Followers

12.07.2008

Kem Tahfiz Di Rantau



Kira-kira 3 hari lalu, saya baru sahaja selesai mencurah tenaga sebagai fasilitator kepada satu program di Kerteh. Kem Tahfiz dan Bacaan al-Quran yang memakan masa selama 4 hari itu sememangnya satu program yang menjadikan saya begitu merindukan suasana tersebut. Mungkin kerana susun atur programnya, mungkin kerana sambutannya yang menggalakkan, mungkin kerana keterbukaan sikap pesertanya, mungkin kerana kemeriahan karenah adik-adik peserta yang pelbagai atau mungkin pelbagai kemungkinan lain lagi. Secara jujurnya, saya merindui suasana begitu.

Program itu bermula pada hari Ahad. Pada hari pertama, para peserta masih lagi terkial-kial untuk menyesuaikan diri. Masih lagi malu-malu untuk mempamerkan sikap sebenar. Itulah yang saya lihat pada peserta-peserta di bawah kendalian saya. Mereka berumur sekitar 9 hingga 16 tahun. Kumpulan saya pula masing-masing berumur sekitar 10-12 tahun. Kumpulan-kumpulan ini di bahagikan mengikut tahap masing-masing.

Mereka ini adalah anak-anak mereka yang bekerja di syarikat petrolium utama negara iaitu PETRONAS. Saya pada mulanya juga merasa sedikit kurang selesa apabila berdepan dengan anak-anak yang pada saya boleh dikelaskan sebagai elit. Namun perasaan itu berubah apabila saya mencuba kaedah menjadi kawan mereka bukan ketua mereka. Bahkan mereka juga lebih senang mengikut kata setelah saya menurunkan usia saya beberapa tahun.

Antara program yang direncanakan dalam program ini ialah hafazan surah-surah pilihan, Bingkisan Iman (motivasi) dan modul-modul permainan yang sentiasa berobjektif. Dengan bertemakan "Let's Zoom Success", kem ini dilihat sebagai kem yang boleh dikatakan berjaya dengan kemampuan sebilangan besar peserta-peserta yang dapat menghafal surah pilihan iaitu Sajdah dan hampir separuh dari mereka yang menghafal separuh dari surah itu. Saya tumpang gembira atas kejayaan ini.

Satu perkara yang saya sentiasa tekankan dalam borang penilaian peserta iaitu kesinambungan siri program ini untuk turut sama dilaksanakan di rumah. Ini adalah demi menjamin peserta-peserta untuk tidak melupakan apa yang mereka hafal dan lama kelamaan akan memupuk minat anak-anak ini untuk mendalami al-Quran pula. Tiada yang lebih menguntungkan ibu bapa jika anak mereka memahami dan mengamalkan apa yang diajar di dalam al-Quran.

Kumpulan saya seramai 11 orang pada mulanya sebelum menyusut kepada 9 orang yang kekal hingga ke akhir program. Mereka ialah Mukri(peserta terbaik), adiknya Sajid,Nabil Fikri, adiknya Wafiq, budak bersuara serak basah Asyraf, Syafiq yang berangan nak jadi Big Show, Iqbal yang slow je, Hafizuddin yang tak pernah tinggal di tempat penginapan peserta dan yang last iaitu peserta yang suka bersandar di Rak al-Quran iaitu Farhan. 2 orang lagi tidak sempat menghabiskan program atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Mereka ialah Luqman dan bekas pelajar KaFa Ibnu Sina, saya lupa namanya. Maaf.

Bersama-sama mereka sememangnya melupakan masalah-masalah saya. Mereka masih tidak mengenal beban dan tanggungjawab, mereka sentiasa gembira dan ingin tahu, mereka sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Sesuai dengan kemodenan sekarang, rata-rata mereka telah mempunyai handphone. Bahkan ada antara mereka memakai 2 buah handphone. Kanak-kanak moden. Kita tidak boleh menyekat mereka akan tetapi kita cuma perlu membimbing mereka menggunakan teknologi itu dengan betul.

Saya pulang dengan hati yang tenang dan memikitkan tanggungjawab yang perlu dipikul terutamanya membabitkan jiwa-jiwa muda di tempat saya pula. Semoga saya berjaya membentuk jatidiri remaja di kampung saya pula. InsyaAllah. Seeru Ala Barakaatillah.

P/s: Gambar-gambar sepanjang program masih tidak dapat disiarkan atas sebab-sebab tertentu. InsyaAllah akan disiarkan pada 9hb Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.