Followers

7.30.2010

Inilah Ilmu Jalanan Kawan!

Ilmu itu bukan semuanya datang dari dalam kelas. Ilmu itu boleh sahaja datang dari muamalat, dari kena marah, dari pujian, dari pujukan, dari penglihatan, dari pendengaran, dari cakap-cakap, dari cerita dan dari mana sahaja. Bezanya jika ilmu itu ada guna dan tidak salah pula dari sudut agama, maka pakai ia, jika sebaliknya buangkannya sejauh mana lontaran akal kita mampu membalingnya.

Sebulan beberapa hari ini saya berada di Yaman, selain menambah ilmu-ilmu kitabi, saya juga berusaha sedaya upaya untuk mempelajari ilmu alami yang tidak sukar untuk kita mengutipnya di jalanan. Hanya kita sahaja mampu memilih samada mahu mengiktirafnya sebagai ilmu atau tidak.

Ilmu muamalat dengan manusia contohnya, jika kita tidak prihatin dan tak mahu pula menggunakan akal kurniaan Allah dengan mendalam, nescaya kita akan merasa pandai melebihi segala. Sudahlah begitu, tidak timbul pula perasaan kasihan dengan orang yang bermuamalat dengan kita kerana kita menyangka bahawa kitalah si pandai yang mengetahui segala helah dan tipudaya orang yang bermuamalah dengan kita.

Saya di sini kerap benar menaiki teksi yang jarang sekali saya naik di Malaysia, mungkin nisbah 5/6 tahun sekali. Jadi saya ingin berkisah tentang tambang yang dikenakan pemandu, mungkin kadang-kadang ada juga yang mahu cekik darah tapi jika kita mengetahui berapa yang harus kita bayar, tidak jadi masalah. Tapi yang menjadi masalah adalah kita mahu mengurangi melebihi kadar yang sepatutnya hingga membebankan pemandu.

Tidak semua arab itu jahat dan jangan sesekali meletakkan mindset pertama kita bahawa arab itu jahat nescaya kita akan terlepas peluang belajar. Begitu juga dengan penjual barang-barang lain. Ayah saya berniaga, jadi sekurang-kurangnya saya tahu emosi ayah waktu diminta untuk menurunkan harga barang melebihi kadar yang sepatutnya. Sudahlah begitu dihamun pula dengan perkataan yang keras-keras.

Saya sedar, bagi sesetengah orang, dapat memaki Arab dan memarahinya di depan kawan-kawan lebih-lebih lagi di depan orang baru seperti saya adalah satu aksi herois yang hanya mampu dilakukan oleh orang yang berani-berani sahaja kononnya. Saya tidak salute langsung tindakan seperti itu. Apakan tidak, memarahi seseorang yang mahu memperjuangkan hak nafkahnya kepada keluarga dilihat herois dan dikecam pula kerana orang itu tidak mahu menolong tholib ilm seperti kita.

Saya kata, tholib ilm jenis apa yang tidak tahu beradab dengan orang? Tholib ilm jenis apa yang mengajar sahabat-sahabatnya untuk suu' zhon pada kali pertama bertemu? Masya Allah, jauh benar dari landasan keilmuan itu kawan.

Jadi, belajarlah dari sesiapa sahaja kerana belajar itu tiada ruginya. Apa yang kita perlu adalah tapisan akal yang waras kerana ini adalah ilmu jalanan kawan!

P/s: Tulisan ini untuk muhasabah bersama.

Kesepian Dua Minggu

Dalam dua minggu ini, kerap sungguh air mata ini menitis(sungguh puitis) tatkala diriku ini ditinggalkan sendirian di rumah dek kerana keinginanku yang kuat pada mulanya untuk menjadi penjaga rumah sukarela. Hehe

Tapi nak dijadikan cerita, memang rumah saya sekarang sunyi sungguh. Langsung tiada suara hilaian kawan-kawan yang selalu bergurau dengan gurauan yang extreme ataupun bunyi deruman enjin kereta kaki-kaki racing yang memandu dengan menggunakan 3 batang jari atau bunyi pengumuman bendahari rumah dan S/u rumah untuk meminta duit sewa atau menyuruh orang memasak mengikut jadual.

Mereka semua bakal menjadi duta Palestina saat dua minggu ini selesai mereka tempuhi. Sebagai ahli rumah saya turut menumpang bangga apabila Daurah Palestina yang mereka ikuti ini turut dihadiri Syeikh Mahmoud Siyaam selaku penceramah jemputan. Rasa saya, mereka ini pastilah akan turut bersemangat memandangkan Syeikh yang terbang dari Palestin ini sudi meluang masa untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan mereka.

Saya pula tidak ke mana, hanya mencari ilmu di jalanan, membayar pengalaman dengan harga yang kadang-kadang percuma, kadang-kadang terlalu mahal dan kadang-kadang amat berbaloi. Mudah-mudahan, semuanya baik untuk kami.

Ucapan penuh barokah juga di ucapkan buat semua kawan-kawan yang dekat dan jauh yang melangsungkan pernikahan demi pernikahan (hehe). Semoga kekal ke anak cucu. :)

BaarakaLlahu Lakuma wa baraka alaikuma wa jama'a bainakuma fil Khair...

P/s: Mudah-mudahan hidup mereka tidak sunyi lagi. Hehe

7.12.2010

Bola dan Keghairahan

Assalamualaikum w.b.t.

Semalam, kegilaan dunia selama 4 tahun sekali telah berakhir yang menyaksikan Asbania dalam bahasa arabnya atau Sepanyol telah mendakap erat trofi emas yang menjadi buruan negara-negara yang ada di dunia ini dengan menewaskan Belanda.

Agak tidak sedap juga bila menulis tentang bola sepak tanpa istilah yang catchy dan funky untuk menggambarkan kemeriahan dan keriuhan temasya Piala Dunia, namun biarkan saja kerana saya bukanlah mahu menulis tentang bola sangat. Sekadar menjadikannya sebagai mukadimah subjek penulisan yang ketiga pada bulan Julai ini.

Yang hairan penyokong negara-negara bertanding, begitu bersemangat sampai berjersi-jersi, membeli bendera bahkan yang hairan sampai bergaduh masam-masam muka kerana ejek mengejek tentang pasukan masing-masing. Betul-betul kecoh! Macamlah hadiah yang dijuarai pasukan el-Matador bakal dikongsi dengannya. Betul-betul boleh gelak bila melihat penyokong fanatik ini lebih-lebih lagi jika mereka bukanlah warganegara Spain, Holland, Jerman, Uruguay atau Brazil. Tapi, itulah penangan bola! Tak percaya, register Facebook dan lihat status peminat bola. :)

Yang menarik pada saya adalah pengaruh seekor Paul iaitu seekor sotong kurita yang dikatakan orang boleh meramal-ramal tentang pasukan manakah yang bakal menang dan tidak lama selepas itu muncul pula burung yang turut memiliki kebolehan yang sama. Sungguh gila. Sungguh syirik. Ya, saya katakan sungguh syirik jika kita mempercayainya.

Tapi di sebalik kelam-kelibut, riuh-rendah dan sorak sorai di setiap TV, saya tertarik tentang satu entry dari sahabat saya dan saya tidak tahu kenapa beliau menggunakan tajuk posting beliau dengan meletakkan juga nama blog ini. Mungkin untuk menaikkan seri blog beliau barangkali. Boleh lihat di sini.

Kagum saya kerana di tengah orang berbalah mahu sokong pasukan mana, beliau yang berfikiran tajdid pula sibuk mencari surau yang boleh menerima beliau untuk mengisi aktiviti keilmuan di sana. Bayangkan pula datangnya susuk ini bukanlah dari institusi yang punya autoriti untuk memberi syarahan agama bahkan keterlibatan beliau dalam lapangan keilmuan Islam ini sekitar 3-4 tahun kebelakangan ini sahaja tetapi kesungguhannya menyebabkan saya menggeleng-geleng kepala dan mengatakan engkau memang boleh memintas orang yang mengaji sambil lewa selama sepuloh tahun, di dalam hati. Ya, saya hanya mengatakan di dalam hati.

Saya tidak tahu apakah yang membakar adrenalinnya untuk begitu pantas menawarkan diri di saat pemuda lain yang diminta untuk memberi kuliah saling tolak menolak satu sama lain. Bahkan kini katanya jadualnya akan ke 3 surau dan masjid setiap minggu. Selepas ini mungkin saya juga tidak berpeluang untuk berlabun dengan beliau di waktu-waktu lapang kerana saya percaya beliau lebih perlukan masa itu untuk bersama buku dan rujukan untuk ke kuliah. Syabas saya ucapkan.

Di sebalik kegembiraan saya dengan semangat dan tanggungjawab beliau, timbul juga rasa kesal dan sedih kerana sahabat tempatan yang tidak menjumpai titik keghairahan mencari dan menyampaikan ilmu. Melihat ilmu umpama memandang nasi tanpa lauk. Cukup sedih kerana sahabat yang ghairah mencari pengalaman dengan memberi kuliah-kuliah keagamaan itu datangnya jauh dari Kuala Lumpur.

Andai setiap penuntut-penuntut yang belajar di institusi ini membanting tulang pergi ke masjid/surau di daerah sekitar saya kira tidak perlu promosi untuk menyambut pendaftaran baru kerana masyarakat dapat menghidu kualiti yang ada di balik bangunan yang kurang sempurna itu. Promosi pada saya ialah bilamana sesuatu tempat itu tidak lagi mempunyai kualiti untuk menarik minat orang.

P/s: Tulisan ini saya dedikasikan khas buat sahabat saya, pemilik blog tajdidperjuangan.blogspot.com. Salam juang kawan.

7.09.2010

Sederhana, Itu Kuncinya!

Seringkali kita dengar tentang ekstremis atau terlampau. Tidak kiralah ianya mengaitkan urusan ibadat, kehidupan, percintaan sesama insan, perjuangan kepartian dan sebagainya. Ekstremis seringkali dilihat suatu bentuk yang tidak cantik untuk dibawa dan seringkali menjadi penyebab kepada kejatuhan dan kemalapan sesuatu perkara yang dilihat punya potensi pada mulanya.

Kata Nabi S.A.W :
خير الأمور أوسطها
(Sebaik-baik perkara adalah bersederhana)

Kerana itulah setiap kali sebelum melakukan tindakan, hendaklah kita berkira-kira samada tindakan kita ini berlebihan atau tidak. Bimbang-bimbang jika tindakan kita itu bakal merugikan Islam bahkan kadang kala merugikan juga diri sendiri.

Jika seorang lelaki yang ingin mengorat seorang gadis yang kebetulan pula menjadi dambaan pria-pria, hendaklah tidak terlalu ekstrim menunjukkan rasa cinta dan beria-ia pula ia mengatakan bahawa gadis itu pun suka akan dirinya, maka sudah tentu cinta yang diajukan jejaka tadi tidak akan mendapat perhatian si gadis. Puncanya, ekstrim dan natijahnya ketakutan si gadis.

Begitu jua soal ibadah. Contohnya cukup jelas dengan hadith Rasulullah.

Dari Anas r.a., katanya: Ada tiga macam orang datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menanyakan tentang hal bagaimana ibadah Nabi s.a.w. Kemudian setelah mereka diberitahu lalu seolah-olah mereka menganggap amat sedikit saja ibadah baginda s.a.w. itu.

Mereka lalu berkata: “Ah, di manakah kita ini – maksudnya: Kita ini jauh perbezaannya kalau dibandingkan – dengan Nabi s.a.w. sedangkan beliau itu telah diampuni segala dosanya yang lampau dan yang kemudian.”

Seorang dari mereka itu berkata: “Adapun saya ini, maka saya bersembahyang semalam suntuk selama-lamanya.” Yang lainnya berkata: “Adapun saya, maka saya berpuasa sepanjang tahun dan tidak pernah saya berbuka.” Yang seorang lagi berkata: “Adapun saya, maka saya menjauhi para wanita, maka sayapun tidak akan kawin selama-lamanya.”

Rasulullah s.a.w. kemudian mendatangi mereka lalu bersabda: “Engkau semuakah yang mengatakan demikian, demikian? Wahai, demi Allah, sesungguhnya saya ini adalah orang yang tertaqwa di antara engkau semua kepada Allah dan tertakut kepadaNya, tetapi saya juga berpuasa dan juga berbuka, saya pun bersembahyang tetapi juga tidur, juga saya suka kahwin dengan para wanita. Maka barangsiapa yang enggan pada cara perjalananku, maka ia bukanlah termasuk dalam golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)

Jelas menunjukkan di sini amalan berlebihan dalam beribadah adalah perkara yang tidak digemar nabi s.a.w. Justeru berhati-hatilah dengan keekstriman dalam melakukan ibadah dan janganlah pula hingga ke tahap mengurangkannya. Jangan pula disalah ertikan. :)

Ekstrim dalam dakwah pula saya melihat sebagai merugikan. Kerana tiada siapa yang suka dengan cara yang berlebih-lebihan jika diajak melakukan sesuatu. Sukakah anda jika anda dihempuk kepala jika hendak diajak solat jemaah? Kasar biarlah kena pada tempatnya.

Jika membabitkan perasaan orang pula, lebih-lebih lagilah kita wajib menjaganya. Da'ie bukan ahli gusti yang boleh membelasah perasaan lawan sesuka hati seolah-olah kita ini suci. Jangan begitu kawan. Da'ie biarlah memberi keselesaan kepada kawan dan keseganan kepada lawan. Sederhanalah kerana kita mungkin diberi hidayah oleh Allah terlebih dahulu dan doakanlah supaya mad'u kita turut merasai nikmat petunjuk dari Allah itu.

Pukulan pada badan mungkin kesannya akan hilang, tetapi pukulan dan cercaan kepada hati mungkin akan membawa kepada pengambilan amalan kita di dunia ini oleh mangsa kita di Akhirat kelak.

Jaga lidah dalam berdakwah, jaga perbuatan dalam berdakwah. Kita ada dua pilihan, menguntungkan Islam dan merugikan Islam. Sederhana, itu kuncinya kawan!

7.02.2010

Sona'a 2

Memulakan hari pertama di rumah yang disewa agak mencabar hidung kami. Mungkin lama ditinggalkan menyebabkan rumah itu memprotes kehadiran kami dengan bau yang agak menusuk kalbu, namun kami tahan kerana kami ingin menjadikan diri kami sebahagian dari rumah tersebut. Bayangkan, lalat pun mati. Hehe

Dengan penuh semangat kerukunan, kami bergotong royong memastikan rumah ini secepat mungkin boleh didiami. Alhamdulillah, tidak sampai sehari rumah tersebut mula menunjukkan rasa damai untuk menerima kehadiran penghuni baru yang kacak-kacak seperti kami berlima. Dengan sewa RY30'ooo, kami memulakan langkah kami di Sona'a dengan selesa

Mengisi waktu yang kosong disamping cuba memenuhkan jua ruang-ruang kosong di rumah kami, operasi mendapatkan kelengkapan asasi mula dijalankan. Tak sangka banyak juga duit yang habis akibat dari operasi tersebut. Dengan kepala masing-masing masih lagi terkial-kial menukar currency Yaman ke Malaysia, terkial-kial juga duit dari poket ingin dikeluarkan. Alhamdulillah, semakin hari semakin sayang. Hmm, macam tajuk lagu pun ada

Dua minggu ini masih lagi belum terisi sepenuhnya dengan aktiviti keilmuan. Mohon pada Allah agar tidak berpanjangan, insyaAllah. Selepas rancangan membeli kitab untuk bertalaqqi ini berhasil, insyaAllah saya akan cuba sedaya upaya untuk mendisiplinkan diri mengikuti aktiviti keilmuan ini

Sabtu ini atau esok secara lebih tepatnya, segerombolan sahabat-sahabat yang telah lama berjuang di bumi ini akan pulang ke tanah air untuk bercuti, insyaAllah selamat saya doakan kerana bersama mereka saya kirimkan sedikit hadiah buat keluarga. Mudah-mudahan sabda nabi tentang hadiah ini sampai.

"Memberi hadiah menimbulkan rasa berkasih sayang"


InsyaAllah muqaddimah kesampaian saya di sini berakhir di sini dan akan ada kesinambungan risalah-risalah keilmuan yang mudah-mudahan akan membawa keuntungan kepada umat Islam.