Followers

3.09.2009

Persoalan Alam Ruh


Sekadar Gambar Hiasan

Saya teringat tentang satu persoalan yang ditimbulkan rakan sebilik saya sewaktu di Syria dahulu, iaitu tentang manusia yang membenarkan Allah sebagai Rabb mereka sewaktu di Alam Ruh dahulu.

Firman Allah Taala dalam surah al-A'raaf ayat yang ke 172 :

ألست بربكم قالوا بلى
Adakah aku ini Rabbmu? Mereka menjawab : bahkan kamulah Rabb kami.

Katanya " Tidak adillah kerana Tuhan bertanya sewaktu kita tidak sedar, bahkan kejadian di alam ruh itu tidak diingati oleh kita pun !" Maka ramailah sahabat-sahabat yang cuba menjawab dan kebanyakannya tidak menepati kehendak si penanya ini. Nampak senang sahaja soalannya namun jika tidak kena caranya maka akan timbul rasa tidak puas hati dengan jawapan bahkan jika silap cara boleh membuatkan si penanya dan orang lain yang tidak yakin dengan kebenaran Islam akan terpesong dan mungkin buruk sangka pada tuhan.

Ketika itu saya masih lagi tidak begitu mahir dan kurang berpengetahuan dengan ilmu yang saya kira masih baru pada saya. Saya berdiam diri sahaja pada ketika itu. Melihat mereka bermujadalah. Saya kagum melihat sahabat saya ini yang tidak betah bertanya kerana rasa ragu yang terbit hasil dari bacaannya. Beliau ini datang dari keluarga yang kurang terdedah dengan didikan agama dan baru sahaja mendalami agama di Syria. Beliau tiba di Syria setahun lebih awal dari saya.

Mendapat Jawapan


Sekadar Gambar Hiasan

Kebetulan hari ini saya ada usrah dan ustaz Riduan Hashim bertindak sebagai naqib. Teks usrah pula adalah tentang amanah dan istiqamah. Timbul isu kenapa manusia memilih untuk memikul amanah dan disifatkan Allah sebagai ظلوما جهولا dan sejak bila manusia mula memikul amanah ini.

Saya lalu teringat akan kisah sahabat saya dan soalan alam ruhnya dulu. Saya menceritakan tentangnya dan mungkin ada kaitannya dengan permulaan amanah ini dibahagikan kepada kita dan kita tidak perlulah untuk mempersoalkan adil atau tidak adil Allah menghukum kita sebagai "bodoh sombong" kerana menerima amanah ini.

Apa yang diulas oleh ustaz Riduan Hashim amat berbeza dan saya rasa ianya telah menjawab persoalan saya dan sahabat saya lama dahulu. Katanya kenapa penggunaan kalimat Robb di dalam ayat itu dan kenapa tidak digunakan kalimah Ilah. Rupanya ianya berkait rapat dengan Rububiyyah Allah dan UluhiyyahNya. Rububiyyah adalah merujuk kepada tuhan yang maha mencipta dan maha menjadikan, maka sememangnya naluri manusia mengakui itu. Maka sebab itulah ketika di alam ruh itu manusia cepat sekali mengiyakan bahawa Allahlah Rabb mereka.

Berlainan pula dengan Uluhiyyah. Uluhiyyah adalah merujuk kepada tuhan yang disembah. Jadi sebab itulah apabila Allah berfirman kepada kita di alam ruh "tidakkah aku ini rabb kamu, maka mereka menjawab, bahkan kamulah Rabb kami. Ini kerana manusia sememangnya ada naluri yang mempercayai tuhan yang menjadikan dan dalam hal mengesakannya inilah mereka bercanggah pendapat dan timbullah agama-agama yang berbagai.

Bahkan Lenin dan Stalin yang tidak mempercayai adanya tuhan turut mengakui hakikat tuhan ini sewaktu diserang Jerman dengan menyuruh masyarakat Rusia yang beragama ketika itu menunaikan segala ritual agama masing-masing. Kristian disuruh membunyikan loceng dan Orang Islam disuruh melaungkan azan. Naluri manusia mengakui bahawa tuhan itu ada.

Saya semakin jelas, bahawa jawapan untuk soalan kawan saya dulu adalah berdasarkan penggunaan kalimah Rabb ini. Semoga perkongsian ini turut sama membawa kejelasan kepada kita. Seeru Ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.