Followers

12.28.2009

Kata-kata Ujian

Kadang-kadang, timbul rasa takut dengan mauidzah-mauidzah yang diberi lewat kem-kem, usrah dan kuliyah-kuliyah di merata tempat kerana dibimbangi apa yang kita ingat dan pesankan pada orang akan datang kepada kita sebagai ujian khusus dari Allah kepada kebenaran kata-kata kita.

Ya, kata-kata kita akan menjadi ujian buat kita. Masih saya ingat sewaktu di KUDQI, tatkala semangat saya berkobar-kobar mengerah tenaga memastikan semua pelajar turun ke musolla, bila tiba masanya, saya sendiri timbul rasa malas untuk ke musolla. Bila menyeru teman-teman agar jangan lekang dengan dengan buku, tiba-tiba saya pula menjadi jemu. Begitu juga dengan kelekaan ketika bermain bola, sering saya nasihatkan agar balik ke asrama sebelum maghrib tiba, tiba-tiba saya pula bagai hilang waktu.

Jika mahu di-list-kan satu-satu, banyak sangat perkara yang sering dinasihatkan, sering pula datang kepada saya untuk menguji sejauh mana saya berpegang dengan kata-kata saya itu.

Renungilah ayat yang diturunkan Allah dalam surah as-Soff ini :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتاً عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

12.19.2009

Rukun Ke Lima

Assalamualaikum

Dunia telah hampir benar dengan kiamat, entah-entah kita sudah berada dieranya. Hari Kiamat menjadi rukun yang kelima dari rukun iman yang enam, tidak beriman kita jika tidak beriman dengan salah satu rukun iman yang enam ini.

Beriman kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Kiamat dan Qadha' Qadr. Rukun ini menjadi teras keimanan bagi orang Islam. Jibril pernah datang kepada nabi s.a.w dalam hadith yang diriwayatkan oleh Umar untuk mengajar kaum muslimin dengan pertanyaan yang diajukan kepada nabi. Pertama tentang Islam, kedua Iman dan yang ketiga Ihsan.

Berbalik kepada rukun yang keenam, iaitu hari kiamat, tanda-tandanya telah dijelaskan oleh nabi lewat hadith-hadith yang dituturkan baginda. Tanda-tanda tersebut sebagai isyarat bahawa hari kiamat sememangnya akan terjadi dan dikukuhkan lagi dengan isyarat-isyarat yang diberi oleh nabi yang saban hari semakin menunjukkan betapa kalam yang dikeluarkan baginda bukan dari lazat lisan bicara bahkan ianya dari tuhan Azza wa Jalla..

Tanda-tanda Kecil

1. Hamba melahirkan tuannya, sebagai kiasan kepada sifat si anak yang melayan ibu bapa mereka seperti hamba mereka. Bukan menuding, tetapi saya lihat memang benar-benar ramai ibu-bapa bekerja yang meninggalkan anak-anak mereka untuk dijaga ibu bapa mereka. Natijah : Telah berlaku

2. Berlaku penyerahan tugas bukan kepada ahlinya. Bermakna, tugas yang tidak layak dipikul oleh seseorang tetap diserahkan kepadanya, lalu berlakulah kacau bilau kerana gagal memahami potfolio. Natijah : Telah berlaku

3. Banyak berlaku pembunuhan. Perkara yang tidak perlu diterang lagi, jika masih gagal memahami alamat ini, sila tonton berita di mana-mana stesen television dan sila baca akhbar-akhbar tempatan. Natijah: Telah berlaku

4. Meminum arak dan menamakannya dengan nama lain. Sudah jelas, dari sudut nama arak mahupun perlakuan meminum arak itu sendiri. Arak sudah dipanggil wain, brandi, wiski dan perbuatannya sudah dipanggil clubbing, parti, tonggang dan lain-lain. Natijah : Telah berlaku.

5. Banyaknya berlaku penzinaan dan perbuatan kotor. Zina menjadi berita wajib bagi akhbar sekarang diselangi dengan perlakuan kotor seperti terung untuk isteri, seks ganas, rakam 5 lawan 1, sex toy dan sebagainya. Natijah : Telah berlaku

6. Kaum lelaki yang gemar memakai sutera, penghalalan lagu-lagu dan alat muzik dan ramainya penyanyi wanita. Irama yang melalaikan dinamakan dengan konsep ketuhanan walaupun penyanyinya tidak syar'ie (wanita), segalanya dihalalkan demi matlamat yang murni. Natijah : Telah berlaku

7. Fitnah kepada yang jujur dan kecenderungan ramai pihak untuk bersama dengan orang yang khianat. Natijah : Telah berlaku

8. Merebaknya mati mendadak. H1n1, Aids, darah tinggi, jantung, mati ketika tidur, kemalangan dan sebagainya. Tidak disangka-sangka mati walaupun baru semalam kita berjumpa dengan si mati dan keadaannya masih sihat. Itulah mati mendadak. Natijah : Sedang berlaku

9. Menjadikan masjid sebagai jalan tanpa memasuki dan bersolat di dalamnya. Ramai yang berhenti di masjid, tapi tak ramai yang solat, ada yang berhenti untuk rehat, ke tandas dan kadang-kadang ada yang sempat berkelah memandangkan kawasan masjid itu agak cantik. Natijah : Sedang berlaku

10. Pendeknya waktu, waktu tetap 24 jam akan tetapi dirasakan seperti ianya berlalu lebih cepat dari itu. Ini disebabkan kurangnya keberkatan dalam waktu. Natijah : Sedang berlaku

11. Banyaknya berlaku gempa bumi. Terbaru, Malaysia yang tidak berada di atas Lingkaran Api Pasifik (kawasan tiada risiko gempa) turut mengalaminya yang berlaku di Negeri Sembilan. Natijah : Telah berlaku

12. Menuntut ilmu dengan orang yang bukan ahlinya, jika mereka ditanya oleh orang, maka mereka akan mengeluarkan fatwa-fatwa tanpa berdasarkan ilmu lalu mereka akan sesat dan menyesatkan. Natijah : Telah berlaku

13. Ramai wanita-wanita yang pakai baju tapi macam tak pakai, dada tutup tapi nampak lurah, pakai seluar tapi nampak punggung. Memang sedang rancak berlaku. Tiap-tiap hari boleh ditonton di kaca tv, dada akhbar dan di jalanan. Natijah : Telah berlaku

14. Keluarnya orang-orang bodoh yang memberi pendapat untuk menyelesaikan masalah sosial. Contoh boleh dilihat kepada cadangan yang ingin menyelesaikan masalah kecurian harta benda dengan memberi kerja kepada mereka agar mereka tidak mencuri. Tak pernah dengar bodoh gini kata ustaz Azhar. Natijah : Telah berlaku

15. Ucapan salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja. Sekarang ni bukan setakat untuk orang yang dikenali sahaja, bahkan kadang-kadang, untuk orang yang dikenali pun kita tidak memberi salam. Sila baca Kempen Kemberi Salam dalam post saya yang lalu. Natijah : Telah berlaku

16. Manusia mula tidak peduli kepada rezeki yang halal. Riba, rasuah, pecah amanah, barang curi, ambil mudah, zat makanan seperti yang dikempen HPA dan sebagainya. Natijah : Telah berlaku

17. Banyaknya pembohongan, banyaknya kenderaan dan rumah bagi seorang pemilik dan rumah serta kenderaan yang tidak digunakan itu, dihuni syaitan. Natijah : Telah berlaku

18. Jarak tempat perdagangan (pasar, shopping complex, kedai, supermarket) menjadi dekat. Boleh lihat jarak Mydin Mall dan Giant. Natijah : Telah berlaku

19. Manusia bermegah-megah dengan kecantikan binaan Masjid dan kecanggihan peralatannya. Natijah : Telah berlaku

20. Tiada uban di kepala orang tua kerana perbuatan mewarna wambut mereka dengan warna hitam dan lain-lain warna. Boleh cari tanda ini di kepala-kepala pimpinan dan isteri mereka. Natijah : Telah berlaku

21. Berkurangnya keinginan manusia untuk melaksanakan ketaatan dan amal akhirat. Qiamullail? Maaf, ianya hanya berjalan ketika program, tiada program, tiadalah qiamullail. Begitulah contoh-contoh yang lain. Natijah : Telah berlaku

22. Ramainya haji bakhil, samada dari sudut harta, ilmu dan pengalaman. Orang pandai kuih tak mahu mengajar orang lain tentang kuihnya itu, orang kaya tak mahu menolong orang yang memohon sumbangannya, orang yang pandai baiki komputer tak mahu mengajar orang lainnya dan lain-lain contoh lagi. Natijah : Masih tidak rancak tapi sedang berlaku

23. Terasa berat bagi melaksanakan syariat Islam. Masalah persepsi mungkin. Natijah : Telah berlaku

24. Seorang lelaki yang taat kepada isteri, ramah kepada kawan tetapi bersikap kasar dan derhaka terhadap ibu bapa. Bagi mereka, ibu bapa mereka tidak faham perasaan dan keinginan mereka. Natijah : Telah berlaku

25. Seseorang yang dihormati bukan kerana kebaikan budi pekertinya tetapi dihormati kerana orang ramai takut dengan kejahatannya. Maksudnya, kalu tak hormat pukul, kalau tak hormat penjara, ISA dan sebagainya. Natijah : Telah berlaku

26. Pemimpin satu kaum adalah dikalangan orang fasik di antara mereka. Natijah : Telah berlaku

27. Memilih imam berdasarkan kelunakan suaranya dan bukan ilmunya. Natijah : Telah berlaku

28. Menjual jawatan. Pangkat boleh dibeli, apa kau nak, Dato'? Datin? Tan Sri? Dato' Seri? Bak mai duit or projek, aku akan usahakan pangkat tu untuk kau. Natijah : Telah berlaku

29. Hujan terasa panas. Tubuh jadi panas bila hujan. Natijah : Telah berlaku

30. Orang belajar agama bukan kerana agama, tetapi kerana harta. Sekarang mula kedengaran suara-suara yang beranggapan bahawa agama ini boleh digunakan untuk mencari duit. Natijah : Telah berlaku

Demikianlah antara tanda-tanda kecil kiamat yang menulari kita dalam kehidupan seharian. Masih banyak lagi yang belum dituliskan namun, jika kita memilih untuk menginsafi apa yanag ditulis, satu tanda saja sudah cukup untuk buat kita beriman dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Ingat, kesudahan kita hanya dua, syurga dan neraka. Orang yang hebat akan ke syurga dan orang yang tidak pasti ke neraka kecuali Allah mengkehendaki yang lain buat kita. Segalanya ditentukan dengan rahmatNya. Perubahan Satu Kemestian. Salam Perubahan...

Tulisan ini dituju kepada saya yang menulis dan kepada seluruh umat manusia yang membaca tulisan ini.

12.18.2009

Hijrah

Assalamualaikum

Hijrah membawa maksud penghijrahan dari Kota Makkah ke Yathrib atau nama barunya selepas pemastautinan Nabi di sana Madinah Al-Munawwarah. Menurut Ulama', maksud hijrah sekarang telah diberikan nafas baru iaitu hijrah dari keburukan kepada kebaikan.

Ramai orang yang peka dengan tahun ini mengucapkan selamat tahun baru. Beberapa kerat lagi mengiringinya dengan doa tahun baru selepas maghrib semalam. Namun selamat tahun baru itu hanya menjadi selamat dengan mengikuti perintah Allah s.w.t.

Orang yang mengucap selamat, belum tentu selamat jika hidupnya masih lagi tidak mengikuti lunas-lunas yang dianjurkan syariat. Banyak perkara lagi yang masih belum terlaksana. Maka, berusahalah ke arah itu agar hidup sentiasa di dalam redha. Dalam mengejar perkara besar, jangan dibiar perkara-perkara kecil berselerakan.

Saya meminjam kata-kata Saifulislam yang keudara di MHI tadi, Syurga itu penghuninya Nabi, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khadijah dan lain-lain, semuanya manusia hebat. Jika kita tidak berubah untuk turut menjadi hebat, maka peluang kita untuk bersama-sama dengan mereka yang hebat ini juga turut pudar. Pilihan cuma ada dua, jika tidak ke syurga, pasti ke neraka. Jangan mimpi untuk membina syurga sendiri di akhirat kelak. Tiada Syurga setinggan. Jadi perubahan suatu kemestian, bukan lagi pilihan.

Salam Hijrah. Ayuh berubah..

12.14.2009

Kelibat Si Pejuang



"Ke hulu ke hilir, ke sana ke mari, dia tak penat ke? Kalau aku, ish, tak pergi laa kalau dipanggil kuliah jauh-jauh gitu. Bayang r, rumah kat hulu ni gi kuliah di Pinang Merah kat Dungun tu," Kata seorang sahabat.

"...Pastu kene drive agi balik rumah, tu tak masuk agi kalau ada mesyuarat kat mana-mana tu. Usrah agi, program tak henti-henti.." Tambah seorang sahabat lagi.

" Orang berjuang ni macam tu r, rehat sekejap-sekejap, tanggungjawab melebihi masa yang ada, bak kata Al-Banna" Kata seorang lagi membuat kesimpulan.

Begitulah cerita berkenaan seorang Murabbi yang mengajar saya subjek tafsir sewaktu di KUDQI dulu. Sepanjang 11 hari saya menetap di kampung Basung, sedikit sebanyak perihal ustaz Kamaruzzaman Abdullah dapat saya singkap, bagaimana cara hidupnya, bagaimana kegiatan ilmunya, bagaimana cita-citanya, kebanyakannya beliau luahkan sewaktu dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk ke kuliah maghrib di kampung Nibong dan ke majlis Usrah di Padang Air.

Kampung Basung merupakan antara kampung yang paling hampir dengan Kenyir dan untuk melalui jalan alternatif ke Gua Musang, kampung ini adalah antara yang wajib di lalui. Populasi penduduknya yang kurang padat dan masih banyak lagi kemodenan belum menerjah masuk ke kawasan ini. Yang ada hanyalah keperluan seperti elektrik, telefon dan lain-lain. Pendek kata, pendedahan terhadap perkara agama atau kejahatan moden masih belum meluas. Cumanya, masalah kejahilan penduduk terhadap agama boleh dikira sebagai satu barah dan usaha untuk memberikan penawar sedang giat dijalankan oleh seorang pemuda bernama Kamaruzzaman Abdullah dan sahabat-sahabatnya.

Dahulu, kenyataan-kenyataan syirik seperti kalau tiada pemimpin ini, parti ini, kami tak boleh nak hidup pun. Kerana parti ini, pemimpin inilah kami dapat makan masih lagi dimelodikan oleh penduduk kampung di sini, tetapi setelah dihidangkan dengan hidangan kuliah pagi jumaat oleh Ustaz Kamaruzzaman, kenyataan-kenyataan seperti itu kian lenyap dari bibir mulut penduduk tempatan.

Kerana kesibukan beliau, surau Madrasah al-Ansar yang menjadi nadi Ilmu dan Dakwah bagi penduduk kampung Basung tidak dapat dipenuhi setiap hari, seminggu hanya 2 kali sahaja kuliah dijalankan, bahkan kata beliau, sedih juga melihat aktiviti-aktiviti keagamaan dan keilmuan di kampung-kampung lain yang pernah memanggil beliau mengisi kuliah-kuliah begitu meriah dengan kehadiran ramai orang tetapi kampung beliau sendiri tidak semeriah itu.

Dengan penubuhan Madrasah al-Ansar yang masih belum siap sepenuhnya lagi, beliau kini gigih mengumpul dana bagi memastikan projek pembinaan ini tidak tergendala. Cita-cita besar beliau untuk melihat satu institusi Ilmu berdiri megah di kampung sendiri bukanlah hangat-hangat tahi ayam. Segala usaha dan kudrat dicurahkan hanya untuk memastikan agar masyarakat sekeliling tidak terpinggir dari agama dan ilmu.

Sewaktu sehari sebelum program penutup Kem Tahfeez dan Tahseen Al-Quran, beliau diserang demam yang agak teruk, memaksa beliau berehat semalaman. Muaz, anaknya yang cukup ramah memberitahu kami, "walid tak boleh bangun, walid demam" sudah cukup membuat saya dan rakan-rakan fasilitator runsing, masakan tidak, bagaimana kami yang masih hingusan mahu menangani kehadiran ibu dan bapa pada keesokan harinya.

Alhamdulillah, sakit orang berjuang tidak lama, keesokan harinya beliau menggagahkan diri memberikan kuliah jumaat yang menjadi rutin setiap minggu. Dalam serak, beliau kuatkan juga suaranya agar bukan hanya orang yang di dalam surau mendapat mutiara yang disampaikan bahkan yang tidak hadir ke majlis ilmu itu pun juga mendapat mutiara-mutiara ilmu yang dicurahkan.

Sebelum menuju ke kampung Nibong untuk memberikan kuliah di sana, sempat juga beliau pergi bertegur sapa dengan orang-orang muda yang masih melepak di atas motosikal di simpang kampung. " Assalamualaikum Tuan..." Katanya bersahaja.. " Sembahyang dulu... Pasni sambung balik" Tambahnya lagi dengan mesra. "Terima kasih Ustaz" jawab salah seorang pemuda yang ada di situ. Mungkin merasa malu sendiri dengan teguran bersahaja Ustaz.

Kata beliau, "budak-budak muda tak boleh kasar-kasar. Tegur-tegur gitu je, nanti dia malu sendiri je la.. Kalau tegur kasar, kita pulak yang kene dengan puak-puak ni."

Jauh di sudut hati saya, rasa kagum dengan usaha gigih ustaz Kamaruzzaman Abdullah dalam usahanya untuk membentuk masyarakat dan pengorbanan yang dilakukannya tanpa mengeluh. Banyak perkara yang perlu ditinggalkannya untuk perjuangan. JazaakaLlahu Khairal Jazaa' ya Syeikhi.. Allahumma thabbit qulubana ala diinika wa ala thoatik....

P/S: Jika anda kenal orang yang mahu memberikan sumbangan untuk melancarkan proses menyiapkan madrasah membina ummah (Madrasah al-Ansar), sila hubungi beliau di talian :019-981 6357.

Semoga usaha kita yang ini dipandang oleh Allah S.W.T.. Ingatlah, selagi bangunan madrasah itu berdiri dan masih digunakan dan selagi pelajar itu mengamalkan pelajaran yang dipelajari di sana, selagi itulah pahalanya mengalir kepada anda.

12.13.2009

Kem Tahfeez dan Tahseen Quran

Assalamualaikum


Kumpulan Syafie

Saya baru sahaja selesai dari menjalankan amanah sebagai salah seorang tenaga pembimbing peserta Kem Tahfeez Dan Tahseen Al-Quran anjuran Madrasah Al-Ansar Basung. Walaupun Madrasah Al-Ansar masih belum membuka pengambilan pelajar, suasana ilmunya tetap dihidupkan oleh program-program seperti ini pada masa-masa tertentu.

Program ini cukup mudah, dengan hanya 3 ceramah, 2 daripadanya ceramah ringan dan 1 lagi sedikit berat hingga mengalirkan air mata. Selebihnya adalah berbentuk kelas Hafazan, Tajwid dan Fardhu Ain. Cerita dari al-Quran pula hanya berlangsung mengikut kumpulan. Tidak melibatkan keseluruhan peserta kerana bimbang jika terlalu ramai yang mendengar, tak terkawal pula. Mungkin ada yang dengar, ada yang bermain, ada yang menulis, ada yang bercakap, ada yang tidur dan macam-macam keadaan lagi.

Begitu juga qiamullail, ianya dijalankan dalam bentuk kumpulan agar masing-masing sempat merasa bagaimana menjadi imam disamping dapat mempraktikkan surah-surah yang dihafal di dalam solat malam itu. Kondisi fasilitator yang didatangkan khusus dari Institut Quran Terengganu dan beberapa sekolah agama lain dilihat dapat menghidupkan suasana tahfiz di kem ini.

Pembimbing yang gigih mengajar

Apa yang menarik adalah sudut usaha untuk membuat peserta-peserta berdikari. Basuh baju, buat ampaian, bersihkan surau, bersih tandas, bersih kolah dan macam-macam lagi. Ada yang berkata pada saya, banyak benda baru yang sudah berada di sekelilingnya sebelum ini tetapi baru sekarang berpeluang mencubanya. Kanak-kanak, rasa ingin tahu dan ingin cuba mereka sungguh kuat. Kerana itu saya banyak mengiyakan apa yang mereka ingin buat dan tidak menyekat mereka dengan alasan-alasan yang tidak konkrit.



Sedaya upaya saya mahu mereka merasa apa yang dibuat mereka itu dihargai, mereka Azan, walaupun kadang-kadang salah, kadang tidak sedap, saya tetap puji dan memberitahu mereka, bahagian mana yang perlu dibetulkan, bahagian mana yang perlu dinyaringkan. Sesekali saya memaksa diri azan dengan seberapa merdu yang boleh agar mereka nampak dimana bahagian yang mereka boleh betulkan. Memakai serban, mula-mula memanglah senget bertungging cara mereka memakainya, tetapi selepas saya berkata " Okey dah ni, cuma kalau awak buat cara macam ni, macam ni, lebih kemas, lebih cantik". Mereka menerimanya, selepas 2-3 orang yang mula menampakkan peningkatan, maka ramailah yang lain ingin turut mencubanya dan ramailah yang datang menuntut cara pemakaian serban yang lebih kemas.




Selama sebelas hari, perkara-perkara lain yang saya titikberatkan adalah soal kebersihan dan pengurusan diri, saya mengeluarkan duit sendiri semata-mata mahu memastikan kuku mereka kemas dan bersih, saya tidak memaksa mereka tetapi selepas saya memuji salah seorang dari mereka yang berkuku pendek dan bersih dan selepas saya menunjukkan kuku saya, mereka melakukannya tanpa banyak soal. Begitu juga dengan rambut, saya tidak memaksa mereka memotongnya tetapi mereka memilih untuk memotongnya selepas mereka rasa perkara itu menarik dan bagus.

Sebagai hadiah, saya usahakan juga membawa mereka ke sungai walaupun dari keadaannya sedikit merbahaya kerana airnya deras dan laju. Usaha untuk memastikan keselamatan mereka saya lakukan dengan sedaya upaya, begitu juga fasi-fasi lain. Masing-masing begitu berwaspada agar dalam berseronok, keselamatan mereka tidak terabai. Alhamdulillah, tiada apa yang tidak diingini berlaku. Janji yang saya buat juga tidak dimungkiri.



Sebagai fasi, bermacam cara saya cari agar mereka rasa mengikut gaya hidup islam ini hebat. Segala kehebatan sahabat-sahabat, nabi-nabi, rasul-rasul saya persembahkan kepada mereka. Ada kalanya, segala perkara yang saya buat, saya jadikan ia nampak menarik untuk mereka ikuti. Supaya mereka tidak memandang pemuda Islam bukan sekadar lemah-lembut, sopan santun tetapi juga hebat bila bertindak, cepat apabila disuruh, melakukan segala-segalanya dengan apa yang terbaik yang dapat diberikan.



Usaha Kem ini tidak berhenti setakat ini, selepas kem ini, saya sentiasa sms agar mereka tidak lupa dengan apa yang mereka pelajari dari program yang mereka ikuti selama 11 hari ini. Alhamdulillah, setakat saya sms, masih ramai lagi yang menjalankan rutin harian sewaktu di program semasa berada di rumah masing-masing. Saya doakan mereka thabat dengan amalan mereka. Ameen.

Gambar program akan saya upload dalam masa terdekat, saya sedikit gopoh dalam menyiapkan posting kali ini.