Followers

2.07.2009

Reformasi Kuala Kangsar



Kemarahan jelata sudah tidak dihiraukan, apa yang penting rancangan jahat mereka berjalan. Semoga Allah melaknati mereka yang zalim, tidak kira siapa, pemimpin, ulama', raja, polis dan siapa sahaja.

ولا تركنوا للذين ظلموا فتمسكم النار

Janji Allah tidak pernah termungkir.

Raja Adil Raja Disembah-Sinopsis

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang adalah cerita tentang penentangan rakyat kepada Raja yang tidak adil, saya sekadar ingin menceritakan sinopsis cerita ini kepada semua, pasti semuanya masih ingat filem lakonan Nordin Ahmad ini.

Ceritanya adalah tentang konflik istana, ketaatan hulubalang, penentangan terhadap lanun dan kezaliman sultan yang membawa kepada kemangkatannya. Ceritanya mencapai klimaks apabila Laksamana lakonan Nordin Ahmad dihantar ke luar untuk menghapuskan lanun-lanun yang bermaharajalela merompak dan melakukan kerosakan di kawasan jajahan Sultan Mahmud.

Saat pemergian Laksamana itu, beliau meninggalkan isterinya yang sarat mengandung. Dalam menjalankan tugasnya dan isterinya pula mengidamlah untuk memakan buah nangka. Kebetulan pula lalulah orang istana yang membawa buah nangka Sultan Mahmud. Isteri Laksamana ini meminta dan merayu untuk diberikan kepadanya walaupun seulas sebagai memenuhi selera mengidamnya itu. Seulas nangka diberi dan akhirnya membawa kepada kemurkaan Sultan dan baginda terus menghukum bunuh isteri Laksamana itu dengan kejam sekali.

Ungkapan yang mungkin paling digemari penonton bahkan menjadi satu frasa yang tegas lagi indah untuk dititipkan semula pada masa sekarang adalah "Raja adil raja ku sembah, raja zalim raja ku sanggah" yang dituturkan Nordin Ahmad yang berperanan sebagai Laksamana. Kesudahannya, Laksamana dan sekalian keturunannya disumpah muntah darah jika menginjak kaki ke tanah Kota Tinggi.

Cerita ini menunjukkan kepada kita bahawa menentang kezaliman itu adalah suatu perkara wajib dan sebagaimana al-Quran tidak memberikan ketaatan mutlak kepada pemimpin sebagaimana ketaatan kepada Allah dan Rasul. Cerita ini sekadar sinopsis dari cerita Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Seeru Ala BarakaatiLlah.

2.06.2009

Perak Sebagai Subjek Tuhan Menguji Kita

Allah menguji selepas memberi, itulah yang boleh saya katakan kepada kehilangan negeri Perak yang kini jatuh ke tangan BN dengan cara yang tidak dijangka setelah dikurniakan Kuala Terengganu kepada PR.

Perkara ini melanda segenap pelusuk media negara bahkan mungkin telahpun menjalar ke luar negara. Satu isu yang cukup unik untuk diperhati dan ditelitikan. Keluarlah pelbagai cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa kemasukan Adun Bota ke dalam PKR yang dulunya disambut meriah siap dengan ceramah menyambut beliau tu adalah sebahagian dari rancangan jahat BN sahaja. Ada juga yang mengatakan bahawa BN telah merasuah setiap seorang yang berpaling tadah dari PR itu sebanyak 50 juta seorang. Hm, memang satu nilai yang sangat besar untuk orang yang tiada maruah itu.

Macam-macamlah kata-kata yang keluar dari mulut para pemerhati politik rasmi atau tak rasmi tanahair sekarang. Televisyen usah ceritalah, TV1 terutamanya, seolah-olah berpesta isu, menghentam dan terus menghentam dan melaungkan bahawa akan terus melindungi kedaulatan Sultan Perak dari Si Pakatan Penderhaka. Memang kelakar. Saya hanya senyum dan mengingati peristiwa-peristiwa yang seolah-olah sama yang berlaku di Malaysia lewat tahun lepas. Penderhakaan Sultan, lompat si katak jadian, suapan berjuta-juta dan serangan media (jangan memandang sinis kepada Kerajaan sahaja, lihat kepada Pakatan juga).

Kedaulatan Sultan

Dulunya pernah heboh di Terengganu bahawa perkataan binatang yang dilemparkan kepada Sultan Terengganu adalah satu kebiadapan melampau yang dilakukan oleh pengikut dan penyokong setia nak mati bekas MB Terengganu yang juga terkenal dengan mottonya 'Memahat Sejarah Mencipta Tamadun' itu. Isu ini begitu hebat sehinggakan semangat rakyat Terengganu pada waktu itu telah bersatu tidak kira fahaman politik kerana marahkan si jelata bermulut lancang lagi busuk itu.

Kini di Perak, isu ini cuba digunakan balik bagi menyerang PR dan seterusnya menggunakan peluang ini untuk menjadikan mereka panglima yang pantang jika kedaulatan Sultan dicemar. Isu ini digunakan sebaik sahaja Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang menegaskan bahawa Sultan perlu mengikut lunas undang-undang dan sewajarnya perlu untuk menunggu sehingga dakwaan terhadap ketiga-tiga Adun yang melompat parti itu selesai. Lebih menjadikan BN sebagai laksamana istana yang pantang kesucian istana dicemar adalah dengan perhimpunan rakyat yang mereka gelar sebagai kaki protes di istana sewaktu majlis angkat sumpah pagi tadi dan kenyataan Karpal Singh yang mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Perak kerana tidak mengikut undang-undang tubuh negeri Perak yang telah sedia termaktub dalam perlembagaan negeri.

Saya hanya menggeleng-geleng apabila mengenangkan bahawa Sultan Azlan Shah yang merupakan bekas hakim negara mengabaikan undang-undang yang telah dikemukakan YB Nizar kepada baginda. Inilah politik, rasa saya.

Lompatan Hina Si Katak Jadian

Gambar Hiasan

Lompat melompat ini adalah istilah yang amat popular sekarang, ianya berjaya dikomersialkan dengan lebih baik selepas DSAI menjenamakan semula dengan memperkenalkan teori 16Sept. Dulu pun pernah ada peristiwa lompat melompat seperti ini. Terengganu dan Kelantan terlebih dahulu merasai bahang lompatan ini, PAS Terengganu hilang kerajaan pada 30 Oktober 1961 setelah ianya dibentuk pada tahun 1959, akibat Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh 3 orang ADUN Parti Negara. Kelantan pula memiliki saudara Nordin Salleh yang keluar parti dan berpaling tadah ke Barisan Nasional pada tahun 1990.

Sejak 16Sept lalu, peristiwa melompat parti ini menjadi satu ancaman kepada Umno dan BN dan menjadi kesukaan kepada PR dan ada yang menganggap bahawa ianya langkah demokratik demi negara.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa melompat parti ini adalah satu langkah yang tidak bermaruah dan menunjukkan bahawa si pelompat ini tidak mempunyai pendirian yang jelas dan seolah-olah, sekadar mahu menjaga periuk nasi sendiri sahaja. Mungkin ini satu kesilapan percaturan PR yang menerka ombak politik semasa. Walau siapa dan ke parti mana sekalipun mat-mat lompat ini ingin menjual maruah, akta lompat parti perlu diadakan segera dan kepada PR juga usahlah bersetuju dengan cara melompat parti ini. Ini adalah kerja yang tidak bermaruah. Sebagaimana kita marah dan benci dengan Adun bertiga yang melompat ke parti BN, seperti itu jugalah kita perlu untuk tidak melakukan hal yang sama lain kali.

Media Kerajaan VS Media Pembangkang

Gambar Hiasan

Sekarang ini media milik kerajaan memainkan peranan yang begitu penting untuk memastikan bahawa keputusan politik Perak yang jatuh ke tangan BN adalah satu keputusan yang tepat. Sememangnya BN sahajalah yang boleh memberikan kemakmuran dan kedamaian kepada rakyat Perak, kononnya.

Manakala media milik PR sebelum ini hampir-hampir saja menyerupai media milik kerajaan dalam membetulkan apa yang sedia betul dan membetulkan juga apa yang salah. Ini termasuklah menyokong tindakan melompat parti walaupun pada suatu masa dahulu kita telah mengetahui betapa peritnya kita jika ada pemimpin parti kita berpaling tadah. Sekurang-kurangnya, peristiwa ini menjadi pengajaran dan memberitahu media kita supaya tidak menyerupai media mereka.

Mendengar liputan dari RTM dan media swasta lain adalah amat menjengkelkan, dan saya berharap agar media kita tidak dipandang jengkel seperti itu bilamana kita cuba untuk menyerupai mereka yang begitu taksub melindungi kesilapan pemimpin mereka. InsyaAllah tidak begitu.

Hikmah Kejadian

Kejadian ini adalah sebagai suatu pengajaran kepada kita agar tidak menggunakan cara yang tidak betul untuk mencapai matlamat yang betul dan mungkin juga sebagai cara Allah menyucikan PR dari manusia gila harta dan tidak punya maruah dan mungkin juga Allah mahu memberikan kemenangan kepada kita dengan kemasukan 3 pelompat ini ke dalam BN dan menjatuhkan moral BN dari dalam kerana menerima kaki rasuah ini.

Sebagai orang yang beriman dan yakin dengan kemenangan Islam, seharusnya kita meneruskan kerja dakwah kita dan tidak berhenti untuk terus berharap dan bermunajat untuk diberikan kemenangan kepada Islam. Sabar dengan apa yang berlaku mudah-mudahan Pilihan Raya yang akan datang, kita akan dapat mengambil alih kerajaan pusat dengan kejayaan dakwah bil hal yang kita lakukan bermula sekarang. Seeru Ala BarakaatiLlah.

2.01.2009

Erdogan Si Wira



Semalam, saya terbaca di akhbar tentang Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan seolah-olah menunjukkan sifat wira sejati dengan menempelak Presiden Israel, Simon Peres yang tak henti-henti mempertahankan tindakannya menyerang Palestin. Lebih hebat lagi adalah tindakan si wira ini yang bangun meninggalkan majlis yang memualkan ini.

Berikut adalah kata-katanya sambil menuding ke arah si tua Simon Peres.

“Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus.”

Beliau bangun dan meninggalkan World Economic Forum dan mengatakan keinginannya untuk tidak kembali lagi ke Forum yang memualkan seumpama itu. Sifat pemimpin yang perlu dicontohi oleh pemimpin yang ada di atas muka bumi ini iaitu berpendirian. Tabik Hormat dari saya kepada Erdogan Si Wira.

Perpisahan Itu..

Salam Sejahtera.
Setiap pertemuan ada perpisahannya. Pasti anda semua selalu bahkan terhafal secara tidak langsung ayat ini bukan? Saya baru-baru ini dikejutkan dengan berita kematian seorang lagi sahabat saya. Sahabat yang pernah saya belajar sekelas dengannya dulu. Abdul Qahar Mansur, anak jati Rusila dan merupakan anak saudara kepada Presiden Pas.

Berita kematiannya pada Jumaat lalu mendapat liputan juga kerana beliau merupakan saudara kepada orang nombor satu dalam Parti Islam seMalaysia dan juga kerana kereta yang dilanggarnya itu adalah kereta yang didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan. Saya tidak mahu mempolitikkan isu ini. Biarlah ianya berlalu dan apa yang tersirat di sebalik ini, kita serah kepada Yang Maha Tahu.

Perpisahan Boleh Jumpa

Tadi, saya dikejutkan lagi dengan seorang sahabat yang amat baik dan rapat dengan saya yang ingin menangguhkan semester pelajaran di KUDQI. Tiada ribut, tiada angin. Saya masih mencari jawapannya. Jika wang masalahnya, pasti tiada masalah untuk saya mencampuri urusan ini. Jika hal-hal lain, setakat termampu saya pasti akan menolongnya.

Walau apapun keputusannya, saya sentiasa mendoakan beliau agar sentiasa dinaungi rahmat Allah dan sentiasa mendapat keberkatan dariNya. Salam Perpisahan sementara wahai Sabri. Allah Yubaarik Fik.