Followers

5.25.2010

Asah Pisaumu

Payah juga nak memulakan setelah lama terbiasa dengan meninggalkan tabiat menaip atau menulis. Paling payah lagi jika menulis tanpa jiwa, tanpa semangat dan seolah-olah ada sahaja yang tidak kena. Lalu tidak hairanlah Pak Subky Latif berkata, "mau jadi penulis, hari-hari kena tulis".

Tak mahu jadi pisau berkarat, saya kuatkan keinginan untuk menulis pada malam ini walaupun otak saya kosong mungkin kerana lama sudah ianya tidak digunakan secara sepenuhnya. Macam main bola, bila dah lama tak main, jadi cepat tercungap-cungap macam ikan di atas darat. Berlari 5-6 minit dah tunduk-tunduk menarik nafas. Menulis begitu juga, mencari rentak membuat ayat kelihatan begitu sukar bahkan kadang-kadang hingga beberapa minit jari menari-nari di permukaan tanpa menekan sebarang huruf. Lembab.

Khamis hingga Sabtu lalu, saya di Basung bersama-sama adik-adik KUDQI yang bertamrin dengan penuh semangat dengan tujuan yang satu iaitu meningkatkan kualiti diri untuk berdepan dengan macam-macam anasir yang lalu-lalang di depan mata. Tanpa persediaan dikhuatiri kecundang.

Esok pula, saya akan ke KUDQI lagi dan kali ini sebagai Yang Dipertua Debat ala Parlimen yang dianjurkan Lajnah Akademik mereka. Pengambilan saya sebagai YDP kononnya untuk mengimbangi dan mengadili debat antara 2 fakulti di KUDQI. Kata mereka jika diambil pelajar juga takut jadi bias atau berat sebelah.

Tidak kisahlah apa kata mereka, jika saya dipanggil untuk memberi sumbangan dan saya tiada urusan lain, dengan izin Tuhan, akan saya penuhi kerana di situ adalah tempat tumpah keringat saya dan sangat sukar untuk mengizinkan orang mencerca bahawa KUDQI tiada apa-apa yang hebat, hanya melahirkan orang yang biasa-biasa saja dan macam-macam lagi. Biarlah usaha kecil saya ini tidak berjaya sekalipun, namun sekurang-kurang saya curahkan juga usaha tersebut. Terlepas dari ditanya Tuhan kelak sudah sangat baik.

Hari ini sempat berderap dengan adik saya, birapantai yang kebetulan ada urusan di JPJ KT. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, saya pun mengajak beliau ke kedai kasut bagi memilih tudung saji...Maafkan saya, bagi memilih kasut yang ranggi dan selesa. Bolehlah saya pakai kelak. Hasilnya, tak pasal-pasal saya membeli dua pasang kasut kerana tak tertahan melihat dan merasa keselesaan kaki yang merasa dan mata yang memandang. Jika saya budak, nescaya saya akan terbaring di lantai menghentak-hentak kaki kalau kehendak saya mendapatkan kasut itu dihalang.

Sebelum tidur ini, saya mahu berlatih sambil mengajuk gaya Pandikar Amin Mulia yang mengendalikan Dewan Rakyat. Saya suka gayanya bercakap, bakunya berbahasa.

Orang hulu tengok berita
Doa dulu baru tutup mata

Kalau boleh bacalah dengan nada gurindam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.