Followers

2.28.2010

Hidup Ini Bukan Filem!

Hidup ini takkan seindah filem jika kita tidak berusaha untuk mengindahkannya. Takkan pula ianya menjadi novel cinta yang penamatnya menang-menang jika diri hanya diam membatu tanpa bergerak ke arah kecantikan susunan plot-plotnya.

Hidup ini adalah untuk memilih samada mahu bahagia atau derita. Manusia bukan malaikat yang sentiasa saja patuh kepada Allah tatkala diperintahkan sesuatu kepadanya tetapi tidaklah menjadi satu keganjilan bila ada manusia yang darjatnya jauh mengatasi malaikat Allah.

Itulah manusia yang penuh dengan objektif yang boleh dipilih untuk menentukan gaya menendang pesaka (akhir hayat) mereka nanti. Samada mahukan kedamaian di bawah naungan rahmat Ilahi ataupun mahukan kesengsaraan dengan menghimpun segala marah dan murka Allah.

Sebagaimana sabda baginda yang paling saya cinta :

"Allah tidak akan sesekali mengubah sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubahnya sendiri."

Lihat Qabil yang memilih untuk membunuh Habil dari mengahwini kembar Habil.

Lihat kaum Ad dan Thamud yang memilih kekufuran dari menerima dakwah Nabi mereka yang langsung tidak mengurangkan harta benda mereka.

Lihat pula pendeta besar memilih untuk berdoa agar Allah menyesatkan Nabi Musa dan kaumnya selama 40 hari di padang pasir sebelum Allah menghukumnya dengan lidah menjulur keluar dari mulutnya

Lihat bapa saudara Nabi Muhammad yang memilih untuk kekal dengan agama nenek moyang mereka dari mengucapkan dua kalimah syahadah yang bisa menyelamatkannya dari neraka.

Lihat kesilapan mereka memilih dan mereka degil untuk memilih kebenaran. Dengan contoh yang letih untuk dihitung, kita sebenar-benarnya sedang berhadapan dengan dua simpang setiap hari dan setiap masa. Hanya kita yang mampu memilih jalan mana yang ingin dilalui.

Sekali lagi jika anda muslim mukmin, saya ingin segarkan kembali matlamat kita iaitu keredhaan Allah yang menjamin kehidupan kita di syurga selama-lamanya. Ya, selama-lamanya.

Untuk itu, saya memilih untuk tinggalkan cinta manusia agar cinta Allah dan Rasulnya yang keciciran selama ini dapat saya kutip kembali. Semoga diri saya ini masih diberi ruang untuk diisi dalam jiwa besar Baginda yang saya kasihi. Labbaika Ya Rasulullah. Bi abi anta wa ummi...

Tunjukilah aku jalan lurusMu ya Rahman, ya Rahim. Izinkan aku mencintaiMu dan PesuruhMu sebelum aku mengisi hatiku dengan cinta insan lain yang turut cintakanMu dan RasulMu.

AstaghfiruLlah wa Laa Ilaha IllaLlah, Muhammadur Rasulullah.
SollaLlahu Ala Muhammad Ibni Abdillah
Mabda'il Amri Wamuntahaah
Wasolla Ala Aalihi Wa Sohbihi Waman Tabi'ahu wa Waalaah

Membalas Cinta Nabi

Assalamualaikum w.b.t

Mencintai Nabi Muhammad adalah suatu kemestian buat sekalian umatnya. Nabi Muhammad mencintai kita semasa kita masih belum lagi wujud sebagaimana bicaranya terhadap sahabat-sahabat beliau,
"Aku ingin sekali bertemu dengan saudara-saudaraku"

"tidakkah kami ini juga saudara-saudaramu wahai Rasulullah?" sahabat bertanya

"Kamu adalah sahabat-sahabatku dan aku maksudkan ialah saudaraku orang beriman yang belum ada" Jawab Nabi dengan matanya merenung jauh kearah perkuburan Baqi'.

Insan yang bernama Muhammad ini telah menyatakan rasa rindunya untuk bertemu dengan kita, orang yang beriman yang tidak sempat melihat wajah yang tenang dan membahagiakan itu. Soalnya, adakah kita mahu berjumpa baginda yang begitu merindui kita ini dengan hanya berarak berselawat sahaja kepadanya sedangkan sunnah kehidupan baginda langsung tidak kita ikuti.

Islam yang dibawa HabibaLlah itu tidak diambil sepenuhnya bahkan ianya hanya dipandang dengan pandangan menyusahkan hidup, menyekat kebebasan, menjadikan aktiviti yang melalaikan terhapus dan segala kegiatan yang selama ini dibolehkan hawa nafsu akan terbatas. Jika benar kita cinta akan manusia yang diakhir umurnya masih memikirkan kita "ummati.. ummati.." maka pilihlah untuk menjadi Islam seluruhnya. Hidupkan kembali sunnahnya. Hayati kembali perjuangannya.

Kita bukan haiwan yang misinya untuk meneruskan hidup dengan makan minum, tetapi kita Khalifah penerus perjuangan pimpinan agung Muhammad s.a.w. Kita adalah legasi penyambung Islam. Kita generasi yang akan menyampaikan Islam kepada mereka yang akan datang. Kerana, cinta Rasul kepada kita tidak berbelah bagi dan wajar kita balas dengan mengembangkan apa yang dijuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Tanggungjawab sudah melebihi masa yang ada. Andai kita rehat, pastikan rehat kita terisi dengan memikirkan bagaimana mahu menjadi mukmin sejati. Mahu membawa orang lain turut mengecapi nilai iman yang hakiki. Mulakan langkah pertama dengan Ilmu.

2.25.2010

Nabiku Muhammad

Senak perut dengan ragam perbalahan manusia yang kadang kala menunjuk baik, menunjuk alim dan menunjukkan bahawa merekalah pengamal sunnah sejati tanpa mengemukakan sedikit ruang untuk berbincang dan berdiskusi.

Mungkin isu Maulidur Rasul ini mula kendur dari pelbagai cerita yang sebelum ini disambut hangat oleh mereka yang kurang faham dan kurang jelas tentang isu sebenar (sila maksudkan tentang Isu Maulidur Rasul Pulau Pinang).Tetapi saya tetap mahu mengetengahkan beberapa perkara yang saya rasakan perkara ini akan membantu melebar luaskan lagi dakwah yang selama ini dijuangkan Nabi saya Muhammad s.a.w.

Kelahiran Nabiku Muhammad adalah satu titik mula yang besar dalam sejarah peradaban manusia dan membawa kemurungan dan kebimbangan kepada kuasa-kuasa besar yang ego untuk mengikut agama yang dibawa baginda. Dengan kelahiran seorang bayi terpilih dari kalangan bangsa Arab yang kebanyakannya buta huruf lantas memadamkan api Majusi yang besarnya bukan senang untuk dipadamkan begitu sahaja.

Lahirnya baginda adalah rahmat sekalian alam, memang benar-benar manusia terpilih, manusia yang mendapat didikan secara terus dari Allah sebagaimana sabdanya :

أدبني ربي وأحسن تأديبي

Apa tidaknya, tatkala mahu pergi ke majlis keraian yang dilakukan oleh orang Arab pada ketika itu pun, Allah lantas mendatangkan mengantuk yang amat sangat hingga majlis yang ingin disertai baginda terlepas begitu sahaja. Bahkan auratnya juga dipelihara Allah bilamana baginda yang melakukan kerja-kerja untuk membaikpulih Kaabah dan mahu menyingkap kain hingga ke paras peha untuk memudahkan kerja baginda terus dipengsankan oleh Allah. Begitulah Nabiku Muhammad yang selama ini sunnah pengajarannya dicerca bahkan dikatakan pula kaki perempuan oleh pihak musuh yang jahanam itu.

Nabiku Muhammad adalah seorang yang amanah, amanah yang membolehkannya mendapat gelaran al-Amin di kalangan penduduk Makkah, amanah yang mendapat kepercayaan setiap suku yang hampir berperang kerana berebut mahu meletakkan batu dari Syurga, Hajarul Aswad ke tempat asalnya agar diadili oleh nabiku Muhammad. Amanah yang meletakkan nabiku sebagai orang yang diberi kepercayaan oleh orang yang tidak mengimaninya untuk menyimpan barang-barang berharga. Amanah yang jika dikatakan ada musuh mahu menyerang dari balik bukit berhampiran, tiada alasan untuk orang Makkah tidak mempercayainya hinggalah kenyataan baginda bahawa Allah itu satu dan baginda adalah pesuruh dan utusan Allah yang satu itu, sepantas itu jugalah orang-orang Quraisy mendustakannya.

Nabiku Muhammad adalah manusia berjiwa besar, tidak pernah mengambil jalan untuk bermusuh dengan mad'unya selagi perisytiharan perang tidak diturunkan oleh Allah s.w.t. Besar yang memilih untuk menunggu anak-anak Thaif menerima Islam berbanding tawaran malaikat penjaga bukit yang mahu menghempapkan bukit itu ke atas kepala orang-orang Thaif yang biadap terhadap nabiku Muhammad dengan sikap mereka memilih untuk melontar batu bagi mengiringi ketidakrelaan mereka menerima dakwah yang menyebabkan nabi berdarah hingga ke kaki walaupun Zaid bin Harithah membentengi baginda dari terkena batu. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad adalah orang yang berjiwa kuat, kuat menahan dugaan dan cubaan, kuat dalam mempertahankan agama Allah. Kuat yang menjadikannya tetap kekal tegar bersama-sama para sahabat dalam menahan lapar dalam peristiwa pemulauan Bani Hasyim, kuatnya Baginda dalam menahan asakan musuh dalam perang Uhud hingga patah gigi nabiku Muhammad s.a.w walaupun sahabat-sahabat baginda telah hilang punca kerana menyangkakan bahawa Nabi telah tiada.

Sekuat itulah juga baginda menahan cercaan yang dilemparkan kepadanya bersama-sama najis, perut-perut haiwan, ludahan musuh bahkan batu besar yang pernah cuba dihempap Abu Jahal ke atas kepala baginda ketika sedang sujud sebelum diselamatkan Allah dengan unta yang cukup besar dengan mulut ternganga seperti mahu menelan Abu Jahal. Laknat Allah jua ke atasnya dan ke atas Uqbah bin Abi Mu'it yang pernah menjerut leher nabiku Muhammad hingga tercekik tidak boleh bernafas sebelum diselamatkan Abu Bakar. Laknat ke atas mereka.

Nabiku Muhammad adalah manusia yang punya keyakinan dan matlamat yang jelas. Matlamat dan keyakinan yang mampu menjanjikan kepada Suraqah bin Malik akan gelang kebesaran Kisra Parsi walaupun ketika itu baginda hanya bersama Abu Bakar sahaja. Nabiku adalah orang yang bekerja mengejar matlamat yang ditetapkannya itu, bukan hanya sekadar bermatlamat tanpa bekerja untuk mencapainya.

Nabiku adalah orang yang mampu membina pengaruh dan kesannya masih lagi dirasai hingga sekarang. Baginda adalah manusia yang menyebabkan orang yang benar-benar beriman kepadanya sanggup menahan panah dan tombak pihak musuh dengan batang tubuh mereka sendiri. Orang-orang yang mencintai mati sebagaimana musuh mereka mencintai hidup dan melahirkan sahabat-sahabat yang berjuang hanya kerana Allah dan tidak mengejar perkara lain melainkan menang dengan bergaya atau mati dengan janji syurga. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad juga adalah orang yang menyebabkan Umar ingin memancung sesiapa yang berani mengatakan bahawa baginda telah wafat dek kerana terlalu sayangkan baginda dan tidak boleh menerima bahawa baginda telah tiada. Abu Bakar membaca ayat berikut untuk menenangkan Umar :

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Ali Imran :144

Nabiku yang disaat kematiannya menyebabkan Jibril berpaling muka dari baginda kerana tidak sanggup melihat baginda menanggung sakit sakaratul maut, berpeluh nabiku yang mulia saat dicabut nyawanya perlahan-lahan oleh Izrail. MasyaAllah nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad jua membawa nostalgia kepada zaman selepasnya apabila muazzin di zamannya yang keluar dari Madinah dan pulang lantas mengumandangkan azan menyebabkan orang yang mendengar azan laungan Bilal bin Rabah itu menangis dan merasakan bahawa nabi hidup kembali kerana panggilan solat oleh muazzin Nabi itu. Madinah syahdu mengenangkan nabiku Muhammad. Kehilangan yang cukup besar.

Selawat serta salam ke atas nabiku Muhammad yang menyebarkan Islam hingga turut dapat dikecap oleh ummat akhir zaman sepertiku dan mereka yang mengimani bahawa maulidur Rasul ini bukan berarak semata-mata, bahkan ianya lebih kepada Islam secara keseluruhan.

Marilah sama-sama kita mempertahankan jalan yang dibawa oleh baginda s.a.w dengan segala yang kita ada. Kita bukan apa-apa jika kita tidak memilih Islam sebagai ad-Deen. Jangan memilih untuk melaksanakan sunnah, laksanakanlah secara keseluruhannya.

Allahumma Solli Ala Muhammad, wa ala alihi wa sohbihi ajma'in...

2.18.2010

I Know That I Know Nothing..

Assalamualaikum w.b.t

Imam Syafie kata : " Semakin aku belajar, semakin terserlah kejahilanku "

Socrates pula kata : " I know that I know nothing "

Kata-kata hikmah yang lain pula : " Bilamana seseorang itu mula merasakan dirinya alim, maka disaat itulah dirinya menjadi jahil kerana orang alim itu sentiasa merasa bahawa dirinya tidak tahu dalam banyak perkara "

Kata-kata ini saya kutip dari lambakan tulisan yang pernah di baca, tetapi sumber asalnya, tidaklah saya ketahui di dalam kitab mana letaknya. Tapi jika dibandingkan ungkapan yang dikeluarkan oleh Imam Syafie dan tokoh falsafah Yunan, Socrates atau Saqraat dalam bahasa Arabnya, walaupun berlainan agama ianya punya satu persamaan iaitu merasai kejahilan bila mempelajari sesuatu. Semakin belajar, semakin sedar bahawa kita ini insan bodoh.

Bodoh bukanlah kelihatan bodoh sampai meleleh-leleh liur, tetapi bodoh ini adalah satu keadaan tidak mengetahui sesuatu. Bila sesi belajar bermula, maka sedarlah diri bahawa aku ini bukan apa-apa, barulah terpacul dari mulut: ah, begini rupanya.. Oh, begitu.. Patutlah.

Jangan pernah berhenti belajar kerana belajar itu akan menunjukkan bahawa anda adalah orang yang suka memperbaiki kejahilan diri dan berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari ini.

Mulakan dengan ilmu aulawiyyat, Aqidah, Fiqh dan Akhlak kemudian barulah susuli dengan ilmu yang lain. Baca kitab dari asasnya, jangan pula memulakan langkah dengan terus kepada kesimpulan hanya kerana mahu memberi jawapan kepada orang lain. Amalkan sikap jawab jika tahu dan katakan tak tahu jika anda tidak tahu.

Contohi Imam Malik yang disoal beberapa soalan, hampir separuh dijawabnya : ' la adri ' (aku tidak tahu). Kerana berlagak tahu apa yang kita tidak tahu adalah tanda kebodohan yang paling jelas.

Sabda Rasul : "maka bercakaplah dengan perkataan yang baik-baik atau kamu diam sahaja"

Akhir kata, sama-samalah kita menjadi orang yang bersedia untuk jadikan diri manusia ini bukan sekadar manusia biasa-biasa, lonjakkan pecutan adrenalin untuk peningkatan tahap manusia luar biasa, anda mampu mengubahnya.

P/s : Tulisan ini adalah untuk diri sendiri dan siapa yang sudi.

2.15.2010

Oh Tuhan...

Kadang kesilapan itu boleh membuat kita jadi manusia berguna, kadang juga kesilapan itu bisa membuat kita jatuh tanpa terdaya bangun lagi. Disaat ini, Allah yang sering dilupakan itulah yang bermain-main di zihni manusia, hanya Dialah yang mampu memahami rasa hilang akibat dari pendek akal dan kebodohan sendiri.

Duhai Tuhanku yang Maha Agung, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa orang yang ku sayangi. Sudah kerap kali aku melupakanMu, tapi ketika aku memerlukanMu, Engkau hadir kepadaku, Engkau rapat denganku melebihi rapatnya urat dileherku, Engkaulah segala-galanya, dari saat dunia belum lagi Engkau jadikan, Engkau sudah pun mengetahui apa yang terjadi kepadaku saat ini.

Janganlah lagha ini menjadi penghalang rahmatMu kepadaku, janganlah lalai ini menjadikan aku semakin jauh denganMu, dekatkanlah hatiku kepadaMu ya Allah, teguhkanlah pergantunganku kepadaMu ya Allah, Matikanlah aku disaat imanku boleh memberikanku peluang untuk bertemuMu dengan tenang ya Allah. Selawat dan salam ke atas Nabimu atas usaha baginda menyampaikan Islam kepadaku ya Allah dan kepadamulah segala puji dan puja kupersembahkan.

Jika ada hati terguris dari kesilapan diri ini, dengan rendah diri saya mohon agar dimaafkan segala kesilapan itu walau saya tahu memberi maaf itu tidak mudah. Maafkan kebodohan yang terbit dari diri ini. Semoga Allah memberikan pulangan yang selayaknya kepada anda.

2.11.2010

Allah Knows

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows Allah knows

CHORUS

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows Allah knows

CHORUS

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows Allah knows

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows Allah knows

CHORUS (x2)

BRIDGE:
Every grain of sand, In every desert land,
He knows.
Every shade of palm, Every closed hand,
He knows.
Every sparkling tear, On every eyelash,
He knows.
Every thought I have, And every word I share,
He knows. Allah knows

2.10.2010

Hadi Mohd Eh, Mekasih Deh..

" Helo, assalamalaikum ustad mad" bunyi suara tu.

" Waalaikumussalam w.b.t... Ye, sape ni?" Saya membalas dengan nada yang agak matang, maklumlah, diberi gelaran ustaz lewat perbualan itu.

" Bible mu dah sampai, nanti aku hantar rumah besan mu kat batu 6" jelas suara itu pendek tanpa memperkenalkan diri.

" Ye ke? Dah ni sape?" Saya bertanya lagi kerana sekejap ustaz, sekejap mu aku bahasanya sambil mengecam suara siapa yang bercakap dengan saya itu.

" Pudin la nyo" Katanya keras

" Oo.. Laa, Pudin rupanya, suara macam orang dah baligh..uhuk-uhuk.. Patutla aku tak cam.." Balas saya.

" Hadi kirim ke mu.." tambahnya lagi.

" Ye ke? Mekasih r din, susah-susah je wat balik.." jawab saya kembali bersopan.

" Sama-sama.. Auweh" Balas beliau seolah-olah tahu saya sedang bersikap sopan.

Begitulah rentetan perbualan antara saya dan Saifuddin Asyari yang baru pulang dari Indonesia untuk bercuti kurang lebih sebulan. Mungkin mencari bahan untuk skripsi yang sudah diterima proposalnya atau mungkin rindu kepada keluarganya.

Apapun, ucapan terima kasih ini sewajarnya saya tujukan juga kepada pengirim Bible atau al-Kitab jika dalam bahasa Indonesianya iaitu Abdul Hadi Mohd. Saya sudah hampir lupa bahawa saya pernah meminta beliau mengirimkan Bible kepada saya.

"Eh, jom ikut aku gi kat booth Ahmed Deedat jap" pelawa saya kepada Hadi

"Nak buat nape? Tadi lalu, bakpe tak singgah?" Jawabnya (garang dia ni)

"Oor, Di, rilek r.. Nak cari Bible... Nak wat kajian sket.. Hehe" Saya memujuk

"Heh.. Mung? Quran tak habis agi baca, nk cari Bible konon.." Balasnya pula.. (laser dia ni)

"Nak gi amboh?" Kata saya sedikit keras

"Meh r, sian ke mu, nampak macam nak nangis je.. Meh abang teman.." Katanya dengan penuh provokasi.

Itulah antara perbualan saya dengan beliau sewaktu pergi ke ekspo buku antarabangsa di PWTC ketika menyertai lawatan anjuran Lajnah Sukan dan Kebudayaan yang lalu. Disebabkan Bible yang saya cari, tidak saya dapati di gerai itu, maka saya berpesan kepadanya,

" Di, mu gi Indon kekgi, mu cari r ke aku Bible sutir.."

" ..... Hmm..." pendek saja bunyinya.

Akhirnya, baru hari ini beliau membuktikan bahawa " hmm " pendek beliau dulu tidak kosong. Lagi satu, model vespa kayu yang dihadiahkannya juga membawa makna yang besar kepada saya.

Di, aku tahu dah mu bukannya ade pitih ngat, lebih-lebih lagi (ayat baku ni, tak tahu nak letak apa untuk 'lebih-lebih lagi' dalam dialek Terengganu) pas mu masuk spital hari tu n kene cas mahal tak padan ngan demam, hehe. Jadi, hadiah vespa ni, insyaAllah aku akan jaga molek-molek. (Cam jiwang je bunyi, cis)

Tapi, semoga dengan hasil apa yang aku dapat dari Bible ni, akan aku manfaatkan kepada Islam dan selagi mana hadiah yang mu bagi tu aku guna, insyaAllah mu akan dapat pahala berterusan, insyaAllah.


Terima Kasih~~ Wahai Hadi~~ hehe.. (Tolong baca secara berlagu)

P/s: Ingat nak cari gambar kat Lata Cengkih, tapi tak jumpa. hehe..

2.04.2010

Tahniah, Takziah

Tahniah terlebih dulu saya ucapkan buat kakak saya yang kedua kerana baru mendapat cahaya mata yang pertama dan menjadikan koleksi anak-anak buah saya menjadi 7 orang dan bakal menjadi 8 orang pada bulan 3 nanti. Aisyah Wafiyah nama diberi yang pada asalnya hanya mahu mengekalkan nama Aisyah semata-mata. Tetapi waqie' Malaysia yang mahukan nama yang murakkab lebih kuat maka Wafiyah ditambah sebagai penyeri kepada anak saudara saya yang ketujuh itu.

Tahniah juga buat kakak saya yang bongsu kerana menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka yang saya lihat makin hari makin serasi dan punya banyak persamaan dengannya dari banyak segi. Juga saya berterima kasih kepadanya kerana selepas dia, saya pula yang menghitung hari. Malu nak cakap, tetapi menunggu ini kadang-kadang menyeronokkan. hehe. Maaf, agak terover excited, tapi menghitung hari ini bukanlah dalam jangka masa terdekat, mungkin setahun, dua tahun, 3 tahun tetapi sebagai perancangan biarlah sebelum melangkaui usia 25 tahun usia sunnah, mungkin ada hikmahnya di situ.

Takziah pula seawalnya saya tuju kepada pegawai kewangan KUDQI yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah beliau, Bukit Tunggal. Walaupun saya hanya berjumpa dengannya tidak sekerap berjumpa dengan pensyarah-pensyarah lain (bayar yuran, mintak peruntukan, pengurusan dsb.). Namun kehilangannya tetap juga dirasai. Terasa baru benar beliau menulis kerja-kerja beliau di biliknya yang punya kaunter yang jarang beliau gunakan. Mungkin tidak mahu pelajar yang berjumpa dengannya berdiri lama, dipelawa masuk ke bilik. Kepada beliau, al-Fatihah jua saya tujukan. Semoga rohnya diberkati.