Followers

7.12.2010

Bola dan Keghairahan

Assalamualaikum w.b.t.

Semalam, kegilaan dunia selama 4 tahun sekali telah berakhir yang menyaksikan Asbania dalam bahasa arabnya atau Sepanyol telah mendakap erat trofi emas yang menjadi buruan negara-negara yang ada di dunia ini dengan menewaskan Belanda.

Agak tidak sedap juga bila menulis tentang bola sepak tanpa istilah yang catchy dan funky untuk menggambarkan kemeriahan dan keriuhan temasya Piala Dunia, namun biarkan saja kerana saya bukanlah mahu menulis tentang bola sangat. Sekadar menjadikannya sebagai mukadimah subjek penulisan yang ketiga pada bulan Julai ini.

Yang hairan penyokong negara-negara bertanding, begitu bersemangat sampai berjersi-jersi, membeli bendera bahkan yang hairan sampai bergaduh masam-masam muka kerana ejek mengejek tentang pasukan masing-masing. Betul-betul kecoh! Macamlah hadiah yang dijuarai pasukan el-Matador bakal dikongsi dengannya. Betul-betul boleh gelak bila melihat penyokong fanatik ini lebih-lebih lagi jika mereka bukanlah warganegara Spain, Holland, Jerman, Uruguay atau Brazil. Tapi, itulah penangan bola! Tak percaya, register Facebook dan lihat status peminat bola. :)

Yang menarik pada saya adalah pengaruh seekor Paul iaitu seekor sotong kurita yang dikatakan orang boleh meramal-ramal tentang pasukan manakah yang bakal menang dan tidak lama selepas itu muncul pula burung yang turut memiliki kebolehan yang sama. Sungguh gila. Sungguh syirik. Ya, saya katakan sungguh syirik jika kita mempercayainya.

Tapi di sebalik kelam-kelibut, riuh-rendah dan sorak sorai di setiap TV, saya tertarik tentang satu entry dari sahabat saya dan saya tidak tahu kenapa beliau menggunakan tajuk posting beliau dengan meletakkan juga nama blog ini. Mungkin untuk menaikkan seri blog beliau barangkali. Boleh lihat di sini.

Kagum saya kerana di tengah orang berbalah mahu sokong pasukan mana, beliau yang berfikiran tajdid pula sibuk mencari surau yang boleh menerima beliau untuk mengisi aktiviti keilmuan di sana. Bayangkan pula datangnya susuk ini bukanlah dari institusi yang punya autoriti untuk memberi syarahan agama bahkan keterlibatan beliau dalam lapangan keilmuan Islam ini sekitar 3-4 tahun kebelakangan ini sahaja tetapi kesungguhannya menyebabkan saya menggeleng-geleng kepala dan mengatakan engkau memang boleh memintas orang yang mengaji sambil lewa selama sepuloh tahun, di dalam hati. Ya, saya hanya mengatakan di dalam hati.

Saya tidak tahu apakah yang membakar adrenalinnya untuk begitu pantas menawarkan diri di saat pemuda lain yang diminta untuk memberi kuliah saling tolak menolak satu sama lain. Bahkan kini katanya jadualnya akan ke 3 surau dan masjid setiap minggu. Selepas ini mungkin saya juga tidak berpeluang untuk berlabun dengan beliau di waktu-waktu lapang kerana saya percaya beliau lebih perlukan masa itu untuk bersama buku dan rujukan untuk ke kuliah. Syabas saya ucapkan.

Di sebalik kegembiraan saya dengan semangat dan tanggungjawab beliau, timbul juga rasa kesal dan sedih kerana sahabat tempatan yang tidak menjumpai titik keghairahan mencari dan menyampaikan ilmu. Melihat ilmu umpama memandang nasi tanpa lauk. Cukup sedih kerana sahabat yang ghairah mencari pengalaman dengan memberi kuliah-kuliah keagamaan itu datangnya jauh dari Kuala Lumpur.

Andai setiap penuntut-penuntut yang belajar di institusi ini membanting tulang pergi ke masjid/surau di daerah sekitar saya kira tidak perlu promosi untuk menyambut pendaftaran baru kerana masyarakat dapat menghidu kualiti yang ada di balik bangunan yang kurang sempurna itu. Promosi pada saya ialah bilamana sesuatu tempat itu tidak lagi mempunyai kualiti untuk menarik minat orang.

P/s: Tulisan ini saya dedikasikan khas buat sahabat saya, pemilik blog tajdidperjuangan.blogspot.com. Salam juang kawan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.