Followers

7.30.2010

Inilah Ilmu Jalanan Kawan!

Ilmu itu bukan semuanya datang dari dalam kelas. Ilmu itu boleh sahaja datang dari muamalat, dari kena marah, dari pujian, dari pujukan, dari penglihatan, dari pendengaran, dari cakap-cakap, dari cerita dan dari mana sahaja. Bezanya jika ilmu itu ada guna dan tidak salah pula dari sudut agama, maka pakai ia, jika sebaliknya buangkannya sejauh mana lontaran akal kita mampu membalingnya.

Sebulan beberapa hari ini saya berada di Yaman, selain menambah ilmu-ilmu kitabi, saya juga berusaha sedaya upaya untuk mempelajari ilmu alami yang tidak sukar untuk kita mengutipnya di jalanan. Hanya kita sahaja mampu memilih samada mahu mengiktirafnya sebagai ilmu atau tidak.

Ilmu muamalat dengan manusia contohnya, jika kita tidak prihatin dan tak mahu pula menggunakan akal kurniaan Allah dengan mendalam, nescaya kita akan merasa pandai melebihi segala. Sudahlah begitu, tidak timbul pula perasaan kasihan dengan orang yang bermuamalat dengan kita kerana kita menyangka bahawa kitalah si pandai yang mengetahui segala helah dan tipudaya orang yang bermuamalah dengan kita.

Saya di sini kerap benar menaiki teksi yang jarang sekali saya naik di Malaysia, mungkin nisbah 5/6 tahun sekali. Jadi saya ingin berkisah tentang tambang yang dikenakan pemandu, mungkin kadang-kadang ada juga yang mahu cekik darah tapi jika kita mengetahui berapa yang harus kita bayar, tidak jadi masalah. Tapi yang menjadi masalah adalah kita mahu mengurangi melebihi kadar yang sepatutnya hingga membebankan pemandu.

Tidak semua arab itu jahat dan jangan sesekali meletakkan mindset pertama kita bahawa arab itu jahat nescaya kita akan terlepas peluang belajar. Begitu juga dengan penjual barang-barang lain. Ayah saya berniaga, jadi sekurang-kurangnya saya tahu emosi ayah waktu diminta untuk menurunkan harga barang melebihi kadar yang sepatutnya. Sudahlah begitu dihamun pula dengan perkataan yang keras-keras.

Saya sedar, bagi sesetengah orang, dapat memaki Arab dan memarahinya di depan kawan-kawan lebih-lebih lagi di depan orang baru seperti saya adalah satu aksi herois yang hanya mampu dilakukan oleh orang yang berani-berani sahaja kononnya. Saya tidak salute langsung tindakan seperti itu. Apakan tidak, memarahi seseorang yang mahu memperjuangkan hak nafkahnya kepada keluarga dilihat herois dan dikecam pula kerana orang itu tidak mahu menolong tholib ilm seperti kita.

Saya kata, tholib ilm jenis apa yang tidak tahu beradab dengan orang? Tholib ilm jenis apa yang mengajar sahabat-sahabatnya untuk suu' zhon pada kali pertama bertemu? Masya Allah, jauh benar dari landasan keilmuan itu kawan.

Jadi, belajarlah dari sesiapa sahaja kerana belajar itu tiada ruginya. Apa yang kita perlu adalah tapisan akal yang waras kerana ini adalah ilmu jalanan kawan!

P/s: Tulisan ini untuk muhasabah bersama.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.