Followers

9.18.2008

Baik Atau Buruk?


Sekadar Gambar Hiasan

Berita pertukaran kerajaan begitu membingit diputar dan diulas oleh politikus kerajaan dan juga pembangkang. Suasana semakin kelam kabut setelah Pak Lah tiba-tiba sahaja membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya sebagai menteri kewangan 1 dan melantik Najib untuk mengisi kekosongan jawatan yang beliau tinggalkan. Manakala beliau sendiri mengisi jawatan Najib iaitu selaku menteri pertahanan berkuatkuasa pada 17hb September, iaitu sehari selepas tarikh yang meriuhkan negara dengan tempikan pertukaran kerajaan.

INDONESIA BERTANYA

"Macamana 16 Sept? jadi ke tak?" tanya Yunus, sahabat saya yang membuat panggilan dari Indonesia.

"Tak jadi pun, tapi adalaa sidang media untuk tu, sekarang ni Anwar sedang buat proses untuk menuju ke arah tu, katanya dia akan berjumpa Agung dan juga PM untuk bincang pasal ni" jawab saya. "Media Indonesia kata apa?" saya bertanya.

"Masa 16hb tu, memang ada media sini buat liputan, katanya dah ada laa ahli parlimen yang cukup tu, melebihi 31 orang katanya" Jawabnya ringkas."Ye, 31 0rang katanya" saya membenarkan.

"Baru je hari ni (semalam) Pak Lah bertukar jawatan dengan Najib, Pak Lah macam nak standby je pegang tentera awal-awal, tak tahu la macamana pulak lepas ni.. Payah nak buat rumusan ni..hehe" Saya cuba menarik minat Mat Yu iaitu nama manjanye, hehe. Terfikir pula kata Lutfi Othman tentang payahnya untuk merumus situasi politik semasa kerana perubahan besar yang berlaku di Malaysia sekarang.

"Hmm, tak tahulah Mad, kita tunggu dan lihat ajelah"jawabnya ringkas. Ternyata saya gagal menarik minat beliau. Seterusnya mengalihkan perbualan kepada suasana UIN, tempat baru bagi kawan saya itu belajar.

BAIK BURUK PERTUKARAN


Sekadar Gambar Hiasan

Sebenarnya sudah ramai benar yang mengulas tentang perkara ini. Apa pro dan kontra perubahan kuasa yang diambil secara lompatan ahli parlimen kerajaan ke dalam Pakatan Rakyat. Saya pastinya mengikut keputusan yang diputuskan sewaktu muktamar di Ipoh baru-baru ini, iaitu memperkasakan Pakatan Rakyat.

Namun di sana saya melihat terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan difikirkan jika Pakatan Rakyat yang diketuai DSAI yang hanya beliau sahaja yang tahu berapa dan siapa yang akan melompat masuk ke dalam PR.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu tindakan yang agak drastik untuk dinamakan sebagai proses pemerkasaan PR. Peralihan kuasa secara lompatan ini bukanlah satu cara yang baik untuk mendapatkan kerajaan. Cara ini dilihat sedikit sebanyak telah menerbitkan bibit-bibit kacau bilau.

Saya lebih bersetuju jika proses pemerkasaan PR dibuat dengan cara membuktikan kemampuan memerintah di 5 buah negeri yang dimenangi pada PRU12 yang lalu. Belum sempat setahun PR memerintah, kita telah cuba untuk mendapatkan kerajaan pusat pula. Saya sebenarnya cukup memerhati perkara ini.

Perubahan yang mengejut tidak akan membawa kita pergi dengan lebih jauh. Lihat sahaja orang yang jahat yang melakukan perubahan secara drastik, sejauh mana dia mampu bertahan. Lihat Pak Lah dengan gagasan Islam Hadharinya dahulu, perubahan tersebut hanya sekejap sebelum beliau mula memegang pinggang wanita-wanita cantik pula selepas itu.

SIKAP PELOMPAT



Sekadar Gambar Hiasan

Sikap mereka yang melompat juga perlu diawasi, jika mereka yang begitu lama terdidik dengan kemewahan di bawah pemerintahan BN dan kemudiannya melompat ke dalam PR yang ingin melaksanakan kerajaan yang telus, adil, amanah dan menjadikan kerajaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai model pemerintahan. Ianya bukan satu masa yang cukup dan sesuai untuk melatih mereka-mereka ini untuk bersifat qana'ah seperti kebanyakan pimpinan-pimpinan PR.

Saya bimbang jika mereka bakal menimbulkan masalah yang agak rumit untuk ditangani oleh pimpinan PR memandangkan mereka telah berjasa kepada kita dalam melakukan lompatan itu. Namun, itu mungkin perasaan saya sahaja, kerana saya akan merasa sedikit malu untuk menegur orang yang pernah berjasa kepada saya. Ini jika sayalah, orang lain mungkin tidak!

Saya bersetuju dengan T.G Nik Aziz bahawa mereka yang melompat parti ini adalah mereka yang tidak berprinsip. Saya juga bersetuju dengan Lim Kit Siang bahawa jika mereka yang melompat dengan tujuan survival politik dan periuk nasi, mereka ini pastinya akan ditentang penerimaannya kedalam PR ini. Kenyataan ini sedikit sebanyak melegakan saya. Cuma saya ingin sekali mendengar amaran itu dikeluarkan sendiri oleh mereka yang mengetuai PR.

ISLAM TETAP NO. 1


Sekadar Gambar Hiasan

Saya tetap akan berdiri teguh bersama pimpinan saya dari Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam menempuh pasca perubahan kerajaan ini untuk menjadikan dasar Islam sebagai dasar yang paling tinggi di dalam negara. Jika perkara itu tidak dilaksanakan, biarlah PAS kembali berseorangan.

Namun dalam bertahalluf siyaasi, tidak wajar untuk dikeruhkan keadaan yang sedia tidak jernih itu. Saya bersetuju dengan kedua-dua Tok Guru, tidak kisah siapa yang menjadi PM yang baru, tapi yang penting pastikan Islam dapat dilaksanakan dan dijadikan dasar utama negara.

PENUTUP


Sekadar Gambar Hiasan

Saya berharap agar proses perubahan kerajaan yang ingin dilakukan ini atas dasar yang telus ikhlas untuk membantu rakyat. Saya juga berharap agar segala usaha ke arah membentuk kerajaan baru yang lebih Islamik benar-benar mendapat pertolongan Allah. Semoga hukum Islam dapat dijalankan di bumi Malaysia ini.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar kita diberikan petunjuk dalam perjalanan mencari redhaNya. Lemahkanlah orang yang tidak ingin melihat Islam tertegak di bumiMu ini Ya Allah

Sekadar coretan dari pemuda yang masih belum arif tentang tingkah politik namun tetap ingin mengeluarkan pandangan. Seeru ala barakaatiLlah.

P/s : Sebarang perbincangan amatlah dihargai.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.