Followers

12.30.2010

Malaysia Menang Walau Dilaser!

Hari ni team Malaysia berjaya kalahkan team Indonesia dengan agregat 4-2. Walaupun kalah di tempat lawan, tapi tak kisah la. Juara tetap juara.

Sejak bila saya minat bola?

Er.. Sejak tadi mungkin. Tu pun tengok ikut youtube je. Highlight punye. Hehe.

Tak kisah la, esok dah buat keputusan untuk turun main bola kat Hadiqoh Sab'een. Kawan-kawan seMalaysia, jom kite!!

12.27.2010

Mintak Jauh!

Aku baru sahaja memijak kaki ke bumi Malaysia.

Tak banyak berubah sejak dari aku meninggalkannya enam bulan lalu. Iyalah, enam bulan lalu, setakat mana kerajaan mampu mengubah dan memajukan negeri ini dalam tempoh tersebut.

Aku balik dari airport menuju ke rumah melalui jalan pantai Tok Jembal. Lama benar aku tidak melihat panorama pantai ini. Ombak masih belum berhenti menghempas pasir dan pasir tetap bersabar dengan karenah ombak itu.

12.21.2010

Nahu di Jepun

Petang-petang biasanya saya akan bertalaqqi atau pergi belajar dengan seorang alim. Syeikh Muhammad Abduh al-Ahdal namanya. Agak ramai jugalah yang mengambil manfaat ilmu dari syeikh ini.

Kawan saya membuka atau membaca kitab nahu dengan beliau. Dalam ilmu nahu ini, terdapat juga khilaf atau perselisihan pendapat antara ulama-ulama nahu. Paling ketara adalah antara Kufah dan Basrah.

12.08.2010

Ana Tak Faham La Pasal...

Kawan saya sorang ni memang pembaca buku atau kitab tegar.

"Mad, ana tak faham la pasal 'suluh' ni.." beliau menimbulkan persoalan.

"Sulh Hudaibiyah ke?" Saya bertanya kembali.

Monolog...

Saya pandang siling putih bilik saya, tiada apa-apa melainkan sehelai cek bernilai satu juta yang sejak dari mula menyewa lagi ianya sudah tertampal di situ. Dinding yang tertampal peta dunia yang bersaiz XXL juga tembus dek pandangan saya. Melihat bukan hanya pada zat. Tapi jauh menembus ke dalam. Melepasi dinding yang membentengi antara bilik ini dengan dua bilik lain.

11.30.2010

Macam La Dia Tu....

"Sedap-sedap je dia kutuk orang, macam la dia ferferct" Kata kawan saya.

"Apa dia?" Saya bertanya untuk memastikan

"Takde la, dia kutuk-kutuk orang macam la dia tu ferfect" Katanya lagi

P/s: Perfect la, perfect!

Lady Gaga dan Freemasonnya Beliau...

"Lady Gaga tu ejen Yahudi, freemason. Tengok la dalam klip-klip video dia tu, banyak tanda-tanda yang menandakan dia tu ejen freemason laknatullah." kata seorang muslim yang begitu sensitif dengan freemason.

Saya sudah bosan mendengar ungkapan itu bahkan saya juga kerap melihat video-video tandaan di dalam facebook menerangkan betapa freemasonnya penyanyi-penyanyi ini. Dari satu ke satu penyanyi yang dibongkar statusnya sebagai apa dan apa dalam facebook.

11.24.2010

Sekarang Ke Dulu?


Kuala Terengganu 1980 an
Saya suka suasana dulu-dulu.

Saya suka kenderaan dulu-dulu.

Saya suka kampung dan ahlinya yang dulu-dulu.

Sungguh, Bola Itu Bulat!

Semalam saya telah bermain bola mewakili pasukan Majmu' FC yang kebetulannya pasukan ini diwujudkan untuk orang-orang yang tak punya pasukan sendiri. Saya cuma hantar nama secara perseorangan dan pihak Lajnah Sukan dan Kebudayaan yang menyusunnya menjadi satu pasukan. Dari saat saya menulis tentang ini pun, yuran masih belum saya jelaskan.

Mungkin itu boleh dikategorikan sebagai punca pasukan saya tidak berjaya keperingkat seterusnya. Apa yang saya tahu pasukan saya hanya berjaya mendapat tempat ketiga peringkat kumpulan. Bolehlah tu.

11.19.2010

Salam Adha 1431

Selamat Hari Raya Aidil Adha...

Sama-sama jadikan pengorbanan KhaliluLlah Ibrahim dan puteranya Ismail sebagai panduan untuk berkorban.

Saya sedikit sibuk sepanjang Eid Adha ini. Pengorbanan masa mungkin...

11.14.2010

Maaf Wahai Sudin...

Sedang saya lena tidur, saya dikejutkan oleh satu panggilan pantas. Macamana saya boleh lupa nak silent handphone selepas mengaji tadi pun saya tak tahu. Pagi-pagi di kala matahari malu-malu nk menunjukkan sinar memang waktu yang agak sesuai untuk melabuhkan tubuh di atas tilam. Jika tiada kerja.

"Wei, Assalamualaikum... Mu buat ape tu? Main bola jom.." Pelawa si Sudin, kawan saya yang sedang menumpang di rumah Presiden PERMAYA di Mazbah.

11.05.2010

Menyelidik..

Sepanjang saya terlibat dalam arena perlembuan separuh masa ini, saya dapati lembu ini merupakan ciptaan yang menarik. Hebat betul Allah yang menciptakan lembu ini. Kambing juga tentunya.

Saya berterusan memerhati gerak geri lembu ini dan mendapati tugas beliau hari ke hari adalah makan, minum, rileks2 di bawah sinaran mentari, berak, kencing dan tidur. Peliknya apabila saya menziarahi lagi lembu-lembu dan kambing-kambing ini pada keesokan hari, mereka masih lagi serupa.

10.17.2010

Mulakan Bi'ah Itu

"Berkawan dengan penjual minyak wangi, paling tidakpun, tercalit sama bau wangi pada kita.. Tapi kalau berkawan dengan penempa besi, pasti badan kita berbau besi dan baju kitapun akan cacat kesan dari percikan api sewaktu besi itu ditempa" Kata seorang ustaz dalam satu siri tazkirah ringkas beliau.

Persekitaran merubah seseorang. Di mana dia tinggal, bersama siapa dia berkawan, makanan apa yang dia makan, minuman apa yang selalu dia minum dan macam-macam lagi yang boleh merubah manusia menjadi lain dari sebelumnya.

10.13.2010

Hilang Daya

Orang kata, bila kita tak tahu nak tulis apa, daya fikir kita dah makin tumpul. Tumpuan kita semakin hilang. Perhatian kita semakin tidak tajam. Bacaan kita semakin kurang. Kebolehan kita untuk mengupas isu-isu semakin menipis dan pelbagai lagi yang boleh diandaikan dengan kekurangan kita menulis kerana masalah tak tahu nak tulis apa.

Saya mengalami hal itu.

10.11.2010

Sponsor

John : Tahun depan balik Malaysia la, cari duit sikit..
Wayne : Kerja ke? Kerja apa?
John : Bukan kerja sangat pun.. Pergi je kuliah kat mana-mana surau masjid, sambil-sambil kuliah mintak r sumbangan.
Wayne : Ish, hebat tu..
John : Enta tak nak cuba ke? Lumayan tau. Ana buat sebelum ni, boleh tanggung ana setahun.
Wayne : Enta memang hebat. (Hampeh)

10.04.2010

Video 'o' Video

"Wei, KUDQI nak video perantauan ni.." sound saya kepada kawan-kawan se-KUDQI.

"Mu je la wakil.." laung Khasie dari bilik sebelah

"Aku kan komera-man.." balas saya.

10.01.2010

Nikmat Sihat

Dulu selalu dengar Kumpulan Rabbani nasyid lagu Ingat Lima Sebelum Lima. Lagu ni macam bunyi dikir barat. Rangkap yang best bila bunyi pasal sakit. Ingat sihat sebelum sakit.

Bila Sihat Jagalah Badan
Sebelum Derita Sakit Tak Keruan
Kawallah Makan Untuk Kesihatan
Ringan Ibadah Nak Dikerjakan

9.29.2010

Masih Belum Terlambat!

Bila saya membaca profil orang-orang hebat dan ternama, kebanyakannya memulakan pengembaraan hidup yang luar biasa itu sedari kecil lagi. Maksudnya keajaiban mereka bermula sejak kelahiran mereka ke dunia lagi.

Bahkan, saya juga perasan tentang yang hebat-hebat ini sudah mula bervisi dari usia kecil. Usia yang kita pada ketika itu sibuk berimaginasi tentang perlawanan raksasa dengan ultraman dan bagaimana adik beradik ultraman datang membantu. Usia yang mengambil botol air dan apungkannya di dalam baldi sambil membayangkan itu adalah kapal atau kapal selam.

9.25.2010

Hari Sabtu

Hari ini pergi ke Jamiah Ulum dan Teknologi, berjumpa dengan syeikh Ali Hasyi bagi menyerahkan Khuttoh Dirasah KUDQI atau dalam bahasa senangnya silibus pengajian KUDQI.

Setelah beliau menilik dalam masa 10-15 saat, maka beliau kata esok akan beliau sempurnakan urusan kemasukan saya dan seorang kawan ke Jamiah Ulum ini. Alhamdulillah.

Selesai urusan tersebut, saya terus pergi bersilaturrahim di Asrama Kebajikan Abu Luhum bersebelahan dengan Hospital UST. Bersilaturrahim adalah perkataan baru yang saya ambil dari drama KCB yag menjadi kegilaan orang di rumah saya. Saya kebetulan mendengarnya ketika sedang makan. Betul, ketika saya sedang makan.

9.24.2010

Takraw 6am

Pagi ini main takraw, turun dari rumah dalam keadaan sejuk sampai dua-dua tangan berselimut di dalam poket. Dalam teksi, bukan main lagi terbayang untuk lipat gulung. Sungguh teruja.

Bila bermain, baru saya sedar, saya tiada kebolehan itu. Saya kena ingatkan diri sentiasa bahawa saya hanya mampu lipat baju. Okey, saya tak pandai main sepak takraw. Titik.

Pernah Runsing?

Pernah runsing? Pernah jalan laju-laju tanpa arah? Pernah naik kereta atau motor tapi fikiran kita berada di tempat lain dengan muka serius? Pernah ke bila kawan sembang macam-macam hal tapi satu huruf pun kita tak dengar? Pernah ke? Pernah la ni?

9.21.2010

Ragam Manusia

Manusia itu mempunyai pelbagai ragam.

Saya rasa mahu menulis tentang ragam manusia yang satu ini. Ragam yang melanda pejuang Islam. Bukanlah pejuang Islam sahaja yang punya sifat begini, tapi saya sebut segelintir pejuang ini adalah untuk menarik perhatian dan pandangan pembaca agar sedar bahawa sifat ini adalah jijik.

Mahu popular. Bahasa kasarnya adalah gila popular. Kenal orang ini, kenal orang itu, tugas kita begini cemerlang satu ketika dahulu, kita yang memimpin ribuan orang suatu saat dulu. Paling merimaskan bila cubaan merapatkan diri dengan pemimpin perjuangan Islam dengan cara yang menggelikan iaitu cara yang kononnya mendapatkan perhatian ramai bahawa kita adalah orang penting.

9.20.2010

Mesin dan Manusia

Teknologi memang dahsyat bak kata kawan serumah saya, Aziz.

Teknologi dan zaman yang sentiasa memoden ini menjadikan urusan manusia jauh lebih pantas dari dulu. Jauh lebih senang dari dulu. Jauh lebih hebat dari dulu. Namun sehebat-hebat kemodenan itu, harganya pastilah dibayar dengan nikmat zaman dahulu yang ditiadakan imma sengaja atau tidak untuk mewujudkan suasana moden itu.

Hari ini saya mahu memberitahu tentang sesuatu yang moden dan nikmat apakah yang telah hilang di saat yang moden ini muncul.

Siapa ini?

Sedang saya tarik dalam-dalam asap nipis yang datang dari secawan kopi panas buatan tangan sambil bibir mula menyuakan hujungnya untuk merasai nikmat tersebut, tiba-tiba. Puf (efek bunyi chat alert Facebook) ada satu mesej masuk.

"Salam"

"Salam kembali" taip saya sambil mencari-cari dalam kotak memori, gerangan manakah yang menegur saya ini.

Selamat Datang Geng MDQ

Dua-tiga hari lalu, rombongan dari Ma'had Darul Quran tiba di Sana'a International Airport bagi melunaskan janji mereka dengan diri sendiri untuk mencari dan menambah ilmu yang bakal mereka kutip di bumi berkat ini.

Rombongan yang hadir ini, rasa saya ketika mereka mula mendaftar masuk ke MDQ, saya di Thanawi 3. Agak jauh perbezaan itu. Sekarang tinggi mereka mula melangkaui ketinggian saya. Hmm, Okey, saya memang kurang tinggi.

9.16.2010

Visa

"Visa kita tinggal dua hari lagi ni" Jerit Khasie dari dapur

"So, what?" Balas Luqman dengan bahasa orang putih

"What tak what r brader, kite kena standby bayar gharameh (denda) la nampak gayanya kali ni!" Balas Khasie dengan nada tajam menikam sambil tangannya leka menggoreng sambosa.

9.15.2010

Lima Kali Alhamdulillah

Acara raya meraya kembali kepada asal. Manusia kembali kepada rutin asal mereka. Bagi yang bekerja, terus bekerja. Bagi yang suka makan, terus dapat makan di siang hari dan bagi yang sibuk menyelesaikan urusan masuk Jamiah, tekun dengan urusan mereka. Termasuk diri ini

Walaupun saya beraya di negara yang Aidil Adhanya lebih meriah dari Aidil Fitri, namun aktiviti ziarah menziarahi tetap berjalan seperti tahun yang sudah-sudah. Bezanya kali ini ziarah saya lebih kerap pergi ke rumah orang Arab berbanding orang Melayu dengan nisbah 2;1. Sungguh bersungguh sahabat Arab mengajak saya ke rumah mereka. Sebagai insan yang punya jadual dan sistem makan yang tidak menentu, maka tidak manis jika saya menolak. Mungkin kadangkala akan menyebabkan perut saya memberontak.

9.12.2010

Kullu Aam Wa Antum Bialfi Khair


Ahli Baitul Iman

Sibuk saya menyebabkan tidak sempat mengucapkan selamat beraya tepat pada masanya dan saya sendiri tidak menyetujui keadaan itu.

Apapun, selamat Hari Raya Eid Fitri buat :
Yang terutama, ibu bapa yang menyayangi saya dari nafas pertama yang saya hirup di dunia hingga sekarang,
Adik beradik saya yang 7 orang, terima kasih kerana menjadi teman permainan & perbalahan dari saya terlentang hingga saya berlari,
Sanak saudara yang dekat dan yang jauh, sentiasa tertukar saya dengan abang saya apabila lama tak bersua,
Asatizah pendidik dari Pasti al-Husna hingga ke KUDQI, terima kasih kerana mengekalkan saya menjadi manusia,
Sahabat handai yang sentiasa menjadi cermin kepada saya, kalian perlu tahu, kalianlah cermin terbaik pernah saya ada,
Buat semua yang mengenali diri saya dari dekat mahupun jauh,
Yang mengenal raut wajah mahupun nama,
Yang mengenal tubuh badan saya dengan jelas mahupun bayang saya.
Dan seluruh saudara saya seaqidah.

Apa yang saya minta dan mohon dari kalian semua adalah doa kebaikan buat saudara seagama ini, kemaafan atas segala kesalahan yang disengajakan mahupun yang tidak dan yang jelas mahupun yang tersembunyi. Saya lemah dan tidak berupaya untuk menidakkan dosa.

Ucapan saya buat semua, Eid Mubarak wa Kullu Aam Wa Antum Bi Khair InsyaAllah.

8.29.2010

Selamat Kembali Dijajah!


Merdekakah kita dari rasa bersalah?

Malaysia pada akhir bulan Ogos ini akan merayakan kemerdekaan kali yang ke 53. Tapi kini, rasanya negara dan semakin dicengkam penjajah. Penjajah yang datang bukan dalam bentuk berbaju tentera dengan senapang lengkap benet di muncung. Bukan juga datang dengan pakaian bangsawan orang putih. Semuanya bukan.

8.28.2010

Bila Demam

Setiap kali demam, orang yang mula-mula kita ingat pasti ibu kita. Saya memanggil ibu saya dengan panggilan emak. Banyak perkara yang buat kita rasa mahu demam di sisi ibu kita lebih-lebih lagi bila demam yang diselang-seli dengan muntah-muntah.

Saya jarang demam dan apabila demam biasanya pasti akan berlarutan. Bukan sekadar larut malam, bahkan ianya mencapai 3-4 hari. Tempoh paling lama saya demam adalah seminggu dengan lebihan beberapa hari. Mujurlah demam itu lokasinya di rumah.

8.24.2010

Tazkirah Santai

"Sekali-sekala entri datang dengan gambar pun bagus jugak kan? " Saya bermonolog

"Tapi gambar apa yang patut saya bubuh(letak) dalam entri kali ini ye?" Kembali bermonolog

"Kalau boleh, biarlah ianya membawa makna kepada tukang baca di kala Ramadhan yang mulia ini" Menyambung monolog

"Komik pun okey ape! " Menjerit separa kuat

"Engkau okey ke? " Kawan-kawan bertanya

8.19.2010

Mimpi, Mimpi dan Mimpi


Mimpi 1

Malam(baca pagi tadi) semalam, saya mengalami mimpi yang sungguh menakutkan. Menakutkan bukanlah bermimpi hantu galah main kejar-kejar dengan saya atau tidur dengan mayat. Mimpi takut itu berpunca dari barang kesayangan saya sekarang telah hilang.

Barang tersebut sangat bernilai kerana ianya boleh membekukan ruang masa dan membolehkan panorama yang dibekukan itu dapat dilihat semula apabila saya sudah tua. Ya, saya bermimpi kehilangan bayi saya, Nikon D90. Saya belum lagi memberikan nama padanya walaupun adik saya merangkap tuan kepada kembar bayi saya ini telah menggelarkan bayinya Marissa.

8.17.2010

Madrasah Ramadhan

Ramadhan ini adalah Ramadhan yang ketiga saya berada jauh dari rumah dan isi rumah milik orang tua saya. Sudah dua bulan saya berada di Yaman dan sudah 7 hari pula saya merasai bagaimana ahli Sana'a berpuasa.

Boleh dikatakan, entri kali ini adalah entri cerita tentang Yaman versi Istimewa Ramadhan. Jua didedikasikan kepada sahabat saya Sabri khususnya dan rakan-rakan lain yang mula menunjukkan minat dan semangat yang luar biasa untuk datang ke sini. Ya, minat dan semangat kerana minat sahaja tidak memadai untuk ke sini.

Penghuni Asrama Belakang '99


Minggu Pengetahuan dan Persaudaraan Tahun 1999

Semalam saya dan seorang kawan serumah yang namanya Khasie juga merangkap kawan dari bangku menengah lagi baring-baring sambil bersembang. Sembang yang asalnya kosong menjadi lebih hidup apabila saya dan beliau mula naik semangat mahu menjadikan kata-kata kami tidak kosong.

Isi perbualan kami adalah mengira dan mengingati gelagat dan telatah kawan-kawan yang saya kenali dari tahun 1999 yang pada waktu itu kami baru berada di tingkat 1 menengah. Khasie dengan gaya seorang setiausaha agung, beliau mula membuka buku tulis milik saya dan penuh semangatnya mahu menyalin balik nama-nama yang disebut dalam bual kami sebelum itu.

8.09.2010

Kembara Ke MDQ siri 3

Cerita tentang sejarah MDQ dulu-dulu sewaktu saya berada di tahun 1 seringkali menjadi satu cerita kegemaran. Cerita yang sering dihikayatkan oleh abang-abang yang diamanahkan menjaga kami waktu itu. Lokasi yang sering penuh dengan kawan-kawan setingkatan saya adalah katil yang paling hampir dengan pintu masuk hadapan asrama (dikenali dengan asrama lama). Disitulah semua abang-abang berkisah tentang kehebatan generasi dulu, imma dari segi pelajarannya, persilatannya, ketahanannya, kesusahannya, kesungguhannya hatta kehebatan abang-abang dulu dalam melawan hantu puaka.

8.07.2010

Hikayat Yaman

Ini adalah tulisan yang saya ingin khususkan kepada sahabat saya, Sabri Mamat namanya. Cerita yang bakal saya garapkan dalam tulisan ini adalah berkenaan dengan kelebihan dan kekurangan yang terdapat di negara Yaman. Saya akan menulis dengan mengambil isi dari pengalaman saya sendiri, pengalaman orang lain dan penceritaan dari pihak-pihak yang sering berhikayat di rumah saya. Moga dengan pendahuluan begini, sahabat saya Sabri Mamat akan merasakan bahawa beliau istimewa. Maaf, bukan warga istimewa tetapi punya kedudukan istimewa. Jangan pula disalahtafsir.

Saya mulakan dengan keistimewaan Yaman terlebih dahulu.

8.05.2010

Tanggungjawab La Tu!



Bagi manusia yang ada otak yang masih normal dan tidak pernah cedera atau mengalami gegaran otak sekaligus menyebabkan otaknya senget pastilah tidak lekang dari rasa ingin bertanggungjawab. Jika ditanya pasti ramai yang menidakkan tetapi dalam diam, sifat mahu mengambil tanggungjawab tetap ada.

7.30.2010

Inilah Ilmu Jalanan Kawan!

Ilmu itu bukan semuanya datang dari dalam kelas. Ilmu itu boleh sahaja datang dari muamalat, dari kena marah, dari pujian, dari pujukan, dari penglihatan, dari pendengaran, dari cakap-cakap, dari cerita dan dari mana sahaja. Bezanya jika ilmu itu ada guna dan tidak salah pula dari sudut agama, maka pakai ia, jika sebaliknya buangkannya sejauh mana lontaran akal kita mampu membalingnya.

Sebulan beberapa hari ini saya berada di Yaman, selain menambah ilmu-ilmu kitabi, saya juga berusaha sedaya upaya untuk mempelajari ilmu alami yang tidak sukar untuk kita mengutipnya di jalanan. Hanya kita sahaja mampu memilih samada mahu mengiktirafnya sebagai ilmu atau tidak.

Ilmu muamalat dengan manusia contohnya, jika kita tidak prihatin dan tak mahu pula menggunakan akal kurniaan Allah dengan mendalam, nescaya kita akan merasa pandai melebihi segala. Sudahlah begitu, tidak timbul pula perasaan kasihan dengan orang yang bermuamalat dengan kita kerana kita menyangka bahawa kitalah si pandai yang mengetahui segala helah dan tipudaya orang yang bermuamalah dengan kita.

Saya di sini kerap benar menaiki teksi yang jarang sekali saya naik di Malaysia, mungkin nisbah 5/6 tahun sekali. Jadi saya ingin berkisah tentang tambang yang dikenakan pemandu, mungkin kadang-kadang ada juga yang mahu cekik darah tapi jika kita mengetahui berapa yang harus kita bayar, tidak jadi masalah. Tapi yang menjadi masalah adalah kita mahu mengurangi melebihi kadar yang sepatutnya hingga membebankan pemandu.

Tidak semua arab itu jahat dan jangan sesekali meletakkan mindset pertama kita bahawa arab itu jahat nescaya kita akan terlepas peluang belajar. Begitu juga dengan penjual barang-barang lain. Ayah saya berniaga, jadi sekurang-kurangnya saya tahu emosi ayah waktu diminta untuk menurunkan harga barang melebihi kadar yang sepatutnya. Sudahlah begitu dihamun pula dengan perkataan yang keras-keras.

Saya sedar, bagi sesetengah orang, dapat memaki Arab dan memarahinya di depan kawan-kawan lebih-lebih lagi di depan orang baru seperti saya adalah satu aksi herois yang hanya mampu dilakukan oleh orang yang berani-berani sahaja kononnya. Saya tidak salute langsung tindakan seperti itu. Apakan tidak, memarahi seseorang yang mahu memperjuangkan hak nafkahnya kepada keluarga dilihat herois dan dikecam pula kerana orang itu tidak mahu menolong tholib ilm seperti kita.

Saya kata, tholib ilm jenis apa yang tidak tahu beradab dengan orang? Tholib ilm jenis apa yang mengajar sahabat-sahabatnya untuk suu' zhon pada kali pertama bertemu? Masya Allah, jauh benar dari landasan keilmuan itu kawan.

Jadi, belajarlah dari sesiapa sahaja kerana belajar itu tiada ruginya. Apa yang kita perlu adalah tapisan akal yang waras kerana ini adalah ilmu jalanan kawan!

P/s: Tulisan ini untuk muhasabah bersama.

Kesepian Dua Minggu

Dalam dua minggu ini, kerap sungguh air mata ini menitis(sungguh puitis) tatkala diriku ini ditinggalkan sendirian di rumah dek kerana keinginanku yang kuat pada mulanya untuk menjadi penjaga rumah sukarela. Hehe

Tapi nak dijadikan cerita, memang rumah saya sekarang sunyi sungguh. Langsung tiada suara hilaian kawan-kawan yang selalu bergurau dengan gurauan yang extreme ataupun bunyi deruman enjin kereta kaki-kaki racing yang memandu dengan menggunakan 3 batang jari atau bunyi pengumuman bendahari rumah dan S/u rumah untuk meminta duit sewa atau menyuruh orang memasak mengikut jadual.

Mereka semua bakal menjadi duta Palestina saat dua minggu ini selesai mereka tempuhi. Sebagai ahli rumah saya turut menumpang bangga apabila Daurah Palestina yang mereka ikuti ini turut dihadiri Syeikh Mahmoud Siyaam selaku penceramah jemputan. Rasa saya, mereka ini pastilah akan turut bersemangat memandangkan Syeikh yang terbang dari Palestin ini sudi meluang masa untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan mereka.

Saya pula tidak ke mana, hanya mencari ilmu di jalanan, membayar pengalaman dengan harga yang kadang-kadang percuma, kadang-kadang terlalu mahal dan kadang-kadang amat berbaloi. Mudah-mudahan, semuanya baik untuk kami.

Ucapan penuh barokah juga di ucapkan buat semua kawan-kawan yang dekat dan jauh yang melangsungkan pernikahan demi pernikahan (hehe). Semoga kekal ke anak cucu. :)

BaarakaLlahu Lakuma wa baraka alaikuma wa jama'a bainakuma fil Khair...

P/s: Mudah-mudahan hidup mereka tidak sunyi lagi. Hehe

7.12.2010

Bola dan Keghairahan

Assalamualaikum w.b.t.

Semalam, kegilaan dunia selama 4 tahun sekali telah berakhir yang menyaksikan Asbania dalam bahasa arabnya atau Sepanyol telah mendakap erat trofi emas yang menjadi buruan negara-negara yang ada di dunia ini dengan menewaskan Belanda.

Agak tidak sedap juga bila menulis tentang bola sepak tanpa istilah yang catchy dan funky untuk menggambarkan kemeriahan dan keriuhan temasya Piala Dunia, namun biarkan saja kerana saya bukanlah mahu menulis tentang bola sangat. Sekadar menjadikannya sebagai mukadimah subjek penulisan yang ketiga pada bulan Julai ini.

Yang hairan penyokong negara-negara bertanding, begitu bersemangat sampai berjersi-jersi, membeli bendera bahkan yang hairan sampai bergaduh masam-masam muka kerana ejek mengejek tentang pasukan masing-masing. Betul-betul kecoh! Macamlah hadiah yang dijuarai pasukan el-Matador bakal dikongsi dengannya. Betul-betul boleh gelak bila melihat penyokong fanatik ini lebih-lebih lagi jika mereka bukanlah warganegara Spain, Holland, Jerman, Uruguay atau Brazil. Tapi, itulah penangan bola! Tak percaya, register Facebook dan lihat status peminat bola. :)

Yang menarik pada saya adalah pengaruh seekor Paul iaitu seekor sotong kurita yang dikatakan orang boleh meramal-ramal tentang pasukan manakah yang bakal menang dan tidak lama selepas itu muncul pula burung yang turut memiliki kebolehan yang sama. Sungguh gila. Sungguh syirik. Ya, saya katakan sungguh syirik jika kita mempercayainya.

Tapi di sebalik kelam-kelibut, riuh-rendah dan sorak sorai di setiap TV, saya tertarik tentang satu entry dari sahabat saya dan saya tidak tahu kenapa beliau menggunakan tajuk posting beliau dengan meletakkan juga nama blog ini. Mungkin untuk menaikkan seri blog beliau barangkali. Boleh lihat di sini.

Kagum saya kerana di tengah orang berbalah mahu sokong pasukan mana, beliau yang berfikiran tajdid pula sibuk mencari surau yang boleh menerima beliau untuk mengisi aktiviti keilmuan di sana. Bayangkan pula datangnya susuk ini bukanlah dari institusi yang punya autoriti untuk memberi syarahan agama bahkan keterlibatan beliau dalam lapangan keilmuan Islam ini sekitar 3-4 tahun kebelakangan ini sahaja tetapi kesungguhannya menyebabkan saya menggeleng-geleng kepala dan mengatakan engkau memang boleh memintas orang yang mengaji sambil lewa selama sepuloh tahun, di dalam hati. Ya, saya hanya mengatakan di dalam hati.

Saya tidak tahu apakah yang membakar adrenalinnya untuk begitu pantas menawarkan diri di saat pemuda lain yang diminta untuk memberi kuliah saling tolak menolak satu sama lain. Bahkan kini katanya jadualnya akan ke 3 surau dan masjid setiap minggu. Selepas ini mungkin saya juga tidak berpeluang untuk berlabun dengan beliau di waktu-waktu lapang kerana saya percaya beliau lebih perlukan masa itu untuk bersama buku dan rujukan untuk ke kuliah. Syabas saya ucapkan.

Di sebalik kegembiraan saya dengan semangat dan tanggungjawab beliau, timbul juga rasa kesal dan sedih kerana sahabat tempatan yang tidak menjumpai titik keghairahan mencari dan menyampaikan ilmu. Melihat ilmu umpama memandang nasi tanpa lauk. Cukup sedih kerana sahabat yang ghairah mencari pengalaman dengan memberi kuliah-kuliah keagamaan itu datangnya jauh dari Kuala Lumpur.

Andai setiap penuntut-penuntut yang belajar di institusi ini membanting tulang pergi ke masjid/surau di daerah sekitar saya kira tidak perlu promosi untuk menyambut pendaftaran baru kerana masyarakat dapat menghidu kualiti yang ada di balik bangunan yang kurang sempurna itu. Promosi pada saya ialah bilamana sesuatu tempat itu tidak lagi mempunyai kualiti untuk menarik minat orang.

P/s: Tulisan ini saya dedikasikan khas buat sahabat saya, pemilik blog tajdidperjuangan.blogspot.com. Salam juang kawan.

7.09.2010

Sederhana, Itu Kuncinya!

Seringkali kita dengar tentang ekstremis atau terlampau. Tidak kiralah ianya mengaitkan urusan ibadat, kehidupan, percintaan sesama insan, perjuangan kepartian dan sebagainya. Ekstremis seringkali dilihat suatu bentuk yang tidak cantik untuk dibawa dan seringkali menjadi penyebab kepada kejatuhan dan kemalapan sesuatu perkara yang dilihat punya potensi pada mulanya.

Kata Nabi S.A.W :
خير الأمور أوسطها
(Sebaik-baik perkara adalah bersederhana)

Kerana itulah setiap kali sebelum melakukan tindakan, hendaklah kita berkira-kira samada tindakan kita ini berlebihan atau tidak. Bimbang-bimbang jika tindakan kita itu bakal merugikan Islam bahkan kadang kala merugikan juga diri sendiri.

Jika seorang lelaki yang ingin mengorat seorang gadis yang kebetulan pula menjadi dambaan pria-pria, hendaklah tidak terlalu ekstrim menunjukkan rasa cinta dan beria-ia pula ia mengatakan bahawa gadis itu pun suka akan dirinya, maka sudah tentu cinta yang diajukan jejaka tadi tidak akan mendapat perhatian si gadis. Puncanya, ekstrim dan natijahnya ketakutan si gadis.

Begitu jua soal ibadah. Contohnya cukup jelas dengan hadith Rasulullah.

Dari Anas r.a., katanya: Ada tiga macam orang datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menanyakan tentang hal bagaimana ibadah Nabi s.a.w. Kemudian setelah mereka diberitahu lalu seolah-olah mereka menganggap amat sedikit saja ibadah baginda s.a.w. itu.

Mereka lalu berkata: “Ah, di manakah kita ini – maksudnya: Kita ini jauh perbezaannya kalau dibandingkan – dengan Nabi s.a.w. sedangkan beliau itu telah diampuni segala dosanya yang lampau dan yang kemudian.”

Seorang dari mereka itu berkata: “Adapun saya ini, maka saya bersembahyang semalam suntuk selama-lamanya.” Yang lainnya berkata: “Adapun saya, maka saya berpuasa sepanjang tahun dan tidak pernah saya berbuka.” Yang seorang lagi berkata: “Adapun saya, maka saya menjauhi para wanita, maka sayapun tidak akan kawin selama-lamanya.”

Rasulullah s.a.w. kemudian mendatangi mereka lalu bersabda: “Engkau semuakah yang mengatakan demikian, demikian? Wahai, demi Allah, sesungguhnya saya ini adalah orang yang tertaqwa di antara engkau semua kepada Allah dan tertakut kepadaNya, tetapi saya juga berpuasa dan juga berbuka, saya pun bersembahyang tetapi juga tidur, juga saya suka kahwin dengan para wanita. Maka barangsiapa yang enggan pada cara perjalananku, maka ia bukanlah termasuk dalam golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)

Jelas menunjukkan di sini amalan berlebihan dalam beribadah adalah perkara yang tidak digemar nabi s.a.w. Justeru berhati-hatilah dengan keekstriman dalam melakukan ibadah dan janganlah pula hingga ke tahap mengurangkannya. Jangan pula disalah ertikan. :)

Ekstrim dalam dakwah pula saya melihat sebagai merugikan. Kerana tiada siapa yang suka dengan cara yang berlebih-lebihan jika diajak melakukan sesuatu. Sukakah anda jika anda dihempuk kepala jika hendak diajak solat jemaah? Kasar biarlah kena pada tempatnya.

Jika membabitkan perasaan orang pula, lebih-lebih lagilah kita wajib menjaganya. Da'ie bukan ahli gusti yang boleh membelasah perasaan lawan sesuka hati seolah-olah kita ini suci. Jangan begitu kawan. Da'ie biarlah memberi keselesaan kepada kawan dan keseganan kepada lawan. Sederhanalah kerana kita mungkin diberi hidayah oleh Allah terlebih dahulu dan doakanlah supaya mad'u kita turut merasai nikmat petunjuk dari Allah itu.

Pukulan pada badan mungkin kesannya akan hilang, tetapi pukulan dan cercaan kepada hati mungkin akan membawa kepada pengambilan amalan kita di dunia ini oleh mangsa kita di Akhirat kelak.

Jaga lidah dalam berdakwah, jaga perbuatan dalam berdakwah. Kita ada dua pilihan, menguntungkan Islam dan merugikan Islam. Sederhana, itu kuncinya kawan!

7.02.2010

Sona'a 2

Memulakan hari pertama di rumah yang disewa agak mencabar hidung kami. Mungkin lama ditinggalkan menyebabkan rumah itu memprotes kehadiran kami dengan bau yang agak menusuk kalbu, namun kami tahan kerana kami ingin menjadikan diri kami sebahagian dari rumah tersebut. Bayangkan, lalat pun mati. Hehe

Dengan penuh semangat kerukunan, kami bergotong royong memastikan rumah ini secepat mungkin boleh didiami. Alhamdulillah, tidak sampai sehari rumah tersebut mula menunjukkan rasa damai untuk menerima kehadiran penghuni baru yang kacak-kacak seperti kami berlima. Dengan sewa RY30'ooo, kami memulakan langkah kami di Sona'a dengan selesa

Mengisi waktu yang kosong disamping cuba memenuhkan jua ruang-ruang kosong di rumah kami, operasi mendapatkan kelengkapan asasi mula dijalankan. Tak sangka banyak juga duit yang habis akibat dari operasi tersebut. Dengan kepala masing-masing masih lagi terkial-kial menukar currency Yaman ke Malaysia, terkial-kial juga duit dari poket ingin dikeluarkan. Alhamdulillah, semakin hari semakin sayang. Hmm, macam tajuk lagu pun ada

Dua minggu ini masih lagi belum terisi sepenuhnya dengan aktiviti keilmuan. Mohon pada Allah agar tidak berpanjangan, insyaAllah. Selepas rancangan membeli kitab untuk bertalaqqi ini berhasil, insyaAllah saya akan cuba sedaya upaya untuk mendisiplinkan diri mengikuti aktiviti keilmuan ini

Sabtu ini atau esok secara lebih tepatnya, segerombolan sahabat-sahabat yang telah lama berjuang di bumi ini akan pulang ke tanah air untuk bercuti, insyaAllah selamat saya doakan kerana bersama mereka saya kirimkan sedikit hadiah buat keluarga. Mudah-mudahan sabda nabi tentang hadiah ini sampai.

"Memberi hadiah menimbulkan rasa berkasih sayang"


InsyaAllah muqaddimah kesampaian saya di sini berakhir di sini dan akan ada kesinambungan risalah-risalah keilmuan yang mudah-mudahan akan membawa keuntungan kepada umat Islam.

6.24.2010

Sona'a...

Assalamualaikum w.b.t.

Berminggu-minggu blog saya sepi tanpa sebarang perkembangan, jika dibilang perkataan minggu di ayat sebelum ini, bererti ada 3 minggu yang diulang (sekarang empat) yang membawa maksud bahawa saya sudah tidak menulis hampir 4 minggu. Kesibukan menguruskan segala kelengkapan ke Yaman menyebabkan entri ini terpaksa ditulis di dalam sebuah CC usang di Yaman. (selepas ini saya berikrar untuk menulis dulu di rumah sebelum menerbitkan tulisan di CC kerana butang keyboard yang banyak tertanggal~ huh)

Alhamdulillah setelah berjam-jam saya dan sahabat-sahabat terbang dari KLIA ke Yaman, kami disambut meriah sahabat-sahabat kami di sini yang menunggu kami sejam lebih awal bahkan mungkin lebih dari sejam. Dari Airport Sona'a kami dibawa (macam kene tahan je ayat ni) ke Rumah Persatuan Malaysia Yaman. Alhamdulillah kami sampai dan mula menghirup udara kering Sona'a pada jam 11 malam waktu Yaman (4 pagi Malaysia).

Mungkin kerana keterujaan sahabat-sahabat kami yang sudah lama merindukan kedatangan kami di sini (chewah), tanpa dapat ditahan-tahan mereka beria-ia mahu membelanja kami 'aseer ataupun jus buah-buahan di sebuah kedai berhampiran Rumah PERMAYA. Kami pula tanpa dapat dielak-elak terus menerima pelawaan mereka tanpa berbolak-balik dan hasilnya 'aseer manju(mango) yang pertama kami hirup benar-benar hebat dan lazat rasanya. Lebih-lebih lagi ianya percuma. Terima kasih kepada mereka yang berhabis duit membayar titik peluh kami menghabiskan segelas 'aseer yang penuh dengan kenikmatan itu.

Keesokannya kami terus dibawa ke rumah. Untung juga punya kawan yang baik, urusan rumah semuanya sudah diuruskan. Jadi tidak perlu lama menumpang di rumah PERMAYA, jika tidak ianya mungkin menyukarkan urusan kerja dan pejabat mereka sepanjang kami berada di sana.

Saya rasa eloklah tulisan ini disambung ke episod yang seterusnya kerana azan maghrib sudah berkumandang dan tidak manis jika sekira pemuda yang manis seperti saya ini masih terkial-kial menekan keyboard untuk menghabiskan cerita di sini. Lalu bersambung... Episod yang kedua.

6.01.2010

Doakan Kehancuran Israel-Zionis

Sewaktu Gaza diserang, ramai Muslim yang menunjukkan keprihatinan dengan mendoakan kesejahteraan Mujahidin di sana mencari Syahid dan berjuang membebaskan agama dan negara mereka dari dicengkam tangan-tangan bangsat Bani Israel yang memperjuangkan dasar Zionis. Setelah beberapa detik, doa itu kian hilang dari mulut-mulut saudara jauh imma dari segi geografi atau persaudaraan.

Lantas, apabila sekali lagi Israel bukit Zion mencabar dunia dengan menghantar komando dalam cubaan merampas segala isi konvoi bantuan ke Gaza, maka doa itu kembali memarakkan semangat ummat Islam seluruh dunia. Ya, saya katakan Israel mencabar dunia kerana di sebalik kuasa besar Amerika, terdapat pemain-pemain boneka yang berbangsa mereka, lantas mereka berani melaungkan cabaran dengan menyekat terus sebarang misi kemanusiaan yang pada mereka misi binatang. Jangan lupa, Yahudi tidak pernah menganggap kita manusia. Mereka membahagikan kita kepada penolong dan penentang. Jika kita menolong, kita adalah khadam yang setia dan jika kita menentang kita adalah binatang.

Justeru, seandainya kita ummat Islam yang punya maruah, yang punya sikap jantan dan yang punya keinginan melawan, wajib untuk kita sekurang-kurangnya mengirim senjata paling ampuh iaitu doa. Mulai saat ini, sertai Subuh dan witir kita dengan qunut nazilah. Sertai perhimpunan yang membantah kebiadapan Israel ini sebagai bukti bahawa walau kita saudara jauh, kita tetap bersama-sama mereka dan dekat dengan penderitaan mereka. Sumbangkan apa sahaja untuk melawan keturunan qird dan khanazir ini. Allahuakbar.

اللهُمَّ إنَّا نَسْتَعِيْنُكَ وَنُؤْمِنُ بِكَ ، وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْكَ وَنُثْنِيْ عَلَيْكَ الْخَيْرَ وَلَا نَكْفُرُكَ ، اللهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُدُ ، وَلَكَ نُصَلِّيْ وَنَسْجُدُ ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ ، نَرْجُوْ رَحْمَتَكَ وَنَخْشَى عَذَابَكَ ، إنَّ عَذَابَكَ الجِدَّ بِالْكُفَّارِ مُلْحَقٌ ، اللهُمَّ عَذِّبِ الْكَفَرَةَ وأهْلَ الكِتَابِ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ

اللهُمَّ أَعِزَّ الإسْلَامَ وَالْمُسلمين، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَدَمِّرْ أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْن, اللهم أَهْلِكِ الْكَفَرَةَ وَالطُّغَاةَ وَالظَّالِمِيْنَ يا رب العالمين.. اللهم اِنَّنَا نَجْعَلُكَ فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِم, اللهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُم وَ فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم يا قهَّار , يا جبَّار , يا مُنْتَقِم, يا الله, يا الله, يا الله.

اللهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابَ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابَ وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابَ اِهْزِمْهُمْ وَاْنصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

اللَّهُمَّ أَنْجِ المسلمين في فلسطين اللَّهُمَّ أَنْجِ المسلمين في كُلِّ مَكَان, اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ, اللَّهُمَّ أهْلِكْ أمْرِيْكَانَ وَمَنْ وَالَاهُمْ, اللهُمَّ أَهْلِكِ الْيَهُوْدَ وَمَنْ وَالَاهُمْ
,
اللهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ فِيْ سَبِيْلِكْ، والْمُضْطَهَدِيْنَ فِيْ دِيْنِهِمْ فِيْ كُلِّ مَكَانٍ، اللهُمَّ انْصُرْ إخْوَانَنَا فِيْ فِلَسْطِيْن ، اللهُمَّ انْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ، اللهُمَّ اجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، وَوَحِّدْ صُفُوْفَهُمْ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ, رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ


Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dariMU dan kami beriman denganMu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami memuja Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuriMU, Ya Allah hanya engkau yang kami sembah dan kepada Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepadaMu kami menuju, dan kami menyegerakan langkah, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azabMu, sesungguhnya azabMu sangat pedih akan dikenakan kepada orang-orang yang kafir, Ya Allah azablah orang-orag kafir Ahli kitab yang menghalang-halangi dari jalanMU.

Ya Allah muliakanlah Islam dan kaum muslimin, dan hinakanlah kesyirikan dan kaum musyrik, Ya Allah hancurkan musuh-musuhMu yang merupakan musuh-musuh agama (Islam), Ya Allah binasakanlah kekufuran, toghout dan orang-orang yang zalim, Wahai tuhan sekelian alam. Ya Allah kami serahkan leher-leher musuh kami (kepadaMu) dan kami berlindung denganMu daripada kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah cerai-beraikan himpunan mereka, pecah-belahkan kesatuan mereka, selerakkanlah kalimah mereka, dan goncangkan kedudukan mereka, Wahai tuhan yang maha gagah, wahai tuhan yang maha keras, wahai tuhan yang maha membalas, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Ya Allah, wahai tuhan, yang menurunkan al-Kitab, wahai tuhan yang menjalankan awan, wahai tuhan yang mengalahkan tentera al-Ahzab, kalahkanlah mereka (orang-orang kuffar) dan
bantulah kami menghadapi mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kaum muslimin di Palestin, Ya Allah selamatkanlah kaum muslimin di semua tempat, Ya Allah selamatkanlah kaum-kaum yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah hancurkan Amerika dan sekutu-sekutunya, Ya Allah hancurkan Yahudi dan sekutu-sekutunya.

Ya Allah bantulah saudara-saudara kami para pejuang di jalanMu, yang ditindas kerana agama yang mereka anuti di semua tempat. Ya Allah bantulah saudara-saudara kami di Palestin, Ya Allah bantulah mereka, Ya Allah bantulah mereka berdepan dengan musuhMu dan musuh mereka, Ya Allah satukanlah kalimah mereka, dan saf-saf mereka, wahai tuhan sekelian alam, Wahai tuhan kami sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihani kami, sudah pasti kami akan tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi.”

5.25.2010

Asah Pisaumu

Payah juga nak memulakan setelah lama terbiasa dengan meninggalkan tabiat menaip atau menulis. Paling payah lagi jika menulis tanpa jiwa, tanpa semangat dan seolah-olah ada sahaja yang tidak kena. Lalu tidak hairanlah Pak Subky Latif berkata, "mau jadi penulis, hari-hari kena tulis".

Tak mahu jadi pisau berkarat, saya kuatkan keinginan untuk menulis pada malam ini walaupun otak saya kosong mungkin kerana lama sudah ianya tidak digunakan secara sepenuhnya. Macam main bola, bila dah lama tak main, jadi cepat tercungap-cungap macam ikan di atas darat. Berlari 5-6 minit dah tunduk-tunduk menarik nafas. Menulis begitu juga, mencari rentak membuat ayat kelihatan begitu sukar bahkan kadang-kadang hingga beberapa minit jari menari-nari di permukaan tanpa menekan sebarang huruf. Lembab.

Khamis hingga Sabtu lalu, saya di Basung bersama-sama adik-adik KUDQI yang bertamrin dengan penuh semangat dengan tujuan yang satu iaitu meningkatkan kualiti diri untuk berdepan dengan macam-macam anasir yang lalu-lalang di depan mata. Tanpa persediaan dikhuatiri kecundang.

Esok pula, saya akan ke KUDQI lagi dan kali ini sebagai Yang Dipertua Debat ala Parlimen yang dianjurkan Lajnah Akademik mereka. Pengambilan saya sebagai YDP kononnya untuk mengimbangi dan mengadili debat antara 2 fakulti di KUDQI. Kata mereka jika diambil pelajar juga takut jadi bias atau berat sebelah.

Tidak kisahlah apa kata mereka, jika saya dipanggil untuk memberi sumbangan dan saya tiada urusan lain, dengan izin Tuhan, akan saya penuhi kerana di situ adalah tempat tumpah keringat saya dan sangat sukar untuk mengizinkan orang mencerca bahawa KUDQI tiada apa-apa yang hebat, hanya melahirkan orang yang biasa-biasa saja dan macam-macam lagi. Biarlah usaha kecil saya ini tidak berjaya sekalipun, namun sekurang-kurang saya curahkan juga usaha tersebut. Terlepas dari ditanya Tuhan kelak sudah sangat baik.

Hari ini sempat berderap dengan adik saya, birapantai yang kebetulan ada urusan di JPJ KT. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, saya pun mengajak beliau ke kedai kasut bagi memilih tudung saji...Maafkan saya, bagi memilih kasut yang ranggi dan selesa. Bolehlah saya pakai kelak. Hasilnya, tak pasal-pasal saya membeli dua pasang kasut kerana tak tertahan melihat dan merasa keselesaan kaki yang merasa dan mata yang memandang. Jika saya budak, nescaya saya akan terbaring di lantai menghentak-hentak kaki kalau kehendak saya mendapatkan kasut itu dihalang.

Sebelum tidur ini, saya mahu berlatih sambil mengajuk gaya Pandikar Amin Mulia yang mengendalikan Dewan Rakyat. Saya suka gayanya bercakap, bakunya berbahasa.

Orang hulu tengok berita
Doa dulu baru tutup mata

Kalau boleh bacalah dengan nada gurindam.

5.17.2010

Tahniah Rakyat, Takziah Kerajaan

Suatu perasaan melompat-lompat dalam jiwa saya bila sesuatu yang menjengkelkan tidak disiar dan diulang-ulang di mana-mana media milik kerajaan negara saya pada slot berita Jam 8. Siaran yang hanya akan diwar-warkan jika Barisan Nasional yang dikepalai Gerombolan United Malay National Organization menang. Malangnya, keadaan di Sibu tidak begitu.

Pengumuman yang biasanya akan dibuat awal seawal jam 9 malam teranjak hingga ke jam 11.30 malam kerana sedaya upaya mereka akan cuba mencari jalan untuk menang dan setidak-tidaknya menipiskan majoriti. Saya tidak kata itu jahat kerana itu adalah perbuatan biasa jika penjahat berkuasa.

Warga Hulu Selangor yang tidak mengundi PR baru-baru ini wajib sedar dan gigit kemas pelajaran yang ditunjukkan oleh warga Sibu iaitu memakan UMPAN meninggal KAIL. Justeru pelajaran yang diajar warga Sibu itu harus diamalkan pada Pilihan Raya Umum akan datang, titik.

Tahniah buat warga Sibu.

5.14.2010

Demi Masa...

Assalamualaikum w.b.t.

Soal masa ni betul-betul tak boleh buat main. Memang perlukan perancangan la, kalau tak banyak sangat masa terbuang. Jadi kata-kata di atas ni bolehlah diibaratkan sebagai kehidupan saya sekarang, chewah. Punyelah baik muqaddimah tu, last-last untuk cover tak update blog lama-lama.

Tapi dengan hati dan wajah yang serius menekan keyboard ni, memang saya perlukan pengurusan masa bertahap guru disiplin pasal saya macam tegas-tak tegas je dengan jadual yang saya ada. Selalu je rasa macam tak sempat. Bukan apa, rasa macam tak best je bile pergi KUDQI, kawan-kawan sound gula ada tak. Maklumla, tajuk sebelum ni pun sketsa gula je kan. hehe..

Hari ni punya cerita, cadangnya nak buat perlawanan futsal ala mahabbah gitu dengan kawan-kawan adik, baik punya rancang, rekrut kawan-kawan bagai nak rak, last-last petang semalam call Sport Planet katanya dengan nada ala macho, esok ada tournament la bos. Saya jawab pendek je la "Oo, ye ke? Mekasih, assalamualaikum" sambil bayangkan saya dah duduk bawah tempurung. Apa punya tak ambil tahu hal ehwal semasa laa, tournament kat tempat sendiri pun tak tahu.

Alih-alih, dari tak buat apa-apa terus adjust plan pergi gunting rambut kat Gong Badak dengan adik. Rambut dia tu dah pendek, tapi pasal pakai selalu pakai songkok sekolah, rambut sebelah tepi dia tu macam cepat mengerbang sikit, kiranya macam nak cover balik kekacakan beliau, terus pergi gunting rambut walaupun tak panjang.

Jujur cakap, antara benda paling nikmat selain beberapa nikmat yang dikurniakan Allah pada saya adalah gunting rambut. Rasa best sangat kalau orang potong rambut. Lali je cam rasa nak tidur. Nak-nak kalau kedai tu aircond. Tapi takdelah sampai meleleh-leleh air lioor..

Kat Malaysia ni memang tak boleh la nak simpan rambut panjang-panjang, pasal rimas sangat. Nak-nak kalau panas-panas macam ni, tak tahu nak kata apa. Jalan selamat potong je la rambut, mandi pun best je. Tapi bagi yang rambut dia ada sentimental value macam papa rock Ramli Sarip, bayar sejuta pun dia takkan potong. Itu kata dialah.

Petang pulak, pergi pantai. Yang best ayah pun join. Kalau ayah join, terus dia keluar arahan ambik peralatan gotong-royong, aktiviti anak beranak serta-merta dilancarkan. Hehe. Lepas setengah jam, sedap sikit mata memandang. Bolehlah tendang-tendang bola bebas sikit, tak payah takut-takut kaki kena kaca. Apa pun, puas hati sebab boleh buat aktiviti yang dapat bagi manfaat dekat diri sendiri dan orang lain.

Pantai ni kalau pergi saja-saja rasa macam tak lengkap je, mesti nak kena air jugak. Jadi sempat jugaklah main air sikit-sikit. Buat syarat kata orang. Jadi sepanjang hari memang best kalau tidak sepenuhnya ditumpukan pada elektronik dan kemajuan. Hargai barang ciptaan tuhan lebih dari barang ciptaan makhluknya. SMS, Facebook, filem, television dan lain-lain tidak dapat menandingi alam yang dicipta Allah. Wallahua'lam.

5.05.2010

Situasi Musim Ini

Situasi 1

Mamat (bukan nama sebenar) : Pak Cik, gula ada?
Pak Cik : Ada, tapi dua kilo sorang je boleh beli.
Mamat : Dua kilo je? Tak cukup pak cik.
Pak Cik : Gula tak banyak, agih sikit-sikit sorang je.
Mamat : 4 kilo la pak cik, susah la macam ni.
Pak Cik : Ambik la dulu dua kilo, nanti dah habis mari la beli balik.
Mamat : Berbisik (gula banyak dalam stor pun nak kedekut, aku bayar la, bukan tak bayar)
Pak Cik : Apa dia Mat?
Mamat : Tak de apa-apa lah. Dua kilo pun dua kilo lah. Payah sangat. Nah duit..
Pak Cik : Senyum (dalam hati rasa macam nak hempuk je gula atas kepala Mamat ni)

Situasi 2

Semaon : Lalala... (Masuk dalam stor gula), meh gula dua dozen..
Pekerja : Tak boleh banyak Pak Maon, gula agih sikit-sikit je.
Semaon : Aku dah cakap dah ngan tokey tadi, dia yang suh ambik.
Pekerja : Dah kalau macam tu, ambik la.
(Tokey datang dan nampak Pak Semaon tengah baik punya letak gula atas motor dia dan blah sambil kata " Bos, masuk buku gula dua dozen ye, petang ni bayar")
Tokey : Sapa bagi gula kat Pak Semaon sampai dua dozen?
Pekerja : Saya bagi.
Tokey : Sapa suruh?
Pekerja : Pak Maon kata dia dah cakap kat bos tadi, dia cakap bos bagi.
Tokey : Dalam hati (Binawe punya Semaon, hidup-hidup dikencingnya pekerja aku)
Pekerja : Kenapa Bos?
Tokey : Kau kene kencing ngan pak Maon, gi r bilas..
Pekerja : Haa??

Situasi 3
Tengahari yang permai, datang satu MPV dengan 8 tempat duduk yang penuh.

No 1 : Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 1 : Okey

No 2 : Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 2 : Okey

No 3: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 3: Okey

No 4: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 4: Okey

No 5: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 5: Okey

No 6: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 6: Okey

No 7: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 7: Okey

No 8: Gula ada?
Penjual : Ada, 2 kg sorang.
No 8: Okey

Maka MPV itupun berlalu dengan mendapat 16KG gula dari kedai tersebut dan bersedia untuk pergi ke kedai seterusnya. Hampeh.

Situasi 4

Seorang perempuan tua datang ke kedai di waktu gula sukar di dapati.

Perempuan Tua: Gula ada nak? Payah sungguh nak dapat, nak buat air je.
Penjual : Dalam hati (kesian mak cik ni.) Ada mak cik, ambik la 4kg, orang lain saya bagi 2kg je.
Perempuan Tua : Terima kasih la nak ye.

Perempuan tua yang sama datang ke kedai sewaktu gula senang didapati.

Penjual : Gula tak nak ke mak cik? Mudah dah sekarang ni.
Perempuan Tua : Takpelah nak, gula yang mak cik kumpul masa gula payah nak dapat dulu pun banyak lagi
Penjual : Ye ke? Banyak sungguh ke?
Perempuan Tua : Banyak jugak, dalam 50-60kg gitu la.. Heh heh heh.
Penjual : Dalam Hati ( -_-" Grr... Mak cik ni..)

Situasi ini hanya boleh didapati sewaktu gula sukar sahaja. Harap Maklum..

Moral: jangan jadi seperti di atas. Peniaga juga manusia.

5.03.2010

Bunuh Tok Guru?

Saya menulis tentang ini setelah heboh berita berkenaan Safuan Helmi, pemuda yang berani itu dua tiga hari lalu yang mengeluarkan kenyataan untuk membunuh tok guru Nik Abdul Aziz. Saya mendapat gambar beliau lengkap dengan kata-katanya sekali di atas gambar tersebut. Sekelip mata sahaja, gambar itu penuh dengan komen-komen dari sahabat-sahabat yang prihatin. Syabas diucapkan.

Dalam membaca komen itu, dapatlah saya membahagikan pemberi komen tersebut kepada beberapa bahagian. Keras, bersederhana dan lembut. Adapun keras itu dapat dipecahkan lagi kepada dua, keras yang mendapat restu syara' dan keras yang disulami dengan bahasa yang kesat lagi gerun.

Walau apapun kata-kata yang keluar dalam mempertahankan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, ianya jelas membawa kepada satu suara iaitu kesediaan mempertahankan susuk TGNA dari sebarang ancaman fizikal. Saya percaya ianya bukanlah retorikal semata-mata, tetapi ianya adalah kesediaan yang jika dicabar maka sangat besar kesannya kepada pencabar.

Namun dalam masa yang sama, tiada sebarang tindakbalas yang diberi oleh TGNA. Menurut saya ia adalah tindakan yang tepat kerana melayan marak api dengan api atau angin, maka ianya akan menyemarakkan lagi semangat dan keinginan untuk melaksanakan cabaran yang dilaungnya.

Kisah ini mengingatkan saya kepada Suraqah bin Malik. Seorang yang cerdik dan berpengalaman dalam menjejaki orang yang telah jauh perjalanan. Datangnya dari qabilah yang hebat dalam menunggang kuda dan bermain senjata, begitu mahir selok belok padang pasir. Di saat semua orang yang berebut-rebut mahukan hadiah seratus ekor unta jika dapat membunuh Nabi Muhammad, beliau seorang sahaja yang memilih jalan yang lain dari pemuda-pemuda haus ganjaran tadi.

Dengan menjangkakan bahawa Nabi Muhammad melalui jalan pantai, maka beliaupun segera memecut kudanya hingga kelibat dua orang dalam perjalanan kelihatan. Disaat kepalanya sudah merasai nikmat kekayaan, tanpa lengah segera memecut kudanya sepantas yang boleh agar sampainya kepada kelibat dua orang itu dan segeralah dia dapat membawa pulang jasad Muhammad samada masih berisi roh ataupun tidak.

Allah berjanji untuk melindungi NabiNya, dalam beberapa langkahan kuda saja lagi, tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam pasir hingga beliau jatuh tersungkur. Semangat 100 ekor unta masih belum melemahkan semangatnya mengejar nabi dan Abu Bakar. Bangun dari jatuh yang memalukan itu, dikejarnya pula nabi agar sempat dipenggal dan dibawa pulang, namun kuasa Allah bila hampir dengan nabi, dirinya pula jadi tidak bermaya. Tiada kudrat lagi untuk membawa Muhammad imma yang punya roh atau tidak pulang ke Makkah.

Nabi Muhammad pula yang datang menghampirinya dan berkata, "mahukah kamu aku janjikan dengan gelang kebesaran Kisra?". Siapa sangka dengan janji Rasul itu, gelang kebesaran Kisra menjadi milik Suraqah selepas keIslamannya.

Justeru, dalam kita mendoakan kesejahteraan dan keselamatan TGNA, jangan pula kita lupa hendaknya mendoakan hidayah buat Safuan Hilmi agar keberaniannya itu boleh jua dimanfaatkan kepada Islam selepas ini. Wallahu A'lam

4.24.2010

Syaitan Pun Surrender !

Assalamualaikum w.b.t.

Bala turun di Malaysia. Benar-benar turun dan ia tidak mendapat liputan meluas media dan jika ya pun, ianya dibincangkan dari perspektif lain. Bala apa yang dah turun? Taunkah? Gempa bumikah? Banjir besarkah? Bukan. Bala ini lebih besar dari semua itu.

Jenayah dan yang mendapat tempat pertama dalam carta kezaliman adalah buang bayi yang sentiasa meningkat dari hari ke hari dengan modus operandi yang semakin ganas dari biasa. Bermula dengan membuang bayi di tempat yang punya peluang bayi tersebut hidup seperti wakaf-wakaf, surau, masjid dan lain-lain hinggalah sezalim tempat seperti tong sampah, tempat yang punya anjing-anjing kelaparan berkeliaran dan juga tempat yang boleh bayinya itu diratah semut. Terima kasih kepada mereka kerana tidak membiarkan anjing-anjing kelaparan dan juga prihatin dengan semut-semut yang mencubit daging bayinya itu untuk dibawa pulang.

Cara terbaru adalah mematikan dulu bayinya sebelum dibuang dan turut melaksanakan ritual penghapus jejak seperti membakar tempat bayinya dibuang dan sebagainya. Paling terbaru dan jika ia betul sememangnya syaitan pun akan letak jawatan adalah mem'blender' (mengisar) janin yang dibunuhnya agar ianya tidak lagi mampu dikesan oleh polis, wartawan mahupun masyarakat supaya tidak lagi menjadi perhatian negara jika berlaku penemuan bayi yang dibuang.

Saya katakan, jenayah ini adalah bala dan bala itu fungsinya adalah membiarkan para warga merasa tidak sentosa dan tidak aman untuk tinggal di dalam sebuah negara. Jika benar kita tidak selesa dengan situasi ini maka ianya adalah bala.

Pokoknya adalah firman Allah :

"Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk. " Al-Isra : 32

Ingat, jika kita terlalu jahat, syaitan pun surrender!

4.20.2010

Ramainya Nak Kaya !!

Assalamualaikum w.b.t.

Fuuhhh!!! Sekarang ni, ramai betul orang nak kaya. Memang tersangat-sangat ramai. Lihat di dalam internet ni, berlambak-lambak orang yang mengempen ke arah kekayaan. Semuanya tentang bisnes dan fuluss.. Bisnes itu, bisnes ini bahkan kadang-kadang teori Machiavelli turut dijadikan rujukan untuk berjaya. Matlamat menghalalkan cara. Kaya punya pasal, halal, haram, berkat tak berkat belakang kira.

Itulah masalahnya orang kita (baca ; Melayu). Bukan prejudis terhadap bangsa sendiri tetapi dari segi pemerhatian dan sebagai teguran. Mahu kaya dengan cara senang. Dulu ada cina tua yang pernah beritahu ayah saya, "bukan syinang mau syinang maa..."Ayah saya angguk-angguk.

Memang bukan senang untuk hidup senang, semuanya dengan cara usaha dan bekerja sungguh-sungguh. Nabi bersabda : 9/10 pintu rezeki datangnya dari perniagaan. Jadi hadith ini tidak terhenti setakat itu sahaja, ianya mestilah di beri kesinambungan bagaimana perniagaan yang Islam anjurkan. Bukan main redah je tuan-tuan.

Jadi kat sini, saya bercadang untuk menulis berkenaan dengan apa yang saya tahu dengan bisnes-bisnes yang ada dan kononnya menjanjikan kekayaan segera. Sehinggalah ramai orang yang tak fikir panjang terjerumus ke dalam kejujuran penganjurnya menipu.

Mulakan dengan MLM, satu sistem yang telah diperkenalkan sejak awal 2000 atau mungkin telah bermula lebih awal dari itu. Dari satu skim ke satu skim. Kebanyakannya mempromosikan kekayaan dan kemewahan sebagai motivasi kepada ahlinya. Saya tak nafikan, ramai yang telah berjaya namun adakah berjaya mereka atas hasil yang jujur dan berkat. Sebut soal berkat, mereka akan mentertawakan kita kerana mereka memakai Mercedes dan kita sekadar berjalan kaki sahaja.

Jika anda baru sahaja dikempen untuk memasuki mana-mana MLM, baca di sini dulu kemudian barulah buat keputusan. Saya ada terbaca beberapa cerita dan antara cerita itu pernah juga saya alami dan ini menunjukkan sikap pengamal MLM ini tidak jauh berbeza.

1. Pendesak, mereka memang seorang pendesak yang kuat. Bahkan sanggup menyuruh kita meminjam mana-mana duit demi menunjukkan kesungguhan terhadap bisnes ini. Hairannya bila kita mahu pinjam duit dengan mereka, tidak pula mereka bagi walaupun dakwaan mereka duit mereka masuk berpuluh-puluh ribu sebulan.

2. Memaksa, mereka sentiasa bersemangat bercerita tentang produk itu dan ini sekaligus dengan mengempen kita supaya jadi downline mereka. Sentiasa dan sentiasa meminta (baca memaksa) kita agar berdaftar sebagai ahli. Sekali dah daftar barulah mereka diam dan tiada apa lagi yang ingin dicakapkan dengan kita.

3. Tidak mengalah, mereka memang bukan jenis pengalah terutamanya jika anda cuba mengatakan bahawa ini tak boleh, itu tak boleh. Setiap hujah kita akan dibalas dengan dengan mengatakan kita tidak faham dan ianya tergantung di situ sahaja tanpa memberikan kefahaman kepada kita sebagaimana mereka faham.

4. Terdapat di kalangan mereka memaksa ahli-ahli yang baru nak naik supaya menunjukkan gaya hidup mewah supaya orang yang tidak menjadi ahli akan tertarik untuk menjadi downline kita. Pendek kata sanggup berhutang untuk nampak mewah supaya nampak berjaya. Ni paling sial.

5. Biasanya, hujah mereka bagi masalah-masalah di atas adalah jangan hukum semua jika seorang dua yang buat perangai macam itu. :)

Cukup setakat itu untuk MLM, seterusnya kita masuk pula kepada skim pelaburan entah apa-apa. Orang Melayu terdapat di dalamnya segelintir orang yang tidak mahu bekerja langsung dan hanya mahu duit datang sujud kepada mereka dan antara caranya adalah pelaburan. Di bawah ini adalah pelaburan-pelaburan pelik yang pernah saya dengar.

1. Membeli matawang Iraq dengan mengatakan bahawa duit Iraq akan melambung naik sedikit masa lagi. Hasilnya adalah hampas.

2. Mengatakan bahawa ada kawan orang Amerika yang dibekukan duitnya daripada memasuki Malaysia dan orang Amerika itu memerlukan bantuan berupa modal untuk mencairkan balik duit yang jika disebut kepada anda nescaya mata anda akan menjadi $$ dan mengeluarkan duit untuk membantunya. Tambahan pula anda akan diganjarkan dengan sebahagian duit tersebut. Hasilnya, tunggu dan lihat dan bersedia untuk berbau hancing.

3. Ini pelaburan yang paling menyayat hati iaitu menggunakan istilah pelaburan untuk membantu Islam hingga ada di antara orang tua yang saya kenali menjual motor laut yang menjadi punca pencarian selama ini kerana terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu yang begitu manis berbicara bahawa yang dilakukan ini adalah demi Islam. Hasilnya dari 15000 yang dilabur pulangannya cuma 500. Ini terjadi kerana berlaku penyelewengan orang yang kononnya kuat Islamnya. Yang ni juga adalah sial tahap dewa.

Selebihnya adalah sikap malas dan ingin senang dalam masa segera menyebabkan kita orang MELAYU cepat tertipu. Tiada kekayaan tanpa usaha yang maksimum, tiada kejayaan tanpa kesakitan yang wajib kita rasai. Titik paling penting adalah kejujuran, kedermawanan, kesungguhan dan kesederhanaan. Nescaya bukan hanya harta sahaja anda kaya bahkan jiwa juga.

Bagi yang ingin kaya dalam masa segera, jangan jadi bodoh. Kerjalah sampai peluh mengalir hingga ke tulang kering.

P/s: Jika ada orang kata aku rugi jika tak masuk skim ni, skim tu, MLM ni, MLM tu maka aku rela rugi. Lebih rela membela ayam menanam tanaman dari menipu dan di tipu.

Fakta : Ada orang yang tidak tahu ia ditipu (biasa), ada orang yang tak tahu yang dia menipu (luar biasa dan bakal menjadi kebiasaan)

Hulu Selangor

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat berjuang buat pejuang rakyat tertindas mahupun rakyat yang masih tidak terbuka pemikirannya untuk menerima bahawa jika Barisan Nasional dikalahkan, nescaya kerajaan mereka akan lebih prihatin dan yang pasti, keuntungan tetap akan menjadi milik rakyat. Bukan hanya Pakatan Rakyat. Jadi selamat berjuang untuk anda. Ya, sedarlah bahawa memangkah kumpulan yang membawa keadilan adalah perjuangan.

Tetapi tidak ramai yang berfikir begitu terutamanya bangsa Melayu yang begitu samseng dengan bangsa mereka sendiri tetapi menikus bila berdepan bangsa lain. Keuntungan sewaktu pilihan raya dijadikan autoriti dari mendapat keuntungan berpanjangan. Sifirnya umpama teori perniagaan yang diajar ayahanda saya dalam cakap-cakap berisi beliau dengan saya.

Dalam perniagaan, jangan cepat mempercayai orang. Mereka baik kerana mereka nak duit. Oleh itu, jika kita membeli barang, jangan sesekali membeli dengan satu penjual. Beli dengan lebih dari satu penjual, tujuannya adalah untuk mendapat barang paling berkualiti dengan harga termurah. Paling penting adalah untuk mengelak anda di"ngap" taikun-taikun besar yang sanggup rugi dahulu untuk mengambil hati anda sebelum mengerit duit anda sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi jika anda berurusan dengan orang kafir.

Jadi, bagaimana mahu mengadaptasi teori perniagaan ini kepada teori pengundian? Mudah, taikun besar anda umpamakan parti yang bertanding, jangan setia membabi buta dengan taikun yang satu. Jangan sesekali anda meletakkan diri anda dalam "Dulu, Kini dan Selamanya" dalam satu-satu parti. Sesekali ubah selera dengan memilih pembangkang. Ini bukan sahaja menyedarkan taikun terbesar pilihanraya, bahkan khidmatnya dan perhatiannya kepada kita turut menjadi lebih baik. Percaya.

Terutama orang Melayu, jangan cepat tersengih dengan wang saguhati di musim-musim pilihanraya ini. Buat muka biasa agar anda layak mendapat habuan yang lebih besar. Bermain dengan parti politik, kita mesti pandai juga berpolitik. Setakat itu dulu pesanan kepada pengundi. Undilah Pakatan Rakyat untuk menjanjikan Barisan Nasional tergugat. Jika tergugat, lebih selesa kehidupan yang anda dapat. (sepanjang kempen ini)~~

4.11.2010

Tak Tahu Bersosial ?

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada seorang adik, bukan maksud saya hanya seorang adik, ada dua orang sebenarnya tapi yang saya ingin ceritakan ini bukan kuantiti orangnya tetapi sikapnya, jadi sikap seorang adik saya ini adalah merasakan dirinya terlalu rendah dalam erti kata lain, rendah diri walaupun hakikatnya beliau lebih tinggi sedikit dari saya kalau saya berambut pendek dan tidak memakai selipar.

Disebabkan itu, beliau banyak bertanya dan mahu tahu sesuatu yang sepatutnya tidak perlu sangat untuk diketahui sekarang bahkan lebih berkesan jika beliau melaluinya melalui pengalaman sendiri kerana berjalan melalui pengalaman orang lain akan mudah lupa berbanding pengalaman sendiri. Let's yourlife walk itself brother.

Sering beliau bangkitkan adalah soal bersosial. Baginya, beliau seorang yang tidak pandai bersosial, terlalu pemalu dan agak kerap juga mengagumi abang-abangnya terutamanya Hisyamuddin yang padanya berjaya dari sudut kesosialan dan kemasyarakatan. Kerana itu perasaan rendah dirinya mula meningkat ke level seterusnya kerana membandingkan dirinya dengan abangnya yang sudah mempunyai tiga orang anak. Hmm, masalah jugak tu. Tapi saya merasakan perkara ini akan kembali normal bila sudah sampai waktunya.

Baik, setelah agak panjang bermuqoddimah dengan cerita ahli keluarga, saya mahu juga menulis tentang bersosial atau bermasyarakat. Pada tamrin nuqoba' di KUDQI kira-kira tiga minggu lepas, ada persoalan yang dibangkitkan sewaktu pembentangan perancangan usrah setiap kumpulan iaitu berkenaan bagaimana mahu menangani masalah mulut bisu dengan masyarakat sekeliling yang menyebabkan timbul cakap-cakap mengatakan "KUDQI tak macam dulu daah..." dan sebagainya.

Memang saya akui, sejak saya belajar di sana lagi, sudah ada cakap-cakap demikian dan ianya makin kerap diulang sejak saya jadi pemerhati mungkin penyibuk dari luar ini. Faktor pelajar tidak ramai mungkin menjadi faktor yang terbesar di sebelah muslimin tetapi tidak disebelah muslimat namun ada faktor yang jauh lebih besar dari itu. Egois dan cepat terasa. Ya, saya meletakkan egois dan cepat terasa di tempat yang tertinggi sebagai punca permasalahan ini. Jangan bimbang, egois ini bukan hanya di sini dan tidak pada semua orang namun ianya menjadi seolah-olah satu sikap yang mesti ada pada setiap orang muda yang ada sekarang. Sikap tidak boleh tegur tidak boleh larang.

Kedua apa yang saya perhatikan, bi'ah membentuk peribadi yang penuh dengan suu' zhon juga menyumbang kepada keruntuhan perhubungan sosial antara pelajar dan masyarakat sekeliling. Terlalu mengambil kira dan terlampau tidak hirau juga menjadi sebab kepada perasaan suu zhon yang menyebabkan keluar perkataan seperti "huh.. Orang kampung ni kalau time dia nak mintak tolong kita baru dia buat baik, kalau tak duk kutuk laa memanjang" dan ada juga yang terlampau tidak hirau sehingga baginya, hidupnya adalah miliknya, "biarkan aku hidup dalam duniaku, aku sudah tak hiraukan lagi apa orang nak cakap". Kedua-dua ini menjadi masalah bukan baru bermula pada tahun ini tapi sudahpun bermula dari awal kemasukan saya ke KUDQI cuma sedikit ketara (jangan terjemah dengan kullu tetapi baca dengan jamii') sejak dua menjak ini.

Pada akhir program nuqoba' itu juga, selesai sembahyang maghrib di musolla, saya duduk dan bertegur sapa dengan Pak Imam suami mak cik Zah kedai makan, dari tegur sapa menjadi perbualan dan dari bicara berdua menjadi bertiga dengan datangnya seorang lagi pak cik yang seingat saya, tiga tahun di KUDQI tidak pernah beliau berbual dengan saya, alih-alih malam itu keluar pelbagai cerita.

Antara yang menarik adalah berkenaan dengan putera Ustaz Harun yang banyak mengambil alih tugas ayahnya yang sakit sejak kebelakangan ini dan menurut pak cik itu, payah nak mencari orang muda yang setiap kali lepas sembahyang, beliau pasti akan cuba menyalami setiap orang di dalam musolla. Ya, bersalam dan kadang-kadang bertanya sihat atau tidak.

Saya berfikir, kalau bersalam dan bertanya khabar saja sudah boleh membuatkan pakcik-pakcik otai ini senang hati, kenapa perlu kita bersusah payah untuk menganjurkan program kemasyarakatan yang jelas dengan kewangan yang terhad ianya bukan program yang sesuai untuk dianjurkan buat masa ini. Apa kata kalau aulakan kehadiran ke musolla dan memesrai orang-orang kampung lebih dari menganjurkan gotong royong contohnya yang kadang-kadang kehadirannya tidak lebih dari hadirin yang hadir ke musolla. Sila faham, bukan memansuhkan gotong royong dan program seumpamanya tetapi jadikan ziarah 5 kali sehari ke musolla sebagai asas dan program-program kemasyarakatan sebagai penambah perisa kepada ziarah 5 kali sehari itu.

Saya kalau mahu mencari menantu juga mahukan yang kaki surau, yang sentiasa solat jemaah dan lebih-lebih lagilah berkenan jika orang itu adalah yang aktif bermasyarakat. Tetapi jika aktif bermasyarakat dan tidak pula hadir ke surau melainkan 2 kali setahun (Aidil Fitri dan Aidil Adha) maka tentu sekali hati saya tidak senang untuk memberikan anak saya kepadanya. Ini contoh sahaja.

Seterusnya, selaku pemuda yang ada ilmu bahkan sentiasa menuntut ilmu tiap-tiap hari, maka untuk menguruskan jiwa yang ego dan pantang ditegur rasanya lebih mudah. Kita belajar tentang tawadhu', ikhlas, menghormati orang tua, senyum itu sedekah, melazimi salam, mengambil berat dan bermacam-macam akhlak islam lain sudah pastilah ianya menjadi penguat kepada kita saat mendepani karenah orang kampung yang berbagai-bagai.

Usahakan untuk mencuba cara yang saya analisis ini selama sebulan dan lihat kesannya kepada penerimaan masyarakat setempat kepada kita. Jika anda membaca artikel ini, tolong sebarkan cabaran saya ini kepada sahabat-sahabat untuk dilaksanakan dalam tempoh sebulan iaitu :

-Lazimi ziarah 5 waktu ke musolla
-Bersalam dengan semua pak cik mak cik di musolla
- Memberi salam ketika bertemu
- Bertanya khabar jika sempat
- Turun membantu jika ada majlis masyarakat

Selebihnya ialah pengurusan kendiri, sabar mendengar cemuhan, husnu zhon saat kita di suu zhon, buang sikap anak-anak yang cepat merajuk dan sebagainya. Muslim yang baik adalah muslim yang memberi manfaat kepada muslim yang lain.

...الصبر ضياء
Sabar itu umpama cahaya matahari...

Cahaya memberi faedah kepada manusia dan sumber cahaya itu datangnya bukan dari bakaran yang bukan sembarangan, diri perlu kuat dan jiwa juga begitu. Semoga kekal dalam menerangi mad'u. Wallahua'lam

4.04.2010

Ayah Pesan....

Assalamualaikum w.b.t.

Menjadi anak kepada peniaga sejak lahir (lahir-lahir, ayah dah ada kedai dah) mungkin menyebabkan ada juga rasa minat untuk meneruskan legasi yang dimulakan ayah walaupun tidak sekuat semangat yang ditunjukkan ayah. Tapi memang rasa nak r. Paling kurang pun nak cari rejeki dengan titik peluh usaha sendiri. Minat nak makan gaji orang bagi bulan-bulan tu macam kureng la sikit. Hmm, mungkin dah tengok apa yang ayah buat dah berhasil, tapi apa yang pasti, aku respek ayah aku. Memanglaa, dah ayah kita kan? hehe

Okey. Nak ringkaskan sikit pointnya, aku tengok ayah sebagai seorang yang gigih, jujur, kasar (kadang-kadang), berterus terang, suka mengusik, gigih...eh dah sebut dah, hehe dan lain-lain yang kalau nak hitung, nanti cakap aku ni bongkak pulak. Tapi memang aku tengok ayah ni lain dari tauke atau taikun MELAYU dan ISLAM yang pernah aku jumpa, mungkin kerana aku arif pasal ayah lebih dari aku arif pasal tauke dan taikun niaga yang lain. Ye la, ayah kite kan? hehe.. Ayat tu lagi.

Satu yang ayah akan cakap tiap-tiap pagi masa sarapan, takdela tiap-tiap pagi, tapi memang kebanyakan pagi akan adalah pesanan beliau yang berbunyi, "kita ni nak berniaga kena jujur, jujur paling penting. Untuk apa jujur ni? Untuk kepercayaan orang kepada kita, penting ke percaya? Penting kerana tanpa kepercayaan, siapa nak berurusan dengan kita.." Ish, memang la ayah tak cakap skema gini, ni versi yang diubah suai laa.. Kalau tak diterjemahkan, takut korang tak faham.. hehe.

Aku sokong hujah pertama ayah aku kerana Nabi telah melakukannya sewaktu berniaga barang dagangan Khadijah hingga keuntungan yang dihasilkan lebih banyak dari biasa. Jadi pelajaran pertama hari ini adik-adik, apa diaa? yee, jujurr...

Pesan yang kedua, jangan berhutang selagi masih mampu bayar. Maksudnya, hilangkan beban hutang dalam perniagaan dengan mengutamakan benda yang utama. Contohnya mudah, seorang tauke, perlu mengutamakan bayaran pembeliannya lebih dari niatnya untuk menyambar Mercedez Brabus atau Toyota Alphard yang berkemungkinan jika jadi jugak beliau menyambar salah-satu dari dua kereta itu menyebabkan beliau mula kesuntukan wang untuk membayar barang yang dibelinya. Mungkin pasal itu jugalah ayah hanya membeli dua buah kereta dari saat mula berniaga iaitu Toyota Corolla otai yang digelar wagon dan Toyota Unser. Memang ayah berjimat untuk selamat.

Pesanan ni biasa ayah cerita pada aku time aku drive dan ayah duk kat sebelah. Katanya, wahai anakku, Mohd Ridhuan yang agak kacak, chewah.. Hehe, takdela, kirenya antara isi penting yang sempat aku rekod ialah, "Mad, kita ni hidup kena sederhana, jangan nak menunjuk kat orang yang kononnya kitalah kaya. Kalau kejar ke kaya, tak habis Mad. Orang tak hormat pasal kita kaya, kadang-kadang orang benci pulak kalau kita kaya. Mu ingat orang tak bercakap ke kalau kita boros, beli kereta, tukar kereta, renovate (ni dah ditranslate) rumah, tukar telefon, beli bende tu, beli bende ni, orang bercakap mad. Hidup kadar-kadar kita dah lah, jangan sibuk nak menunjuk." Panjang lagilah sebenarnya, takkan nak bagitahu semua, ye tak? Tapi memang aku akui, ayah ni, wallet takde, jam takde, cincin lagi la takde, subang? nak kena pukul ke... hehe.. Apa yang ayah aku suka,kain pelekat, baju pagoda, seluar dan barang asas-asas lain yang diperlukan manusia.

Perkara yang ditekankan ayahku juga adalah belajar, belajar dan belajar. Ayah cakap, dia tak sempat belajar tinggi, tokki (datuk) aku dulu orang susah, ayah sempat sekolah sampai darjah lima je, kirenya umur 12 tahun dah jadi pelayan kat satu kedai makan, sampailah tuan kedai tu bagi tapak kedai kat dia dan dia mula berniaga, antara kata ayah yang aku ingat, kalau ayah belajar agama, boleh jadi ulama' besar dah. Dari umur 12 tahun sampai 65 tahun. Bila aku cakap nak duduk kat kedai je pas KUDQI, ayah kata sambung lagilaa. Orang akan hargai kita kalau kita ada ilmu walau kita miskin, tapi kalau kita bangsat tanpa ilmu, orang akan layan kita macam anying pale pecoh (anjing kepala pecah/anjing kurap).

Ayah aku nasihat memang macam kasar sikit, tapi aku dengar istilah anying pale pecoh tu, aku still suka lagi. Ni aku menaip dalam keadaan suka la ni.. Hehe.. Oh ayahku, tinggi sungguh imaginasimu dalam memberi kiasan kepada kehinaan. Thank you. Eh, ter'speaking pulak. hehe

Kebenaran mesti diberitahu kata ayah, jangan kerana kita berada di satu-satu pihak, maka yang berada dipihak kita itu, kita sembunyikan atau butakan saja mata kita. Wajib kata ayah aku untuk beritahu kesalahan, niat untuk membetulkan, jangan niat untuk menjatuhkan.

Banyak lagi nasihat ayah, tapi buat masa ni biar sampai di sini, saja je nak bagi ada part kedua, ketiga. hehe. Apapun, saya sayang ayah saya. (sila baca dengan nada baku) bersambung....

3.20.2010

Alasan

Assalamualaikum w.b.t

Minta maaflah kepada semua pengunjung yang amat disanjung sekalian. Walaupun tidak lebih dari 20 orang sehari, tapi kehadiran anda memang wajar dihargai. Sila bangun dan tepuk tangan untuk diri sendiri kerana saya menyanjungi anda. Okey, cukup la tu. Sikit-sikit je sudah. Hehe

Pertamanya, saya mahu memberikan alasan kesibukan sebagai satu sebab saya tidak menghapdet blog sejak sekian lama. Lebih seminggu rasanya. Bukan sebab sibuk sahaja, bahkan sejak akhir-akhir ini penilaian saya terhadap satu-satu benda agak kosong. Tidak dapat menterjemah sesuatu yang saya lihat dan dengar serta rasa ke dalam bahasa tulisan.

Jika 11-13 baru-baru ini saya sibuk meletakkan diri saya kedalam bidang pengisian dan modul untuk satu program kepimpinan, cuti sekolah yang bakal berakhir jam 12 malam ini pula saya memenuhi undangan futsal dengan anak-anak buah yang saya ajari mereka dengan al-Quran.(pendeknya ; ajar mengaji) juga mengadakan xtvt kelas mengaji itu pada waktu siang.

Terbaru, Lajnah Akademik telah menganjurkan kelas Nahu dan mereka terpaksa memilih saya untuk bermain-main dengan asas utama bahasa arab itu. "Eh, engkau pandai ke nahu mat?" atau "Imtihan dulu tak pernah dapat mumtaz pun ada hati nak mengajar orang ke?" mungkin akan keluar dari mulut orang. Hehe. Maklumlah, saya bukanlah pakar, tetapi untuk sama-sama mengulangkaji dan berbincang, rasanya bukanlah satu keberatan untuk saya menerima tugas tersebut. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing.(sebenarnya tiada kaitanpun dengan kes yang telah disebut, sekadar memanjangkan perenggan.)

Alasan emas yang kedua saya gunakan adalah kebangsatan perangai yang ditunjukkan oleh broadband celcom saya. Hampir seminggu.. Tidak hari ini adalah hari yang kelapan broadband saya tidak dapat digunakan seperti biasa. Sungguh mengharukan, apabila saya menelefon operator Celcom, dua kali kredi habis. Kali pertama menggunakan handphone kakak saya dan kali kedua handphone saya sendiri dan kredit itu habis sebelum sempat saya mendapat jalan penyelesaiannya.

Hari ini sekali lagi saya membulatkan tekad untuk menelefon operator itu dengan persiapan yang cukup rapi, semua soalan-soalan yang bakal ditanya telah dijawab sebelum sempat diajukan agar masa dapat dijimatkan dan kredit dapat diselamatkan. Penyelesaian yang saya tunggu sehingga habis kredit dua biji handphone itu hanyalah menukar setting di manage devices dari 3G preferred ke GPRS/Edge only yang mana setting itu telah saya cuba hampir 20 kali sepanjang ketiadaan line tersebut. Dengan sopan, ucapan terima kasih diucapkan dan saya mengucapkan juga terima kasih kepada kakak saya yang bercakap bagi pihak saya. Saya ni kurang mahir berkomunikasi dalam standard malay. Jadi, khidmat kakak terpaksa diguna.

Selepas menukarkan kembali setting daripada GPRS/Edge only kepada 3G only, saya menunggu line ini kembali berada dipuncak untuk standby menekan butang PUBLISH POST. Menunggu memang membosankan.

Alasan emas ketiga yang saya hidangkan untuk anda pada n3 ini adalah perhatian saya yang tertumpu kepada kerjaya baru saya iaitu guru KAFA. Ya, guru KAFA. Nak saya ulang lagi, guru KAFA, ye KAFA. Oh, maafkan saya, sejak memasuki kursus PNP di YIT baru-baru ini, saya merasa cukup teruja sekali dengan tugas ini. Betul juga cakap penyampai pada hari itu, kenapa mesti memberitahu orang kita ini guru kafa je. Kita kena bangga dengan tugas ini. Oleh itu, pada hemat saya, selepas membuat posting ini, insyaAllah akan menyusul tajuk Akulah Guru Kaafaa... Baca dengan gaya menjerit dari atas puncak gunung.

Selain kerja KAFA, saya juga meminta tugas untuk menjadi moderator bagi blog MPMKUDQI kerana merasa terpanggil untuk menjadikan KUDQI sebagai sebuah tempat yang dikenali ramai sekaligus akan meramaikan pelajarnya terutamanya di sebelah ikhwah. Segala aktiviti menarik yang ada di KUDQI yang sebelum ini tidak diketahui orang bakal saya bongkar. Kita terjah bak kata Nas Ahmad.

Sibuk sangat ke nak jadi moderator blog MPMKUDQI ni? Jika anda baca ayat sebelum ini, pasti anda akan menjadikan ianya satu persoalan walaupun anda tidak berniat nak bertanyakan tentangnya sebelum ini, betul kan? Baiklah, oleh kerana anda sudah mula bertanya sejak membaca perenggan ini, saya akn cuba sedaya upaya menjawabnya walaupun sebelum ini ianya menjadi rahasia saya saja. hehe.

Saya sebenarnya tidak cukup kaki tangan untuk membuat laporan, membuat artikel, membuat poster, mewawancara orang tertentu, bertanya tentang program ni bila, program tu bila, apa yang baru kat KUDQI sekarang, ada aktiviti menarik ke tak petang ni dan pelbagai soalan lagi. Secara jujurnya, saya memerlukan beberapa orang yang boleh konsisten dengan tugas untuk melaksanakan misi mulia ini. Oleh itu, secara peribadinya, saya akan mula menarik mereka yang punya minat dalam bidang ini untuk berada disamping saya memperjuangkan misi dakwah alam maya yang hebat dan penuh cabaran ini.

Oh ya!( Ish, Ish..Tak best bunyinya.) Semalam saya telah pergi ke majlis Alumni MDQ yang diadakan di dewan utama DQ. Lebih kurang 200 orang senior-senior yang hadir. Bila dah bertemu, pelbagai memori akan keluar dengan sendirinya. Ustaz Khairi Zainudin mempengerusikan majlis tersebut. Banyak memori yang tersimpan dalam minda beliau ni. Antara killer weapon beliau untuk mereka yang tidak berani bangun berucap adalah "ni kaki tembo mase khitobah dulu la ni". Apapun, saya wakil generasi ke 15 mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertanggungjawab mengadakan majlis ini. Memang nostalgia.

Setakat ini sahaja wahai penonton sekalia, terima kasih kerana berkunjung, jangan bosan untuk datang ke blog ini kerana anda adalah inspirasi saya. Sekali lagi, tepuk tangan untuk diri sendiri. Okey, cukup.

3.05.2010

Menyelusuri Riwayat Khalifah Ke-4

Selepas menikmati buku Khalid, saya langsung berminat untuk mendalami kisah hidup Sayyidina Ali bin Abi Talib terutamanya selepas kisahnya menewaskan Amru bin Abdul Wudd yang kekuatannya mampu menjadikan anak lembu sebagai perisai jika ia mahu. Lalu saya memilih untuk membaca buku karangan Abdul Latip Talib. Walaupun tidak terlalu ditil, tetapi untuk permulaan saya mengenal menantu Nabi itu, saya kira ianya sudah dapat memuaskan hati walaupun tidak maksimum.

Saya mengagumi Sayyidina Ali setelah sabda Nabi iaitu :

"Jika aku adalah kota ilmu maka Ali adalah kuncinya"

Merupakan antara insan yang paling disayangi Nabi dan sentiasa patuh pada setiap arahan Nabi tidak kira dalam apa jua keadaan. Beliaulah yang menggantikan Nabi untuk tidur di tempat tidur Nabi sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah.

Beliau sering dikatakan bahawa orang yang faqih dalam ilmu dan mahir dalam urusan peperangan. Pernah ditanya kepadanya satu soalan yang sama oleh sepuluh orang yang berbeza, beliau menjawab kesepuluh-sepuluh soalan dengan jawapan yang berbeza. Soalannya adalah manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Selepas menjawab soalan tersebut, beliau mengatakan jika 100 orang yang datang bertanyakan aku tentang tadi, nescaya aku memberikan kepada mereka 100 jawapan yang berbeza.

Namun bacaan saya sudah tidak jadi begitu menarik tatkala memasuki babak perpecahan ummat Islam yang mula menunjukkan bibit-bibitnya di zaman Khalifah ketiga, Uthman bin Affan. Saya menjadi sedih dengan semua itu dan cuba untuk bersikap natural agar saya tidak cepat menjatuh hukum kepada sahabat-sahabat yang teramat jauh lebih mulianya dari saya yang teramat jauh hinanya dari mereka. Biarlah ianya terus berlalu dan tugas saya dan semua ummat Islam lain adalah belajar dari sejarah tersebut.

Keseluruhan, saya mula mengagumi keperibadian, ilmu dan akhlak Sayyidina Ali lebih dari sebelum saya membaca riwayat hidup beliau. Namun, saya tetap ahli sunnah bukan syiah. Penegasan ini perlu saya beri untuk mereka yang allergik mendengar tentang ahlul bait. Semoga semua kita diberi hidayah dan petunjuk olehnya.

Preview Buku: Pedang Allah Khalid Al-Walid



Selepas beberapa ketika menghabiskan satu buku yang amat menarik iaitu Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya karangan Leftenan General A.T Akram, saya merasakan satu kepuasan yang amat sangat. Saya pernah juga membaca tentang pahlawan Islam yang tidak pernah kalah itu sebelum ini tetapi tidak pernah lagi mendapat kepuasan seperti.

Satu buku yang sangat lengkap (bagi saya) tentang penceritaan berkenaan Pedang Allah itu. Bahkan ianya diselangi dengan penerangan tentang strategi yang diguna Khalid sepanjang kempen yang disertainya. Sesekali diceritakan juga penggunaan taktik seperti itu di zaman kemudian. Kelebihan penulis ini sebagai seorang general tentera angkatan darat Pakistan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menterjemah strategi Khalid dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Semoga Allah memberkati usaha beliau ini.

Setiap kali buku ini menceritakan tentang perlawanan duel (satu lawan satu-biasanya sebelum peperangan bermula), saya merasa seolah-olah saya berada di sana dan memerhati dengan cermat perlawanan yang sedang diadakan itu. Kehebatan Khalid dalam perlawanan ini menyaksikan beliau menang dalam semua duel yang disertai. Bahkan suara hati saya tidak dapat menafikan kebenaran dari kata-kata pemimpin tentera dan kerajaan Rom dan Parsi yang takjub dengan Islam kerana mampu melahirkan dari kalangan mereka yang tidak bertamadun pejuang-pejuang yang begitu teguh dengan dasar penaklukan mereka iaitu Islam, jizyah atau perang dan mencintai mati seperti mana tentera mereka mencintai hidup.

Antara watak-watak yang menarik untuk dihayati sepanjang membaca buku ini adalah Dhirar al-Azwar(pahlawan berlengeng-tidak berbaju), Abdul Rahman bin Abu Bakar, Abu Ubaidah al-Jarrah (yang digelar orang paling kacak bagi mereka yang tiada gigi kacip), Khaulah al-Azwar(saudara perempuan Dhirar), seorang janda yang cekap memanah.

Sementara watak-watak yang menyebabkan saya memejam mata untuk membayangkannya adalah Amru bin Abdul Wudd yang kuatnya umpama 1000 pahlawan dan orang Arab meriwayatkan beliau mampu untuk mengangkat kuda dan melemparkannya ke tanah dan mampu mengangkat anak lembu dengan sebelah tangan untuk dijadikan perisai dan sebelah lagi bermain pedang (dikalahkan oleh Ali bin Abi Talib dalam perang Khandak), Adi bin Abi Hatim yang tingginya menyebabkan jika beliau menunggang kuda, kakinya akan mencecah tanah, Hazar Mard, pahlawan Parsi yang bengis dengan kekuatan 1000 pahlawan juga digelar gergasi kerana saiznya yang luar biasa besar berbanding orang lain.

Tidak lupa juga watak kegemaran saya selain Khalid iaitu Dhirar Al-Azwar yang gemar untuk tidak memakai baju. Kali pertama beliau membuang baju perang adalah kerana panas dan tidak selesa dan selepas itu kelibatnya dengan trademark tidak berbaju itu menyebabkan ianya menjadi igauan ngeri kebanyakan pihak musuh. Nampak sahaja di kalangan tentera Islam yang tidak memakai baju perang, maka mereka akan tahu itulah Dhirar yang boleh memberi mudarat kepada mereka dengan kehandalannya beraksi. Orang yang terpenting dalam pasukan pengawal bergerak Khalid.

Banyak lagi yang jika diceritakan pasti akan merasa bahawa alangkah bagusnya jika filem Khalid al-Walid ini dapat difilemkan sepertimana cerita Genghiz Khan dicerekakan. Apatah lagi Khalid dan Genghiz ini merupakan antara orang yang tidak pernah tewas dalam peperangan yang disertai. Pasti menarik dengan kemunculan watak-watak hebat ini.

Jangan lepaskan peluang anda untuk sama-sama mengecapi betapa bernilainya buku yang bertajuk Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya. Pasti tidak rugi memilikinya. Wallahu A'lam

2.28.2010

Hidup Ini Bukan Filem!

Hidup ini takkan seindah filem jika kita tidak berusaha untuk mengindahkannya. Takkan pula ianya menjadi novel cinta yang penamatnya menang-menang jika diri hanya diam membatu tanpa bergerak ke arah kecantikan susunan plot-plotnya.

Hidup ini adalah untuk memilih samada mahu bahagia atau derita. Manusia bukan malaikat yang sentiasa saja patuh kepada Allah tatkala diperintahkan sesuatu kepadanya tetapi tidaklah menjadi satu keganjilan bila ada manusia yang darjatnya jauh mengatasi malaikat Allah.

Itulah manusia yang penuh dengan objektif yang boleh dipilih untuk menentukan gaya menendang pesaka (akhir hayat) mereka nanti. Samada mahukan kedamaian di bawah naungan rahmat Ilahi ataupun mahukan kesengsaraan dengan menghimpun segala marah dan murka Allah.

Sebagaimana sabda baginda yang paling saya cinta :

"Allah tidak akan sesekali mengubah sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubahnya sendiri."

Lihat Qabil yang memilih untuk membunuh Habil dari mengahwini kembar Habil.

Lihat kaum Ad dan Thamud yang memilih kekufuran dari menerima dakwah Nabi mereka yang langsung tidak mengurangkan harta benda mereka.

Lihat pula pendeta besar memilih untuk berdoa agar Allah menyesatkan Nabi Musa dan kaumnya selama 40 hari di padang pasir sebelum Allah menghukumnya dengan lidah menjulur keluar dari mulutnya

Lihat bapa saudara Nabi Muhammad yang memilih untuk kekal dengan agama nenek moyang mereka dari mengucapkan dua kalimah syahadah yang bisa menyelamatkannya dari neraka.

Lihat kesilapan mereka memilih dan mereka degil untuk memilih kebenaran. Dengan contoh yang letih untuk dihitung, kita sebenar-benarnya sedang berhadapan dengan dua simpang setiap hari dan setiap masa. Hanya kita yang mampu memilih jalan mana yang ingin dilalui.

Sekali lagi jika anda muslim mukmin, saya ingin segarkan kembali matlamat kita iaitu keredhaan Allah yang menjamin kehidupan kita di syurga selama-lamanya. Ya, selama-lamanya.

Untuk itu, saya memilih untuk tinggalkan cinta manusia agar cinta Allah dan Rasulnya yang keciciran selama ini dapat saya kutip kembali. Semoga diri saya ini masih diberi ruang untuk diisi dalam jiwa besar Baginda yang saya kasihi. Labbaika Ya Rasulullah. Bi abi anta wa ummi...

Tunjukilah aku jalan lurusMu ya Rahman, ya Rahim. Izinkan aku mencintaiMu dan PesuruhMu sebelum aku mengisi hatiku dengan cinta insan lain yang turut cintakanMu dan RasulMu.

AstaghfiruLlah wa Laa Ilaha IllaLlah, Muhammadur Rasulullah.
SollaLlahu Ala Muhammad Ibni Abdillah
Mabda'il Amri Wamuntahaah
Wasolla Ala Aalihi Wa Sohbihi Waman Tabi'ahu wa Waalaah

Membalas Cinta Nabi

Assalamualaikum w.b.t

Mencintai Nabi Muhammad adalah suatu kemestian buat sekalian umatnya. Nabi Muhammad mencintai kita semasa kita masih belum lagi wujud sebagaimana bicaranya terhadap sahabat-sahabat beliau,
"Aku ingin sekali bertemu dengan saudara-saudaraku"

"tidakkah kami ini juga saudara-saudaramu wahai Rasulullah?" sahabat bertanya

"Kamu adalah sahabat-sahabatku dan aku maksudkan ialah saudaraku orang beriman yang belum ada" Jawab Nabi dengan matanya merenung jauh kearah perkuburan Baqi'.

Insan yang bernama Muhammad ini telah menyatakan rasa rindunya untuk bertemu dengan kita, orang yang beriman yang tidak sempat melihat wajah yang tenang dan membahagiakan itu. Soalnya, adakah kita mahu berjumpa baginda yang begitu merindui kita ini dengan hanya berarak berselawat sahaja kepadanya sedangkan sunnah kehidupan baginda langsung tidak kita ikuti.

Islam yang dibawa HabibaLlah itu tidak diambil sepenuhnya bahkan ianya hanya dipandang dengan pandangan menyusahkan hidup, menyekat kebebasan, menjadikan aktiviti yang melalaikan terhapus dan segala kegiatan yang selama ini dibolehkan hawa nafsu akan terbatas. Jika benar kita cinta akan manusia yang diakhir umurnya masih memikirkan kita "ummati.. ummati.." maka pilihlah untuk menjadi Islam seluruhnya. Hidupkan kembali sunnahnya. Hayati kembali perjuangannya.

Kita bukan haiwan yang misinya untuk meneruskan hidup dengan makan minum, tetapi kita Khalifah penerus perjuangan pimpinan agung Muhammad s.a.w. Kita adalah legasi penyambung Islam. Kita generasi yang akan menyampaikan Islam kepada mereka yang akan datang. Kerana, cinta Rasul kepada kita tidak berbelah bagi dan wajar kita balas dengan mengembangkan apa yang dijuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Tanggungjawab sudah melebihi masa yang ada. Andai kita rehat, pastikan rehat kita terisi dengan memikirkan bagaimana mahu menjadi mukmin sejati. Mahu membawa orang lain turut mengecapi nilai iman yang hakiki. Mulakan langkah pertama dengan Ilmu.

2.25.2010

Nabiku Muhammad

Senak perut dengan ragam perbalahan manusia yang kadang kala menunjuk baik, menunjuk alim dan menunjukkan bahawa merekalah pengamal sunnah sejati tanpa mengemukakan sedikit ruang untuk berbincang dan berdiskusi.

Mungkin isu Maulidur Rasul ini mula kendur dari pelbagai cerita yang sebelum ini disambut hangat oleh mereka yang kurang faham dan kurang jelas tentang isu sebenar (sila maksudkan tentang Isu Maulidur Rasul Pulau Pinang).Tetapi saya tetap mahu mengetengahkan beberapa perkara yang saya rasakan perkara ini akan membantu melebar luaskan lagi dakwah yang selama ini dijuangkan Nabi saya Muhammad s.a.w.

Kelahiran Nabiku Muhammad adalah satu titik mula yang besar dalam sejarah peradaban manusia dan membawa kemurungan dan kebimbangan kepada kuasa-kuasa besar yang ego untuk mengikut agama yang dibawa baginda. Dengan kelahiran seorang bayi terpilih dari kalangan bangsa Arab yang kebanyakannya buta huruf lantas memadamkan api Majusi yang besarnya bukan senang untuk dipadamkan begitu sahaja.

Lahirnya baginda adalah rahmat sekalian alam, memang benar-benar manusia terpilih, manusia yang mendapat didikan secara terus dari Allah sebagaimana sabdanya :

أدبني ربي وأحسن تأديبي

Apa tidaknya, tatkala mahu pergi ke majlis keraian yang dilakukan oleh orang Arab pada ketika itu pun, Allah lantas mendatangkan mengantuk yang amat sangat hingga majlis yang ingin disertai baginda terlepas begitu sahaja. Bahkan auratnya juga dipelihara Allah bilamana baginda yang melakukan kerja-kerja untuk membaikpulih Kaabah dan mahu menyingkap kain hingga ke paras peha untuk memudahkan kerja baginda terus dipengsankan oleh Allah. Begitulah Nabiku Muhammad yang selama ini sunnah pengajarannya dicerca bahkan dikatakan pula kaki perempuan oleh pihak musuh yang jahanam itu.

Nabiku Muhammad adalah seorang yang amanah, amanah yang membolehkannya mendapat gelaran al-Amin di kalangan penduduk Makkah, amanah yang mendapat kepercayaan setiap suku yang hampir berperang kerana berebut mahu meletakkan batu dari Syurga, Hajarul Aswad ke tempat asalnya agar diadili oleh nabiku Muhammad. Amanah yang meletakkan nabiku sebagai orang yang diberi kepercayaan oleh orang yang tidak mengimaninya untuk menyimpan barang-barang berharga. Amanah yang jika dikatakan ada musuh mahu menyerang dari balik bukit berhampiran, tiada alasan untuk orang Makkah tidak mempercayainya hinggalah kenyataan baginda bahawa Allah itu satu dan baginda adalah pesuruh dan utusan Allah yang satu itu, sepantas itu jugalah orang-orang Quraisy mendustakannya.

Nabiku Muhammad adalah manusia berjiwa besar, tidak pernah mengambil jalan untuk bermusuh dengan mad'unya selagi perisytiharan perang tidak diturunkan oleh Allah s.w.t. Besar yang memilih untuk menunggu anak-anak Thaif menerima Islam berbanding tawaran malaikat penjaga bukit yang mahu menghempapkan bukit itu ke atas kepala orang-orang Thaif yang biadap terhadap nabiku Muhammad dengan sikap mereka memilih untuk melontar batu bagi mengiringi ketidakrelaan mereka menerima dakwah yang menyebabkan nabi berdarah hingga ke kaki walaupun Zaid bin Harithah membentengi baginda dari terkena batu. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad adalah orang yang berjiwa kuat, kuat menahan dugaan dan cubaan, kuat dalam mempertahankan agama Allah. Kuat yang menjadikannya tetap kekal tegar bersama-sama para sahabat dalam menahan lapar dalam peristiwa pemulauan Bani Hasyim, kuatnya Baginda dalam menahan asakan musuh dalam perang Uhud hingga patah gigi nabiku Muhammad s.a.w walaupun sahabat-sahabat baginda telah hilang punca kerana menyangkakan bahawa Nabi telah tiada.

Sekuat itulah juga baginda menahan cercaan yang dilemparkan kepadanya bersama-sama najis, perut-perut haiwan, ludahan musuh bahkan batu besar yang pernah cuba dihempap Abu Jahal ke atas kepala baginda ketika sedang sujud sebelum diselamatkan Allah dengan unta yang cukup besar dengan mulut ternganga seperti mahu menelan Abu Jahal. Laknat Allah jua ke atasnya dan ke atas Uqbah bin Abi Mu'it yang pernah menjerut leher nabiku Muhammad hingga tercekik tidak boleh bernafas sebelum diselamatkan Abu Bakar. Laknat ke atas mereka.

Nabiku Muhammad adalah manusia yang punya keyakinan dan matlamat yang jelas. Matlamat dan keyakinan yang mampu menjanjikan kepada Suraqah bin Malik akan gelang kebesaran Kisra Parsi walaupun ketika itu baginda hanya bersama Abu Bakar sahaja. Nabiku adalah orang yang bekerja mengejar matlamat yang ditetapkannya itu, bukan hanya sekadar bermatlamat tanpa bekerja untuk mencapainya.

Nabiku adalah orang yang mampu membina pengaruh dan kesannya masih lagi dirasai hingga sekarang. Baginda adalah manusia yang menyebabkan orang yang benar-benar beriman kepadanya sanggup menahan panah dan tombak pihak musuh dengan batang tubuh mereka sendiri. Orang-orang yang mencintai mati sebagaimana musuh mereka mencintai hidup dan melahirkan sahabat-sahabat yang berjuang hanya kerana Allah dan tidak mengejar perkara lain melainkan menang dengan bergaya atau mati dengan janji syurga. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad juga adalah orang yang menyebabkan Umar ingin memancung sesiapa yang berani mengatakan bahawa baginda telah wafat dek kerana terlalu sayangkan baginda dan tidak boleh menerima bahawa baginda telah tiada. Abu Bakar membaca ayat berikut untuk menenangkan Umar :

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Ali Imran :144

Nabiku yang disaat kematiannya menyebabkan Jibril berpaling muka dari baginda kerana tidak sanggup melihat baginda menanggung sakit sakaratul maut, berpeluh nabiku yang mulia saat dicabut nyawanya perlahan-lahan oleh Izrail. MasyaAllah nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad jua membawa nostalgia kepada zaman selepasnya apabila muazzin di zamannya yang keluar dari Madinah dan pulang lantas mengumandangkan azan menyebabkan orang yang mendengar azan laungan Bilal bin Rabah itu menangis dan merasakan bahawa nabi hidup kembali kerana panggilan solat oleh muazzin Nabi itu. Madinah syahdu mengenangkan nabiku Muhammad. Kehilangan yang cukup besar.

Selawat serta salam ke atas nabiku Muhammad yang menyebarkan Islam hingga turut dapat dikecap oleh ummat akhir zaman sepertiku dan mereka yang mengimani bahawa maulidur Rasul ini bukan berarak semata-mata, bahkan ianya lebih kepada Islam secara keseluruhan.

Marilah sama-sama kita mempertahankan jalan yang dibawa oleh baginda s.a.w dengan segala yang kita ada. Kita bukan apa-apa jika kita tidak memilih Islam sebagai ad-Deen. Jangan memilih untuk melaksanakan sunnah, laksanakanlah secara keseluruhannya.

Allahumma Solli Ala Muhammad, wa ala alihi wa sohbihi ajma'in...