Followers

12.26.2008

Meremajakan Diri !


Peserta Kem Anak Soleh siri kelima Dun Telemong

Akhir-akhir ini, saya kerap benar mendapat pelawaan untuk ikut sama mengendalikan program-program anjuran kawasan-kawasan tertentu terutamanya program yang melibatkan remaja. Terasa seperti kembali remaja sama dengan mengendalikan program seperti ini. Namun tidak semuanya saya terima kerana saya sendiri pada baru-baru ini sibuk dengan Muktamar Tahunan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI.

Antara program yang saya ikuti adalah di kawasan Kuala Nerus yang diadakan di Merang, seterusnya di kampung Basung, Dun Telemong iaitu Kem Anak Soleh siri ke-5. Manakala program lain yang tidak dapat saya sertai adalah di Bukit Payung dan Kem Kepimpinan Remaja juga di Basung. Namun segalanya selesai setelah pembahagian tenaga fasilitator dapat dibahagikan dengan baik. Saya berterima kasih kepada sahabat saya Sabri Mamat kerana bersusah payah menguruskan hal berkenaan pembahagian ini.

Kem Anak Soleh di Basung ini kelihatan seperti lebih ringan berbanding kali pertama saya ke sana. Mungkin disebabkan sebelum itu saya dihidangkan dengan cara pembawaan fasi berpengalaman mengendalikan remaja seperti ustaz Aiman dari Kelab Fasi Terengganu. Dengan cara yang segar dan mesra, saya juga mengaplikasikan perkara itu di Basung dan hasilnya, peserta dilihat tidak kekok untuk berkomunikasi dengan fasilitator. Teori jadilah kawan kepada peserta amat berkesan terutamanya jika kita ingin benar-benar kenal dengan ahli kumpulan kita itu kerana manusia lebih senang meluahkan sesuatu kepada kawan. Rapatkan jurang untuk membantu peserta.


"Macam x caye je ustaz ni cite pasal Naruto"

Sewaktu sesi taarruf berkumpulan, saya menerapkan nilai perlu untuk memiliki matlamat yang jelas dan beberapa faktor yang mengiringi untuk menuju kepada matlamat itu. Hasilnya, kedengaranlah beberapa cerita yang mengaitkan kekuatan dalaman manusia dan hasilnya dalam menjanjikan matlamat yang diimpikan berada di dalam genggaman. Kisah hormon adrenalin dan Naruto dan kuasa Musang Ekor Sembilannya membuatkan peserta khusyuk mendengar. Sebarang perumpaan yang dibuat saya pastikan supaya ianya mengiringi naluri dan minat kanak-kanak ini.

Kemampuan Tok Wan dalam menyentuh sanubari peserta sememangnya diakui.

Kemudahan video dan LCD projektor menyerikan lagi program yang diatur. Bahagian ini tentunya diserahkan kepada sahabat saya Muhaimin yang kerap benar muncul dengan falsafah lagu temanya. Apa yang menarik ialah tentang kemampuan sahabat saya yang mesra dipanggil Tok Wan bermain emosi dengan peserta sehingga sebilangan besar mereka menitiskan airmata terutamanya apabila beliau menyentuh tentang sentimen ibu bapa dan kematian. Syabas diucapkan kepada beliau.

Saya berharap saya apa yang dicurahkan akan mendapat keberkatan dari Allah dan saya mendoakan agar peserta-peserta yang mengikuti program ini dapat memanfaatkan ilmu yang dikutip dan semoga kalian berjaya menjadi anak soleh yang dapat memberi bakti kepada kedua ibu bapa. Seeru Ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.