Followers

5.14.2009

Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu - siri 2

Selepas berjanji sekitar paling tidak 2 minggu untuk saya meng'update' artikel berkenaan Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu, ternyata saya tidak mampu untuk berbuat demikian kerana alasan yang berbagai. Jika dihimpunkan, ianya boleh menyebabkan pembaca-pembaca akan merasa senak perut dan sakit mata. Jadi saya memilih untuk tidak menulis alasan-alasan itu di sini.

Pada tulisan saya berkenaan MDQ pada kali ini adalah sewaktu saya mula-mula melangkah kaki ke sekolah ini. Saya masuk ke MDQ ketika berumur 12 tahun dan agak lewat dari kawan se-Dar yang lain kerana saya pergi ke Kelantan terlebih dahulu untuk bersekolah tahfiz di sana selama 6 bulan.

Tahun 1999 adalah tahun kemenangan PAS di bumi Terengganu. Saya masuk ke MDQ setelah PAS mula mendapat tempat yang selesa untuk memerintah negeri, MDQ pasti akan mendapat faedah dari itu. Maka dalam tempoh 1999 -2004, maka bermacam-macamlah benda baru yang masuk ke MDQ terutamanya dari segi infrastruktur dan pentadbiran.

Saya tidak kisahkan sangat dengan semua ini sewaktu berada di Awwal I'dadie. Apa yang saya kisah adalah kawan-kawan. Selagi ada kawan selagi itu saya tidak peduli kepada benda lain. MDQ merupakan sekolah untuk membina memori indah dan bagi mereka yang rajin dan benar-benar bermatlamat, mereka pasti boleh jadi insan hebat hasil dari 7 tahun pengajian di sini.

MDQ pada ketika saya mula mendaftarkan diri di situ, ianya adalah sebuah sekolah yang dhaif, begitu banyak kekurangan yang perlu diisi, namun hasil dari kekurangan inilah yang mendidik pelajarnya untuk bersyukur dan tahan lasak dalam berjuang menegakkan Islam.

Suasana ketika di dewan makan lama

Apa yang saya takkan lupa tentang MDQ adalah kantin lama yang bila saya ingat kembali, pasti akan tersenyum sendiri. Susahnya untuk mendapat roti yang hanya diberi pada hari Isnin. Tiga ketul seorang adalah begitu berharga. Proses untuk membawa roti dari dapur ke tempat membahagi makanan dikawal dengan begitu ketat, umpama membawa harta negara dengan diiringi pengawas seramai 2-3 orang yang bertindak sebagai pengawal untuk mengelakkan roti dirampas ditengah jalan oleh pelajar-pelajar yang nakal.

Ada juga taktik yang mengambil roti 2 kali kerana tidak cukup dengan 3 ketul yang diberi kepada mereka. Biasanya taktik ini dilakukan oleh muafakat dua orang. Seorang akan beratur dahulu dan seorang lagi akan mengambil air. Siap beratur, roti akan dihantar ke meja makan, seorang akan berada di situ untuk menjaga harta berharga milik mereka dan yang mengambil air tadi akan beratur sekali lagi untuk mendapatkan roti. Jika mereka tidak dicam oleh pengawal bertugas, mereka akan mendapat roti, jika tidak akan mendapat malu. Perkara ini membuat saya dan kawan-kawan yang sempat dengan kantin lama ini ketawa beramai-ramai di kedai makan.

Taktik yang sama juga digunakan untuk mengumpul koleksi ayam yang pada masa itu, sangat-sangat berharga. Nasi akan dimakan dahulu dan ayam akan dimakan kemudian. Mendapat ayam goreng adalah suatu kepuasan. Beratur untuk mendapatkan nasi dan lauk di tengah terik matahari Zohor tidak begitu memberi kesan kepada semangat untuk mendapatkan ayam goreng, siapa lambat pasti akan menggigit jari. Makan di dalam dewan makan pada waktu itu umpama berada dalam sebuah sauna, berpeluh-peluh. Maklum sajalah, atap zink. Pastilah ianya membahang.

Selesai makan, masing-masing akan berpusu-pusu pula ke dapur untuk mengambil air. Jika bernasib baik akan mendapat air yang sejuk dan jika tidak, pasti air itu masih lagi berasap. Minum dalam pinggan adalah penyelesaian kepada masalah tersebut. Siapa yang sempat pasti akan tersenyum teringat penyeduk air yang dibuat dengan tin milo,handmade oleh Tok ki tukang masak nasi.

Sambil meminum air, sambil berjaga-jaga bimbang habuk pun diminum sama. Saya tersenyum mengingatkan itu semua kerana dari itu saya lahir dan saya bangga kerana sempat menjadi sebahagian dari kesusahan itu.

P/s : Saya sedih melihat roti yang berlebihan ditinggalkan diatas meja makan di dewan makan baru yang sejuk dan nyaman, kerana roti yang dulunya boleh membuat plastik koyak akibat direnggut kawan-kawan yang nakal kerana nilainya yang tinggi. Kini seumpama tiada nilainya lagi.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.