Followers

9.17.2009

Jauhkan Mereka Dari Al-Quran!

Kuliah Subuh hari ini memberitahu tentang kelemahan ummat Islam, di mana puncanya? Kata ustaz yang mengajar itu, sebelum kita menyebut tentang kelemahan, ada baik dan perlunya kita mengetahui sumber kekuatan Islam itu dahulu.

Jawapan Nujum Pak Belalang ketika ditanya oleh ahli nujum Masai, dimanakah kekuatan Hang Tuah, maka dengan tenang dan yakin, nujum Pak Belalang menjawab, kuatnya Hang Tuah ini terletak pada huruf T pada Tuah. Jika tiada T, maka Hang Tuah tidak akan mendapat Tuah. Bila tiada Tuah, kuatnya akan turut lenyap.

Itu Tuah, tapi kuatnya Islam tidak terletak pada Tuah, apatah lagi pada abjad awal Islam iaitu I atau Alif. Kuat Islam adalah terletak kepada kuatnya penganut agama ini berpegang kepada kitab al-Quran dan Sunnah.

Setiap minggu diulang-ulang wasiat dari Rasulullah ini, dua perkara yang tidak akan menyebabkan manusia sesat selagi mereka berpegang kepadanya, al-Quran dan Sunnah. Orang sesat pasti situasinya lebih lemah berbanding orang yang tidak. Berpusing-pusing ke hulu ke hilir mencari destinasi tanpa petunjuk pastilah lebih memenatkan dari duduk diam, melihat peta dan menuju tempat yang dicari dengan yakin.



Jadi sumber kekuatan Islam adalah al-Quran dan Sunnah. Dua perkara yang menjadi kombinasi yang saling memerlukan. Jika dalam al-Quran, beberapa perkara yang menjadi kombinasi i seperti Taat Allah-Taat Ibu Bapa, Zakat-Solat maka begitu juga halnya pada al-Quran dan Sunnah. Sunnah menjadi penerang kepada al-Quran. Dengan ini tertolaklah orang yang mahu mengambil Quran sahaja dan membelakangkan hadith sebagaimana tertolaknya orang yang membelakangkan al-Quran dan merujuk hadith semata-mata.

Kata seorang missionari dalam perhimpunan Missionaris Sedunia, 'Kerja kita hari ini bukan mengkristiankan umat Islam, tetapi jauhkan mereka dari Al-Quran dan Sunnah. Jadikan mereka tidak bangga dengan Nabi Muhammad. Dan jauhkan mereka dari sejarah Islam, jadikan mereka malu mengakui keIslamannya, buatlah mereka jauh dari ulama-ulama mereka.'


Dalam penghujung bulan kurungan syaitan ini, marilah sama-sama meneruskan legasi pembacaan al-Quran dengan menghayati maksudnya dan mengamalkan isiannya. Jadikan al-Quran sebagai bacaan harian. Dan buat pertama kalinya saya bersetuju dengan kenyataan 1st Lady of Malaysia, Datin Seri Rosmah kerana mengharapkan al-Quran turut dibaca pada bulan yang lain selain Ramadhan. Tapi makcik, baca semata-mata tidak cukup.

Tahniah juga kepada yang dapat menghabiskan al-Quran dalam sebulan ini, semoga fadhilat bacaan ini dapat meningkatkan Taqwa anda untuk berdepan 11 bulan akan datang.

كل لحظاتك تتبارك، وكل طاعتك مقبولة، وجعل الله لك رمضان سبيلا إلى الجنة

Salam akhir ramadhan buat semua pengunjung blog ini, sama-sama beramal untuk meraih rahmat dari Allah Taala, semoga Allah memandang kita pada Ramadhan ini.

9.16.2009

Angin 'F1 1 Malaysia' Tinggi?


Ihsan Berita Harian

Angin tinggi adalah satu istilah Terengganu kepada orang yang tidak mengukur baju di badan sendiri. Tapi apa kena mengena angin tinggi dengan tajuk entry kali ini? Ayuh fikirkan sejenak.

Sebelum ke masjid semalam, sempat juga saya melihat buletin dari salah sebuah stesen TV nasional yang memaparkan berita F1 1Malaysia sebagai paparan utama. Demi menaikkan nama Malaysia ke mata dunia.

Seperti mana litar Sepang, F1 kali ini dilihat akan lebih menyedarkan masyarakat dunia yang masih belum mengetahui bahawa Malaysia ini adalah sebahagian dari dunia dan ianya benar-benar terdapat dalam peta dunia. Harapan ini bukan main-main. Ini serius, kata wira kerjasama Wonderpets.

Namun, dalam masa yang sama, keseriusan orang berkenaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan, jenayah, salah laku dan guna kuasa, orang-orang yang dizalimi dan banyak lagi kadar yang perlu dikurangkan dan ditingkatkan, kelihatan tidak seserius pembikinan team F1 1Malaysia ini.

Kenapa angin tinggi? Apa kesan angin tinggi terhadap pelakunya? Kata orang yang bertanggungjawab menyara hidup saya sekarang, angin tinggi adalah orang yang ingin nampak hebat dan ingin dihormati yang tanpa mereka sedari bahawa ianya hanyalah dicebik oleh orang-orang yang tahu. Pendek kata, orang yang berangin tinggi ini tidak dihormati orang.

Contoh, kalau kita berniaga, tauke-tauke tidak akan memandang tinggi kepada orang yang memakai Mercedes, BMW, berumah besar, bergelang rantai tapi apa yang penting hutang mudah dikutip. Buat apa kereta mewah, rumah agam, bini cantik jika hutang liat dibayar, kata Tauke-tauke ini.

Hormat ini bukan setakat hilang dari kalangan golongan tauke sahaja, bahkan akan melarat kepada penduduk kampung, sahabat handai, sedara mara, pelanggan dan sebagainya. Orang akan jadi benci kerana benda yang dibuat, tak padan dengan hasil.


Ihsan Berita Harian

Situasi ini terjadi bilamana PM mengumumkan mahu dibuat satu pasukan F1 1Malaysia dengan kerjasama Proton dan Lotus serta disokong oleh Sepang International Circuit (SIC), AAM dan lain-lain. Pada otak saya yang bukan PM ini, wajar sekali duit yang akan digunakan untuk mendapat hormat dunia dikaji semula untuk diserap masuk kepada projek pembangunan insan. Jadikan sebahagiannya untuk memajukan pendidikan negara, bayar gaji polis yang amanah lebih tinggi untuk menangkap polis yang rasuah sebelum menangkap penjenayah dan lain-lain perkara berfaedah.

P/s: Buat apa sahaja asalkan tidak memberi wang ehsan kepada rakyat terutama melayu kerana semakin diberi, semakin malas mereka bekerja. Buat apa bekerja rajin-rajin jika duduk saja pun sudah masuk RM300 sebulan ke dalam kantung. Beri apa yang boleh buat mereka bekerja. Wassalam.

9.15.2009

Dahulukan Tuhan Dalam Apa Jua Perkara

Tok Guru Nik Aziz membuat sembahyang sunat istikharah setiap hari. Katanya, mintak Allah tunjuk apa yang terbaik buatnya dalam kehidupan harian beliau.

Saya berjinak dengan istikharah bilamana ada perkara besar melibatkan masa depan saya. Itu beza saya dengan Tok Guru Ayah Zik.

Soal pilih teman hidup, kerja, sambung belajar semuanya boleh diistikharahkan. Biar Allah memberitahu kita mana yang baik dan mana yang buruk untuk kita.

Soal memilih teman hidup, teringat saya kepada perbualan dengan ustaz Idris Ahmad sewaktu di Syria lama dahulu, kami bertanya tentang bagaimana beliau bertemu dengan zaujahnya. Beliau menjawab, istikharah. Enta semua pun kena rajin buat istikharah. Ini tak, baru sembahyang Isya', dah terbayang-bayang. Semua ketawa..

Jadi, saya mengucapkan terima kasih buat mereka yang pernah memesan kepada saya agar beristikharah, mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat petunjuknya buat insan lemah dan hina seperti kita. Istikharahlah, dahulukan Allah dalam apa jua perkara.

Istawuu Sufuufakum!

Dalam asyik melayan syahdu mendengar kemerduan suara Sami Yusuff dengan lagu Asma Allah dan Without You, saya termenung memikirkan beberapa perkara. Orang kata saya memang kuat merewang sambil berfikir. Patutlah banyak uban tambah mereka lagi.

Uban itu, mungkin saya kekurangan protein jika menurut husnu zhon saya. Ah, biarkan saja uban ini tumbuh, selagi ianya tidak menghalang otak saya berfikir secara waras sudahpun memberikan seribu satu nikmat kepada saya.

Isu kali ini adalah berkenaan solat terawih. Saya dari hari pertama hingga ke hari ini, masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk tidak meninggalkan seharipun pada bulan Ramadhan ini solat terawih. Bukan berbangga, sekadar makluman. Jadi dari hari ke hari, saya kerap melihat bebrapa golongan yang suka untuk tidak merapatkan saf. Panas mungkin, namun saya rasa tidak selesa bersembahyang dengan ruang yang agak besar dibiarkan kosong di sisi saya.


Ada satu ketika, dua orang disebelah kiri saya keluar sejurus selepas fardhu Isya', lalu seorang pak cik maju ke hadapan, bayangkan kekosongan untuk dua orang diisi oleh seorang sahaja. Umpama kerusi bas yang berkembar dengan satu orang yang duduk, beliau bebas berlunjur ke sana sini. Dengan keluasan yang melampau itu, orang tua (bukan berkasar, tetapi merujuk kepada usianya yang memang sudah tua) ini masih lagi tidak mengensot untuk merapatkan ruang kosong.

Bulan Ramadhan, syaitan diikat. Namun ianya tidak bermakna kita boleh duduk serenggang-renggangnya. Panas sekejap pasti akan dibalas dengan pahala yang berganda insyaAllah. Bila menegur tentang ini, teringat saya kepada sinikal Kapten Hafiz Firdaus dalam artikel beliau di Majalah I, 'tempat yang renggang itu sengaja dibuka kaki mereka dengan luas seolah-olah mereka mempunyai masalah alat kelamin sakit'

Akhirnya, marilah kita sama-sama mengisi penghujung Ramadhan tahun ini dengan doa dan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah.

P/s : Saya bukan apa, sewaktu di Syria, ketika bersolat Tarawih di Jame' Nablusi berdekatan dengan Jamiah Abu Nour, kaki saya pernah ditarik seorang ammu ketika ruku' untuk dirapatkan saf yang renggang. Terkejut juga saya, tapi tetap digerakkan kaki ini untuk lebih rapat hingga tiada ruang langsung udara menembusi bahu kami. Ramadhan kali ini, rapatkan saf anda.

9.13.2009

Ganyang Malaysia?

Post ini sebenarnya sudah menjadi jeruk tapi saya fikir, jeruk pun masih boleh dijual lalu saya mengambil keputusan untuk memasarkan juga posting ini walaupun kempen sweeping orang Malaysia yang dibuat oleh orang-orang kebal Indonesia dengan senjata canggih berupa buluh runcing untuk mengancam orang Malaysia di sana.

Mulanya saya bimbang juga dengan keadaan teman-teman yang berada disana, namun apabila mereka sendiri tidak merasa bimbang kerana rupa mereka tidak menampakkan sangat mereka ini orang Malaysia, bahkan apabila ada yang membuat panggilan ke Malaysia dan bertutur dalam loghat Terengganu, langsung pemilik wartel di sana membuat andaian bahawa yang menelefon ini mungkin orang Mindanao atau Jawa Barat. Ditambah lagi dengan muka mereka yang punya iras-iras orang di sana. Jadi tiada masalah selagi orang Indonesia tidak meminta pengenalan diri mereka.

Tarian Pendet menjadi isu utama amukan 320 orang kebal yang begitu beriya-iya mahu mengganyang Malaysia. Mungkin pada kita itu isu remeh, tapi tidak pada mereka kerana pada pengetahuan saya, mereka sememangnya begitu obses dengan hiburan. Bahkan PKS yang umpama PAS di Indonesia memulakan ceramah mereka dengan beberapa dendangan lagu-lagu sebelum ceramah. Ini biasa di Indonesia. Jika di sini, mahu saja diseranah oleh pak-pak lebai kerana mencampur-adukkan yang baik dan yang buruk. Situasi berbeza menjadikan Fiqhul Waqie' berperanan.

Saya tidak berminat untuk mencari salah Indonesia, kerana bukan semua mereka yang teruk. Di kampung saya juga ada beberapa pelajar dari Indonesia, kerap juga datang membeli di kedai saya. Kami bergaul baik bahkan mereka sangat mesra. Kerana itu apabila segelintir mereka melancarkan ganyang Malaysia, kita tidak seharusnya mengikut rentak mereka. Buat apa bergaduh dengan orang yang jahil. Kenyataan ini tidak bererti kita kecut, tiada telur dan sebagainya. Tindakan orang yang berani tidak terletak pada tinggi mereka mengangkat buluh runcing akan tetapi kebijakan mengatur strategi dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah musuh.

Jika tidak dilayan, letih juga mereka mahu berkawal di pos kawalan sweeping orang Malaysia tanpa gaji. Biarkan sahaja. Jika mereka mahu, kita akan berikan kepada mereka apa yang patut. Selagi boleh berbaik, kita berbaik. Kerana kita serumpun, kita seagama. Islam pasti akan menyatukan kita.

P/s: Saya selaku rakyat Malaysia juga menyokong kenyataan para bloggers Malaysia yang lain iaitu, kami malu mengaku tarian pendet separa bogel itu milik kami. Anda boleh ambil tarian tersebut tanpa sebarang caj. Dipersilakan.

- Tulisan ini bukan bertujuan untuk membikin provokasi, ianya cuma cetusan hati tatkala membaca artikel pertama tentang ganyang Malaysia, 320 pemuda kebal dan buluh runcing di akhbar Orang Terengganu, Sinar Harian.

- Tahniah kepada Mazani kerana berjaya memperolehi hadiah melalui kolum siapa anda. Mukamu yang dibulatkan itu tetap hensem di mataku. hehe

9.07.2009

Dadah Musuh Negara

Siapa kanak-kanak di dalam gambar ini? Kanak-kanak ini adalah mangsa bunuh bapa saudaranya yang juga merangkap seorang penagih dadah. Kenapa dibunuh? Kerana ketika ini si pembunuh di bawah pengaruh dadah. Kenapa si pembunuh ini mengambil dadah? Kerana tekanan akibat tidak dibenarkan berkahwin dengan gadis yang digilainya. Ini adalah maklumat yang saya perolehi dari akhbar.

Dadah, musuh no. 1 negara. Ini adalah motto kerajaan Malaysia dalam kempen membasmi dadah dari meracuni fikiran rakyatnya. Untuk makluman, rekod majoriti penagih adalah dikuasai kelompok melayu. Apabila melayu, pastilah majoritinya adalah muslim. Yang menikam adik Azrai itu juga adalah melayu muslim. Punca bangsa melayu menjadi juara dalam bidang ini saya tidak dapat memberikan asbabnya. Cuma, biarlah kita memegang kemas ayat Allah s.w.t dalam firmannya yang bermaksud :

Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka

Moga dengan ayat ini, ahli keluarga lebih peka dalam mengetahui pergaulan ahli keluarga mereka agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam gaung neraka Allah Taala.

Dadah mengikut sejarahnya mula memasuki Malaysia pada era 70-80an. Sama awalnya dengan gerakan dakwah. Ianya mungkin sebahagian dari pelan untuk menghilangkan jati diri rakyat agar segala yang dibawa masuk selepas itu tidak dihiraukan. Sekadar jeling sebelah mata kemudian sambung stim.

Sejarah penjajahan negara kebal China juga adalah hasil dari kejayaan barat memabukkan rakyat cina dengan candu. Hinggakan begitu ramai rakyat cina tidak mampu untuk melawan kuasa barat kerana candu yang didagangkan di sana.

Itu adalah kesan-kesan dadah terhadap negara. Kerana itulah dalam kapitalisme, dadah dikira sebagai haram untuk dijadikan sumber rezeki walaupun segala bentuk yang lain adalah halal bagi mereka. Ini bagi para kapitalis yang mengikut perlembagaan. Tidak termasuk yang melanggarnya.

Saya ingin mengutarakan beberapa titik bagi menangani masalah dadah ini.

  1. Wujudkan satu pulau dengan kawalan ketat oleh pihak yang bertanggungjawab, himpun semua penagih dan letakkan di pulau ini.
  2. Pemulihan secara agama dibuat secara besar-besaran di sini.
  3. Bagi yang telah pulih, mereka boleh dibawa keluar dari pulau ini dan jika mereka mengulangi kesalahan mereka atau mereka membuat jenayah di luar, jatuhkan hukuman mati. Sebaiknya di depan khalayak.

Zalim? Saya rasa tidak kerana ianya adalah taktik pencegahan. Hasil dari hukuman bunuh itu, akan timbul perasaan gerun untuk tidak turut serta melakukan kesalahan yang dibuat penagih tersebut.

Cukuplah bazirkan duit samada duit kerajaan atau bukan kerajaan hanya untuk membela mereka yang selama ini tidak membela diri mereka sendiri. Untuk ini, kita buka perbincangan. :)

P/s: Lagu Asma' Allah nyanyian Sami Yusuf memang mengenyangkan emosi saya. Cuba dengar.

9.06.2009

Maniskah Ramadhan?

Saya pernah menceritakan rasa rindu dengan suasana berpuasa di bumi Dimasyq, Syria. Suasana yang sukar untuk ditulis bagaimana rasanya melainkan batang tubuh sendiri merasainya.

Seorang sahabat saya di Syria dulu pernah menceritakan dalam sembang larut malam kami dulu, "orang yang pernah meminum air sungai Nil pasti akan pergi pula ke sana buat kali kedua". Kemudian, seorang sahabat menambah, "kita di sini, kalau yang pernah meminum air barada atau air Furat, insyaAllah akan datang balik.. Macam kena guna-guna rasanya" Masing-masing ketawa.

Apabila kaki sampai di Malaysia, hati masih terikat dengan Syam. Jatuh cinta dengannya. Ulama'nya yang tidak saya selami benar lautan ilmu mereka, orang-orangnya yang begitu peramah dan pembantu, suasananya yang saya rasa cukup untuk membuat hati jatuh rindu padanya. Mungkin kaitannya ada dengan hadith yang disabdakan oleh Nabi tercinta :

Allahumma bariklana fi Syaamina, Allahumma barik lana fi Yamaninaa..

Ramadhan yang dilalui di sana jauh lebih meriah dari Aidil Fitri. Boleh dilihat dari segi pakaian, hanya orang Malaysia sahaja yang lengkap berbaju melayu dengan sampin menyambut raya.

Suasana Ramadhan pula, ianya dijadikan pesta ibadah, bukan setakat sembahyang terawih sahaja, ianya juga turut diserikan dengan bacaan al-quran, derma dan bermacam-macam lagi. Panggilan untuk berbuka puasa juga boleh tahan meriahnya.

Berbeza di Malaysia, bulan Ramadhan adalah bulan buat duit dan habis duit. Pada bulan ini juga bermacam jenis kuih akan diperolehi dengan mudah. Tiada jaminan bahawa kuih yang dibeli itu habis dimakan atau tidak. Yang penting, beli dulu. Habis atau tidak lain cerita.

Bulan ini juga adalah bulan persiapan menyambut raya. Manis Ramadhan tidak dirasai. Perkara ini boleh dilihat melalui lagu raya yang biasanya akan berkumandang di corong-corong radio. Begitu juga rancangan TV, begitu banyak yang mengfestivalkan Aidil Fitri.

Perkara ini bukanlah menjadi suatu kesalahan cuma menjadi kejanggalan. Orang yang belum tentu mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan meraikannya seolah-olah mendapat natijah kepujian. Akhirnya, berpada-pada beraya, elakkan pembaziran dan berhati-hati di jalan raya.

Fasa-Fasa Ramadhan

Salam pertengahan Ramadhan. Salam terawih yang kembali suram saf solatnya. Tidak semeriah awal Ramadhan lalu.

Sebulan itu 30 hari. Rasulullah membahagikan Ramadhan itu kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah rahmat, fasa kedua pula keampunan dan fasa terakhir adalah perlepasan dari api neraka. Secara mudahnya 10 hari pertama adalah untuk rahmat, 10 hari kedua untuk keampunan dan 10 hari ketiga adalah jaminan pelepasan dari api neraka.

Ramadhan dikurniakan kepada umat Muhammad dengan kelebihan-kelebihan tertentu. Antara yang terdapat dalam bulan ini dan tidak terdapat dalam era orang-orang terdahulu adalah Lailatul Qadar. Ulama berpendapat bahawa malam istimewa ini berada di celahan malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Wallahua'lam. Namun sekali mendapatnya, pasti tergolong dari kalangan jutawan ibadah. Semalam beribadah nilainya dengan seribu bulan bersamaan 83 tahun. Cukup bernilai hadiah yang dikurniakan Allah kepada umat Muhammad.

Ramadhan juga menyimpan beberapa peristiwa besar Islam iaitu penurunan al-Quran, dari Luh Mahfuuz ke langit dunia secara sekaligus sebelum di kecil-kecilkan penurunannya ke dalam hati Rasulullah mengikut suasana samada berupa jawapan kepada soalan masyarakat dan juga menjadi asbab untuk lebih senang mengingati al-Quran itu sendiri.

Tiga fasa yang disebutkan tadi, walaupun mudah dan senang saja bunyinya, namun untuk melepasinya dengan cemerlang, agak sukar kecuali bagi orang yang punya keazaman yang kuat dan istiqamah yang tinggi. Untuk itu, mintalah bantuan dari Allah, kerana tanpa bantuan dariNya, mustahil untuk kita mencapai target kejayaan Ramadhan kali ini.

Renungan akhir, berapa umur kita semua? Sudah berapa kali Ramadhan melepasi kita dan sejauh mana ianya memberikan kesan kepada kita? Jawapan saya, jika dinisbahkan kepada 100% perubahan dari 21 Ramadhan yang telah saya lalui, mungkin tidak sampai pun 20% dari perubahan yang diharapkan. AstaghfiruLlah..