Followers

8.18.2008

PAS Untuk Semua


Di hadapan Masjid Negeri, Ipoh.

Begitulah tema Muktamar Parti Islam seMalaysia (PAS) kali ke-54. Saya adalah salah seorang dari ribuan pemerhati yang hadir pada muktamar yang berlangsung di Ipoh itu. Mendapat panggilan pada petang Selasa dari Ustaz Kamaruzzaman (HEPKUDQI) bagai orang mengantuk disorong bantal. Dalam keadaan masih buntu untuk memikirkan bagaimana mahu ke Ipoh, tiba-tiba ustaz Kamaruzzaman yang mesra dipanggil ustaz Zaman mempelawa saya untuk bersamanya ke Ipoh. Kami pergi bersama seorang lagi teman saya dan juga setiausaha saya di dalam persatuan, Muizuddin.


Pandangan dari dalam Masjid Negeri yang menjadi destinasi kami bermalam.

Kami tiba kira-kira jam 11 malam dan menghabiskan masa kira satu jam untuk mencari tempat untuk bermalam, setelah berkira-kira untuk tidur di dalam kereta, saya dan Muizuddin masing-masing memikirkan jalan untuk masuk ke dalam Masjid Negeri yang pada asalnya disangkakan berkunci. Setelah berpusing beberapa kali, akhirnya barulah terperasan yang masjid itu hanya diletak mangga yang tak dikunci. Begitulah adat bermusafir, saya dan Muiz saling berpandangan. "Alhamdulillah, akhirnya jumpa jugak tempat nak rehat" katanya.


Sekitar muktamar Dewan Ulama' PAS.

Kebetulannya, Muktamar Dewan Ulama' PAS berlangsung tidak jauh dari Masjid Negeri, hanya seberang jalan. Ustaz Zaman menjadi perwakilan negeri di muktamar itu, saya dan Muiz pula bercadang untuk ke muktamar Dewan Pemuda di Stadium Indra Mulia dan sempat mengikuti perbahasan disana sampai Zohor. Antara perwakilan yang menggamit perhatian adalah wakil dari Wilayah dan juga dari Terengganu iaitu ustaz Wan Sukairi Abdullah. Sebelah petangnya pula saya berpeluang untuk mengikuti perbahasan di muktamar Dewan Ulama'. Isu yang dibangkitkan adalah seperti da'wah bil hal yang patut menjadi teraju utama dalam menggerakkan dewan ulama', menerampilkan ulama' agar tidak hanya digunakan untuk waktu-waktu terdesak seumpama terompah kayu yang keperluannya hanya diwaktu terdesak.


Muktamar Dewan Pemuda.

Manakala di muktamar Dewan Pemuda pula isu hadiah yang diberi oleh golongan tertentu kepada YB-YB PAS yang amat-amat memerlukan kredibiliti YB untuk menolak hadiah-hadiah itu agar dapat mengelak fitnah. Hadiah kereta kata perwakilan itu, hebatnya ujian dunia YB-YB ni kata saya dalam hati. Kalau tak cukup mantap aqidah perjuangan, pasti tersungkur. Saranan ini mendapat sokongan ramai agar fitnah akibat dari penerimaan itu tidak membawa PAS tersasar dari perjuangan. Banyak lagi isu-isu hangat yang dibawa, tapi agak panjang untuk dikarang disini.


Ribuan hadirin yang hadir ke perasmian dan ucapan dasar oleh presiden.

Muktamar Pusat pula memperlihatkan satu kemantapan ucapan dasar yang disampaikan Dato' Seri Presiden yang bertajuk PAS Untuk Semua yang turut menjadi tema muktamar kali ini. Sebelum ucapan dasar berlangsung, para hadirin dihidang dengan lintas langsung perbarisan tentera merah (Unit Amal) dengan iringan lagu Al-Amal yang betul-betul menyebabkan bulu roma saya tegak berdiri, begitulah hebatnya lagu yang digubah dari prinsip perjuangan Al-Banna itu. Selepas semua pimpinan masuk, sekali lagi semua hadirin diminta berdiri untuk menyanyikan lagu tema PAS, masing-masing melaungkan dengan penuh bersemangat yang menjadikan paduan suara antara pimpinan, perwakilan dan pemerhati menjadi satu irama yang begitu membangkit semangat.


Pandangan dari belakang sewaktu perbahasan ucapan dasar Presiden.

Isu-isu yang mendapat perhatian untuk dibahaskan pada muktamar kali ini adalah seperti tarbiyyah yang patut diperkukuhkan kembali agar PAS menjadi satu parti yang utuh untuk menjalankan setiap apa yang terkandung dalam perlembagaannya. Begitu juga tentang hubungan PAS dengan parti-parti lain dalam pakatan rakyat. Dalam ramai perwakilan yang mengibaratkan hubungan di dalam PR ini bagai suami dan isteri, tiba-tiba seisi dewan tertarik dengan hujah dari perwakilan Terengganu, ust. Mohd Noor Hamzah yang menegaskan hubungan antara parti-parti Pakatan tidak lebih dari sekadar kawan. Begitu juga penekanan beliau kepada 5 perkara penting yang perlu diteliti oleh parti.



Keletihan selepas memandu dari Ipoh ke Gua Musang, Ustaz Kamaruzzaman yang demam dan selesema terlena dan Muiz yang mengambil giliran memandu melalui felda Aring hingga ke Kenyir. Musafir yang memenatkan berbaloi dengan pengalaman yang bermakna.
Saya berangkat pulang dari Ipoh pada hari Sabtu dengan menyimpan hasrat untuk menjadi seorang yang mampu memberi sedikit sumbangan untuk menyalakan semangat da'wah dan menyebarfahamkan Islam kepada masyarakat. Moga Allah membimbing hamba untuk terus istiqamah dengan apa yang hamba impikan. Ya Muqollibal Qulub, Thabbit Qalbi Ala Dinika Wa Tho'atik.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.