Followers

3.20.2010

Alasan

Assalamualaikum w.b.t

Minta maaflah kepada semua pengunjung yang amat disanjung sekalian. Walaupun tidak lebih dari 20 orang sehari, tapi kehadiran anda memang wajar dihargai. Sila bangun dan tepuk tangan untuk diri sendiri kerana saya menyanjungi anda. Okey, cukup la tu. Sikit-sikit je sudah. Hehe

Pertamanya, saya mahu memberikan alasan kesibukan sebagai satu sebab saya tidak menghapdet blog sejak sekian lama. Lebih seminggu rasanya. Bukan sebab sibuk sahaja, bahkan sejak akhir-akhir ini penilaian saya terhadap satu-satu benda agak kosong. Tidak dapat menterjemah sesuatu yang saya lihat dan dengar serta rasa ke dalam bahasa tulisan.

Jika 11-13 baru-baru ini saya sibuk meletakkan diri saya kedalam bidang pengisian dan modul untuk satu program kepimpinan, cuti sekolah yang bakal berakhir jam 12 malam ini pula saya memenuhi undangan futsal dengan anak-anak buah yang saya ajari mereka dengan al-Quran.(pendeknya ; ajar mengaji) juga mengadakan xtvt kelas mengaji itu pada waktu siang.

Terbaru, Lajnah Akademik telah menganjurkan kelas Nahu dan mereka terpaksa memilih saya untuk bermain-main dengan asas utama bahasa arab itu. "Eh, engkau pandai ke nahu mat?" atau "Imtihan dulu tak pernah dapat mumtaz pun ada hati nak mengajar orang ke?" mungkin akan keluar dari mulut orang. Hehe. Maklumlah, saya bukanlah pakar, tetapi untuk sama-sama mengulangkaji dan berbincang, rasanya bukanlah satu keberatan untuk saya menerima tugas tersebut. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing.(sebenarnya tiada kaitanpun dengan kes yang telah disebut, sekadar memanjangkan perenggan.)

Alasan emas yang kedua saya gunakan adalah kebangsatan perangai yang ditunjukkan oleh broadband celcom saya. Hampir seminggu.. Tidak hari ini adalah hari yang kelapan broadband saya tidak dapat digunakan seperti biasa. Sungguh mengharukan, apabila saya menelefon operator Celcom, dua kali kredi habis. Kali pertama menggunakan handphone kakak saya dan kali kedua handphone saya sendiri dan kredit itu habis sebelum sempat saya mendapat jalan penyelesaiannya.

Hari ini sekali lagi saya membulatkan tekad untuk menelefon operator itu dengan persiapan yang cukup rapi, semua soalan-soalan yang bakal ditanya telah dijawab sebelum sempat diajukan agar masa dapat dijimatkan dan kredit dapat diselamatkan. Penyelesaian yang saya tunggu sehingga habis kredit dua biji handphone itu hanyalah menukar setting di manage devices dari 3G preferred ke GPRS/Edge only yang mana setting itu telah saya cuba hampir 20 kali sepanjang ketiadaan line tersebut. Dengan sopan, ucapan terima kasih diucapkan dan saya mengucapkan juga terima kasih kepada kakak saya yang bercakap bagi pihak saya. Saya ni kurang mahir berkomunikasi dalam standard malay. Jadi, khidmat kakak terpaksa diguna.

Selepas menukarkan kembali setting daripada GPRS/Edge only kepada 3G only, saya menunggu line ini kembali berada dipuncak untuk standby menekan butang PUBLISH POST. Menunggu memang membosankan.

Alasan emas ketiga yang saya hidangkan untuk anda pada n3 ini adalah perhatian saya yang tertumpu kepada kerjaya baru saya iaitu guru KAFA. Ya, guru KAFA. Nak saya ulang lagi, guru KAFA, ye KAFA. Oh, maafkan saya, sejak memasuki kursus PNP di YIT baru-baru ini, saya merasa cukup teruja sekali dengan tugas ini. Betul juga cakap penyampai pada hari itu, kenapa mesti memberitahu orang kita ini guru kafa je. Kita kena bangga dengan tugas ini. Oleh itu, pada hemat saya, selepas membuat posting ini, insyaAllah akan menyusul tajuk Akulah Guru Kaafaa... Baca dengan gaya menjerit dari atas puncak gunung.

Selain kerja KAFA, saya juga meminta tugas untuk menjadi moderator bagi blog MPMKUDQI kerana merasa terpanggil untuk menjadikan KUDQI sebagai sebuah tempat yang dikenali ramai sekaligus akan meramaikan pelajarnya terutamanya di sebelah ikhwah. Segala aktiviti menarik yang ada di KUDQI yang sebelum ini tidak diketahui orang bakal saya bongkar. Kita terjah bak kata Nas Ahmad.

Sibuk sangat ke nak jadi moderator blog MPMKUDQI ni? Jika anda baca ayat sebelum ini, pasti anda akan menjadikan ianya satu persoalan walaupun anda tidak berniat nak bertanyakan tentangnya sebelum ini, betul kan? Baiklah, oleh kerana anda sudah mula bertanya sejak membaca perenggan ini, saya akn cuba sedaya upaya menjawabnya walaupun sebelum ini ianya menjadi rahasia saya saja. hehe.

Saya sebenarnya tidak cukup kaki tangan untuk membuat laporan, membuat artikel, membuat poster, mewawancara orang tertentu, bertanya tentang program ni bila, program tu bila, apa yang baru kat KUDQI sekarang, ada aktiviti menarik ke tak petang ni dan pelbagai soalan lagi. Secara jujurnya, saya memerlukan beberapa orang yang boleh konsisten dengan tugas untuk melaksanakan misi mulia ini. Oleh itu, secara peribadinya, saya akan mula menarik mereka yang punya minat dalam bidang ini untuk berada disamping saya memperjuangkan misi dakwah alam maya yang hebat dan penuh cabaran ini.

Oh ya!( Ish, Ish..Tak best bunyinya.) Semalam saya telah pergi ke majlis Alumni MDQ yang diadakan di dewan utama DQ. Lebih kurang 200 orang senior-senior yang hadir. Bila dah bertemu, pelbagai memori akan keluar dengan sendirinya. Ustaz Khairi Zainudin mempengerusikan majlis tersebut. Banyak memori yang tersimpan dalam minda beliau ni. Antara killer weapon beliau untuk mereka yang tidak berani bangun berucap adalah "ni kaki tembo mase khitobah dulu la ni". Apapun, saya wakil generasi ke 15 mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertanggungjawab mengadakan majlis ini. Memang nostalgia.

Setakat ini sahaja wahai penonton sekalia, terima kasih kerana berkunjung, jangan bosan untuk datang ke blog ini kerana anda adalah inspirasi saya. Sekali lagi, tepuk tangan untuk diri sendiri. Okey, cukup.

3.05.2010

Menyelusuri Riwayat Khalifah Ke-4

Selepas menikmati buku Khalid, saya langsung berminat untuk mendalami kisah hidup Sayyidina Ali bin Abi Talib terutamanya selepas kisahnya menewaskan Amru bin Abdul Wudd yang kekuatannya mampu menjadikan anak lembu sebagai perisai jika ia mahu. Lalu saya memilih untuk membaca buku karangan Abdul Latip Talib. Walaupun tidak terlalu ditil, tetapi untuk permulaan saya mengenal menantu Nabi itu, saya kira ianya sudah dapat memuaskan hati walaupun tidak maksimum.

Saya mengagumi Sayyidina Ali setelah sabda Nabi iaitu :

"Jika aku adalah kota ilmu maka Ali adalah kuncinya"

Merupakan antara insan yang paling disayangi Nabi dan sentiasa patuh pada setiap arahan Nabi tidak kira dalam apa jua keadaan. Beliaulah yang menggantikan Nabi untuk tidur di tempat tidur Nabi sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah.

Beliau sering dikatakan bahawa orang yang faqih dalam ilmu dan mahir dalam urusan peperangan. Pernah ditanya kepadanya satu soalan yang sama oleh sepuluh orang yang berbeza, beliau menjawab kesepuluh-sepuluh soalan dengan jawapan yang berbeza. Soalannya adalah manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Selepas menjawab soalan tersebut, beliau mengatakan jika 100 orang yang datang bertanyakan aku tentang tadi, nescaya aku memberikan kepada mereka 100 jawapan yang berbeza.

Namun bacaan saya sudah tidak jadi begitu menarik tatkala memasuki babak perpecahan ummat Islam yang mula menunjukkan bibit-bibitnya di zaman Khalifah ketiga, Uthman bin Affan. Saya menjadi sedih dengan semua itu dan cuba untuk bersikap natural agar saya tidak cepat menjatuh hukum kepada sahabat-sahabat yang teramat jauh lebih mulianya dari saya yang teramat jauh hinanya dari mereka. Biarlah ianya terus berlalu dan tugas saya dan semua ummat Islam lain adalah belajar dari sejarah tersebut.

Keseluruhan, saya mula mengagumi keperibadian, ilmu dan akhlak Sayyidina Ali lebih dari sebelum saya membaca riwayat hidup beliau. Namun, saya tetap ahli sunnah bukan syiah. Penegasan ini perlu saya beri untuk mereka yang allergik mendengar tentang ahlul bait. Semoga semua kita diberi hidayah dan petunjuk olehnya.

Preview Buku: Pedang Allah Khalid Al-Walid



Selepas beberapa ketika menghabiskan satu buku yang amat menarik iaitu Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya karangan Leftenan General A.T Akram, saya merasakan satu kepuasan yang amat sangat. Saya pernah juga membaca tentang pahlawan Islam yang tidak pernah kalah itu sebelum ini tetapi tidak pernah lagi mendapat kepuasan seperti.

Satu buku yang sangat lengkap (bagi saya) tentang penceritaan berkenaan Pedang Allah itu. Bahkan ianya diselangi dengan penerangan tentang strategi yang diguna Khalid sepanjang kempen yang disertainya. Sesekali diceritakan juga penggunaan taktik seperti itu di zaman kemudian. Kelebihan penulis ini sebagai seorang general tentera angkatan darat Pakistan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menterjemah strategi Khalid dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Semoga Allah memberkati usaha beliau ini.

Setiap kali buku ini menceritakan tentang perlawanan duel (satu lawan satu-biasanya sebelum peperangan bermula), saya merasa seolah-olah saya berada di sana dan memerhati dengan cermat perlawanan yang sedang diadakan itu. Kehebatan Khalid dalam perlawanan ini menyaksikan beliau menang dalam semua duel yang disertai. Bahkan suara hati saya tidak dapat menafikan kebenaran dari kata-kata pemimpin tentera dan kerajaan Rom dan Parsi yang takjub dengan Islam kerana mampu melahirkan dari kalangan mereka yang tidak bertamadun pejuang-pejuang yang begitu teguh dengan dasar penaklukan mereka iaitu Islam, jizyah atau perang dan mencintai mati seperti mana tentera mereka mencintai hidup.

Antara watak-watak yang menarik untuk dihayati sepanjang membaca buku ini adalah Dhirar al-Azwar(pahlawan berlengeng-tidak berbaju), Abdul Rahman bin Abu Bakar, Abu Ubaidah al-Jarrah (yang digelar orang paling kacak bagi mereka yang tiada gigi kacip), Khaulah al-Azwar(saudara perempuan Dhirar), seorang janda yang cekap memanah.

Sementara watak-watak yang menyebabkan saya memejam mata untuk membayangkannya adalah Amru bin Abdul Wudd yang kuatnya umpama 1000 pahlawan dan orang Arab meriwayatkan beliau mampu untuk mengangkat kuda dan melemparkannya ke tanah dan mampu mengangkat anak lembu dengan sebelah tangan untuk dijadikan perisai dan sebelah lagi bermain pedang (dikalahkan oleh Ali bin Abi Talib dalam perang Khandak), Adi bin Abi Hatim yang tingginya menyebabkan jika beliau menunggang kuda, kakinya akan mencecah tanah, Hazar Mard, pahlawan Parsi yang bengis dengan kekuatan 1000 pahlawan juga digelar gergasi kerana saiznya yang luar biasa besar berbanding orang lain.

Tidak lupa juga watak kegemaran saya selain Khalid iaitu Dhirar Al-Azwar yang gemar untuk tidak memakai baju. Kali pertama beliau membuang baju perang adalah kerana panas dan tidak selesa dan selepas itu kelibatnya dengan trademark tidak berbaju itu menyebabkan ianya menjadi igauan ngeri kebanyakan pihak musuh. Nampak sahaja di kalangan tentera Islam yang tidak memakai baju perang, maka mereka akan tahu itulah Dhirar yang boleh memberi mudarat kepada mereka dengan kehandalannya beraksi. Orang yang terpenting dalam pasukan pengawal bergerak Khalid.

Banyak lagi yang jika diceritakan pasti akan merasa bahawa alangkah bagusnya jika filem Khalid al-Walid ini dapat difilemkan sepertimana cerita Genghiz Khan dicerekakan. Apatah lagi Khalid dan Genghiz ini merupakan antara orang yang tidak pernah tewas dalam peperangan yang disertai. Pasti menarik dengan kemunculan watak-watak hebat ini.

Jangan lepaskan peluang anda untuk sama-sama mengecapi betapa bernilainya buku yang bertajuk Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya. Pasti tidak rugi memilikinya. Wallahu A'lam