Followers

3.25.2009

Projek Terbaru

Agak lama juga blog ini tak diupdate. Bukan tak nak update, tapi stail pembelajaran ala Indonesia di Kudqi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada yang punya blog ini untuk memperbaharui maklumat di dalamnya. Tambahan pula, komputer di rumah saya juga mula menunjukkan tanda-tanda biadap apabila mula tidak berfungsi dengan baik, begitu juga Streamyx yang kerap benar bermasalah sekarang ini.

Saya dalam projek menterjemah satu artikel tentang I'jaaz Al-Quran yang diambil dari satu laman web (www.nooran.org) dan insyaAllah akan dimuatkan dalam blog ini tidak lama lagi. Selain itu saya juga sedikit terkesan dengan I'jaaz kejadian manusia yang dipelajari melalui Tafsir Maudhuu'ie dan saya juga akan menulis tentang itu sebagai perkongsian bersama.

Minggu ini, antara agenda yang memenuhi aktiviti saya adalah membuat persiapan presentation bagi subjek Seerah, Dakhil fi Tafsir dan Balaghah. Jika saya rajin, mungkin saya akan memperelokkannya untuk diletakkan di dalam laman blog yang tidak seberapa ini.

Kajian saya tentang sistem ekonomi kapitalis juga mungkin akan dimuatkan bersama jika mempunyai kesempatan. Namun sebagai manusia, pastinya tidak akan mampu melawan kekuasaan dan kecantikan rancangan dari Allah. Maha suci zatNya yang menutupi keindahan dengan keindahan.

Tinggi benar rancangan saya, saya harap ianya dapat dilaksanakan dengan berkat doa dari sahabat-sahabat seziarah saya ini.

P/s : Saya sekarang mengingati memori-memori lalu untuk dimuatkan dalam siri Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu-2.

3.09.2009

Persoalan Alam Ruh


Sekadar Gambar Hiasan

Saya teringat tentang satu persoalan yang ditimbulkan rakan sebilik saya sewaktu di Syria dahulu, iaitu tentang manusia yang membenarkan Allah sebagai Rabb mereka sewaktu di Alam Ruh dahulu.

Firman Allah Taala dalam surah al-A'raaf ayat yang ke 172 :

ألست بربكم قالوا بلى
Adakah aku ini Rabbmu? Mereka menjawab : bahkan kamulah Rabb kami.

Katanya " Tidak adillah kerana Tuhan bertanya sewaktu kita tidak sedar, bahkan kejadian di alam ruh itu tidak diingati oleh kita pun !" Maka ramailah sahabat-sahabat yang cuba menjawab dan kebanyakannya tidak menepati kehendak si penanya ini. Nampak senang sahaja soalannya namun jika tidak kena caranya maka akan timbul rasa tidak puas hati dengan jawapan bahkan jika silap cara boleh membuatkan si penanya dan orang lain yang tidak yakin dengan kebenaran Islam akan terpesong dan mungkin buruk sangka pada tuhan.

Ketika itu saya masih lagi tidak begitu mahir dan kurang berpengetahuan dengan ilmu yang saya kira masih baru pada saya. Saya berdiam diri sahaja pada ketika itu. Melihat mereka bermujadalah. Saya kagum melihat sahabat saya ini yang tidak betah bertanya kerana rasa ragu yang terbit hasil dari bacaannya. Beliau ini datang dari keluarga yang kurang terdedah dengan didikan agama dan baru sahaja mendalami agama di Syria. Beliau tiba di Syria setahun lebih awal dari saya.

Mendapat Jawapan


Sekadar Gambar Hiasan

Kebetulan hari ini saya ada usrah dan ustaz Riduan Hashim bertindak sebagai naqib. Teks usrah pula adalah tentang amanah dan istiqamah. Timbul isu kenapa manusia memilih untuk memikul amanah dan disifatkan Allah sebagai ظلوما جهولا dan sejak bila manusia mula memikul amanah ini.

Saya lalu teringat akan kisah sahabat saya dan soalan alam ruhnya dulu. Saya menceritakan tentangnya dan mungkin ada kaitannya dengan permulaan amanah ini dibahagikan kepada kita dan kita tidak perlulah untuk mempersoalkan adil atau tidak adil Allah menghukum kita sebagai "bodoh sombong" kerana menerima amanah ini.

Apa yang diulas oleh ustaz Riduan Hashim amat berbeza dan saya rasa ianya telah menjawab persoalan saya dan sahabat saya lama dahulu. Katanya kenapa penggunaan kalimat Robb di dalam ayat itu dan kenapa tidak digunakan kalimah Ilah. Rupanya ianya berkait rapat dengan Rububiyyah Allah dan UluhiyyahNya. Rububiyyah adalah merujuk kepada tuhan yang maha mencipta dan maha menjadikan, maka sememangnya naluri manusia mengakui itu. Maka sebab itulah ketika di alam ruh itu manusia cepat sekali mengiyakan bahawa Allahlah Rabb mereka.

Berlainan pula dengan Uluhiyyah. Uluhiyyah adalah merujuk kepada tuhan yang disembah. Jadi sebab itulah apabila Allah berfirman kepada kita di alam ruh "tidakkah aku ini rabb kamu, maka mereka menjawab, bahkan kamulah Rabb kami. Ini kerana manusia sememangnya ada naluri yang mempercayai tuhan yang menjadikan dan dalam hal mengesakannya inilah mereka bercanggah pendapat dan timbullah agama-agama yang berbagai.

Bahkan Lenin dan Stalin yang tidak mempercayai adanya tuhan turut mengakui hakikat tuhan ini sewaktu diserang Jerman dengan menyuruh masyarakat Rusia yang beragama ketika itu menunaikan segala ritual agama masing-masing. Kristian disuruh membunyikan loceng dan Orang Islam disuruh melaungkan azan. Naluri manusia mengakui bahawa tuhan itu ada.

Saya semakin jelas, bahawa jawapan untuk soalan kawan saya dulu adalah berdasarkan penggunaan kalimah Rabb ini. Semoga perkongsian ini turut sama membawa kejelasan kepada kita. Seeru Ala BarakaatiLlah.

3.08.2009

Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu


Suasana kampung Rusila suatu ketika dahulu, masih tradisional jika dibandingkan dengan yang ada sekarang.(Gambar diambil di depan rumah Pak Cik Mansur)

Sudah hampir empat tahun saya meninggalkan Ma'had Darul Quran, namun saya masih terasa dekat dengan sekolah tersebut. Terlampau banyak kenangan saya berada di sekolah tersebut selama hampir tujuh tahun.

Tujuh tahun itu tidak akan mampu saya ceritakan semuanya dalam satu artikel, namun saya akan berusaha untuk menceritakan segalanya disamping tidak meninggalkan sebarang memori sepanjang saya berada di situ.

Nama-nama yang bakal saya sebutkan sepanjang penulisan saya ini terlebih dahulu saya mohon keizinan untuk menggunakan nama anda dan sekiranya terlanjur kata seawalnya saya merapatkan sepuluh jari ke dada tanda memohon keampunan.

Halaqah selepas Maghrib, meriahnya suasana Quranik ini.

Tentang MDQ, semuanya saya rindukan, tentang belajarnya, asatizahnya, bangunannya, pelajarnya, pantainya, haruman tanahnya selepas hujan, bunyi bising mesin yang bekerja sewaktu saya belajar, kesayuan suasana hujan selepas Asar, kawan-kawan yang selalu rindukan bola sepak, 'baruh' yang pernah saya jatuh ke dalamnya, padang-padang bola sepak di tepi bukit sana, program anjuran PPDQ, tidur di masjid, kedai Ayah Wan, masalah disiplin saya sewaktu I'dadie, hari Sabtu di MDQ, pokok daun pahit, kantinnya dan semuanya. Saya begitu merindukan suasana MDQ.

Saya berangan dan berkhayal agar kembali ke masa lalu dan biarlah saya namakan ini sebagai Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu. Jika tidak punya masalah, insyaAllah saya akan meng'update'kan tentang ini paling lama pun dua minggu sekali. Semoga dengan tulisan sebegini saya tidak akan melupakan institusi ilmu yang telah berjasa besar pada saya. Saya menulis tentang MDQ menurut pandangan saya yang melihat dan mengalami, moga-moga ianya mendapat keberkatan dari Allah.

P/s: Untuk tujuan ini, saya telah menyelongkar semua gambar-gambar lama saya di MDQ dulu. Emak saya menggeleng-geleng kepala melihat anaknya ini yang me'lembang' barang-barang yang telah dikemas. Hehe.

3.06.2009

KTQ di Chendering


Gambar kenangan panitia program dan peserta.

Saya sekarang berada di Chendering sebagai salah seorang penggerak program Kursus Tamrin Qiadi. Idea yang datang dari MPMKUDQI yang baru dilantik mungkin kerana ingin menjimatkan masa dan tenaga dalam masa yang sama lalu dianjurkan program yang berbentuk tamrin dan kursus pengurusan sekaligus.

Dua orang moderator yang membincangkan dua aspek iaitu tentang pengurusan persatuan dan syaksiyyah pemimpin. Ini adalah dua aspek yang ditekankan dan ingin diterapkan oleh pimpinan MPMKUDQI agar menjadi sebuah tanzim yang bermunazzomah dan berpemimpinkan pemimpin yang punya jatidiri dan syaksiyyah yang tinggi.

Tugas saya adalah mengisi kehendak pihak majlis tertinggi MPMKUDQI agar dapat merealisasikan dua matlamat besar yang saya kira bukan dalam sehari dua ini untuk dibentuk dan dilakar kejayaan peserta yang menjalani program ini.

Program ini akan berakhir esok, moga-moga ianya berjaya mengisi kehendak pimpinan saya dan kehendak Islam yang begitu hauskan tenaga dai'e bagi memenuhi prasyarat kemenangan Islam yang telah dijanjikan oleh Allah akan kemenangannya pada hari akhir dunia ini.

P/s : Saya pertama kali membuat posting dengan menggunakan Celcom Broadband milik kawan. Ada rezeki insyaAllah saya akan turut menggunakan khidmat alat ini. Seeru ala barakaatiLlah.

3.04.2009

Hasrat Di Hati....

Pada musim peperiksaan lalu, kami dari tahun 3 KUDQI menerima kunjungan sahabat dari cawangan KUDQI Kuala Lumpur yang dikenali dengan Institut Pengajian al-Azhar (IPA) yang turut menjalani peperiksaan di sini.

Pada awal kedatangan mereka, saya masih lagi kurang sihat. Jadi pada minggu pertama saya lebih banyak berkurung di dalam bilik sahaja. Interaksi dengan sahabat-sahabt IPA ini menjadi lebih terbatas. Saya mula mengenali mereka secara ringkas sewaktu perlawanan futsal ukhuwwah yang dianjurkan oleh raja ukhuwwah kami, Sabri Mamat.



Kami mengambil inisiatif tersebut sebagai cubaan untuk menangani kegugupan pergaulan dan rasa kekok untuk berkawan ekoran dari peristiwa dua tahun lalu iaitu pada sesi 06/07 dulu yang dapat dilihat dengan jelas betapa antara KUDQI Kubang Lembek dan IPA Kuala Lumpur ini punya jurang yang begitu besar. Kami cuba menanganinya dengan Sabri sebagai konduktor khittoh kami ini.



Paling saya terkilan adalah tentang seorang sahabat dari IPA yang merupakan anak kepada tokoh wartawan Malaysia dan salah seorang idola saya dalam bidang penulisan ini, Subky Latif yang tidak saya tahu hinggalah pada hari beliau dan rakan-rakan lain ingin berangkat pulang. Tidak sempat saya mendengar barang sekisah dua tentang ayahnya, sejarah hidupnya dan keadaan ayahnya sekarang.



Pak Subky merupakan seorang yang istimewa. Baru-baru ini saya tertarik untuk membaca satu artikel tentang beliau yang disiarkan akhbar Siasah. Tajuknya "Janganlah Subky Mati Dahulu". Saya menyelusuri riwayat hidup beliau dan sempat menangkap keistimewaan beliau dalam penulisan ini melalui artikel yang dibaca dalam masa 7-8 minit itu. Kata penulis itu, beliau mengharapkan bahawa jika diizinkan tuhan, biarlah dia dahulu yang pergi dan jangan Subky yang pergi dahulu.

Katanya, Pak Subky adalah seorang jurnalis yang istimewa kerana punya ingatan yang kuat dan lazimnya menulis tanpa sebarang rujukan buku-buku dan sebagainya. Bahkan, sahabat-sahabat penulis yang lain yang menjadikan akal sejarah Pak Subky sebagai rujukan. Hebat, memang hebat. Artikel tersebut menyebabkan saya lebih memandang tinggi beliau.

Kata sahabat saya, "semua sejarah PAS dalam kepala dia". Saya akui itu. Lihat sahaja tulisan beliau di Harakah dan Siasah seperti Mens Sana In Corpore Sano(istilah latin yang bermaksud akal yang sihat berada dalam tubuh yang sihat), 123 Lekup. Terkenang semasa dulu, Selangkah dan 4,5 Aku Ketuk. Kelima-lima ini cukup unik dan menarik untuk dibaca. Paling saya kagumi adalah 1,2,3 Lekup dan 4,5 Aku Ketuk kerana saya tahu agak susah untuk melakukan tulisan pendek dan berkait antara satu sama lain itu. Selalu tersenyum ketika membacanya, penuh satira dan gaya bahasa bersahaja.

Hasrat saya adalah ingin menemui tokoh-tokoh yang saya kagumi ini biarpun seketika. Paling saya ingin adalah Pak Subky, S.N atau S.R A. Samad Said, Muhaimin Sulam, Ust. Hasrizal dan Faisal Tehrani. Mudah-mudahan saya jumpa dahulu sebelum pergi :)

Bahasa Melayu, Bahasa Ilmu. Seeru ala BarakaatiLlah.

3.03.2009

1001 Pelawat,1001 Makna.


Terimakasih pengunjung-pengunjung sekalian, kehadiran anda ke blog ini setiap hari amat-amat di alu-alukan. Selaku blogger amatur, angka 1001 ini memang memberi 1001 makna kepada hari-hari saya sebagai blogger sambilan ini. hehe. By the way, Syukran ala ziaaratikum.

Siapa Lagi Hebat?


Siapa lagi hebat?
Biasanya soalan ini ditanya sebagai perbandingan antara dua entiti atau lebih. Ianya samada ditanya untuk mendapatkan panduan, faedah atau sekadar pertanyaan untuk menjadikan salah satunya nampak jauh lebih lemah dari biasa.

Ianya boleh berlaku dimana saja dan boleh menjadikan siapa sahaja objek perbandingan itu. Kadang-kadang perbandingan antara dua pasukan bola sepak, perbandingan antara dua seni pertahanan diri, perbandingan antara cantik dan tidak cantik dan perbandingan antara dua zaman pentadbiran.

Saya pernah memimpin sebuah persatuan dan waktu itu saya sering juga menjadi mangsa muhasabah belakang dan banyak benar apa yang saya lakukan ini bersalahan dengan pandangan mereka. Ada sahaja yang tidak kena. Dulu memang saya agak terkilan dan marah dengan muhasabah yang kadang-kadang sampai kepada saya dan kadang-kadang tidak ini.

Kini, saya tidak lagi melihat itu sebagai satu ancaman, mungkin kerana saya tidak lagi menjadi pemimpin dan mungkin juga disebabkan saya juga secara tidak langsung menjadi ahli korum muhasabah secara belakang ini (senyum). Terukkan? Saya rasa tidak. Kerana itu adalah kebiasaan manusia. Tengok sahaja orang yang menonton bola, mereka akan lebih pandai dari pemain bola dan jurulatih. Saya sewaktu minum malam di sebuah kedai, sempat juga mendengar seorang yang tiada tanda menunjukkan beliau ini seorang pemain bola profesional tapi dengan yakin dan berani mengutuk seorang pemain Manchester United kerana tidak menghantar bola dengan baik kepada rakannya.

Nasihat saya pada pemimpin pula adalah, teruskan kerja anda setelah anda siap menilai baik buruk satu-satu keputusan, jadikan muhasabah-muhasabah ini sebagai panduan perjalanan sahaja tanpa menjadikan ianya penyebab untuk kita berhenti. Saya kira, jika kita ingin ke Kuala Lumpur, kita tidak akan berhenti melihat papan tanda arah melainkan jika kita benar-benar sesat dan berada pada tempat asing pada kita. Maka masa itu, munasabahlah untuk berhenti dan melihat malah menghafal jalan mana yang ingin kita lalui kelak.

Seeru Ala BarakaatiLlah.

Sesawang Kini Dibersihkan!



Saya kira setelah lebih dua minggu blog saya ini sunyi dari sebarang usikan jari jemari saya. Mungkin kerana ketiadaan idea. Ingin menulis tentang politik, sukar diramalkan disamping blogger yang tumbuh bagai cendawan kini turut menulis tentang isu itu. Saya jadi malas, sekadar menanti tanpa menelah lagi. Dulu rajin juga mencuba nasib meramal masa depan dengan membaca politik hari ini.

Nak menulis tentang agama, saya rasakan tulisan saya kurang menarik jika saya sendiri kurang membaca. Bahkan tulisan tanpa ilmu ini kadang-kadang boleh juga mendatangkan bahaya. Terutamanya zaman ulama' internet kian ramai. Kemudahan menjauhkan manusia dari karangan ulama' silam. Kemudahan tidak salah, yang salah kemalasan manusia merujuk semula apa yang dibaca. Saya turut menyalahkan kemalasan dan diri saya juga dalam hal ini.

Antara faktor yang menyumbang kepada ketiadaan postingan baru di blog saya juga adalah kesibukan imtihan yang mana selama dua minggu saya tidak langsung singgah di blog saya bagi menambah keseriannya dengan bahan baru. Bukan sebab kuatnya membaca dan gigihnya menghafal, tapi jarang duduk lama di tempat yang menyediakan khidmat wi-fi. Selesai menjawab soalan sejam atau kurang, saya terus pulang ke asrama.

Namun kini, dengan berbekalkan semangat dan keazaman semester terakhir saya di Kudqi, saya akan tidak mensia-siakan kelapangan saya sebagai pelajar dengan meng'publish'kan artikel-artikel terbaru sekaligus menjadikan saya lebih ditekan untuk membaca kerana tanpa bacaan maka artikel saya pasti akan dinilai sampah. Tiada lagi sawang.

P/s: Jika bernasib baik, insyaAllah saya akan cuba mempraktikkan tulisan berbahasa Indonesia sebagai praktikal kepada subjek tersebut yang bakal diwujudkan semester ini. Pastinya saya mengucapkan terima kasih kepada bakal pengajar tersebut, ust. Harun Esa. :)