Followers

4.20.2010

Ramainya Nak Kaya !!

Assalamualaikum w.b.t.

Fuuhhh!!! Sekarang ni, ramai betul orang nak kaya. Memang tersangat-sangat ramai. Lihat di dalam internet ni, berlambak-lambak orang yang mengempen ke arah kekayaan. Semuanya tentang bisnes dan fuluss.. Bisnes itu, bisnes ini bahkan kadang-kadang teori Machiavelli turut dijadikan rujukan untuk berjaya. Matlamat menghalalkan cara. Kaya punya pasal, halal, haram, berkat tak berkat belakang kira.

Itulah masalahnya orang kita (baca ; Melayu). Bukan prejudis terhadap bangsa sendiri tetapi dari segi pemerhatian dan sebagai teguran. Mahu kaya dengan cara senang. Dulu ada cina tua yang pernah beritahu ayah saya, "bukan syinang mau syinang maa..."Ayah saya angguk-angguk.

Memang bukan senang untuk hidup senang, semuanya dengan cara usaha dan bekerja sungguh-sungguh. Nabi bersabda : 9/10 pintu rezeki datangnya dari perniagaan. Jadi hadith ini tidak terhenti setakat itu sahaja, ianya mestilah di beri kesinambungan bagaimana perniagaan yang Islam anjurkan. Bukan main redah je tuan-tuan.

Jadi kat sini, saya bercadang untuk menulis berkenaan dengan apa yang saya tahu dengan bisnes-bisnes yang ada dan kononnya menjanjikan kekayaan segera. Sehinggalah ramai orang yang tak fikir panjang terjerumus ke dalam kejujuran penganjurnya menipu.

Mulakan dengan MLM, satu sistem yang telah diperkenalkan sejak awal 2000 atau mungkin telah bermula lebih awal dari itu. Dari satu skim ke satu skim. Kebanyakannya mempromosikan kekayaan dan kemewahan sebagai motivasi kepada ahlinya. Saya tak nafikan, ramai yang telah berjaya namun adakah berjaya mereka atas hasil yang jujur dan berkat. Sebut soal berkat, mereka akan mentertawakan kita kerana mereka memakai Mercedes dan kita sekadar berjalan kaki sahaja.

Jika anda baru sahaja dikempen untuk memasuki mana-mana MLM, baca di sini dulu kemudian barulah buat keputusan. Saya ada terbaca beberapa cerita dan antara cerita itu pernah juga saya alami dan ini menunjukkan sikap pengamal MLM ini tidak jauh berbeza.

1. Pendesak, mereka memang seorang pendesak yang kuat. Bahkan sanggup menyuruh kita meminjam mana-mana duit demi menunjukkan kesungguhan terhadap bisnes ini. Hairannya bila kita mahu pinjam duit dengan mereka, tidak pula mereka bagi walaupun dakwaan mereka duit mereka masuk berpuluh-puluh ribu sebulan.

2. Memaksa, mereka sentiasa bersemangat bercerita tentang produk itu dan ini sekaligus dengan mengempen kita supaya jadi downline mereka. Sentiasa dan sentiasa meminta (baca memaksa) kita agar berdaftar sebagai ahli. Sekali dah daftar barulah mereka diam dan tiada apa lagi yang ingin dicakapkan dengan kita.

3. Tidak mengalah, mereka memang bukan jenis pengalah terutamanya jika anda cuba mengatakan bahawa ini tak boleh, itu tak boleh. Setiap hujah kita akan dibalas dengan dengan mengatakan kita tidak faham dan ianya tergantung di situ sahaja tanpa memberikan kefahaman kepada kita sebagaimana mereka faham.

4. Terdapat di kalangan mereka memaksa ahli-ahli yang baru nak naik supaya menunjukkan gaya hidup mewah supaya orang yang tidak menjadi ahli akan tertarik untuk menjadi downline kita. Pendek kata sanggup berhutang untuk nampak mewah supaya nampak berjaya. Ni paling sial.

5. Biasanya, hujah mereka bagi masalah-masalah di atas adalah jangan hukum semua jika seorang dua yang buat perangai macam itu. :)

Cukup setakat itu untuk MLM, seterusnya kita masuk pula kepada skim pelaburan entah apa-apa. Orang Melayu terdapat di dalamnya segelintir orang yang tidak mahu bekerja langsung dan hanya mahu duit datang sujud kepada mereka dan antara caranya adalah pelaburan. Di bawah ini adalah pelaburan-pelaburan pelik yang pernah saya dengar.

1. Membeli matawang Iraq dengan mengatakan bahawa duit Iraq akan melambung naik sedikit masa lagi. Hasilnya adalah hampas.

2. Mengatakan bahawa ada kawan orang Amerika yang dibekukan duitnya daripada memasuki Malaysia dan orang Amerika itu memerlukan bantuan berupa modal untuk mencairkan balik duit yang jika disebut kepada anda nescaya mata anda akan menjadi $$ dan mengeluarkan duit untuk membantunya. Tambahan pula anda akan diganjarkan dengan sebahagian duit tersebut. Hasilnya, tunggu dan lihat dan bersedia untuk berbau hancing.

3. Ini pelaburan yang paling menyayat hati iaitu menggunakan istilah pelaburan untuk membantu Islam hingga ada di antara orang tua yang saya kenali menjual motor laut yang menjadi punca pencarian selama ini kerana terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu yang begitu manis berbicara bahawa yang dilakukan ini adalah demi Islam. Hasilnya dari 15000 yang dilabur pulangannya cuma 500. Ini terjadi kerana berlaku penyelewengan orang yang kononnya kuat Islamnya. Yang ni juga adalah sial tahap dewa.

Selebihnya adalah sikap malas dan ingin senang dalam masa segera menyebabkan kita orang MELAYU cepat tertipu. Tiada kekayaan tanpa usaha yang maksimum, tiada kejayaan tanpa kesakitan yang wajib kita rasai. Titik paling penting adalah kejujuran, kedermawanan, kesungguhan dan kesederhanaan. Nescaya bukan hanya harta sahaja anda kaya bahkan jiwa juga.

Bagi yang ingin kaya dalam masa segera, jangan jadi bodoh. Kerjalah sampai peluh mengalir hingga ke tulang kering.

P/s: Jika ada orang kata aku rugi jika tak masuk skim ni, skim tu, MLM ni, MLM tu maka aku rela rugi. Lebih rela membela ayam menanam tanaman dari menipu dan di tipu.

Fakta : Ada orang yang tidak tahu ia ditipu (biasa), ada orang yang tak tahu yang dia menipu (luar biasa dan bakal menjadi kebiasaan)

Hulu Selangor

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat berjuang buat pejuang rakyat tertindas mahupun rakyat yang masih tidak terbuka pemikirannya untuk menerima bahawa jika Barisan Nasional dikalahkan, nescaya kerajaan mereka akan lebih prihatin dan yang pasti, keuntungan tetap akan menjadi milik rakyat. Bukan hanya Pakatan Rakyat. Jadi selamat berjuang untuk anda. Ya, sedarlah bahawa memangkah kumpulan yang membawa keadilan adalah perjuangan.

Tetapi tidak ramai yang berfikir begitu terutamanya bangsa Melayu yang begitu samseng dengan bangsa mereka sendiri tetapi menikus bila berdepan bangsa lain. Keuntungan sewaktu pilihan raya dijadikan autoriti dari mendapat keuntungan berpanjangan. Sifirnya umpama teori perniagaan yang diajar ayahanda saya dalam cakap-cakap berisi beliau dengan saya.

Dalam perniagaan, jangan cepat mempercayai orang. Mereka baik kerana mereka nak duit. Oleh itu, jika kita membeli barang, jangan sesekali membeli dengan satu penjual. Beli dengan lebih dari satu penjual, tujuannya adalah untuk mendapat barang paling berkualiti dengan harga termurah. Paling penting adalah untuk mengelak anda di"ngap" taikun-taikun besar yang sanggup rugi dahulu untuk mengambil hati anda sebelum mengerit duit anda sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi jika anda berurusan dengan orang kafir.

Jadi, bagaimana mahu mengadaptasi teori perniagaan ini kepada teori pengundian? Mudah, taikun besar anda umpamakan parti yang bertanding, jangan setia membabi buta dengan taikun yang satu. Jangan sesekali anda meletakkan diri anda dalam "Dulu, Kini dan Selamanya" dalam satu-satu parti. Sesekali ubah selera dengan memilih pembangkang. Ini bukan sahaja menyedarkan taikun terbesar pilihanraya, bahkan khidmatnya dan perhatiannya kepada kita turut menjadi lebih baik. Percaya.

Terutama orang Melayu, jangan cepat tersengih dengan wang saguhati di musim-musim pilihanraya ini. Buat muka biasa agar anda layak mendapat habuan yang lebih besar. Bermain dengan parti politik, kita mesti pandai juga berpolitik. Setakat itu dulu pesanan kepada pengundi. Undilah Pakatan Rakyat untuk menjanjikan Barisan Nasional tergugat. Jika tergugat, lebih selesa kehidupan yang anda dapat. (sepanjang kempen ini)~~

4.11.2010

Tak Tahu Bersosial ?

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada seorang adik, bukan maksud saya hanya seorang adik, ada dua orang sebenarnya tapi yang saya ingin ceritakan ini bukan kuantiti orangnya tetapi sikapnya, jadi sikap seorang adik saya ini adalah merasakan dirinya terlalu rendah dalam erti kata lain, rendah diri walaupun hakikatnya beliau lebih tinggi sedikit dari saya kalau saya berambut pendek dan tidak memakai selipar.

Disebabkan itu, beliau banyak bertanya dan mahu tahu sesuatu yang sepatutnya tidak perlu sangat untuk diketahui sekarang bahkan lebih berkesan jika beliau melaluinya melalui pengalaman sendiri kerana berjalan melalui pengalaman orang lain akan mudah lupa berbanding pengalaman sendiri. Let's yourlife walk itself brother.

Sering beliau bangkitkan adalah soal bersosial. Baginya, beliau seorang yang tidak pandai bersosial, terlalu pemalu dan agak kerap juga mengagumi abang-abangnya terutamanya Hisyamuddin yang padanya berjaya dari sudut kesosialan dan kemasyarakatan. Kerana itu perasaan rendah dirinya mula meningkat ke level seterusnya kerana membandingkan dirinya dengan abangnya yang sudah mempunyai tiga orang anak. Hmm, masalah jugak tu. Tapi saya merasakan perkara ini akan kembali normal bila sudah sampai waktunya.

Baik, setelah agak panjang bermuqoddimah dengan cerita ahli keluarga, saya mahu juga menulis tentang bersosial atau bermasyarakat. Pada tamrin nuqoba' di KUDQI kira-kira tiga minggu lepas, ada persoalan yang dibangkitkan sewaktu pembentangan perancangan usrah setiap kumpulan iaitu berkenaan bagaimana mahu menangani masalah mulut bisu dengan masyarakat sekeliling yang menyebabkan timbul cakap-cakap mengatakan "KUDQI tak macam dulu daah..." dan sebagainya.

Memang saya akui, sejak saya belajar di sana lagi, sudah ada cakap-cakap demikian dan ianya makin kerap diulang sejak saya jadi pemerhati mungkin penyibuk dari luar ini. Faktor pelajar tidak ramai mungkin menjadi faktor yang terbesar di sebelah muslimin tetapi tidak disebelah muslimat namun ada faktor yang jauh lebih besar dari itu. Egois dan cepat terasa. Ya, saya meletakkan egois dan cepat terasa di tempat yang tertinggi sebagai punca permasalahan ini. Jangan bimbang, egois ini bukan hanya di sini dan tidak pada semua orang namun ianya menjadi seolah-olah satu sikap yang mesti ada pada setiap orang muda yang ada sekarang. Sikap tidak boleh tegur tidak boleh larang.

Kedua apa yang saya perhatikan, bi'ah membentuk peribadi yang penuh dengan suu' zhon juga menyumbang kepada keruntuhan perhubungan sosial antara pelajar dan masyarakat sekeliling. Terlalu mengambil kira dan terlampau tidak hirau juga menjadi sebab kepada perasaan suu zhon yang menyebabkan keluar perkataan seperti "huh.. Orang kampung ni kalau time dia nak mintak tolong kita baru dia buat baik, kalau tak duk kutuk laa memanjang" dan ada juga yang terlampau tidak hirau sehingga baginya, hidupnya adalah miliknya, "biarkan aku hidup dalam duniaku, aku sudah tak hiraukan lagi apa orang nak cakap". Kedua-dua ini menjadi masalah bukan baru bermula pada tahun ini tapi sudahpun bermula dari awal kemasukan saya ke KUDQI cuma sedikit ketara (jangan terjemah dengan kullu tetapi baca dengan jamii') sejak dua menjak ini.

Pada akhir program nuqoba' itu juga, selesai sembahyang maghrib di musolla, saya duduk dan bertegur sapa dengan Pak Imam suami mak cik Zah kedai makan, dari tegur sapa menjadi perbualan dan dari bicara berdua menjadi bertiga dengan datangnya seorang lagi pak cik yang seingat saya, tiga tahun di KUDQI tidak pernah beliau berbual dengan saya, alih-alih malam itu keluar pelbagai cerita.

Antara yang menarik adalah berkenaan dengan putera Ustaz Harun yang banyak mengambil alih tugas ayahnya yang sakit sejak kebelakangan ini dan menurut pak cik itu, payah nak mencari orang muda yang setiap kali lepas sembahyang, beliau pasti akan cuba menyalami setiap orang di dalam musolla. Ya, bersalam dan kadang-kadang bertanya sihat atau tidak.

Saya berfikir, kalau bersalam dan bertanya khabar saja sudah boleh membuatkan pakcik-pakcik otai ini senang hati, kenapa perlu kita bersusah payah untuk menganjurkan program kemasyarakatan yang jelas dengan kewangan yang terhad ianya bukan program yang sesuai untuk dianjurkan buat masa ini. Apa kata kalau aulakan kehadiran ke musolla dan memesrai orang-orang kampung lebih dari menganjurkan gotong royong contohnya yang kadang-kadang kehadirannya tidak lebih dari hadirin yang hadir ke musolla. Sila faham, bukan memansuhkan gotong royong dan program seumpamanya tetapi jadikan ziarah 5 kali sehari ke musolla sebagai asas dan program-program kemasyarakatan sebagai penambah perisa kepada ziarah 5 kali sehari itu.

Saya kalau mahu mencari menantu juga mahukan yang kaki surau, yang sentiasa solat jemaah dan lebih-lebih lagilah berkenan jika orang itu adalah yang aktif bermasyarakat. Tetapi jika aktif bermasyarakat dan tidak pula hadir ke surau melainkan 2 kali setahun (Aidil Fitri dan Aidil Adha) maka tentu sekali hati saya tidak senang untuk memberikan anak saya kepadanya. Ini contoh sahaja.

Seterusnya, selaku pemuda yang ada ilmu bahkan sentiasa menuntut ilmu tiap-tiap hari, maka untuk menguruskan jiwa yang ego dan pantang ditegur rasanya lebih mudah. Kita belajar tentang tawadhu', ikhlas, menghormati orang tua, senyum itu sedekah, melazimi salam, mengambil berat dan bermacam-macam akhlak islam lain sudah pastilah ianya menjadi penguat kepada kita saat mendepani karenah orang kampung yang berbagai-bagai.

Usahakan untuk mencuba cara yang saya analisis ini selama sebulan dan lihat kesannya kepada penerimaan masyarakat setempat kepada kita. Jika anda membaca artikel ini, tolong sebarkan cabaran saya ini kepada sahabat-sahabat untuk dilaksanakan dalam tempoh sebulan iaitu :

-Lazimi ziarah 5 waktu ke musolla
-Bersalam dengan semua pak cik mak cik di musolla
- Memberi salam ketika bertemu
- Bertanya khabar jika sempat
- Turun membantu jika ada majlis masyarakat

Selebihnya ialah pengurusan kendiri, sabar mendengar cemuhan, husnu zhon saat kita di suu zhon, buang sikap anak-anak yang cepat merajuk dan sebagainya. Muslim yang baik adalah muslim yang memberi manfaat kepada muslim yang lain.

...الصبر ضياء
Sabar itu umpama cahaya matahari...

Cahaya memberi faedah kepada manusia dan sumber cahaya itu datangnya bukan dari bakaran yang bukan sembarangan, diri perlu kuat dan jiwa juga begitu. Semoga kekal dalam menerangi mad'u. Wallahua'lam

4.04.2010

Ayah Pesan....

Assalamualaikum w.b.t.

Menjadi anak kepada peniaga sejak lahir (lahir-lahir, ayah dah ada kedai dah) mungkin menyebabkan ada juga rasa minat untuk meneruskan legasi yang dimulakan ayah walaupun tidak sekuat semangat yang ditunjukkan ayah. Tapi memang rasa nak r. Paling kurang pun nak cari rejeki dengan titik peluh usaha sendiri. Minat nak makan gaji orang bagi bulan-bulan tu macam kureng la sikit. Hmm, mungkin dah tengok apa yang ayah buat dah berhasil, tapi apa yang pasti, aku respek ayah aku. Memanglaa, dah ayah kita kan? hehe

Okey. Nak ringkaskan sikit pointnya, aku tengok ayah sebagai seorang yang gigih, jujur, kasar (kadang-kadang), berterus terang, suka mengusik, gigih...eh dah sebut dah, hehe dan lain-lain yang kalau nak hitung, nanti cakap aku ni bongkak pulak. Tapi memang aku tengok ayah ni lain dari tauke atau taikun MELAYU dan ISLAM yang pernah aku jumpa, mungkin kerana aku arif pasal ayah lebih dari aku arif pasal tauke dan taikun niaga yang lain. Ye la, ayah kite kan? hehe.. Ayat tu lagi.

Satu yang ayah akan cakap tiap-tiap pagi masa sarapan, takdela tiap-tiap pagi, tapi memang kebanyakan pagi akan adalah pesanan beliau yang berbunyi, "kita ni nak berniaga kena jujur, jujur paling penting. Untuk apa jujur ni? Untuk kepercayaan orang kepada kita, penting ke percaya? Penting kerana tanpa kepercayaan, siapa nak berurusan dengan kita.." Ish, memang la ayah tak cakap skema gini, ni versi yang diubah suai laa.. Kalau tak diterjemahkan, takut korang tak faham.. hehe.

Aku sokong hujah pertama ayah aku kerana Nabi telah melakukannya sewaktu berniaga barang dagangan Khadijah hingga keuntungan yang dihasilkan lebih banyak dari biasa. Jadi pelajaran pertama hari ini adik-adik, apa diaa? yee, jujurr...

Pesan yang kedua, jangan berhutang selagi masih mampu bayar. Maksudnya, hilangkan beban hutang dalam perniagaan dengan mengutamakan benda yang utama. Contohnya mudah, seorang tauke, perlu mengutamakan bayaran pembeliannya lebih dari niatnya untuk menyambar Mercedez Brabus atau Toyota Alphard yang berkemungkinan jika jadi jugak beliau menyambar salah-satu dari dua kereta itu menyebabkan beliau mula kesuntukan wang untuk membayar barang yang dibelinya. Mungkin pasal itu jugalah ayah hanya membeli dua buah kereta dari saat mula berniaga iaitu Toyota Corolla otai yang digelar wagon dan Toyota Unser. Memang ayah berjimat untuk selamat.

Pesanan ni biasa ayah cerita pada aku time aku drive dan ayah duk kat sebelah. Katanya, wahai anakku, Mohd Ridhuan yang agak kacak, chewah.. Hehe, takdela, kirenya antara isi penting yang sempat aku rekod ialah, "Mad, kita ni hidup kena sederhana, jangan nak menunjuk kat orang yang kononnya kitalah kaya. Kalau kejar ke kaya, tak habis Mad. Orang tak hormat pasal kita kaya, kadang-kadang orang benci pulak kalau kita kaya. Mu ingat orang tak bercakap ke kalau kita boros, beli kereta, tukar kereta, renovate (ni dah ditranslate) rumah, tukar telefon, beli bende tu, beli bende ni, orang bercakap mad. Hidup kadar-kadar kita dah lah, jangan sibuk nak menunjuk." Panjang lagilah sebenarnya, takkan nak bagitahu semua, ye tak? Tapi memang aku akui, ayah ni, wallet takde, jam takde, cincin lagi la takde, subang? nak kena pukul ke... hehe.. Apa yang ayah aku suka,kain pelekat, baju pagoda, seluar dan barang asas-asas lain yang diperlukan manusia.

Perkara yang ditekankan ayahku juga adalah belajar, belajar dan belajar. Ayah cakap, dia tak sempat belajar tinggi, tokki (datuk) aku dulu orang susah, ayah sempat sekolah sampai darjah lima je, kirenya umur 12 tahun dah jadi pelayan kat satu kedai makan, sampailah tuan kedai tu bagi tapak kedai kat dia dan dia mula berniaga, antara kata ayah yang aku ingat, kalau ayah belajar agama, boleh jadi ulama' besar dah. Dari umur 12 tahun sampai 65 tahun. Bila aku cakap nak duduk kat kedai je pas KUDQI, ayah kata sambung lagilaa. Orang akan hargai kita kalau kita ada ilmu walau kita miskin, tapi kalau kita bangsat tanpa ilmu, orang akan layan kita macam anying pale pecoh (anjing kepala pecah/anjing kurap).

Ayah aku nasihat memang macam kasar sikit, tapi aku dengar istilah anying pale pecoh tu, aku still suka lagi. Ni aku menaip dalam keadaan suka la ni.. Hehe.. Oh ayahku, tinggi sungguh imaginasimu dalam memberi kiasan kepada kehinaan. Thank you. Eh, ter'speaking pulak. hehe

Kebenaran mesti diberitahu kata ayah, jangan kerana kita berada di satu-satu pihak, maka yang berada dipihak kita itu, kita sembunyikan atau butakan saja mata kita. Wajib kata ayah aku untuk beritahu kesalahan, niat untuk membetulkan, jangan niat untuk menjatuhkan.

Banyak lagi nasihat ayah, tapi buat masa ni biar sampai di sini, saja je nak bagi ada part kedua, ketiga. hehe. Apapun, saya sayang ayah saya. (sila baca dengan nada baku) bersambung....

3.20.2010

Alasan

Assalamualaikum w.b.t

Minta maaflah kepada semua pengunjung yang amat disanjung sekalian. Walaupun tidak lebih dari 20 orang sehari, tapi kehadiran anda memang wajar dihargai. Sila bangun dan tepuk tangan untuk diri sendiri kerana saya menyanjungi anda. Okey, cukup la tu. Sikit-sikit je sudah. Hehe

Pertamanya, saya mahu memberikan alasan kesibukan sebagai satu sebab saya tidak menghapdet blog sejak sekian lama. Lebih seminggu rasanya. Bukan sebab sibuk sahaja, bahkan sejak akhir-akhir ini penilaian saya terhadap satu-satu benda agak kosong. Tidak dapat menterjemah sesuatu yang saya lihat dan dengar serta rasa ke dalam bahasa tulisan.

Jika 11-13 baru-baru ini saya sibuk meletakkan diri saya kedalam bidang pengisian dan modul untuk satu program kepimpinan, cuti sekolah yang bakal berakhir jam 12 malam ini pula saya memenuhi undangan futsal dengan anak-anak buah yang saya ajari mereka dengan al-Quran.(pendeknya ; ajar mengaji) juga mengadakan xtvt kelas mengaji itu pada waktu siang.

Terbaru, Lajnah Akademik telah menganjurkan kelas Nahu dan mereka terpaksa memilih saya untuk bermain-main dengan asas utama bahasa arab itu. "Eh, engkau pandai ke nahu mat?" atau "Imtihan dulu tak pernah dapat mumtaz pun ada hati nak mengajar orang ke?" mungkin akan keluar dari mulut orang. Hehe. Maklumlah, saya bukanlah pakar, tetapi untuk sama-sama mengulangkaji dan berbincang, rasanya bukanlah satu keberatan untuk saya menerima tugas tersebut. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing.(sebenarnya tiada kaitanpun dengan kes yang telah disebut, sekadar memanjangkan perenggan.)

Alasan emas yang kedua saya gunakan adalah kebangsatan perangai yang ditunjukkan oleh broadband celcom saya. Hampir seminggu.. Tidak hari ini adalah hari yang kelapan broadband saya tidak dapat digunakan seperti biasa. Sungguh mengharukan, apabila saya menelefon operator Celcom, dua kali kredi habis. Kali pertama menggunakan handphone kakak saya dan kali kedua handphone saya sendiri dan kredit itu habis sebelum sempat saya mendapat jalan penyelesaiannya.

Hari ini sekali lagi saya membulatkan tekad untuk menelefon operator itu dengan persiapan yang cukup rapi, semua soalan-soalan yang bakal ditanya telah dijawab sebelum sempat diajukan agar masa dapat dijimatkan dan kredit dapat diselamatkan. Penyelesaian yang saya tunggu sehingga habis kredit dua biji handphone itu hanyalah menukar setting di manage devices dari 3G preferred ke GPRS/Edge only yang mana setting itu telah saya cuba hampir 20 kali sepanjang ketiadaan line tersebut. Dengan sopan, ucapan terima kasih diucapkan dan saya mengucapkan juga terima kasih kepada kakak saya yang bercakap bagi pihak saya. Saya ni kurang mahir berkomunikasi dalam standard malay. Jadi, khidmat kakak terpaksa diguna.

Selepas menukarkan kembali setting daripada GPRS/Edge only kepada 3G only, saya menunggu line ini kembali berada dipuncak untuk standby menekan butang PUBLISH POST. Menunggu memang membosankan.

Alasan emas ketiga yang saya hidangkan untuk anda pada n3 ini adalah perhatian saya yang tertumpu kepada kerjaya baru saya iaitu guru KAFA. Ya, guru KAFA. Nak saya ulang lagi, guru KAFA, ye KAFA. Oh, maafkan saya, sejak memasuki kursus PNP di YIT baru-baru ini, saya merasa cukup teruja sekali dengan tugas ini. Betul juga cakap penyampai pada hari itu, kenapa mesti memberitahu orang kita ini guru kafa je. Kita kena bangga dengan tugas ini. Oleh itu, pada hemat saya, selepas membuat posting ini, insyaAllah akan menyusul tajuk Akulah Guru Kaafaa... Baca dengan gaya menjerit dari atas puncak gunung.

Selain kerja KAFA, saya juga meminta tugas untuk menjadi moderator bagi blog MPMKUDQI kerana merasa terpanggil untuk menjadikan KUDQI sebagai sebuah tempat yang dikenali ramai sekaligus akan meramaikan pelajarnya terutamanya di sebelah ikhwah. Segala aktiviti menarik yang ada di KUDQI yang sebelum ini tidak diketahui orang bakal saya bongkar. Kita terjah bak kata Nas Ahmad.

Sibuk sangat ke nak jadi moderator blog MPMKUDQI ni? Jika anda baca ayat sebelum ini, pasti anda akan menjadikan ianya satu persoalan walaupun anda tidak berniat nak bertanyakan tentangnya sebelum ini, betul kan? Baiklah, oleh kerana anda sudah mula bertanya sejak membaca perenggan ini, saya akn cuba sedaya upaya menjawabnya walaupun sebelum ini ianya menjadi rahasia saya saja. hehe.

Saya sebenarnya tidak cukup kaki tangan untuk membuat laporan, membuat artikel, membuat poster, mewawancara orang tertentu, bertanya tentang program ni bila, program tu bila, apa yang baru kat KUDQI sekarang, ada aktiviti menarik ke tak petang ni dan pelbagai soalan lagi. Secara jujurnya, saya memerlukan beberapa orang yang boleh konsisten dengan tugas untuk melaksanakan misi mulia ini. Oleh itu, secara peribadinya, saya akan mula menarik mereka yang punya minat dalam bidang ini untuk berada disamping saya memperjuangkan misi dakwah alam maya yang hebat dan penuh cabaran ini.

Oh ya!( Ish, Ish..Tak best bunyinya.) Semalam saya telah pergi ke majlis Alumni MDQ yang diadakan di dewan utama DQ. Lebih kurang 200 orang senior-senior yang hadir. Bila dah bertemu, pelbagai memori akan keluar dengan sendirinya. Ustaz Khairi Zainudin mempengerusikan majlis tersebut. Banyak memori yang tersimpan dalam minda beliau ni. Antara killer weapon beliau untuk mereka yang tidak berani bangun berucap adalah "ni kaki tembo mase khitobah dulu la ni". Apapun, saya wakil generasi ke 15 mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertanggungjawab mengadakan majlis ini. Memang nostalgia.

Setakat ini sahaja wahai penonton sekalia, terima kasih kerana berkunjung, jangan bosan untuk datang ke blog ini kerana anda adalah inspirasi saya. Sekali lagi, tepuk tangan untuk diri sendiri. Okey, cukup.

3.05.2010

Menyelusuri Riwayat Khalifah Ke-4

Selepas menikmati buku Khalid, saya langsung berminat untuk mendalami kisah hidup Sayyidina Ali bin Abi Talib terutamanya selepas kisahnya menewaskan Amru bin Abdul Wudd yang kekuatannya mampu menjadikan anak lembu sebagai perisai jika ia mahu. Lalu saya memilih untuk membaca buku karangan Abdul Latip Talib. Walaupun tidak terlalu ditil, tetapi untuk permulaan saya mengenal menantu Nabi itu, saya kira ianya sudah dapat memuaskan hati walaupun tidak maksimum.

Saya mengagumi Sayyidina Ali setelah sabda Nabi iaitu :

"Jika aku adalah kota ilmu maka Ali adalah kuncinya"

Merupakan antara insan yang paling disayangi Nabi dan sentiasa patuh pada setiap arahan Nabi tidak kira dalam apa jua keadaan. Beliaulah yang menggantikan Nabi untuk tidur di tempat tidur Nabi sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah.

Beliau sering dikatakan bahawa orang yang faqih dalam ilmu dan mahir dalam urusan peperangan. Pernah ditanya kepadanya satu soalan yang sama oleh sepuluh orang yang berbeza, beliau menjawab kesepuluh-sepuluh soalan dengan jawapan yang berbeza. Soalannya adalah manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Selepas menjawab soalan tersebut, beliau mengatakan jika 100 orang yang datang bertanyakan aku tentang tadi, nescaya aku memberikan kepada mereka 100 jawapan yang berbeza.

Namun bacaan saya sudah tidak jadi begitu menarik tatkala memasuki babak perpecahan ummat Islam yang mula menunjukkan bibit-bibitnya di zaman Khalifah ketiga, Uthman bin Affan. Saya menjadi sedih dengan semua itu dan cuba untuk bersikap natural agar saya tidak cepat menjatuh hukum kepada sahabat-sahabat yang teramat jauh lebih mulianya dari saya yang teramat jauh hinanya dari mereka. Biarlah ianya terus berlalu dan tugas saya dan semua ummat Islam lain adalah belajar dari sejarah tersebut.

Keseluruhan, saya mula mengagumi keperibadian, ilmu dan akhlak Sayyidina Ali lebih dari sebelum saya membaca riwayat hidup beliau. Namun, saya tetap ahli sunnah bukan syiah. Penegasan ini perlu saya beri untuk mereka yang allergik mendengar tentang ahlul bait. Semoga semua kita diberi hidayah dan petunjuk olehnya.

Preview Buku: Pedang Allah Khalid Al-Walid



Selepas beberapa ketika menghabiskan satu buku yang amat menarik iaitu Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya karangan Leftenan General A.T Akram, saya merasakan satu kepuasan yang amat sangat. Saya pernah juga membaca tentang pahlawan Islam yang tidak pernah kalah itu sebelum ini tetapi tidak pernah lagi mendapat kepuasan seperti.

Satu buku yang sangat lengkap (bagi saya) tentang penceritaan berkenaan Pedang Allah itu. Bahkan ianya diselangi dengan penerangan tentang strategi yang diguna Khalid sepanjang kempen yang disertainya. Sesekali diceritakan juga penggunaan taktik seperti itu di zaman kemudian. Kelebihan penulis ini sebagai seorang general tentera angkatan darat Pakistan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menterjemah strategi Khalid dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Semoga Allah memberkati usaha beliau ini.

Setiap kali buku ini menceritakan tentang perlawanan duel (satu lawan satu-biasanya sebelum peperangan bermula), saya merasa seolah-olah saya berada di sana dan memerhati dengan cermat perlawanan yang sedang diadakan itu. Kehebatan Khalid dalam perlawanan ini menyaksikan beliau menang dalam semua duel yang disertai. Bahkan suara hati saya tidak dapat menafikan kebenaran dari kata-kata pemimpin tentera dan kerajaan Rom dan Parsi yang takjub dengan Islam kerana mampu melahirkan dari kalangan mereka yang tidak bertamadun pejuang-pejuang yang begitu teguh dengan dasar penaklukan mereka iaitu Islam, jizyah atau perang dan mencintai mati seperti mana tentera mereka mencintai hidup.

Antara watak-watak yang menarik untuk dihayati sepanjang membaca buku ini adalah Dhirar al-Azwar(pahlawan berlengeng-tidak berbaju), Abdul Rahman bin Abu Bakar, Abu Ubaidah al-Jarrah (yang digelar orang paling kacak bagi mereka yang tiada gigi kacip), Khaulah al-Azwar(saudara perempuan Dhirar), seorang janda yang cekap memanah.

Sementara watak-watak yang menyebabkan saya memejam mata untuk membayangkannya adalah Amru bin Abdul Wudd yang kuatnya umpama 1000 pahlawan dan orang Arab meriwayatkan beliau mampu untuk mengangkat kuda dan melemparkannya ke tanah dan mampu mengangkat anak lembu dengan sebelah tangan untuk dijadikan perisai dan sebelah lagi bermain pedang (dikalahkan oleh Ali bin Abi Talib dalam perang Khandak), Adi bin Abi Hatim yang tingginya menyebabkan jika beliau menunggang kuda, kakinya akan mencecah tanah, Hazar Mard, pahlawan Parsi yang bengis dengan kekuatan 1000 pahlawan juga digelar gergasi kerana saiznya yang luar biasa besar berbanding orang lain.

Tidak lupa juga watak kegemaran saya selain Khalid iaitu Dhirar Al-Azwar yang gemar untuk tidak memakai baju. Kali pertama beliau membuang baju perang adalah kerana panas dan tidak selesa dan selepas itu kelibatnya dengan trademark tidak berbaju itu menyebabkan ianya menjadi igauan ngeri kebanyakan pihak musuh. Nampak sahaja di kalangan tentera Islam yang tidak memakai baju perang, maka mereka akan tahu itulah Dhirar yang boleh memberi mudarat kepada mereka dengan kehandalannya beraksi. Orang yang terpenting dalam pasukan pengawal bergerak Khalid.

Banyak lagi yang jika diceritakan pasti akan merasa bahawa alangkah bagusnya jika filem Khalid al-Walid ini dapat difilemkan sepertimana cerita Genghiz Khan dicerekakan. Apatah lagi Khalid dan Genghiz ini merupakan antara orang yang tidak pernah tewas dalam peperangan yang disertai. Pasti menarik dengan kemunculan watak-watak hebat ini.

Jangan lepaskan peluang anda untuk sama-sama mengecapi betapa bernilainya buku yang bertajuk Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya. Pasti tidak rugi memilikinya. Wallahu A'lam