Followers

2.06.2009

Perak Sebagai Subjek Tuhan Menguji Kita

Allah menguji selepas memberi, itulah yang boleh saya katakan kepada kehilangan negeri Perak yang kini jatuh ke tangan BN dengan cara yang tidak dijangka setelah dikurniakan Kuala Terengganu kepada PR.

Perkara ini melanda segenap pelusuk media negara bahkan mungkin telahpun menjalar ke luar negara. Satu isu yang cukup unik untuk diperhati dan ditelitikan. Keluarlah pelbagai cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa kemasukan Adun Bota ke dalam PKR yang dulunya disambut meriah siap dengan ceramah menyambut beliau tu adalah sebahagian dari rancangan jahat BN sahaja. Ada juga yang mengatakan bahawa BN telah merasuah setiap seorang yang berpaling tadah dari PR itu sebanyak 50 juta seorang. Hm, memang satu nilai yang sangat besar untuk orang yang tiada maruah itu.

Macam-macamlah kata-kata yang keluar dari mulut para pemerhati politik rasmi atau tak rasmi tanahair sekarang. Televisyen usah ceritalah, TV1 terutamanya, seolah-olah berpesta isu, menghentam dan terus menghentam dan melaungkan bahawa akan terus melindungi kedaulatan Sultan Perak dari Si Pakatan Penderhaka. Memang kelakar. Saya hanya senyum dan mengingati peristiwa-peristiwa yang seolah-olah sama yang berlaku di Malaysia lewat tahun lepas. Penderhakaan Sultan, lompat si katak jadian, suapan berjuta-juta dan serangan media (jangan memandang sinis kepada Kerajaan sahaja, lihat kepada Pakatan juga).

Kedaulatan Sultan

Dulunya pernah heboh di Terengganu bahawa perkataan binatang yang dilemparkan kepada Sultan Terengganu adalah satu kebiadapan melampau yang dilakukan oleh pengikut dan penyokong setia nak mati bekas MB Terengganu yang juga terkenal dengan mottonya 'Memahat Sejarah Mencipta Tamadun' itu. Isu ini begitu hebat sehinggakan semangat rakyat Terengganu pada waktu itu telah bersatu tidak kira fahaman politik kerana marahkan si jelata bermulut lancang lagi busuk itu.

Kini di Perak, isu ini cuba digunakan balik bagi menyerang PR dan seterusnya menggunakan peluang ini untuk menjadikan mereka panglima yang pantang jika kedaulatan Sultan dicemar. Isu ini digunakan sebaik sahaja Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang menegaskan bahawa Sultan perlu mengikut lunas undang-undang dan sewajarnya perlu untuk menunggu sehingga dakwaan terhadap ketiga-tiga Adun yang melompat parti itu selesai. Lebih menjadikan BN sebagai laksamana istana yang pantang kesucian istana dicemar adalah dengan perhimpunan rakyat yang mereka gelar sebagai kaki protes di istana sewaktu majlis angkat sumpah pagi tadi dan kenyataan Karpal Singh yang mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Perak kerana tidak mengikut undang-undang tubuh negeri Perak yang telah sedia termaktub dalam perlembagaan negeri.

Saya hanya menggeleng-geleng apabila mengenangkan bahawa Sultan Azlan Shah yang merupakan bekas hakim negara mengabaikan undang-undang yang telah dikemukakan YB Nizar kepada baginda. Inilah politik, rasa saya.

Lompatan Hina Si Katak Jadian

Gambar Hiasan

Lompat melompat ini adalah istilah yang amat popular sekarang, ianya berjaya dikomersialkan dengan lebih baik selepas DSAI menjenamakan semula dengan memperkenalkan teori 16Sept. Dulu pun pernah ada peristiwa lompat melompat seperti ini. Terengganu dan Kelantan terlebih dahulu merasai bahang lompatan ini, PAS Terengganu hilang kerajaan pada 30 Oktober 1961 setelah ianya dibentuk pada tahun 1959, akibat Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh 3 orang ADUN Parti Negara. Kelantan pula memiliki saudara Nordin Salleh yang keluar parti dan berpaling tadah ke Barisan Nasional pada tahun 1990.

Sejak 16Sept lalu, peristiwa melompat parti ini menjadi satu ancaman kepada Umno dan BN dan menjadi kesukaan kepada PR dan ada yang menganggap bahawa ianya langkah demokratik demi negara.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa melompat parti ini adalah satu langkah yang tidak bermaruah dan menunjukkan bahawa si pelompat ini tidak mempunyai pendirian yang jelas dan seolah-olah, sekadar mahu menjaga periuk nasi sendiri sahaja. Mungkin ini satu kesilapan percaturan PR yang menerka ombak politik semasa. Walau siapa dan ke parti mana sekalipun mat-mat lompat ini ingin menjual maruah, akta lompat parti perlu diadakan segera dan kepada PR juga usahlah bersetuju dengan cara melompat parti ini. Ini adalah kerja yang tidak bermaruah. Sebagaimana kita marah dan benci dengan Adun bertiga yang melompat ke parti BN, seperti itu jugalah kita perlu untuk tidak melakukan hal yang sama lain kali.

Media Kerajaan VS Media Pembangkang

Gambar Hiasan

Sekarang ini media milik kerajaan memainkan peranan yang begitu penting untuk memastikan bahawa keputusan politik Perak yang jatuh ke tangan BN adalah satu keputusan yang tepat. Sememangnya BN sahajalah yang boleh memberikan kemakmuran dan kedamaian kepada rakyat Perak, kononnya.

Manakala media milik PR sebelum ini hampir-hampir saja menyerupai media milik kerajaan dalam membetulkan apa yang sedia betul dan membetulkan juga apa yang salah. Ini termasuklah menyokong tindakan melompat parti walaupun pada suatu masa dahulu kita telah mengetahui betapa peritnya kita jika ada pemimpin parti kita berpaling tadah. Sekurang-kurangnya, peristiwa ini menjadi pengajaran dan memberitahu media kita supaya tidak menyerupai media mereka.

Mendengar liputan dari RTM dan media swasta lain adalah amat menjengkelkan, dan saya berharap agar media kita tidak dipandang jengkel seperti itu bilamana kita cuba untuk menyerupai mereka yang begitu taksub melindungi kesilapan pemimpin mereka. InsyaAllah tidak begitu.

Hikmah Kejadian

Kejadian ini adalah sebagai suatu pengajaran kepada kita agar tidak menggunakan cara yang tidak betul untuk mencapai matlamat yang betul dan mungkin juga sebagai cara Allah menyucikan PR dari manusia gila harta dan tidak punya maruah dan mungkin juga Allah mahu memberikan kemenangan kepada kita dengan kemasukan 3 pelompat ini ke dalam BN dan menjatuhkan moral BN dari dalam kerana menerima kaki rasuah ini.

Sebagai orang yang beriman dan yakin dengan kemenangan Islam, seharusnya kita meneruskan kerja dakwah kita dan tidak berhenti untuk terus berharap dan bermunajat untuk diberikan kemenangan kepada Islam. Sabar dengan apa yang berlaku mudah-mudahan Pilihan Raya yang akan datang, kita akan dapat mengambil alih kerajaan pusat dengan kejayaan dakwah bil hal yang kita lakukan bermula sekarang. Seeru Ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.