Followers

9.06.2009

Maniskah Ramadhan?

Saya pernah menceritakan rasa rindu dengan suasana berpuasa di bumi Dimasyq, Syria. Suasana yang sukar untuk ditulis bagaimana rasanya melainkan batang tubuh sendiri merasainya.

Seorang sahabat saya di Syria dulu pernah menceritakan dalam sembang larut malam kami dulu, "orang yang pernah meminum air sungai Nil pasti akan pergi pula ke sana buat kali kedua". Kemudian, seorang sahabat menambah, "kita di sini, kalau yang pernah meminum air barada atau air Furat, insyaAllah akan datang balik.. Macam kena guna-guna rasanya" Masing-masing ketawa.

Apabila kaki sampai di Malaysia, hati masih terikat dengan Syam. Jatuh cinta dengannya. Ulama'nya yang tidak saya selami benar lautan ilmu mereka, orang-orangnya yang begitu peramah dan pembantu, suasananya yang saya rasa cukup untuk membuat hati jatuh rindu padanya. Mungkin kaitannya ada dengan hadith yang disabdakan oleh Nabi tercinta :

Allahumma bariklana fi Syaamina, Allahumma barik lana fi Yamaninaa..

Ramadhan yang dilalui di sana jauh lebih meriah dari Aidil Fitri. Boleh dilihat dari segi pakaian, hanya orang Malaysia sahaja yang lengkap berbaju melayu dengan sampin menyambut raya.

Suasana Ramadhan pula, ianya dijadikan pesta ibadah, bukan setakat sembahyang terawih sahaja, ianya juga turut diserikan dengan bacaan al-quran, derma dan bermacam-macam lagi. Panggilan untuk berbuka puasa juga boleh tahan meriahnya.

Berbeza di Malaysia, bulan Ramadhan adalah bulan buat duit dan habis duit. Pada bulan ini juga bermacam jenis kuih akan diperolehi dengan mudah. Tiada jaminan bahawa kuih yang dibeli itu habis dimakan atau tidak. Yang penting, beli dulu. Habis atau tidak lain cerita.

Bulan ini juga adalah bulan persiapan menyambut raya. Manis Ramadhan tidak dirasai. Perkara ini boleh dilihat melalui lagu raya yang biasanya akan berkumandang di corong-corong radio. Begitu juga rancangan TV, begitu banyak yang mengfestivalkan Aidil Fitri.

Perkara ini bukanlah menjadi suatu kesalahan cuma menjadi kejanggalan. Orang yang belum tentu mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan meraikannya seolah-olah mendapat natijah kepujian. Akhirnya, berpada-pada beraya, elakkan pembaziran dan berhati-hati di jalan raya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.