Assalamualaikum w.b.t
Mencintai Nabi Muhammad adalah suatu kemestian buat sekalian umatnya. Nabi Muhammad mencintai kita semasa kita masih belum lagi wujud sebagaimana bicaranya terhadap sahabat-sahabat beliau,
"Aku ingin sekali bertemu dengan saudara-saudaraku"
"tidakkah kami ini juga saudara-saudaramu wahai Rasulullah?" sahabat bertanya
"Kamu adalah sahabat-sahabatku dan aku maksudkan ialah saudaraku orang beriman yang belum ada" Jawab Nabi dengan matanya merenung jauh kearah perkuburan Baqi'.
Insan yang bernama Muhammad ini telah menyatakan rasa rindunya untuk bertemu dengan kita, orang yang beriman yang tidak sempat melihat wajah yang tenang dan membahagiakan itu. Soalnya, adakah kita mahu berjumpa baginda yang begitu merindui kita ini dengan hanya berarak berselawat sahaja kepadanya sedangkan sunnah kehidupan baginda langsung tidak kita ikuti.
Islam yang dibawa HabibaLlah itu tidak diambil sepenuhnya bahkan ianya hanya dipandang dengan pandangan menyusahkan hidup, menyekat kebebasan, menjadikan aktiviti yang melalaikan terhapus dan segala kegiatan yang selama ini dibolehkan hawa nafsu akan terbatas. Jika benar kita cinta akan manusia yang diakhir umurnya masih memikirkan kita "ummati.. ummati.." maka pilihlah untuk menjadi Islam seluruhnya. Hidupkan kembali sunnahnya. Hayati kembali perjuangannya.
Kita bukan haiwan yang misinya untuk meneruskan hidup dengan makan minum, tetapi kita Khalifah penerus perjuangan pimpinan agung Muhammad s.a.w. Kita adalah legasi penyambung Islam. Kita generasi yang akan menyampaikan Islam kepada mereka yang akan datang. Kerana, cinta Rasul kepada kita tidak berbelah bagi dan wajar kita balas dengan mengembangkan apa yang dijuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Tanggungjawab sudah melebihi masa yang ada. Andai kita rehat, pastikan rehat kita terisi dengan memikirkan bagaimana mahu menjadi mukmin sejati. Mahu membawa orang lain turut mengecapi nilai iman yang hakiki. Mulakan langkah pertama dengan Ilmu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.