Followers

3.04.2009

Hasrat Di Hati....

Pada musim peperiksaan lalu, kami dari tahun 3 KUDQI menerima kunjungan sahabat dari cawangan KUDQI Kuala Lumpur yang dikenali dengan Institut Pengajian al-Azhar (IPA) yang turut menjalani peperiksaan di sini.

Pada awal kedatangan mereka, saya masih lagi kurang sihat. Jadi pada minggu pertama saya lebih banyak berkurung di dalam bilik sahaja. Interaksi dengan sahabat-sahabt IPA ini menjadi lebih terbatas. Saya mula mengenali mereka secara ringkas sewaktu perlawanan futsal ukhuwwah yang dianjurkan oleh raja ukhuwwah kami, Sabri Mamat.



Kami mengambil inisiatif tersebut sebagai cubaan untuk menangani kegugupan pergaulan dan rasa kekok untuk berkawan ekoran dari peristiwa dua tahun lalu iaitu pada sesi 06/07 dulu yang dapat dilihat dengan jelas betapa antara KUDQI Kubang Lembek dan IPA Kuala Lumpur ini punya jurang yang begitu besar. Kami cuba menanganinya dengan Sabri sebagai konduktor khittoh kami ini.



Paling saya terkilan adalah tentang seorang sahabat dari IPA yang merupakan anak kepada tokoh wartawan Malaysia dan salah seorang idola saya dalam bidang penulisan ini, Subky Latif yang tidak saya tahu hinggalah pada hari beliau dan rakan-rakan lain ingin berangkat pulang. Tidak sempat saya mendengar barang sekisah dua tentang ayahnya, sejarah hidupnya dan keadaan ayahnya sekarang.



Pak Subky merupakan seorang yang istimewa. Baru-baru ini saya tertarik untuk membaca satu artikel tentang beliau yang disiarkan akhbar Siasah. Tajuknya "Janganlah Subky Mati Dahulu". Saya menyelusuri riwayat hidup beliau dan sempat menangkap keistimewaan beliau dalam penulisan ini melalui artikel yang dibaca dalam masa 7-8 minit itu. Kata penulis itu, beliau mengharapkan bahawa jika diizinkan tuhan, biarlah dia dahulu yang pergi dan jangan Subky yang pergi dahulu.

Katanya, Pak Subky adalah seorang jurnalis yang istimewa kerana punya ingatan yang kuat dan lazimnya menulis tanpa sebarang rujukan buku-buku dan sebagainya. Bahkan, sahabat-sahabat penulis yang lain yang menjadikan akal sejarah Pak Subky sebagai rujukan. Hebat, memang hebat. Artikel tersebut menyebabkan saya lebih memandang tinggi beliau.

Kata sahabat saya, "semua sejarah PAS dalam kepala dia". Saya akui itu. Lihat sahaja tulisan beliau di Harakah dan Siasah seperti Mens Sana In Corpore Sano(istilah latin yang bermaksud akal yang sihat berada dalam tubuh yang sihat), 123 Lekup. Terkenang semasa dulu, Selangkah dan 4,5 Aku Ketuk. Kelima-lima ini cukup unik dan menarik untuk dibaca. Paling saya kagumi adalah 1,2,3 Lekup dan 4,5 Aku Ketuk kerana saya tahu agak susah untuk melakukan tulisan pendek dan berkait antara satu sama lain itu. Selalu tersenyum ketika membacanya, penuh satira dan gaya bahasa bersahaja.

Hasrat saya adalah ingin menemui tokoh-tokoh yang saya kagumi ini biarpun seketika. Paling saya ingin adalah Pak Subky, S.N atau S.R A. Samad Said, Muhaimin Sulam, Ust. Hasrizal dan Faisal Tehrani. Mudah-mudahan saya jumpa dahulu sebelum pergi :)

Bahasa Melayu, Bahasa Ilmu. Seeru ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.