Followers

10.31.2009

Kisah Menumpang..



Kagum..

Aku kagum pada seseorang di satu pertemuan berbentuk organisasi baru-baru ini.

Perempuan..

Kagum bukan kerana kecantikan wajah, merdu suara, lenggok menggoda.. Tidak.. Bukan aku kagum dengan itu semua. Masakan aku boleh kagum dengan semua itu bilamana semua itu begitu elok ditutup, suaranya dikawal, gerak langkahnya sengaja dikeraskan agar tidak menjadi fitnah kepada mana-mana lelaki yang terlihat susuknya.

Aku kagum kerana walaupun dia bukanlah orang yang mendapat didikan agama dari awal. Bukan seperti aku yang dari pra sekolah sudah bersekolah di tempat yang menjadikan agama sebagai asas penubuhannya. Tapi waspadanya kepada bahaya fitnah pergaulan amat menuntun hati aku.

Bayangkan apabila selesai bermesyuarat, dia hanya berjalan kaki untuk menuju ke jalan utama yang kira-kira 1Km dari tempat bermesyuarat. Aku memandu kereta menghampirinya.

' Balik dengan sapa ustazah?' Aku bertanya

' Ayah datang ambik, jalan utama lalu jalan mana paling dekat ye? ' Soalnya kembali.

'Jauh jugak kalu jalan paling dekat pun, mari la naik kereta ana, ana tumpangkan sampai jalan besar..'

' Takpelah ustaz, ana jalan kaki jelah. '. Katanya sambil senyum bersahaja.

Aku tak tahu apa aku dah cakap, tapi rasanya aku dah jadi makhluk yang paling bodoh bila mempelawa orang yang bukan muhrim naik satu kereta dengan aku. Padahal fitnah pasti akan timbul walaupun kepada dia yang berjubah dan berjilbab labuh dan aku yang berkopiah.

Kebetulan, seorang sahabat yang juga bermesyuarat bersama-sama tadi mengikuti perbualan kami. Lalu dia bertanya,

' Pandai bawak motor? '

'Pandai..' Jawabnya ringkas.

'Okey, anti bawak motor ana, ana naik ngan ustaz Ridhuan '

' Alhamdulillah.. Mujur ada sahabat aku ini '.. Getusku dalam hati.

Rasanya kalau sahabat tadi tidak ada, rasanya pasti rasa bersalah akan memukul-mukul kepala aku yang terlalu lancar mulut mempelawa orang yang punya maruah sepertinya naik menumpang kereta aku maghrib-maghrib hari macam ni.

Kagum aku terletak di situ, walau jauh manapun dia terpaksa menapak berjalan kaki, tapi tetap memilih berjalan kaki dari menumpang kereta orang yang bukan muhrim dengannya walaupun dia kenal orang itu. Payah juga nak dicari orang begini pada zaman-zaman akhir ini.

..................................................................................................

Bila fikir-fikir balik, rupanya mungkin sudah banyak cakap-cakap masyarakat yang melihat aku yang berkopiah berkongsi kereta dengan yang berjilbab. Walaupun tidak buat apa-apa bahkan jauh sekali bertepuk tampar tapi fitnah dari orang yang melihat tetap hidup.

Menyesal dengan tindakan aku itu, aku ingin mohon maaf dari orang yang tidak bersalah jika kerana menumpang kereta yang aku pandu itu telah mencalit fitnah ke atas susuk dan jiwa suci mereka. AstaghfiruLlahal Azim....

P/s: Rindu suasana DQ dulu bilamana nak bercakap antara exco PPDQ pun terpaksa bercakap dengan dinding di tengah-tengah. Muslimat di dalam stor beras, muslimin di dapur. Walaupun pada sesetengah orang ianya nampak kolot, tapi itulah tarbiyyah sejati. Fitnah terhindar.. Andailah dapat diaplikasikan generasi ini..

10.30.2009

10 Point Untuk Muktamar Sanawi MPMKUDQI


Gambar Hiasan

Kira-kira, awal bulan depan atau lebih tepatnya esok untuk bulan depan dan beberapa hari lagi dari tarikh catatan ini dikeluarkan, Majlis Perwakilan Pelajar KUDQI atau ringkasnya disebut MPMKUDQI akan mengadakan satu rutin tahunan iaitu bermesyuarat agung. Satu program yang besar dalam menentukan hala tuju badan kebajikan pelajar itu.

Dalam entry ini, saya ingin juga mengeluarkan cadangan, komentar dan usul untuk MPMKUDQI ini agar dari tahun ke tahun, organisasi pelajar ini akan terus ke hadapan. Saya tidak lagi belajar di KUDQI, maka pandangan saya ini adalah dari sudut saya melihat KUDQI dari pandangan orang luar. Tiada prejudis, tiada prasangka bahkan ianya semata-mata menyatakan pandangan yang akan pure sebagai pemerhati luar. Pandangan ini juga adalah hasil cakap-cakap saya dengan beberapa figura awam dan pelajar-pelajar IPT tempatan yang lain. Oleh itu saya mulakan :

1- Pertamanya, syabas diucapkan kepada pimpinan sesi ini kerana pada tahun ini dilihat MPMKUDQI semakin maju dari sudut program yang tidak statik dan melekat atau terikat kepada MPMKUDQI sesi yang lepas-lepas. Ini satu pembaharuan yang cukup cantik. Sedikit sebanyak menampakkan kematangan MPMKUDQI dari sudut melaksanakan program.

2- Berdasarkan bilangan pelajar terkini, KUDQI mula dilihat sebagai satu tempat yang tidak menarik untuk mendaftar diri bagi belajar di sana. Di mana silapnya, tidaklah saya tahu secara ditil. Cuma apabila KUDQI ini dikenali sebagai institusi ilmu, maka secara tidak langsung usaha ke arah menampakkan diri KUDQI ini sebagai institusi ilmu yang hebat juga dilihat satu keperluan yang perlu di beri perhatian segera.

3- Ditil bagi point kedua, orang melihat KUDQI dari sudut kualiti ilmu dan akhlak yang ada pada pelajarnya. Baik, saya ingin memberi contoh. Jika KUDQI hanya menggunakan masa dari pagi ke petang sahaja untuk mengisi minda pelajarnya dengan ilmu dari silibus-silibus yang ada, saya kira ianya tidak akan menjadikan pelajar itu menguasai ilmu yang dipelajari, tidak dapat tidak perlu ada satu inisiatif agar dapat memastikan pelajar KUDQI dapat menguasai ilmu dengan baik dan bukan untuk ujian dan imtihan semata-mata.

4- Ditil bagi point ke 3, saya ingin memberi contoh yang lebih daring, Pelajaran asas bahasa arab sebagai contoh, jika kekal dengan cara sekarang iaitu kitab yang tidak tetap, memilih-milih tajuk dan tidak belajar secara kesemuanya, mustahil akan dapat melahirkan pelajar yang celik ilmu alat. Sedangkan ilmu alat adalah satu elemen penting dalam usaha untuk memahami dan membaca kitab-kitab arab lain. Selain itu, belajar nahu pada semester 1 dan sorof pada semester kedua agak sukar untuk dimanipulasi pelajar dalam menguasai kedua-dua ilmu tersebut. Ini salah satu contoh.

5- Natijah bagi point ke 2, 3 & 4 adalah perlu ada satu usaha untuk mengubah sedikit skill pengajaran dalam sistem pendidikan KUDQI. Selain perlu ada satu usaha untuk membantu KUDQI (pentadbiran dan pelajar) dalam meningkatkan mutu pelajaran di KUDQI. Cadangan dari saya, bolehlah diwujudkan kelas-kelas tafaqquh, seminar-seminar semasa (yang disertai pelajar dan bukan orang luar semata-mata) dan mindmap bagi setiap matapelajaran (boleh diusahakan oleh Lajnah Akademik dan Pensyarah) agar minda pelajar tidak terbang jauh dan sentiasa terikat dengan asas sebenar sesuatu subjek.

6- Bertitik tolak dari batu asas utama iaitu Ilmu yang saya beri dalam 5 point utama, maka barulah difikirkan bagaimana caranya untuk mengisi kelompongan dalam persatuan, samaada dalam KUDQI atau kelompongan siasah yang lebih tinggi iaitu di dalam parti. Al-fadhil Ustaz Harun Taib dan pensyarah-pensyarah yang lain ada mengatakan, KUDQI adalah satu dana manusia untuk menampung dan meneruskan perjuangan mereka yang ada sekarang, tapi jika mereka yang diberi kepercayaan ini tiada ilmu dan kefahaman yang mantap, maka sudah semestinya harapan dan kepercayaan mereka adalah kosong dan sia-sia.

6- Dari sudut mesyuarat agung pula, saya begitu mengharapkan bahawa semasa penapisan usul, hendaklah diteliti secara halus, adakah setiap usul ini harus dijadikan usul? Kerana sewaktu saya mencadangkan beberapa usul kepada sahabat yang masih belajar di KUDQI, saya ada juga terbaca tentang usul yang ingin dibawa mereka. Hairannya, masih ada lagi usul yang telahpun ada pada tahun lalu dan tahun-tahun yang sebelumnya. Oleh itu, untuk muktamar kali ini, saya ingin melontarkan satu cadangan iaitu mengkaji usul-usul yang telah lalu, adakah ada lagi usul yang masih tidak dijalankan atau tidak dijelaskan kepada para mahasiswa tentang respon pihak pentadbiran tentang usul itu. Lebih elok jika selepas selesai mengemukakan usul yang diterima kepada pentadbiran, diadakan satu majlis bersama pentadbiran agar sesi bertukar fikiran dan penerangan boleh dibuat.

7- Usrah sememangnya sesuatu perkara yang penting lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan satu kesatuan. Dari sudut pelaksanaan usrah terutamanya pihak ikhwah, ianya hampir sentiasa menemui kegagalan. Saya mencadangkan agar di sebelah ikhwah yang memimpin iaitu Exco MPMKUDQI agar diadakan usrah paling kurang sebulan sekali. Sejauh manakah usrah ini dapat memberi impak kepada perjalanan persatuan akan saya terangkan dalam entry yang lain pula insyaAllah. Namun pengukuhan usrah di peringkat atasan adalah satu titik mula yang amat penting kepada perjalanan usrah peringkat pelajar. Bagaimana mahu menjadi naqib usrah jika kita yang diamanahkan sebagai naqib juga tidak mempunyai autoriti dan kredibiliti sebagai naqib. Jangan melatah kerana masalah usrah ini bukan hanya menjadi wabak pada sesi ini sahaja, bahkan ianya sudah mula menjadi penyakit sejak beberapa tahun dahulu, jadi biarlah tahun ini menjadi penamat kepada masalah ini. Hidup usrah maka akan turut hiduplah 3 perkara ini :- Ilmu, Siasah, Akhlak atau Etika diri kerana didalam usrah ada 3 perbincangan utama iaitu, ilmu, isu semasa dan muhasabah. Semoga usrah di KUDQI akan menjadi UMPH.

8- Point yang kedua terakhir ini adalah dari penilaian saya sendiri terhadap kerja-kerja persatuan yang pernah saya lakukan dulu hinggalah masuk ke sesi ini iaitu segala kerja yang dilakukan MPMKUDQI tidak berpusat atau berpejabat. Tiada markaz untuk MPMKUDQI bergerak, bukan tiada markaz, tetapi tidak menggunakan markaz yang ada dengan sebaik mungkin. Barangkali pejabat yang ada sekarang terlalu jauh. Saya ingin mengusulkan supaya MPMKUDQI (exco ikhwah) tahun ini agar mewujudkan pejabat di asrama jika tidak mampu menggunakan pejabat yang ada sekarang dan elakkan membuat sebarang penyimpanan maklumat persatuan di dalam gajet peribadi masing-masing. Persatuan yang dibawa pasti ada perkara yang perlu dijadikan sirr dan hazar. Bukan semua perkara boleh didedahkan sesuka hati. Usul ini dibangkitkan kerana khuatir tentang ancaman penyebaran maklumat pelajar yang sepatutnya ada di dalam komputer MPMKUDQI sahaja dijadikan tatapan dan koleksi setiap pelajar lain. Samada ianya berbentuk tulisan, gambar, video dan lain-lain. Selepas usul menggunakan pejabat MPMKUDQI semaksimum mungkin, maka adakan pula pembasmian segala rekod atau data maklumat pelajar di setiap komputer lain di asrama. Elakkan kebebasan transfer antara muslimin dan muslimat.

10- Terakhir dari saya adalah tentang persatuan yang sememangnya adalah satu bentuk pendidikan yang baik dan tidak dinafikan ianya adalah salah satu penyumbang yang besar dalam menjadikan orang yang bergelumang dengannya lebih cepat matang dari segi fikiran dan tindakan. Tetapi perlu difikirkan kembali dari sisi apa yang ingin dibawa. Setiap perkara yang ingin dibawa, mestilah dinilai dari segi prioriti atau aulawiyyat pelaksanaan perkara tersebut. Justeru itu, saya mahu mengusulkan prioriti utama persatuan pada masa akan datang adalah pengukuhan ilmu dan akhlak pelajar. Jangan tergesa-gesa melakukan tindakan lain jika dua masalah utama ini tidak dipandang berat. Sekali lagi diulangi, perkara yang perlu dijadikan prioriti adalah : 1) Ilmu dan 2) Akhlak. Sengaja saya letakkan numbering begitu agar masing-masing sedar dalam mendidik akhlak seseorang itu, adalah lebih mudah jika mereka yang ingin dididik mempunyai ilmu terlebih dahulu. Oleh itu, jadikan pengukuhan sistem melahirkan ilmuwan dan etika-wan sebagai perkara pertama dalam target MPMKUDQI akan datang.

Sekian 10 Usul dari bekas pelajar KUDQI. :)

10.12.2009

Allah Mendidik Dengan Kekalahan



Lama benar tulisan saya sunyi dari mengulas tentang politik, bukan tidak suka, tetapi saya kurang berminat untuk mengulasnya. Lebih-lebih lagi apabila dunia web ini begitu subur hingga berpuluh-puluh blog bahkan beratus-ratus yang tumbuh memenuhi dan memberikan warna pelbagai kepada dunia maya. Sebahagian besarnya adalah politik dan sememangnya blog yang tinggi kadar pengunjungnya adalah blog yang mengulas isu politik. Begitu juga blog yang memaparkan gossip artis itu dan ini yang tidak kurang meriahnya dengan kunjungan.

Minda Merdeka Hilmi ada juga bertanyakan saya, enta sebenarnya nak fokus isu mana? Ana tak dapat detect enta ni nk bawak isu apa. Saya hanya menjawab, saya ingin membawa isu-isu yang bebas dan merdeka seperti isu masyarakat, ilmu, kritikan sosial, saranan dan segala bentuk yang tidak terlalu berat dan serius. Kadang-kadang saya menulis juga tentang politik, tapi saya merasakan tulisan politik saya tidak bagus. Saya lemah dalam menafsir politik, maklum sajalah. Banyak berguru dari sembang kedai kopi dari membaca tentang politik. Berhenti celoteh di sini.

Tulisan seterusnya adalah untuk mengulas tentang kemenangan BN ke atas PAS di Bagan Pinang dengan jumlah majoriti yang agak besar bahkan jauh lebih besar dari dulu walaupun PAS mengatakan bahawa ianya mempunyai peluang untuk merapatkan jurang perbezaan majoriti bahkan tidak mustahil untuk memenangi pilihanraya ini. Ini berdasarkan mood rakyat yang kini semakin berani mengatakan suara mereka untuk menolak BN.

Takdir Allah, kalah menjadi hidangan kepada PAS kali ini. Tidak seperti PRK yang lain yang menunjukkan PAS bergulai sakan meratah kemenangan. Walaupun pahit, tetapi pahit ini telah menjadi biasa memandangkan pada PRU12 lalu, Bagan Pinang telah memilih calon BN dan PAS telah tewas di situ pada waktu itu. Isu kalah bukan menjadi isu besar di sini cuma dalam gagalnya PAS hatta untuk merapatkan jurang majoriti sekalipun perlu diperhatikan.

Apa PAS tidak buat? Gerak kerja, kempen, rayu undi, cula pengundi, saraf, maklumat melalui internet, memotivasi tentera, ceramah, berdoa, solat hajat hatta ada yang dipukul dan sanggup sabar untuk mengelakkan sebarang kontroversi dan berjayanya provokasi pihak musuh. Tapi kenapa PAS tidak dipilih Allah sebagai pemenang? Allah ada jawapannya.

Saya tidak pergi ke sana, jadi cerita berkenaan perjalanan PRK di sana tidaklah saya ketahui dengan jelas, cuma saya berpendapat, kekalahan dengan persiapan lengkap ini adalah satu cara Allah mendidik kita agar bila jauh terbang ke langit, sesekali jenguklah ke bawah. Menang berturut-turut dalam PRK yang lalu, jadikanlah kekalahan ini sebagai muhasabah agar sikap PAS tidak berubah.



Sentiasa merakyat, tidak menyombong. Sentiasa mesra, tidak angkuh. Sentiasa berukhwah, tidak berbalah. Sentiasa berbincang, tidak menyerang. Sentiasa menyiasat, tidak membuta. Agar kekalahan ini dilihat lebih bermakna, jadikanlah ianya momentum untuk melonjakkan PAS sebagai satu parti politik yang kukuh tanpa perpecahan dalaman. Semoga kekalahan ini menjadikan satu sebab untuk mereka yang sentiasa menyalahkan orang ini, orang itu terduduk dan terfikir, apa yang aku buat..

Sebelum ada yang bertanya saya selepas ini kenapa tidak hentam Umno BN kerana kejahatan mereka dalam tulisan ini, biarlah saya menjawab. Kejahatan UBN tidak perlu ditulis kerana sudah maklum bahawa mereka ini jahat. Setiap kali bertanding dengan mereka kita telah mengetahui risiko dan keadaan bahawa kita sedang berlawan dengan penjahat, mereka akan cuba melakukan apa sahaja untuk menang. Mereka menipu dalam keadaan muka mereka tersenyum. Sikit rasa bersalahpun tidak hinggap ke atas reaksi wajah mereka. Mereka tenang dengan penipuan. Jadi untuk apa saya menulis tentang mereka jika semua sudah tahu. Kejahatan mereka jika disensasikan dan diulang-ulang akan membuatkan benci orang menjadi kesian. Kita pula yang dibencikan nanti.

Biarlah blog-blog yang sedia mendedahkan kejahatan UBN ini sahaja yang terus memberikan maklumat tentang kejahatannya dan saya tidak perlu menambahnya ke dalam blog saya. Jangan ingat saya tidak menyokong pendedahan kejahatan dibuat, bahkan saya amat menyetujuinya cuma jangan terlalu disensasikan kerana nanti akan terbit banyak versi, jangan dicambahkan kerana bimbang menjadi fitnah. Berkata benar walaupun pahit.



Akhirnya, marilah kita berdoa kepada Allah yang memberikan udara untuk kita bernafas, dengan doa agar berikan kita semua kemenangan yang mantap dan jangan jadikan kemenangan yang diperolehi sebagai modal untuk mencalit Islam dengan fitnah. Menangkanlah yang HAK, Hapuskanlah yang BATIL, ya Rabbal Alamin, ya Rabbul Mustad'afeen..

Gambar: www.akmalhisyam.blogspot.com

10.08.2009

Inzar dari Allah, Masih Ish-ishkah Kita?



Saya ada menerima SMS dari seorang kawan yang menyatakan waktu gempa di Padang iaitu 17:16 dan 17:58 mengikut format 24 jam. Manakala di Jambi pula kejadian gempa berlaku pada jam 8:52 hari berikutnya.

Jadi apa masalahnya? Nanti dulu, SMS itu tidak berakhir di situ sahaja. Ianya meminta pembacanya agar menyemak surah yang ke 17 pada ayat yang ke 16 dan 58 dan Surah ke 8 ayat 52.

Saya segera menyemak ketiga-tiga ayat tersebut. Amat mengejutkan, bagai satu kebetulan. Sebetulnya isyarat inzar dari Allah buat hambanya jika betullah waktu gempa itu terjadi sepertimana yang dinyatakan.

Apa ayatnya :

Surah 17 ayat 16 yang bermaksud :
Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadapnya ketentuan Kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya!"

Surah 17 ayat 58 pula bermaksud

Tiada suatu negeri pun yang penduduknya derhaka, melainkan Kami binasakannya sebelum hari Kiamat atau kami azab penduduknya dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz)

Surah ke 8 pada ayat 52 bermaksud :
(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir'aun dan para pengikutnya, serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaanNya.

Mungkin kita rakyat Malaysia sekadar menggeleng-geleng kepala dan mulut dan lidah pula bersatu mengeluarkan bunyi ish.. ish.. ish.. apabila mendengar tentang ini. Mungkin lebih advance lagi, ada juga yang mengeluarkan kenyataan, padan dah dengan Indonesia tu, teruk sangat sosial, pluralisme dan macam-macam lagi la. Ditambah dengan isu buluh runcing pada baru-baru ini menyebabkan ramai sahabat-sahabat internet menyatakan pendirian bahawa tiada sebab Malaysia patut menghulurkan bantuan kemanusiannya kepada Indonesia.

Tapi manusia tetap manusia, sesama kita perlu ada perikemanusiaan. Setiap manusia perlukan manusia lain. Apatah lagi jika satu agama, satu bangsa dan satu rumpun. Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, kenapa kita tidak bimbangkan Malaysia juga kerana dalam negara kita inipun bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan di atas tahi lembu yang telah kering segala bentuk benda yang membawa kepada kemurkaan Allah. Perlukah saya sebutkan? Tidak perlu rasanya kerana hampir setiap malam anda akan mengetahuinya bila berita semua TV ke udara.

Mereka akan menceritakan segala-galanya. Namun kita tetap kita, menggeleng-geleng dan mengatakan ish.. ish.. ish.. Apa yang pasti, amar makruf nahi mungkar masih belum mendapat tempat di hati kita. Jika seorang yang sedar, ianya hanya mendatangkan letih dan putus asa. Marilah membantu dengan mendoakan diri kita sendiri agar terjaga dari kelenaan ini dan doakan sama kemenangan untuk gerakan yang memperjuangkan Islam di negara ini dan di seluruh dunia agar dengan kemenangan mereka, kita akan turut merasai nikmat hidup dalam amar makruf nahi mungkar. Amin.

P/s : Bantuan diperlukan di Bagan Pinang, sms yang dipanjangkan dari ustaz Nasaruddin Tantawi : "Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita dipukul. Terbaru malam tadi markaz pemuda Pas Pusat di Bagan Pinang diceroboh dan semua petugas dihalau keluar. Demi Allah dengan nama Jihad fi SabiliLlah, ana selaku ketua DPPP mengerahkan pemuda-pemuda seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang. Raptai jam 9am di Markaz Induk dan akan dipimpin oleh ustaz Azman Syafawi TKP utk arahan kawalan keselamatan. TQ Tantawi-Sebarkan dan minta tugas

Dengarkan lagu Idhrib Sooruukhal Qassami untuk mendapatkan semangat Jihad. Download di sini.

Kredit : TNSUTR, Muhaimin, Bangbowo.

10.05.2009

Lagu Hamba

Kau Cinta pertamaku
Engkau cinta terakhirku
Tiada apa yang bisa menafikan kasih kita…

Kau ayu dimataku
Satu antara seribu
Tiada tara didunia…

Mungkin kan terputus di tengah jalan
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir…

Mungkin kitakan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ditentukan Tuhan…

Sebenarnya, saya terdengar lagu ini secara tidak sengaja ketika sedang melakukan sedikit aktiviti di kedai ayah saya, tiba-tiba radio memainkan lagu ini dan saya rasa... hurmm, it's quite nice.. Sedap didengar. Malam itu juga saya menggodek internet dan akhirnya jumpalah beberapa stuff yang diperlukan.

Terus saya masukkan dalam koleksi dan lagu inilah buat masa ini yang mengiringi Asma' Allah & Without You dari Sami Yusuf, Qasidah Burdah oleh Mesut Kurtis, Patri oleh Jinbara dan Lagu Iklan Celcom terbaru dari Dewa, Cintaku Tertinggal di Malaysia.

Apa yang menarik tentang lagu ini, ianya mengajak kita agar bila bercinta jangan terlalu meninggikan harapan kita terhadap pasangan. Kerana segala ketentuan adalah dari Allah. Rancanglah dengan SWOT sekalipun hubungan anda, jika Allah berkata tidak, maka pasti tidak jawapannya. Apa yang boleh kita buat adalah seperti kata Ulama terkenal India, Muhammad Iqbal iaitu "Takdir itu tidak akan berubah tetapi takdir di dalam perbendaharaan Tuhan itu tidak terbilang banyaknya, mintalah sebanyak-banyaknya agar kita berjumpa dengan apa yang terbaik untuk kita.

Dalam mengulas lagu ini, saya teringat juga kisah kehebatan ciptaan lagu oleh Syeikh al-Busiri dalam mengarang Qasidah Burdah. Kenapa dinamakan Burdah? Burdah adalah nama bagi sejenis selendang atau bahasa modennya mafla yang biasa dipakai oleh anak-anak muda yang kesejukan untuk membalut leher mereka.



Syeikh al-Busiri adalah seorang yang lumpuh dan beliau mengarang qasidah ini dalam keadaan begitu. Lantas apabila beliau tidur pada suatu hari, beliau bermimpi bertemu Rasulullah dan dalam mimpi tersebut, beliau di hadiahi sehelai burdah merah. Ajaibnya apabila beliau terjaga, burdah merah itu memang benar-benar ada di atas dadanya dan lebih hebat lagi, beliau tidak lagi lumpuh.

Itulah cerita penciptaan lagu yang saya rasa antara yang terindah pernah saya dengar dan kini saya menceritakan pula kepada anda. Allahumma Salla Alan Nabiyyi wa ala Aalihi wa Sohbihi Ajmaien....

10.04.2009

Semangat Yang Hilang, Kita Cari Pulang....

Sijil Tinggi Agama Malaysia atau akronimnya STAM tinggal lebih kurang 15 hari sahaja lagi. Walaupun hampir semua orang mengatakan STAM ni kacang je, tutup mata pun boleh jawab. Walaupun kadang-kadang, yang mengatakan begitu tidak pernah mengambil STAM apatah lagi melihat kertas soalannya atau membaca buku teksnya. Inilah kehebatan mereka.

Saya menghadapi masalah besar, bukan masalah kerana susahnya STAM ini atau payahnya matapelajaran ini atau itu. Tetapi antara problem terbesar saya adalah kerana putus wala' atau patah angin bak kata orang pantai. Hilang semangat menjadi masalah terbesar kepada mana-mana kerja.

Jika berprogram, duit bukan masalah utama jika semangat boleh merata gunung. Makanan bukan isu jika semangat mengatakan puasa adalah jalan keluar. Digigit harimau bukan alasan untuk terus mati jika semangat mahu hidup terus menjadikan kaki makin ligat berlari. Itu jawapannya, semangat.

Mana saya mahu cari semangat? Bukan ada dijual di kedai. Tanya Bangla hensem di Mydin Mall sekalipun pasti tidak akan menjumpai semangat di mana-mana rak yang ada di sana. Barangkali, bangla pula menggeleng-geleng kepala dan memusing-musing jari telunjuk di tepi kepalanya. Bak kata Hadi Mohd, sian ke mung.

Semangat ini adalah suatu perkara yang perlu dibina, perlu dikerah, perlu diperah akan kewujudannya. Namun untuk melakukan itu saya masih tidak mampu. Sebab itulah saya mencuba beberapa inisiatif untuk mendapatkan kembali semangat yang hilang itu.

Kawan-kawan mungkin memberi inspirasi kepada saya agar terus dapat menjawab soalan STAM dengan mata tertutup bak kata mereka yang masih belum mengambilnya. Hehe.

Sebelum akhir, apalah salahnya jika kita ringankan tangan untuk ditadah ke langit dan mulut digerakkan hingga mengeluarkan bunyi, Ya Fattah Ya 'Alim, bukakanlah hati pemilik blog ini dan berikanlah petunjuk dan rahmatmu kepadanya. Setiap doa anda akan dapat memberikan anda kebaikan. Amin.

10.01.2009

Jasad Segar Hati Mati



Manusia mampu hidup tanpa makanan jika sekiranya masih ada air. Jika tiada air, seminggu dapat hidup adalah perkara ajaib. Hati begitu juga, akan tetapi bukanlah makanan dan minuman yang menjadi penyebab hidup kepada hati. Hati hanya akan hidup dengan zikrullah, membaca al-quran dan ilmu.

Kata orang, hati yang tidak dimasuki baja-baja kebaikan ini pasti akan gersang secepat 3 hari. Apabila sudah kering, agak sukar untuk memasukkan kembali benih-benih kebaikan dalam hati. Begitulah aturannya, begitulah cabarannya. Jika untuk mengekalkan keinginan berbuat baik, maka lazimkan diri melakukannya dalam tempoh 40 hari. Sabda Nabi s.a.w :

"Barangsiapa mengikhlaskan dirinya kepada Allah selama 40 hari akan zahir sumber-sumber hikmah daripada hati melalui lidahnya"

Berbeza dengan meninggalkannya, hanya secepat tiga hari, diri pasti akan menjadi malas untuk melakukannya kembali. Kerana itulah puasa enam syawal digalakkan untuk dibuat pada 2 Syawal dan dalam istilah melayu, adanya raya enam iaitu hari yang sama dengan hari raya. Jika raya jatuh pada hari Ahad, maka raya enam akan diraikan pada Ahad depannya selepas cukup 6 hari berpuasa. Jika kita tidak berpuasa melepasi tempoh tiga hari, nescaya akan timbul satu perasaan malas dan tidak endah. Itulah hikmah untuk tidak meninggalkan amalan baik melebihi tempoh tiga hari.


Perlu diingatkan di sini, berkenaan tempoh 3 hari ini adalah kajian ulama'-ulama'. Melalui cara hidup mereka dan pengalaman mereka. Tiada paksaan untuk anda percaya atau tidak. Ianya sama dengan kenyataan ulama-ulama yang mengatakan bahawa lailatul qadar jatuh pada malam sekian-sekian. Mereka berkata begitu adalah hasil dari kajian mereka yang sentiasa bangun malam pada bulan Ramadhan dan kebetulannya hampir setiap tahun malam Lailatul Qadar jatuh pada malam yang dikatakannya. Jadi tiada paksaan, sekadar tajrib ulama'. Tiada salah pula jika kita mahu mengikutnya, mudah-mudahan ada berkatnya selagi ianya tidak bercanggahan dengan syariat.

Kembali kepada soal hati ini dan tujuan saya menulis berkenaannya, kerana saya merasakan bahawa hati saya semakin kering lebih-lebih lagi apabila kurangnya aktiviti keilmuan ini. Sememangnya saya merindukan suasana ilmu, syarahan ustaz-ustaz pensyarah, perbincangan dengan teman-teman dan muamalah yang penuh dengan aktiviti ilmu. Oleh itu, bagi yang sedang belajar, teruskan belajar kerana sesusah manapun belajar ianya amat mengenyangkan akal, terasa amat puas apabila bergelumang dengan ilmu. Jangan pernah putus harap dengan ilmu walaupun kadang-kadang kepayahannya membuat kita kecewa. Carilah ilmu baru setiap hari dengan membaca.

P/s: Tulisan ini adalah untuk menaikkan booster saya, mungkin kerana lama meninggalkan ilmu. Juga boleh dianggap untuk menyemarakkan rasa semangat kepada pelajar baru KUDQI yang sedang mengikuti minggu orientasi sekarang. Belajar bersungguh-sungguh.