Followers

12.08.2008

Adha, Sembelihan dan Islam.

Salam Aidil Adha.
Hari Raya Qurban pada tahun ini kelihatan lebih bermakna buat saya kerana situasinya yang menekan dan melonjakkan hormon adrenalin saya untuk melakukan sesuatu. Pada tahun ini, saya berkhutbah dan ini adalah tahun permulaan saya melakukan perkara tersebut. Selesai sahaja khutbah itu, saya merasakan himpunan keberanian untuk melakukannya dengan lebih kerap lagi insyaAllah.



Selesai solat sunat Aidil Adha, saya pulang ke rumah melalui jalan yang berlainan dengan harapan agar sedikit amalan sunat itu saya dapat menikmati rahmat Allah kelak. Kemudiannya saya bersiap-siap untuk ke tempat ibadah korban pula. Pada pagi itu, 3 ekor lembu bakal meneruskan tradisi kibas yang menggantikan Nabi Ismail sewaktu ayahandanya Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Satu kisah yang pasti semua orang sudah tahu dari awal hingga ke akhir plot-plot tersebut. Namun tidak ramai yang mampu menghayatinya dengan baik.

Saya akui, saya sememangnya mempunyai perasaan kasihan yang agak tebal. Bahkan setiap kali saya terpaksa melakukan sesuatu yang menyakitkan kepada binatang, saya pasti akan meminta maaf dahulu. Sudah menjadi tabiat saya. Pada 3 minggu yang lepas, muslimat memanggil saya untuk membunuh ular yang berada di satu sudut tangga, saiznya tidaklah sebesar mana namun kerana khuatir akan mudaratnya terpaksa juga membengiskan jiwa untuk membunuh binatang itu. Seperti biasa, saya akan melafazkan maaf sebelum menghayunkan pukulan 'maut' itu.


Sekadar Hiasan

Berbalik kepada soal korban atau penyembelihan. Saya dahulu memang agak gerun untuk melihat lembu, kerbau atau kambing yang disembelih. Bukan gerun sebenarnya, tapi lebih kepada kasihan. Dengusannya selepas dirungkai tali-tali yang mengikat tubuh binatang itu, cubaannya untuk kembali bangun dan keadaan lidahnya yang terjelir-jelir pasti akan menuntun perasaan bahkan menyedarkan jiwa betapa beratnya sakaratul maut.

Pada awal tahun lepas, saya terbaca satu artikel menarik tentang penyembelihan islam menurut kajian saintifik. Jika tidak salah, artikel itu saya baca dalam majalah Dewan Masyarakat. Ianya memang satu artikel yang menarik. Hebatnya Islam kerana setiap cara yang dipraktikkan di dalam agama ini, ada kelebihannya baik dari sudut sains mahupun dari sudut-sudut lain. Begitu juga penyembelihan.


Kaedah CBP

Penyembelihan ini dilihat oleh barat sebagai satu tindakan yang agak kejam untuk membunuh haiwan bahkan ianya dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Kerana itulah mereka berbangga dengan teknologi mereka yang kononnya begitu mesra haiwan iaitu dengan mengenakan renjatan elektrik di kepala haiwan tersebut sebelum menyembelihnya. Haiwan tersebut mesti di'pengsan'kan sebelum disembelih. Kaedah ini dinamakan sebagai Captive Bolt Pistol Stunning (CBP).

Manakala kaedah Islam pula ialah dengan memotong dua urat utama dengan pisau yang tajam. Hasil kajian yang dilakukan oleh pengkaji dari Jerman, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover mendapati bahawa dengan menyembelih, haiwan tidak merasai kesakitan. Bahkan tindakbalas fizikal yang kita lihat seperti bunyi dan gerakan itu adalah hasil dari tindakbalas jantung yang masih lagi mengepam darah. Hakikatnya, binatang itu tidak menggelupur akibat sakit.


Sekadar Hiasan

Berbeza dengan kaedah CBP yang diamal di barat, renjatan elektrik ini mengakibatkan jantung terhenti sebelum disembelih dan kadar kesakitan yang dialami oleh haiwan itu lebih tinggi. Bahkan akibat daripada itu, pengaliran darah yang tidak lancar akibat terhentinya jantung menjadikan daging itu tidak selamat untuk dimakan. Berlainan pula dengan daging yang disembelih cara Islam, aliran darah yang banyak itu adalah untuk menyah mikroorganisma yang berada bersama-sama darah. Hasilnya, daging sembelihan lebih berkhasiat dan selamat dimakan.

Itulah Islam, sentiasa relevan sehingga ke akhir zaman. Setelah pembongkaran i'jazul ilmi yang kian rancak dan semuanya menepati sains, maka wajarlah bagi kita untuk memilih samada ingin membawa kenderaan diri ke atas jalan yang lurus atau di atas jalan yang bengkang bengkok.

Saya kini, lebih berkeyakinan untuk mengambilalih tugas-tugas penyembelih veteran berpengalaman yang dilihat memonopoli tugas ini. Tibalah masanya untuk menafkahkan diri terjun untuk berkhidmat kepada masyarakat pula. Moga jalan yang dipilih ini sentiasa diberkati Allah. Seeru ala barakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.