Followers

1.11.2010

Apa Yang Kita Perlu

Assalamualaikum w.b.t.

Kenapa persoalan tentang keperluan dibangkitkan? Bahkan ianya dibangkitkan secara umum namun ianya menjadi khusus apabila kita sendiri mengaitkannya dengan diri kita dan di mana kita berada. Di PASTIkah, di sekolah rendahkah, menengahkah, kolejkah, kerjakah, rumahkah atau di mana-mana sahaja. Persoalannya satu, apa yang kita perlu sebenarnya?

Saya menulis ini selepas dipelawa untuk menyumbangkan kembali tulisan atau idea yang sebenarnya bukanlah apa-apa sangat, namun daripada membiarkan blog persatuan ini sepi tanpa entri, biarlah saya menjadi 'orang luar' dengan hati masih di sini memulakan sumbangan idea dan fikrah sekadar mampu.

Kembali kepada soalan keperluan, apabila ditanya apa yang kita perlu dan khasnya di Kolej ini (KUDQI), perlu kita kembali menilai sejauh mana kita selaku produk kolej akan dipasarkan.

Mengambil contoh kereta, andainya Proton mahu memasarkan kereta mereka di Amerika, perkara seperti kualiti enjin, perubahan tempat pemandu, ketahanan jentera, model yang menepati cita rasa dan harga yang masuk akal perlu dijadikan keperluan sebelum dilepaskan ke pasaran Amerika. Ini adalah memastikan Proton mampu bersaing dengan kereta-kereta sepantas Ferrari, seanggun Porshe, sekukuh Hummer dan seiring kualitinya dengan Mercedes atau BMW.

Itu kereta, bidangnya adalah permotoran. KUDQI bidangnya pula adalah keilmuan dan keagamaan disamping menjadikan nilai persatuan dan kemasyarakatan sebagai nilai tambah sebelum dipaketkan dan dilepaskan ke dalam pasaran masyarakat. Ada yang mencemuh bahawa jiwanya bukan jiwa bermasyarakat. Lebih senang menyendiri kerana bergaul itu lebih memedihkan dengan kata-kata masyarakat yang berbagai bahkan kata-kata menjatuhkan lebih banyak dari memuji dan menaikkan.

Jika begitu keadaannya, kata-kata masyarakat itu wajib direkodkan dan dibayangi dalam kepala sewaktu sebelum tidur kerana dibimbangi kata-kata masyarakat yang mengkritik kononnya kita ini tak tahu bergaul, tak lepas dari kumpulan kita sendiri, tak ringan tulang dan sebagainya ada asasnya dan kewajarannya. Jadi, kata-kata Saidina Umar wajar dijadikan sandaran :

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا، وزنوا أعمالكم قبل أن توزنوا

Saya mencadangkan agar perkara-perkara di bawah ini diberikan perhatian yang sewajarnya untuk diperhatikan oleh Pimpinan Pelajar dan pelajar-pelajar yang mahukan perubahan ke arah kebaikan.

- Ilmu

Sebagai institusi ilmu, perkara awal yang wajib diberikan perhatian adalah kualiti ilmu. Jangan salah faham, bukan maksud saya ilmu yang ada di sini tidak berkualiti tetapi ianya perlu ditingkatkan lagi kerana anda semua tiada bangunan yang indah untuk dibanggakan dan anda tiada fasiliti untuk menarik perhatian massa.

Apa yang anda miliki adalah kekuatan ilmu dengan tidak meninggalkan al-Quran sebagai teras dan menongkatnya pula dengan tiang sekukuh ilmu alat (Nahu, Sorof). Dengan 2 perkara asas ini (Al-Quran dan Ilmu Alat), anda tidak akan mempunyai masalah untuk memahami apa yang anda pelajari. Cuma yang wajib diisi kedalam batang tubuh sang penuntut adalah niat yang betul dan kesungguhan.

- Bermasyarakat

Kita memerlukan masyarakat sebagaimana mereka memerlukan kita. Oleh itu, ringankan tangan membantu dalam apa jua kondisi jika masyarakat sekitar kolej kita atau dimana-mana sahaja memerlukan bantuan.

Ingat, People don't care how much you know until they know how much you care. Masyarakat tidak mempedulikan seluasmana pengetahuan kamu hinggalah mereka tahu betapa hebatnya sikap peduli anda kepada kepada mereka. Oleh itu, usahakan diri anda untuk memberi kerana Allah tidak pernah gagal untuk menilai. Satu hari nanti pulangannya adalah kepada anda. Jika pulangan itu bukan dari manusia, pulangan dari Allah sudah semestinya.

- Halaqah Ilmu

Saya membayangkan, jika saya menggunakan terma usrah sebagai sebagai umpan, rasanya tak ramai yang berselera untuk membacanya kerana sejak dari dulu usrah di tempat-tempat tertentu tidak begitu kreatif untuk mengikat anak-anak usrahnya agar sentiasa rindukan suasana diskusi yang wujud secara langsung atau tidak.

Sebagai pembaharuan, biarlah halaqah atau diskusi ilmu digunakan sebagai pengganti kepada usrah yang saya kira bukanlah menjadi suatu dosa. Oleh itu, pentadbiran KUDQI dan para Pimpinan Pelajarnya perlukan satu badan untuk membangunkan kembali naqib-naqib agar usaha mengikat pelajar dengan ikatan tarbiyyah da000n kasih sayang menjadi realiti. Saya percaya, usaha ini bukan usaha setahun, ianya akan memakan masa. Satu persoalan saya, adakah kita benar-benar mahukan itu atau sebaliknya.

Untuk permulaan, 3 perkara ini sudah memadai. Saya akan susuli dengan tulisan yang bukan mahu menjatuhkan dan mengaibkan, tetapi adalah untuk menaikkan institusi pendidikan jemaah Islam ke mata dunia. Kita hebat bukan kerana kita hebat, tetapi kita hebat kerana Islam yang kita bawa. Peganglah Islam disaat orang lain memandangnya dengan pandangan jelik. Salam Muhasabah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.