktu malam, duduk ramai-ramai adik beradik, mak pulak rebus ubi, makan cecah nyior atau gula, minum pulak dengan kopi berasap nipis.. Pergh.. Bende lain tolak tepi la.. Lagi satu, bila berkumpul, maka macam-macam cite la keluar. Al-maklumlah, nak tengok TV ayah tak bagi, ribut katanya. Tapi mungkin itu hikmah tengkujuh, merapat kembali yang jauh, mengerat kembali yang terjurang.

P/s : Apa yang tak best bile berhenti beli ubi kat tepi jalan pakai kereta yang mewah sikit, harganya tak sama macam naik kereta buruk. Moga-moga kerajaan terfikir akibat dari melupuskan kereta lama, ubi akan dijual mahal. hehe. Gambar akan disiarkan malam ni, tak jumpe material la.. heh.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.