Followers

10.30.2008

Persefahaman Hebat Mereka !



Sekarang, semangat ke'bola'an saya terasa tidak seghairah dulu. Jika dulu, semangat itu umpama slogan iklan air minuman, "makan bola, minum bola, tidur bola". Pendek kata, bola benar-benar mengambil ruang yang besar dalam kapasiti otak saya yang digerakkan dengan aliran kepanasan darah mentah lagi muda.

Jika jasad saya di kelas, fikiran saya menerawang jauh melangkaui waktu Asar dan bersedia untuk muncul dengan gaya mengawal bola yang baru. Jika tidak boleh bermain bola pasti tidak akan senang duduk jadinya. Sehinggakan semangat itu terbawa-bawa hingga setelah saya 'melancong' sambil belajar ke Syria pada akhir tahun 2005 dulu.

Pada tahun ini, minat saya kepada bola tidak lagi sehebat dulu. Mungkin sibuk, mungkin letih, mungkin buntu dan mungkin saya punya matlamat yang lebih besar dari menjaringkan gol di padang. Namun, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang sikap dan kefahaman pendatang baru KUDQI, adik-adik tahun 1.

Saya menyukai gaya permainan mereka yang sentiasa ceria dan dipenuhi dengan sikap yang mendorong sahabat-sahabat sepermainan yang lain untuk mencuba yang terbaik. Menghargai. Ya, Mereka begitu pandai menghargai kawan-kawan lain.

Bermain dengan mereka tidak akan merasa begitu terpinggir. Iwan, Serul, Zemi, Man, Aris, Asan dan lain-lain pandai memainkan peranan masing-masing. Mungkin antara mereka sudah bermain bersama bertahun-tahun. Namun ada 2-3 orang lagi masih baru bermain bersama-sama mereka.

Mereka ini mengingatkan saya kepada kawan-kawan saya dari Singapura sewaktu di Syria dulu. Mereka cukup menghormati lawan mereka. Mereka bukanlah yang genius bola sepak, mungkin ada segelintir dari kalangan mereka. Namun saya perasan setiap kali saya bermain dengan team mereka, pasti saya akan ada penigkatan dari sudut kualiti permainan.

Bayangkanlah, dari seorang yang tendang bola pun tidak mengena kepada yang mampu mengawal bola dengan baik dalam jangkamasa kurang lebih sebulan. Saya mengagumi semangat mereka dan memandang tinggi usaha mereka dalam mendorong kwan-kawan mereka yang kurang berkebolehan untuk terus maju ke hadapan.

Kini saya dapat lihat semangat begitu di KUDQI. Sekurang-kurangnya kini, permainan bola sepak di sini tidak hanya mengejar jaringan semata-mata, bahka ianya lebih berseni dengan usaha untuk meningkatkan kualiti permainan kawan-kawan lain. Saya mengimpikan jika bola berjaya dengan cara ini, maka dengan cara yang seakan-akan itu kualiti pelajaran ditingkatkan.

Teringat pepatah mengatakan, " jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita akan turut merasai kewangiannya". Seeru ala barakatillah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.