Followers

10.26.2008

Bertukar Kulit !


Ni la rupa kontraktor-kontraktor yang mengambil kontrak memasang khemah. Yang baju biru happy tak ingat tu, ketua kontraktor. :)

Dua hari tanpa malam saya berkampung di Pantai Pandak, Chendering mengikuti Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang dijadikan sebagai acara tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Kenapa tanpa malam? Kerana saya tidak bermalam di situ akibat khemah yang didirikan sudah boleh dibuat kolam untuk membela talapia atau patin kerana hujan lebat yang tidak henti-henti selama hampir satu jam. :)


Explorace versi HIMPIT. Cari telur ayam kat tepi pantai? Jumpa ke?

Saya disenaraikan dalam kontinjen Hulu Terengganu dan didaftarkan atas nama KUDQI. Oleh kerana peserta dari KUDQI saja telahpun mencecah 35 orang, maka tidak banyak aktiviti yang saya sertai. Maka saya lebih banyak berjalan ke sana ke mari melihat aktiviti yang berjalan.


Dari Pandangan Luar..

Kadang-kadang saya lebih suka berada dalam khemah selepas mengalihkan sedikit pintu khemah itu mengadap angin. Bersama saya adalah buku karya Ann Wan Seng-Rahsia Kegemilangan Islam Di China dan buku teater Faisal Tehrani yang berjudul Karbala'. Kedua-dua buku ini sengaja saya bawa kerana saya tahu, saya akan lebih beraktiviti dengannya berbanding aktiviti lain yang kebanyakannya sudah penuh penyertaannya.

Dengan cuaca yang panas tetapi diterapi dengan alunan angin lembut pada tengahari itu menjadikan saya lena sebelum sempat saya habiskan masa bacaan saya selama setengah jam. Saya tertidur hingga ke Asar. Bangun solat Asar seterusnya menyertai aktiviti yang terbuka kepada semua peserta dan pengunjung, tanpa perlu menghantar penyertaan iaitu aktiviti bebas. Saya habiskan masa tersebut dengan 2 orang lagi kawan, Ikram dan juga Masrur atau lebih mesra dengan panggilan Tok Wan di tepi laut dengan seplastik keropok.


Layan feeling dengan Tok Wan. Ikram sedang merakamkan peristiwa feeling itu. Hehe..

Duduk di sini sememangnya menjadikan saya seolah-olah menonton kehidupan saya sendiri 9 tahun dulu. Di tepi pantailah saya menghabiskan masa petang saya bersama kawan-kawan di Darul Quran. Selama tujuh tahun saya di Rusila, saya tidak pernah jemu untuk ke pantai. Ada sahaja kerja nak dibuat. Dari bermain bola, tangkap ketam hingga ke Chendering beramai-ramai, berjalan sampai ke rumah Datuk Yahya di Kijing, pergi makan di kedai Pak Din pun melalui jalan pantai, sebelum azan Subuh pun pernah pergi ke pantai untuk merasai kesejukan angin waktu itu, tengok Ayah Chik Presiden mengail dan kadang-kadang melihat beliau berenang sambil tertanya-tanya tujuan beliau memasukkan pasir ke dalam mulutnya dan menggosok-gosok giginya menggunakan jarinya tatkala pasir itu masih di mulutnya dan pelbagai lagi cerita yang saya ungkapkan tanpa sedar dan kawan saya yang dua orang itu masing-masing melihat ke arah saya. Hebatnya kenangan, buat saya bicara tanpa sedar. :)


Pantai luas, bersih, berangin dan macam-macam lagi la yang cantik-cantik.

Kira-kira 10 minit mendengar wayang suara, kami pulang ke khemah. Masih memerhati aktiviti sekeliling, antara yang terkandung dalam program HIMPIT dan yang bebas. Cukup meriah suasana Pantai Pandak petang itu. Pantai yang cantik bertanjung yang menjadikan kedudukannya nampak melengkung yang diakhiri dengan batu-batu. Satu koreografi alam yang tiada bandingan.

Di hadapan khemah kami, berlangsung acara rakit darat. Sempat juga menjadi penyokong kepada pasukan Hulu Terengganu yang antara pesertanya terdiri dari pelajar KUDQI. Menang kalah diletakkan di tempat kedua, tautan ukhuwwah lebih menjadi keutamaan. Inilah sukan gaya Islam. Menyihatkan jasmani, merehatkan nurani.


Penyokong dan pemain rakit darat. Seriusnya muke masing-masing. :)

Untuk mandi, kami terpaksa ke Rusila akibat kepadatan pengguna di tempat mandi yang disediakan. Kami solat Maghrib di Rusila. Hujan lebat mulai kedengaran tatkala Imam mengangkat takbir. Saya lupakan dulu soal khemah, saya terus solat. Selepas solat, ada satu SMS masuk ke handphone saya. Mesej dari Wan Zul :

Hjan boh..abh khmoh awok kte bsoh.. ttp gne2 pn mmg msuk gk air dlm khmoh kte..

"Hisy, buku-buku tu macamane la yer.." Kata saya pada Ukasyah yang tak habis-habis mengusik Zailani. "Pesan je ke awok-awok ni suh yer ambik" katanya bersahaja. Baru saja saya menaip mesej, sampai lagi satu sms yang berbunyi :

tak boleh buat apa-apa dah. Aku tinggal gitu je pasal hujan lebat sangat..


Rupa buku-buku saya setelah direndam secukup rasa dalam khemah yang boleh menampung air. Sedihnya pasal dua-dua belum sempat habis baca lagi.

Sampai di tapak perkhemahan, saya terus masuk ke khemah dan memunggah barang-barang yang dah tenggelam dalam air. Dua buah buku saya itu dah jadi macam biskut cecah air milo. Sedihnya rasa. Hmm.. Moga Allah berikan hikmahNya yang terbaik buat saya.

Malam itu saya balik ke KUDQI bersama dua buku yang lenjun dan satu beg yang bertambah 3KG beratnya. Lupakan dulu buku itu dan saya terus tidur dan bersedia untuk pergi lagi pada esok hari.

Van KUDQI yang banyak berjasa bersama driver tetap tak bergaji tapi berpahala, Umar.

Aktiviti keesokkannya adalah bola sepak pantai, memancing dan larian pemuda. Apa yang pasti, saya tidak menyertai mana-mana pertandingan itu. Sekadar memberi sokongan. Majlis dirasmikan penutupnya oleh Dato' Pesuruhjaya, Hj. Mustaffa b. Ali pada jam 12 tengahari. KUDQI diberi tugas untuk mencabut semua bendera-bendera yang dipasang.

Saya pulang ke KUDQI kira-kira jam 4 petang setelah berjemur di tepi jalan dengan kawan, Ukasyah untuk mencabut bendera. Sewaktu pulang, cermin sisi kereta Ukasyah memaparkan saya dah bertukar kulit. Begitu juga dengannya. Masing-masing dah macam udang kena bakar. Hehe. Moga Allah mengurniai kita dengan ganjaran yang memudahkan kita berjalan menujuNYA. Seeru Ala Barakatillah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.