Followers

5.03.2009

Wara’, Warok atau Warock

Catatan ini dibuat ketika saya selesai menunaikan solat Jumaat di masjid UDM dan juga setelah selesai makan. Apa yang saya cuba tulis di sini adalah isi khutbah kedua yang saya rasa begitu menarik perhatian saya dan seolah-olah ianya kesinambungan dari post saya yang lalu.

Ustaz Suhaimi, imam masjid UDM bercakap tentang sifat wara’ dengan nada yang cukup bersahaja, bersahaja yang jika kita memejamkan mata, kita akan merasa seperti berada dalam sesi kuliah maghrib. Sifat wara’ bukanlah berjalan menundukkan kepala atau semata-mata menundukkan badan ketika melintasi gerombolan tua di mana-mana sudut. Bukan itu sahaja.

Wara’ adalah satu sikap yang tidak semata-mata melaksanakan apa yang wajib dan meninggalkan apa yang haram tetapi ianya juga menjaga dalam hal-hal agama yang sunat atau yang kecil.

Bercakap dalam masjid tidaklah salah. Jika salah, maka salahlah khutbah itu, salahlah kuliah Maghrib. Oleh itu kelas kesalahan bercakap ketika berada di dalam masjid perlulah dijelaskan. Apa yang menjadi kesalahan disini adalah bercakap hal dunia dalam masjid. Bagi orang yang wara’, bercakap benda yang bukan sepatutnya adalah tidak boleh.

Begitu juga langkah mereka ke dalam masjid, kaki kanan pasti menjadi yang pertama menyentuh lantai masjid kemudian barulah kaki kiri. Begitu juga apabila keluar, kaki kirilah yang dihulurkan keluar barulah kaki kanan menyusul.

Masalah rokok juga menjadi perbincangan, adakah ianya makruh atau perlu kita anggap ia sebagai haram? Bagi yang wara’, maka mereka haramkan bagi diri mereka untuk menyentuh kretek itu.

Apa kelebihan apabila kita wara’ ini? Kelebihannya adalah Allah akan cepat memakbulkan doa. Alangkah indahnya hidup jika meminta dan mendapatnya dengan senang. Itulah hikmah apabila kita meningkatkan wara’ dalam hidup kita.

Jika kita pernah berdoa, akan tetapi mesej dalam doa kita seolah-olah tiada balasan dari Allah, maka ketahuilah mungkin kita tidak menjaga hal-hal kecil dalam agama kita. Oleh itu wajar rasanya kita menilai kembali ditakuk manakah kita berada. Adakah kita mahu begini sehingga akhir kita atau kita mahu meningkatkan taraf kita sebagai hamba Allah. Bak kata Nabil yang memeluk Irma Hashmie pada baru-baru ini, ‘Lu Pikirla Sendiri’.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.