Followers

5.03.2010

Bunuh Tok Guru?

Saya menulis tentang ini setelah heboh berita berkenaan Safuan Helmi, pemuda yang berani itu dua tiga hari lalu yang mengeluarkan kenyataan untuk membunuh tok guru Nik Abdul Aziz. Saya mendapat gambar beliau lengkap dengan kata-katanya sekali di atas gambar tersebut. Sekelip mata sahaja, gambar itu penuh dengan komen-komen dari sahabat-sahabat yang prihatin. Syabas diucapkan.

Dalam membaca komen itu, dapatlah saya membahagikan pemberi komen tersebut kepada beberapa bahagian. Keras, bersederhana dan lembut. Adapun keras itu dapat dipecahkan lagi kepada dua, keras yang mendapat restu syara' dan keras yang disulami dengan bahasa yang kesat lagi gerun.

Walau apapun kata-kata yang keluar dalam mempertahankan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, ianya jelas membawa kepada satu suara iaitu kesediaan mempertahankan susuk TGNA dari sebarang ancaman fizikal. Saya percaya ianya bukanlah retorikal semata-mata, tetapi ianya adalah kesediaan yang jika dicabar maka sangat besar kesannya kepada pencabar.

Namun dalam masa yang sama, tiada sebarang tindakbalas yang diberi oleh TGNA. Menurut saya ia adalah tindakan yang tepat kerana melayan marak api dengan api atau angin, maka ianya akan menyemarakkan lagi semangat dan keinginan untuk melaksanakan cabaran yang dilaungnya.

Kisah ini mengingatkan saya kepada Suraqah bin Malik. Seorang yang cerdik dan berpengalaman dalam menjejaki orang yang telah jauh perjalanan. Datangnya dari qabilah yang hebat dalam menunggang kuda dan bermain senjata, begitu mahir selok belok padang pasir. Di saat semua orang yang berebut-rebut mahukan hadiah seratus ekor unta jika dapat membunuh Nabi Muhammad, beliau seorang sahaja yang memilih jalan yang lain dari pemuda-pemuda haus ganjaran tadi.

Dengan menjangkakan bahawa Nabi Muhammad melalui jalan pantai, maka beliaupun segera memecut kudanya hingga kelibat dua orang dalam perjalanan kelihatan. Disaat kepalanya sudah merasai nikmat kekayaan, tanpa lengah segera memecut kudanya sepantas yang boleh agar sampainya kepada kelibat dua orang itu dan segeralah dia dapat membawa pulang jasad Muhammad samada masih berisi roh ataupun tidak.

Allah berjanji untuk melindungi NabiNya, dalam beberapa langkahan kuda saja lagi, tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam pasir hingga beliau jatuh tersungkur. Semangat 100 ekor unta masih belum melemahkan semangatnya mengejar nabi dan Abu Bakar. Bangun dari jatuh yang memalukan itu, dikejarnya pula nabi agar sempat dipenggal dan dibawa pulang, namun kuasa Allah bila hampir dengan nabi, dirinya pula jadi tidak bermaya. Tiada kudrat lagi untuk membawa Muhammad imma yang punya roh atau tidak pulang ke Makkah.

Nabi Muhammad pula yang datang menghampirinya dan berkata, "mahukah kamu aku janjikan dengan gelang kebesaran Kisra?". Siapa sangka dengan janji Rasul itu, gelang kebesaran Kisra menjadi milik Suraqah selepas keIslamannya.

Justeru, dalam kita mendoakan kesejahteraan dan keselamatan TGNA, jangan pula kita lupa hendaknya mendoakan hidayah buat Safuan Hilmi agar keberaniannya itu boleh jua dimanfaatkan kepada Islam selepas ini. Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.