Followers

12.29.2008

Mati Dan Persiapan Orang Hidup.


Kematian suatu kepastian

Ahad kelmarin saya baru sahaja menerima berita kematian seorang pak haji yang sentiasa menjadi kepala tahlil yang biasa diadakan di kampung-kampung sekitar kawasan ini. Baru Jumaat lalu beliau mengepalai tahlil di rumah saudara bapa saya di kampung sebelah, waktu itu beliau masih lagi segar dan sihat bahkan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pergi dalam masa terdekat ini. Kata orang tua-tua, kalau nak pergi biasanya akan ada sesuatu yang pelik yang akan dilakukan. Satu lagi, beliau adalah seorang UMNO, kenapa saya sebutkan parti di sini? Ianya pasti ada kaitannya dengan apa yang akan saya ceriterakan.

Kematian.. Saya menerima itu sebagai satu lumrah kehidupan, yang hidup pasti mati. Namun ada beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan di sini. Samada ianya mahu dijadikan sebagai panduan atau teladan ianya terpulang. Saya pergi melawat ke rumah almarhum pada pagi itu dan kebetulannya jenazah baru sahaja tiba dari hospital. Keluarga almarhum meminta saya dan ayah untuk membantu mereka memasukkan jenazah ke dalam bilik untuk dimandikan. Perkara pertama yang saya fikir perlu kepada saya selepas ini adalah mengetahui cara memandikan jenazah dan boleh diharap untuk mengetuai skuad ini.

"Jenazah akan 'disimpan' selepas Asar" kata keluarga arwah. Simpan adalah istilah yang biasa digunakan di Terengganu dan ianya sama sahaja maksudnya dengan tanam, kebumi dan kambus kata ustaz Azhar Idrus namun kita selaku orang Islam mestilah tahu adab terutamanya kepada mereka yang baru kehilangan ahli keluarga ini.

Saya solat Asar di surau berhampiran dengan rumah almarhum, iaitu surau yang sama sewaktu menyembahyangkan almarhum Aduka dahulu. Ada juga beberapa jemaah lain yang bercakap-cakap sesama mereka sementara menunggu masuk waktu. Saya kurang menyenangi dengan sikap orang-orang ini yang tidak menunjukkan jiwa yang besar selaku orang yang memperjuangkan Islam dengan mengatakan yang nasib baik pilihanraya kecil tak berlaku disini, kalau tidak tentu parti kita akan untung dengan sebab kematian almarhum. Saya dan ayah memandang sesama sendiri dan serentak menggelengkan kepala. "dah arwah pun orang nak lawan jugak, kuatnya berpolitik puak-puak ni" saya berkata. Ayah hanya senyum, mungkin dan terbiasa dengan lagak gaya orang yang berjuang Islam kononnya ini.


Lupakan Sengketa Demi Hak Jiran

Selesai solat Asar, saya terus pergi ke rumah almarhum dan keluarganya masih lagi sibuk menyiapkan proses terakhir sebelum boleh disembahyangkan. Selepas masing-masing dipanggil naik untuk solat jenazah, ayah sempat berbisik kepada saya supaya memerhatikan berapa ramai orang PAS yang hadir ke rumah almarhum ini. "Satu, dua, tiga... Tiga je?" saya mengira di dalam hati. Sampai begitu sekali obsesnya masyarakat saya kepada parti ini. Pada saya, perkara seperti ini mestilah diambil peluang oleh pejuang Islam yang berpartikan Islam dan yang menjadikan Islam sebagai dasar utama dalam perjuangan untuk berdakwah. "dakwah apa kalau orang tu dah mati" kata seseorang, cukup jelek. Dakwah kita bukanlah untuk si Arwah, tapi untuk orang yang hidup. Jika kita yang berjiran masih mengira-ngira untuk hadir atau tidak ke tempat kematian jiran kita yang UMNO, maka pilihlah untuk hadir. Jangan kerana bermusuh kerana parti kita tidak memenuhi hak jiran. Mudah-mudahan dengan jiwa besar kita itu, kita berjaya merobek ego keluarga UMNOnya dan mudah-mudahan juga kita berjaya membawa keluarga UMNOnya itu bersama-sama kita untuk memperjuangkan Islam.


Biarlah anak-anak yang menjadi imam kepada jenazah ibu bapa mereka

Ada satu lagi yang menyedihkan saya adalah sikap anak-anak terkini hiburan sensasi yang memilih untuk berada di luar rumah tatkala jenazah ayahanda mereka sedang disembahyangkan. "anak jenis apa mereka ini jika selama berpuluh-puluh tahun ibu bapa membesarkan mereka, memberi makan pakai, memberi kasih sayang tapi untuk meluangkan masa selama 5-6 minit untuk solat jenazah ibu bapa merekapun mereka tidak mampu." terngiang-ngiang suara ustaz Talib yang memberi kuliah Maghrib di Masjid UDM.

Untuk mengebumikan jenazah terutamanya musim-musim hujan begini, masyarakat di kampung memilih kawasan perkuburan di sebelah 'pantai' (kawasan yang berhampiran dengan pantai). Ini kerana di sebelah 'darat' (kawasan yang agak jauh dari pantai) mempunyai kesukaran untuk mengebumikan jenazah terutamanya masalah air yang bertakung di dalam liang dek kerana hujan yang turun tidak henti-henti.

Namun keluarganya memohon untuk mengebumikan jenazah di sebelah darat kerana lebih dekat dengan rumah keluarga, lalu kelengkapan-kelengkapan seperti enjin penyedut air dan crawler excavator atau lebih mesra di panggil KEH mestilah disediakan sebaik mungkin. Apabila air yang terlalu cepat keluar dan bertakung di dalam liang, masalah seperti hakisan tidak dapat dielakkan, maka KEH diperlukan agar kerja-kerja dapat diselesaikan dengan cepat. Begitu juga dengan enjin penyedut air yang perlu dikendalikan sebaik mungkin oleh seorang yang berada di dalam liang sebelum jenazah yang disiapkan awal-awal lagi di atas dapat diturunkan segera. Sememangnya masyarakat ini hidupnya penuh dengan permuafakatan dan tolong menolong.

Jika kita rasakan kita dapat hidup dengan tidak mencampakkan diri kita ke dalam masyarakat, nescaya kita silap kerana kita adalah sebahagian masyarakat dan kita memerlukan masyarakat sebagaimana masyarakat memerlukan kita. Untuk lebih indah, tukar masyarakat kepada jemaah.


Minda umpama parachute payung terjun, bukalah ia untuk selamat sampai ke bumi.

Paling penting bagi saya seorang yang mengaji agama, saya perlu mempersiapkan diri sebelum terjun ke dalam masyarakat. Dari segi keterbukaan minda, persiapan ilmu dan kesediaan untuk berdakwah. Teringat pesanan ketua Nisa' Pusat, Kak Mastura bahawa minda ini semacam parachute payung terjun, jika kita ingin selamat maka kita perlu membuka payung terjun itu. Tahlil dan talkin walaupun dilihat bid'ah namun mestilah diraikan sebelum kita diberi kepercayaan untuk menjadi rujukan masyarakat dan setelah itu barulah kita membersihkan dan menggunakan cara yang sepatutnya kita guna. Saya berkata begini kerana saya pernah anti perkara-perkara seperti ini lebih-lebih lagi ketika baru pulang dari luar negara dahulu. Semuanya dilihat salah. Setelah lebih terdedah kepada hidup bermasyarakat, barulah saya sedikit sedar perlunya kebijaksanaan menilai untuk kepentingan dakwah. Seeru Ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.