Followers

1.24.2010

Bagaimana Saya Menulis..

Assalamualaikum w.b.t.

Saya memulakan tulisan saya ini dengan mahu menceritakan kegemaran saya. Saya memang punyai banyak kegemaran, kadang-kadang kegemaran saya ini bukanlah turut sama menjadi kegemaran orang. Bahkan dari darah dan aliran yang sama seperti adik beradik dan anak beranak juga tidak memestikan saya dan mereka berkongsi setiap kegemaran yang disenaraikan. Ya, itulah sifat kita sebenarnya, punya kecenderungan yang berbagai dan kadang-kadang kecenderungan itu bukan semuanya datang secara semulajadi. Ada yang datang dengan peristiwa, ada yang datang kekerapan melakukan, ada yang datang dengan melihat orang lain melakukan dan ada yang datang dengan kekaguman kita kepada seseorang.

Kegemaran saya sekarang adalah menulis. Ianya bukanlah minat yang dipupuk sejak dari kecil, maksudnya, saya bukanlah pengarang yang punya bakat semulajadi. Tetapi saya tetap juga menulis kerana bimbang kalau-kalau suatu hari nanti saya akan cenderung kepada benda lain pula tanpa mengalami sendiri minat saya kepada bidang penulisan sebelum itu. Pendek kata, saya mahu menikmati segala kegemaran saya sebelum ianya beralih angin menjadi kegemaran lain.

Seperti sebelum ini, saya amat meminati barang klasik dan kalau boleh setiap kenderaan saya adalah dari model ayah saya ketika muda. Jadi dengan minat itu, saya membaik pulih Vespa SpringV 150 kepunyaan ayah saya yang umurnya sudah melebihi 30 tahun. Saya berpuas hati kerana saya dapat memiliki apa yang saya gemar.

Berbalik kepada bidang penulisan, saya mula menulis pada awal pembabitan saya dalam dunia kepersatuanan. Pada asalnya saya sekadar mencari kelainan dalam membikin kertas kerja program dan sebagainya yang rata-rata muqadimahnya pasti akan bermula dengan ayat "di era globasasi ini..." atau " di zaman yang penuh dengan cabaran ini.." dan lain-lain ayat yang saya rasa begitu pasif dalam menarik minat dan menjanjikan persepsi yang baik ketika menatap kertas kerja itu (walaupun sebenarnya orang yang membacanya tak kisah sangat pun).

Saya memastikan setiap kertas kerja saya dahulu akan membawa kelainan dari yang sebelumnya. Dengan berbuat demikian, saya rasa puas dan selalu tersenyum seorang dan memandang cermin seraya berkata " aku puas hati..". Bahkan saya seolah-olah menjadi seorang pengkritik dalam akademi penulisan setiap kali saya melihat ada yang saya rasakan tidak kena dengan keadaan dan sebagainya. Untuk pengetahuan, saya dan kawan-kawan adalah bersikap direct to the nose. Berterus-terang dan sikap ini nampaknya kurang digemari oleh perempuan:). Mereka mungkin lebih suka ditipu dari mendengar terus terang dari hati kita yang kudus dan mulus ini. Menipu dengan mengatakan baju yang mereka pakai itu cantik lebih baik dari mengatakan bahawa baju yang dipakai mereka itu tidak sesuai. Segelintir saja, bukan semua. :)

Seingat saya, aktiviti penulisan saya lebih aktif sejak saya mempunyai blog sendiri. Sekitar tahun 2008 kalau tidak silap saya dengan mengetengahkan tulisan berbentuk kritis kepimpinan sebagai taruhan. Bermula dari itu, saya sentiasa mencari sesuatu untuk diisi dalam blog saya bahkan ianya mula menjadi lebih serius selepas saya habis belajar di KUDQI. Ketika memandu, makan, bercakap, mendengar khutbah, dalam kuliah, di bandar, ketika mengajar dan mana-mana keadaan sekalipun, pasti akal bergerak untuk memanipulasi setiap isu dan perkara yang berlaku di depan mata dan sebagainya. Bahkan sejak menulis, saya sentiasa melihat sesuatu dan memikirkan, "apa yang aku boleh tulis dalam blog tentang benda ini." Obses, ya. Obses mungkin sesuai untuk digunakan oleh keadaan saya sekarang.

Dalam bidang ini saya juga mempunyai idola, jika di dalam ketekunan menulis, saya mencontohi Subky Latif dan sentiasa mencari ruang untuk menjadi sepertinya. Manakala di bidang akademik, saya amat menyukai Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zahazan. Santai dan kritik sosial atau individu pula, saya memilih untuk beridolakan Faisal Tehrani dan Hishamuddin Rais (walaupun bukan semuanya sesuai dengan jiwa saya). Penulis-penulis lain, saya salute dan sanjung kerja mereka dan saya juga berharap mampu jadi seperti anda juga.

Setelah apa yang saya lalui sepanjang 2 tahun lebih ini, saya dapati apabila kita menanam semangat untuk menulis, ada beberapa kebaikan yang bakal menyusul, antaranya seperti :

- Minat membaca, macamana mahu menulis jika kita tiada apa-apa untuk ditulis. Kata pepatah arab, Faaqidus syaai' la yu'teeh..

- Kemahiran menulis dan mengarang meningkat serta merta.

- Membuka minda dengan meneroka setiap bidang dengan pembacaan.

- Melihat sesuatu bukan dengan pandangan kosong.

- Otak lebih tajam dalam menguasai isu

- Menambah ilmu secara langsung dan tidak langsung.

- Otak menjadi lebih teratur.

- Mengayakan perbendaharaan kata di dalam kamus diri.

Ini antara kebaikan-kebaikan yang boleh kita peroleh hasil dari usaha menulis kita. Kerana itu, kerapkali saya mencadangkan kepada pihak lajnah Informasi KUDQI agar mewujudkan kolum pena Presiden dan Exco-Exco yang dimestikan untuk para pimpinan mereka isi. Saya harap mereka tidak bosan dengan saranan saya. hehe.

Sekian dulu hikayat penulisan saya, penulis juga perlu tidur yang cukup untuk memulakan mukaddimah tulisannya untuk hari esok pula.

1.22.2010

Apa Pilihan Kita?

Assalamualaikum w.b.t.

Hidup ni kadang-kadang elok jugak kalau sentiasa sibuk dengan benda berfaedah, secara automatik benda-benda yang tak berfaedah akan terhakis sedikit demi sedikit. Bak kata Umar dalam cerpen Asiah Yusro tu, hidup ni umpama gelas kosong, jika tidak diisi dengan air, maka unsur-unsur lain akan masuk seperti angin, kotoran dan sebagainya yang sepatutnya bukan tugas gelas untuk mengisi unsur lain selain air. Ada faham?

Kerana itu, sepatutnya kita mensyukuri keadaan kita yang sibuk dengan perkara-perkara baik, kerana dengan lambakan benda-benda yang bermanfaat inilah menjadikan kita lupa dengan perkara-perkara maksiat dan tak berfaedah. Oleh itu, peluang untuk berbakti kepada orang di sekeliling kita perlu dioptimumkan.

Kita sebagai apa? Kita muslim pasti tidak akan mendustakan al-Quran yang menjadi sumber rujukan kita sekian lama. Allah dalam firmannya ketika ingin menciptakan Adam :

'Sesungguhnya Aku akan menjadikan Khalifah di atas muka bumi(Adam). Maka jawab mereka (malaikat) itu, "adakah patut Engkau jadikan diatas muka bumi orang yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah sedang kami sentiasa bertasbih memujiMu dan menyucikanMu. Allah berfirman, "Sesungguhnya aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui". (Surah al-Baqarah ; 30)

Jadi bila disebut khalifah, secara terus pastilah kita dari sudut individu perlu faham tentang kepentingannya dan tidak wujud samada ia dari kalangan ahli jawatan kuasa persatuan atau tidak. Bahkan dengan menyedari bahawa tanggungjawab ini milik individu, maka dengan sendirinya kesedaran dan sifat tanggungjawab akan ditingkatkan.

Stephen R. Covey dalam bukunya yang masyhur, Seven Habits Of Highly Effective People turut menegaskan bahawa sifat kepimpinan adalah perkara utama sebelum memulakan tugas. Sifat kepimpinan adalah umpama orang yang menentukan bahawa tempat yang ingin dituju itu benar atau salah. Diberikan contoh, jika dalam suatu kumpulan pembalak, orang yang menebang adalah orang yang hanya menguruskan persatuan sahaja, manakala pemimpin pula adalah orang yang memanjat pokok yang paling tinggi dan menentukan adakah ini hutan yang perlu ditebang atau tidak.

Jadi sifat kepimpinan adalah satu perkara yang wajib dipupuk oleh manusia yang mengakui bahawa ayat yang ketiga puluh dari surah al-Baqarah itu benar. Kerana Allah telah memberitahu malaikat bahawa Dia akan menciptakan khalifah dengan penciptaan Adam ini. Jadi bermula dengan Adam hinggalah kepada orang terakhir yang bakal hidup di muka bumi ini pasti tidak terlepas dari taklifan dan tanggungjawab untuk menjadi pemimpin. Pilihan kita, khalifah atau khalufah. Pemimpin yang baik atau pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan akan melakukan bencana.

Sekadar menyetujui kajian Stephen R. Covey, kejelasan matlamat sebagai seorang pemimpin kepada diri sendiri yang mengakui Allah sebagai tuhan sewaktu di alam Ruh dulu, pemimpin teman-teman rapat, pemimpin kenalan, pemimpin persatuan, pemimpin keluarga hinggalah pemimpin dunia sekalipun mestilah digigit kemas oleh kita. Matlamat yang jelas selaku muslim, Syurga Allah dan keredhaanNya.

Kuasa memilih di tangan anda. Jangan tersilap pilih matlamat, kerana tempat kembalinya ada dua sahaja, neraka dan kemurkaan Allah dan syurga beserta keredhaan Allah. Semoga kita membuat pilihan tepat.

1.18.2010

Idea Dan Orang Muda

Assalamualaikum w.b.t.

Khamis, Jumaat dan Sabtu baru-baru ini saya terlibat dalam beberapa program, kepada Mazani, jangan salah faham bahawa saya ini kononnya mahu menunjukkan betapa sibuknya saya sekarang hingga tidak sempat bergandingan dengan beliau dalam membelasah team-team lawan dalam arena kefutsalan, bak kata beliaulah.

Tapi ada beberapa perkara yang menarik sepanjang tempoh saya beberapa detik, semuanya berkisar tentang saya, Mazani, anda yang membaca dan mana-mana orang yang punya satu persamaan iaitu pemuda. Apa fungsi manusia di waktu masih muda dan hijau usianya. Apa yang boleh geng-geng muda sumbangkan kepada masyarakat amnya dan Islam khasnya? Jadi hari ini, tak perlu cakap banyak pasal kalau cakap pun, saya tidak dapat mendengarnya. hehe

Mana-mana kaum daripada yang suka berkot dan bertali leher hatta ketika panaspun masih berkeadaan begitu hinggalah kepada kaum batak yang leka menyumpit dan memburu beraneka jenis haiwan dihutan dengan hanya memakai cawat dan berkaki ayam, masing-masing mengakui bahawa orang muda adalah aset penting kepada masyarakat dan kaum mereka. Adakalanya mereka diberi kepercayaan untuk membawa tugas dan adakalanya mereka diberi didikan agar mereka tidak lari dari adat resam dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin bila orang-orang tua telah mati.

Lihat sahaja peranan pemuda dalam jahiliyyah Quraisy, ketika nabi ingin berhijrah, tidakkah pemuda yang direkrutkan oleh Abu Jahal dan Abu Lahab dari sekalian kabilah di Mekah dimanipulasikan untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w? Bahkan dalam Islam sendiri, nabi s.a.w menggunakan khidmat Ali r.a untuk memperdayakan pemuda Quraisy dengan menyuruhnya tidur di katil baginda. Ali ketika itu berumur 23 tahun, sama usia dengan saya. Masing-masing menggunakan khidmat pemuda dan ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Jadi, setelah membawa contoh, apa yang cuba saya sampaikan sebenarnya?

Baik, saya cuba menaikkan motif motivasi semangat untuk golongan muda yang kian kecut kemudaannya, kian hilang ghairahnya kepada bara yang boleh dibesarkan hingga menjadi api dalam menjadikan Islam berada ditempat yang tinggi. Pemuda yang sekarang ini dilihat cuba menunjukkan kematangannya pada tempat yang bukan sepatutnya, pemuda yang kian kendur semangat juangnya, pemuda yang tiada asas dan jatidiri untuk mereka bertapak dan sebagainya.

Saya menulis setelah saya melalui perjalanan hidup saya sendiri, kawan-kawan dan cerita dari orang-orang yang telah masuk ke peringkat tua. Jadi, sebagai pandangan, jangan pula salahkan saya jika ada kesalahan yang tak disengajakan kerana ini adalah berdasarkan pengamatan dan kajian. Bak kata bahasa politik sekarang, persepsi. Bukan Pepsi!

Orang muda sebenarnya adalah satu golongan manusia yang penuh dengan idea dan semangat yang membara, banyak yang difikirkan tidak logik dan tidak mampu dibuat oleh orang tua dapat difikirkan dan dijadikan realiti oleh orang muda. Jadi muda adalah satu peringkat usia yang hebat. Tetapi, ada satu masalah yang wujud bilamana pemuda cuba menjadi tua sebelum usianya tua, pemuda yang ruhnya menjadi lesu dan tidak bersemangat dalam badan yang masih kuat dan bertenaga.

Ini sangat rugi kerana muda di waktu tua tidak akan membawa anda ke mana-mana. Mungkin suara masih kuat tetapi badan tidak begitu. Macamana nak bereakreasi memanjat gunung jika berjalan ke pasar membeli sayur dengan isteri pun sudah sakit-sakit lutut?

Jadilah muda ketika usia muda, jangan keringkan idea anda yang bombastik itu dengan kematangan yang anda saja wujudkan dari zahir sedangkan dalaman anda penuh dengan jongkang-jongkit, gelungsur dan buaian.

Kedua yang saya ingin tekankan (tekankan hanya boleh saya sebut jika saya menulis, jika dalam ucapan, ianya berbunyi seakan perkataan terkangkang (-_-") kan hodoh bunyinya tu) adalah tentang penetapan matlamat. Sebagai orang muda yang aktif dan penuh idea, apa yang ingin kita lihat dalam fasa akhir hidup kita, suasana yang bagaimana ingin kita wujudkan apabila kita sudah bertongkat sampai nak berjalan pun muka terketar-ketar. Apa matlamat kita?

Apabila matlamat telah mulai jelas, cari jalan yang betul untuk sampai ke arah matlamat itu dan yang penting, jangan sesekali mengharapkan bahawa anda boleh mencapai matlamat itu dalam jangkamasa dekat.

Pelik tak kalau saya katakan bahawa jika saya mahu ke Kemaman dari K.T dalam masa 15 minit 58 saat? Sedangkan ghalibnya ia memakan masa selama 2-3 jam. Lalu dalam masa 15 minit itu, saya baru sampai di Seberang Marang, tidakkan saya merasa sedih kerana target yang saya buat tidak mencapai sasaran? Mana yang patut saya pilih, jalan pulang atau terus menuju ke Kemaman? Jadi, jangan cepat-cepat hendak melihat hasil sedangkan kita mengetahui ghalibnya adalah lama. Be cool~~

Setakat ini dahulu dan maaf jika saya tulis tentang ini hanya menjadikan anda jauh dengan sikap sebenar seorang pemuda atau anda langsung tidak melihat dan berminat dengan cara idealistik orang muda. Saya mohon ampun atas kesalahan itu tapi sedarlah, muda hanya sekali, so you have to fight for Islam before it's to late. Salam orang mude geng kite.

P/s: Saya mencuba kepantasan menaip di laman web ini dan kemampuan saya hari ini adalah 43 perkataan seminit. Jika berminat, anda boleh cuba dan bagitahu di Chatbox atau di ruangan komen. Kita tengok siapa terbaik.. Heh.




Speedtest

1.13.2010

Rehlah Kepimpinan PLPDT 2010- Tangguh!!







Antara Sunnah dan Tidak Tahu

Assalamualaikum w.b.t

Entah kenapa, Januari 2010 keinginan saya untuk menulis sentiasa memuncak. Walaupun saya tahu bukan ramai sangat yang datang membaca di sini kerana dalam lapangan blog ini, masih banyak lagi tulisan-tulisan yang ada di blog-blog lain dengan hasilan yang jauh lebih menarik samada dari segi penyampaian mahupun dari segi isi. Tapi saya seolah-olah tak kisah dengan semua itu buat masa ini, semacam ada suatu kata-kata yang memberitahu "tulislah, jangan berhenti, biarlah tulisan ini merakam segala perubahan yang berlaku ke atas diri kamu" dan seketika terdengar pula suara "eleh, ye la tu". hehe

Buat masa sekarang, tugas dakwah menjadi antara yang paling penting dengan kondisi yang ada di Malaysia ini, samada dari sudut mahukan Islam memerintah dan paling tidakpun mahukan Islam kekal di Malaysia dengan tidak menjadikan Islam sebagai agama kedua dalam negara ini pada masa-masa akan datang.

Saya tidak mahu bercakap tentang perkara berkaitan negara atau perlembagaan kerana saya tiada pengetahuan langsung untuk membolehkan saya membahaskannya di sini. Pendek cerita, saya mahu membahaskan tentang pengetahuan seseorang tentang sunnah dalam mengelakkan perkara bid'ah dan adakah pengetahuannya itu atas dasar kaji dan tahu atau dengar tanpa kaji dan tahu

Contoh mudah, saya bercakap-cakap dengan kebanyakan orang yang berkebetulan mengaji agama berkenaan dengan wirid selepas sembahyang jika kita selaku imam.

"Ana tengok, ramai orang tak buat wirid selepas sembahyang kan? Ma'thurat apatah lagi." Saya memulakan soal.

"Biasalah tu, wirid ni bukan sunnah, masa zaman Nabi dulupun, Nabi tak buat wirid-wirid ni, masing-masing berzikir sendiri dan berdoa dengan mengikut hajat masing-masing" terangnya panjang lebar.

"Oo, tapi kalau ana suh yang tak wirid tu baca bacaan wirid tu, agak-agak enta boleh tak?" Saya menyoal kembali.

"Er.. Yang tu kena buat ujian r sekali, baru boleh tahu mana yang tahu mana yang tidak" jawabnya.

Benar seperti katanya, wirid seperti sekarang ini tidak berlaku semasa Nabi masih menjadi imam sembahyang, ianya berlaku zaman mutakhir ini sebagai cara mengajar makmum yang tidak tahu dan sebagai cara mendidik makmum agar kekal ditikar sembahyang buat seketika bagi meraikan hadith Nabi s.a.w berkenaan istighfar malaikat buat mereka yang tinggal di tempat sembahyang selama mana mereka belum berganjak.

Tapi soalnya, adakah dengan bangun meninggalkan wirid, dan mengatakan bahawa perkara itu sunnah dalam masa yang sama sebenarnya kita tidak tahu bacaan wirid yang dibuat. Ini salah. Suasana masyarakat yang sangat memerlukan bimbingan sekarang ini menjadikan kita wajib mengingati wirid dalam salah satu usaha kita untuk mendidik masyarakat.

Balik ke rumah nanti, pak imam tua yang sudah gok gek-gok gek bacaannya pastilah mahu menyerahkan pula kepada kita si imam muda, tidakkah begitu? (Kecuali kita ini bukan seorang pengunjung surau atau masjid.) Lalu, dengan menggantikan pak imam, takkanlah abang imam seperti kita mahu sewenang-wenangnya mengubah stail mereka yang biasa berwirid dengan serta merta?

Ingat, orang hisap rokok, kalau disuruh berhenti serta merta, pasti perasaan gelisah meresap setiap kali selepas makan, begitu juga wirid. 20 tahun mereka berwirid, tiba-tiba bila kita menjadi imam, kita tidak melakukan wirid, pasti gelisah otai-otai surau kita ini, merasa seperti tidak cukup sempurna solat mereka hari itu tanpa wirid.

Jadi, cara yang sepatutnya digunakan, buktikan dulu kita juga tahu wirid dan apabila sampai ketikanya, beritahulah mereka bahawa sunnahnya sekian-sekian dan wirid ini pula sekian-sekian. Melakukan wirid tidaklah salah dan tidak melakukannya tidak juga salah. Barulah budaya ilmu berkembang dengan tidak ditentang-tentang oleh mereka yang taassub. Perlu kena caranya.

Lihat Almarhum Ahmed Deedat, beliau tidak mempunyai masalah menghafal Bible disamping tidak melupakan al-Quran dan hasilnya, beliau mampu membuatkan musuhnya iqna' dan mengangguk-angguk dengan kebenaran al-Quran. Sebagai yang mempunyai cita-cita sebagai pendakwah, wajib bagi kita meletak asas pengetahuan beraqidah sebagai perkara nombor wahid dalam kepala otak kita. Wajib!

Sekarang, tunggu apa lagi, masih banyak buku yang menunggu korang semua untuk dibelek dan dibaca. Jangan tunggu mata dah rabun baru rajin membaca. Hehe.

1.11.2010

Terimaa Kaasih Cekguu!!

Assalamualaikum w.b.t

Patutnye la kan, kita kene terima kaseeeh banyak-banyak dekat cikgu-cikgu PASTI dan sekolah rendah dulu. Betapa susahnya nak kawal satu kelas. Sini senyap, sana bising. Dalam masa setengah jam tu, berapa sangat la yang sempat diajar oleh cikgu melainkan perkataan "diam" dan "jangan bising" yang banyak playback dia.

Eh, korang ingat korang nakal sikit ke dulu? MasyaAllah, banyak tau tak.. Kecuali masa korang mula-mula masuk sekolah. Takut-takut je muke, tapi bila dah jumpa geng.. Pergh, meter nakal tu naik mendadak. Tak caye ea? Try r tanye cikgu korang.. Aku dah tanya dah, cikgu kata tak r nakal sangat.. Kire cam budak baik r.. ('~')

Apapun, tugas cikgu ni memang patut disanjung r, lebih-lebih lagi yang kerja untuk Islam, gaji sikit pun datang jugak mengajar. Macam sekolah Darul Taqwa ke, Darul Salam ke, Darul Ehsan ke.. Selain datang dari sumber bayaran yuran murid untuk ditransformkan jadi gaji cikgu, ia jugak datang dari derma dan sumbangan orang ramai. Kalau sekolah-sekolah ni buat bisnes, bertambah lagi r sikit dana masuk.

Siyesnya, memang sekolah-sekolah ni dhaif sangat-sangat la dari segi bayaran khidmat tapi yang boleh dibanggakannya, aku tengok ustaz-ustazah yang mengajar kat sekolah ni macam dibayar RM2000 ke atas sebulan. Punya semangat dia mengajar, yang tu memang aku akan salute dengan angkat kedua-dua blah tangan untuk tabik. Hait. syukran ya mu'allimie.. (Macam semangat sangat je nmpaknya) (-_-")

Tapi tak kisahlah, pasal yang penting untuk dijadikan iktibar, adakah korang masih mendendami guru disiplin korang? masih berhasrat nak letak pasir dalam ekzos beliau? hehe.. Takdelah.. Tak baik dendam-dendam ni.. Jadi, adakah korang masih belum terlintas untuk membantu guru-guru yang dah bergelen-gelen air liurnya nk ajar korang jadi manusia? Fikir-fikirlah.. Buat cikgu kite bangga dengan kite.. Pastikan kata-kata seperti ni : "anak murid saya ni" keluar dari mulut dia bila dia terdengar tentang kita sambil mukenya tersengih bangga.

P/s: Aku bercakap melalui jiwa aku sebagai guru... Eh, kenapa korang muntah?(-_-") Kurang assem.. hehe

Apa Yang Kita Perlu

Assalamualaikum w.b.t.

Kenapa persoalan tentang keperluan dibangkitkan? Bahkan ianya dibangkitkan secara umum namun ianya menjadi khusus apabila kita sendiri mengaitkannya dengan diri kita dan di mana kita berada. Di PASTIkah, di sekolah rendahkah, menengahkah, kolejkah, kerjakah, rumahkah atau di mana-mana sahaja. Persoalannya satu, apa yang kita perlu sebenarnya?

Saya menulis ini selepas dipelawa untuk menyumbangkan kembali tulisan atau idea yang sebenarnya bukanlah apa-apa sangat, namun daripada membiarkan blog persatuan ini sepi tanpa entri, biarlah saya menjadi 'orang luar' dengan hati masih di sini memulakan sumbangan idea dan fikrah sekadar mampu.

Kembali kepada soalan keperluan, apabila ditanya apa yang kita perlu dan khasnya di Kolej ini (KUDQI), perlu kita kembali menilai sejauh mana kita selaku produk kolej akan dipasarkan.

Mengambil contoh kereta, andainya Proton mahu memasarkan kereta mereka di Amerika, perkara seperti kualiti enjin, perubahan tempat pemandu, ketahanan jentera, model yang menepati cita rasa dan harga yang masuk akal perlu dijadikan keperluan sebelum dilepaskan ke pasaran Amerika. Ini adalah memastikan Proton mampu bersaing dengan kereta-kereta sepantas Ferrari, seanggun Porshe, sekukuh Hummer dan seiring kualitinya dengan Mercedes atau BMW.

Itu kereta, bidangnya adalah permotoran. KUDQI bidangnya pula adalah keilmuan dan keagamaan disamping menjadikan nilai persatuan dan kemasyarakatan sebagai nilai tambah sebelum dipaketkan dan dilepaskan ke dalam pasaran masyarakat. Ada yang mencemuh bahawa jiwanya bukan jiwa bermasyarakat. Lebih senang menyendiri kerana bergaul itu lebih memedihkan dengan kata-kata masyarakat yang berbagai bahkan kata-kata menjatuhkan lebih banyak dari memuji dan menaikkan.

Jika begitu keadaannya, kata-kata masyarakat itu wajib direkodkan dan dibayangi dalam kepala sewaktu sebelum tidur kerana dibimbangi kata-kata masyarakat yang mengkritik kononnya kita ini tak tahu bergaul, tak lepas dari kumpulan kita sendiri, tak ringan tulang dan sebagainya ada asasnya dan kewajarannya. Jadi, kata-kata Saidina Umar wajar dijadikan sandaran :

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا، وزنوا أعمالكم قبل أن توزنوا

Saya mencadangkan agar perkara-perkara di bawah ini diberikan perhatian yang sewajarnya untuk diperhatikan oleh Pimpinan Pelajar dan pelajar-pelajar yang mahukan perubahan ke arah kebaikan.

- Ilmu

Sebagai institusi ilmu, perkara awal yang wajib diberikan perhatian adalah kualiti ilmu. Jangan salah faham, bukan maksud saya ilmu yang ada di sini tidak berkualiti tetapi ianya perlu ditingkatkan lagi kerana anda semua tiada bangunan yang indah untuk dibanggakan dan anda tiada fasiliti untuk menarik perhatian massa.

Apa yang anda miliki adalah kekuatan ilmu dengan tidak meninggalkan al-Quran sebagai teras dan menongkatnya pula dengan tiang sekukuh ilmu alat (Nahu, Sorof). Dengan 2 perkara asas ini (Al-Quran dan Ilmu Alat), anda tidak akan mempunyai masalah untuk memahami apa yang anda pelajari. Cuma yang wajib diisi kedalam batang tubuh sang penuntut adalah niat yang betul dan kesungguhan.

- Bermasyarakat

Kita memerlukan masyarakat sebagaimana mereka memerlukan kita. Oleh itu, ringankan tangan membantu dalam apa jua kondisi jika masyarakat sekitar kolej kita atau dimana-mana sahaja memerlukan bantuan.

Ingat, People don't care how much you know until they know how much you care. Masyarakat tidak mempedulikan seluasmana pengetahuan kamu hinggalah mereka tahu betapa hebatnya sikap peduli anda kepada kepada mereka. Oleh itu, usahakan diri anda untuk memberi kerana Allah tidak pernah gagal untuk menilai. Satu hari nanti pulangannya adalah kepada anda. Jika pulangan itu bukan dari manusia, pulangan dari Allah sudah semestinya.

- Halaqah Ilmu

Saya membayangkan, jika saya menggunakan terma usrah sebagai sebagai umpan, rasanya tak ramai yang berselera untuk membacanya kerana sejak dari dulu usrah di tempat-tempat tertentu tidak begitu kreatif untuk mengikat anak-anak usrahnya agar sentiasa rindukan suasana diskusi yang wujud secara langsung atau tidak.

Sebagai pembaharuan, biarlah halaqah atau diskusi ilmu digunakan sebagai pengganti kepada usrah yang saya kira bukanlah menjadi suatu dosa. Oleh itu, pentadbiran KUDQI dan para Pimpinan Pelajarnya perlukan satu badan untuk membangunkan kembali naqib-naqib agar usaha mengikat pelajar dengan ikatan tarbiyyah da000n kasih sayang menjadi realiti. Saya percaya, usaha ini bukan usaha setahun, ianya akan memakan masa. Satu persoalan saya, adakah kita benar-benar mahukan itu atau sebaliknya.

Untuk permulaan, 3 perkara ini sudah memadai. Saya akan susuli dengan tulisan yang bukan mahu menjatuhkan dan mengaibkan, tetapi adalah untuk menaikkan institusi pendidikan jemaah Islam ke mata dunia. Kita hebat bukan kerana kita hebat, tetapi kita hebat kerana Islam yang kita bawa. Peganglah Islam disaat orang lain memandangnya dengan pandangan jelik. Salam Muhasabah.

1.08.2010

Bila Ilmu Diniagakan

Assalamualaikum w.b.t.

"Saya rasa kecewa dengan kolej saya, sekarang ni dah setahun saya kat sana tapi still tak dapat nak masuk semester dua. Saya ambik kursus Beauty Therapy, sekarang ni dah hampir RM9000 duit saya habis kat kolej ni, dah la duit pinjaman, tapi pihak pentadbiran masih lagi tak dapat nak beri jaminan samada saya boleh graduate atau tak dari kolej ni.. Saya harap, kalau betul kolej ni menipu, rhentikan lee kerja menipu orang ni.. Jangan cari makan dengan menipu.." begitulah luahan kecewa seorang pelajar yang tidak tahu hujung pangkal nasibnya di sebuah kolej swasta yang dalam surat tawarannya dulu penuh dengan jaminan dan disiplin-disiplin ilmu yang bakal membuatkan pelajar itu terjamin masa depannya.

Itulah kelemahan yang ada pada kolej-kolej swasta yang kini berghiyok cok (istilah geng Ganu) bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan bilamana kerajaan menjadikan pendidikan sebagai suatu kepentingan yang perlu diberi kepada seluruh warga.

Namun bukan semua yang tumbuh itu bermatlamatkan pengembangan budaya ilmu, rata-rata dilihat sebagai satu cara untuk mendatangkan keuntungan sebagai menyambut teori ekonomi kapitalisme yang menjadikan apa jua cara mendapat keuntungan adalah halal selagi mana ianya tidak memberi mudarat kepada keselamatan negara.

Kerana itulah kita sendiri melihat lambakan mat-mat gelap yang kaya raya dengan senang hati datang ke Malaysia dan semudah mengupas kulit kacang pula mereka mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta yang kadang-kadang fasilitinya bagai setinggan. Apa nak diheran, selagi ada duit, andalah pelajar kami. Kami akan mentarbiyah anda, 3 tahun lagi anda akan alim dan wara'.

Lalu bila mat-mat gelap yang jahat berleluasa sekarang ini di ibu kota, mulalah kerajaan menggelabah mencari inisiatif bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Sepatutnya kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab memantau dan menyita kolej-kolej yang tiada tauliah dan pengajarannya sekadar kilas kain pelikat seorang datuk tua di atas pangkin di petang hari, rokok daun berasap di celah jari. (peribahasa versi sendiri)

Itu baru dari sudut pendidikan, belum sebut penyelewengan tentang pembinaan, perniagaan, produk-produk perubatan dan lain-lain servis yang hebatnya bagai khidmat di syurga tetapi kesan selepas itu umpama terperap di celah neraka. Kau tanya kenapa tidak diambil tindakan? Kerana keuntungan itu boleh dikongsi, tidak dipanggil rasuah tetapi digelar sebagai hadiah. Rela warga Malaysia merana selagi tidak kena kepada batang tubuh sendiri tambahan pula duit disumbat ke mulut agar diam dan mengangguk-angguk.

Sebagai satu cara mencari solusi, satu pihak menghubungi pihak kolej bertanya tentang pelajar tersebut dengan sekian-sekian masalahnya, dari operator bertukar tangan ke meja pendaftaran, seterusnya ke meja akademik, dari akademik disuruh refer kepada pihak pentadbiran, dari pihak pentadbiran disuruhnya rujuk kepada pihak akademik, alih-alih tiada jawapan yang diberikan dan pengkhianatan amanah dilihat semakin jelas terpapar.

P/s: Kejadian ini baru saja saya dengar tadi (9.20am/8.1.2010) dari stesen radio Era menerusi segmen Merisik Khabar kendalian Aznil Nawawi. Kolej itu pula tidak disebut namanya, jika tidak saya pasti sudah menyebutkannya di sini sebagai cara memberi inzar kepada pelajar-pelajar yang mahu ke sana agar membatalkan niat mereka.

1.07.2010

Hantu Melayu Di Malam Jumaat Keliwon

Assalamualaikum w.b.t

Pada malam ini, malam Jumaat seringkali dimomokkan oleh orang terutamanya orang-orang Melayu dengan pelbagai cerita-cerita seram, kadang-kadang ada satu cerita yang didatangkan dengan pelbagai versi. Versi Ganu, Klate, Kedah, Nogori dan lain-lain. Begitulah hebatnya kepercayaan dan keyakinan orang Melayu terutamanya terhadap cerita-cerita seram ini.

Bukan apa, saya yang mendapat inspirasi untuk menulis malam inipun adalah berdasarkan kepada rancangan-rancangan TV pada malam ini nampaknya begitu galak memaparkan kisah hantu, jin, syaitan dan sihir. Bermula dengan cerita Cucu Betong, siang hari dah tayang kat TV3, malam pulak kat TV9. Dengan aksi mendesis-desis Malika si tukang sihir, dah macam orang sakit asma lah pulak saya tengok dia tu, dengan saya-saya sekali rasa semput.

Lalu disambung dengan cerita Jangan Tegur.. Lagi di TV3 disamping rancangan Semanis Kurma (ini bukan rancangan seram ye, jangan salah faham) yang membincangkan tentang Sihir dan Santau dan sekarang ni bersambung pula dengan cerita Penanggal juga di TV9, tapi nasib baiklah diintrokan dengan taklimat ringkas dari Ustaz Zahazan, walaupun pendek, tapi tetap ternganga mulut menggeleng-geleng kepala sebagai tanda saya iqna' dan kagum dengan fakta yang disampaikan.

Saya bukanlah mengingkari bahawa Jin dan Syaitan wujud, tetapi saya mengingkari apabila ianya sering disensasikan, lebih-lebih lagi bila ianya dijadikan satu cara untuk membenihkan duit dan keuntungan oleh tauke-tauke filem. Sampai kadang-kadang naik meluat dengan lambakan filem-filem seram yang menghantui pasaran filem. Hantu Almarilah, Jangan Skodenglah, Akulah Hantulah, Telaga Buruk Ada Hantu 4 Ekorlah, Pontianak Botaklah dan macam-macam lagilah tajuk-tajuk yang kalau kita tengok, rasa nak gelak pun ada. Tapi nak buat macam mana, lok ke dielah bak kate geng Ganunye.

Kesan dari publisiti meluas tentang gangguan ghaib ini menyebabkan kita selaku orang-orang dewasa turut jadi penakut bahkan kalau kita tidak takut, anak-anak kita pula yang jadi penakut hinggakan nak berakpun terpaksa kita, selaku orang dewasa yang berani lagi gagah perkasa ni melangut kat depan tandas tunggu si anak ni selesai berak dengan setiap satu minit setengah nama kita dipanggilnya, takut kita tinggalkan dia sorang-sorang.

Lain-lain kes adalah apabila manusia terutama genetik Melayu ini sudah semakin ramai yang tidak mengakui wujudnya Allah. Buktinya ialah, kalau ada apa-apa, mintak dengan jin, mintak dengan syaitan.

Nak maju berniaga mintak pelaris, sedangkan khidmat yang diberikan tak memuaskan. Nak cantik mintak susuk dan penyeri sedangkan kesihatan tak nak jaga. Nak bagi laki lekat kat rumah atau tak nak laki cari perempuan lain mintak ilmu nasi kangkang atau buat suami jadi bodoh sedangkan penampilan kat rumah sentiasa serabai berlawanan sekali dengan penampilan nak pergi kenduri. Nak cepat kaya, bela toyol pasal malas kerja. Nak menang persaingan, hantar santau sedangkan usaha untuk bersaing tak ada langsung. Macam-macam hal lagilah melayu ni.
Padahal, Allah yang mencipta jin dan syaitan ni sentiasa ada bahkan marah pulak kalau kita tak mintak sesuatu denganNya (tak pernah berdoa), cumanya manusia ni nak sentiasa cepat dapat apa yang diminta, sedangkan diorang tak tahu samada benda tu baik ke tak untuk dia.

Contohnya : Kita pergi klinik nak mintak ubat sekian-sekian yang kalau dimakan, memang akan cepat baik, kesannya akan cepat meresap ke dalam tubuh kita, tapi hakikatnya ubat tu rupa-rupanya tak sesuai buat kita kerana bahan-bahan yang terkandung kat dalam ubat tu macam dadah etc terlampau banyak. Jadi bagi doktor yang amanah, korang rasa dia nak bagi tak ubat yang punya side effect yang melampau tu?

Jadi, Allah pun macam tu lah, kadang-kadang apa yang kita doa dan masih tak dapat-dapat lagi, mungkin Allah nak beritahu kita bahawa kita akan mudarat jika kita dapat apa yang kita minta atau kita hanya berdoa tapi tak berusaha untuk mencapainya macam mak+ayah kepada budak-budak malas yang rajin mintak air sembahyang hajat dengan ustaz-ustaz tapi anaknya sendiri yang malas usaha ataau kita tak melengkapi syarat-syarat doa macam Ibrahim bin Adham pesan kepada seorang yang bertanya kepada beliau kenapa doanya tidak pernah dimakbulkan. Kalau nak tau, search je kat mana-mana enjin carian tentang kisah ni, berlambak kat internet ni.

Apapun, betullah sebagaimana yang disarankan oleh al-Qaradhawi dalam kitab beliau, Fiqh al-Aulawiyyaat tentang ilmu, aqidah disenaraikan sebagai salah satu ilmu yang paling aula dan menjadi fardhu ain kepada orang Islam untuk mempelajarinya, pendek kata tak belajar aqidah, berdosa.

Akhirnya, apa yang kita percaya dan yakin akan mempengaruhi akal fikiran kita, sehinggakan setiap apa yang kita lakukan pasti akan tersekat sedangkan Islam tidak pernah pun melarang dan menimbulkan perkara itu. Fikir-fikirkanlah.

Nota penulis :

1- Tengok kat surat-surat khabar, kalau ada kes-kes kematian, pasti akan ada statement tentang perangai pelik yang dibuat oleh si mati sebelum meninggal. Contoh : Si polan ni sebelum mati, dia sentiasa cakap nak beli donat, nak makan donat... Lagi satu, si polanah ni, selalu kumpul gambar lelabi sebelum mati. Ini satu kepercayaan yang akan dijadikan keyakinan lantas akan menyebabkan sesuatu yang pelik akan dicop sebagai tanda korang nak mati. Kesannya, kalau orang jahat tak pernah sembahyang tiba-tiba sembahyang akan ditanya, " nak mati ke tiba-tiba sembahyang?"

2- Teringat dua sindiran syeikh terhadap orang melayu tentang ketaksuban :

2.1. Syeikh Wahbah az-Zuhayli ketika ditanya tentang hukum memindahkan penyakit-penyakit batin seperti sihir kepada telur ayam dan ayam. Beliau menjawab, "aku tak pernah dengar lagi perkara-perkara pelik macam ni, memang kamu ni orang melayu banyak kisah-kisah begini."

2.2 Syeikh Mahmud al-Madiniy menerusi siaran langsung dari radio IKIM ketika ditanya tentang Imam Mahdi dan Dajjal, beliau menjawab : "Kebanyakan syabab malizi (Malaysia) dan jaawiy (Indonesia) obses terhadap imam Mahdi, sentiasa aku ditanya tentang soalan-soalan begini. Kesimpulannya begini, jika imam Mahdi zahir, baiahlah dia dan ikutlah perjuangannya. Khalas."

1 perkara lagi yang menarik, beliau menceritakan satu lawak,
Ada satu hospital gila, semua pesakit yang dirawat di sana kebanyakannya mengaku mereka imam Mahdi, kemudian ada pesakit baru yang didaftar masuk ke sana. Lalu seperti pesakit-pesakit lain, beliau mengakui beliau adalah imam Mahdi, namun tidak dilayan oleh kebanyakan pesakit hinggalah dia pergi kepada seorang lagi pesakit yang kelihatan senyap dan bersendirian. Kemudian dia pergi memperkenalkan diri dengan pesakit yang diam tadi.

Pesakit A : Assalamualaikum
Pesakit B : Waalaikumussalam, siapa namamu?
Pesakit A : Imam Mahdi.
Pesakit B : Sekejap, aku nak tengok buku aku.. (sambil membelek-belek buku yang ada ditangannya.)

Pesakit yang mengaku imam Mahdi tadi mula gelisah kerana agak lama pesakit yang diam tadi membelek-belek buku seperti mencari sesuatu. Lalu dia bertanya :

Pesakit A : Apa yang kamu cari?
Pesakit B : Aku mencari namamu, tapi tiada..
Pesakit A : Siapa kamu?
Pesakit B : Ana Rabbukal a'laa.. (Aku Tuhanmu yang maha tinggi.)

Motif: Dua-dua gila.. hehe

1.06.2010

Journey to KL- KB - KT..

Assalamualaikum w.b.t

Semalam, hampir seharian -siang bukan siang malam- saya bersama bakal guru-guru KAFA (Zaki dan Lukman) dengan ditemani seorang super senior (Amir Omar) kerana mahu menyelesaikan urusan-urusan berkaitan tugas-tugas pendidik yang mulia lagi cemerlang dan terbilang ni lah.. Chewah..

Dari Manir, kitorang mengambil keputusan untuk membuat U-turn jarak jauh iaitu memilih untuk ke Kuala Berang sebagai jalan alternatif untuk ke bandar. Hehe.. Acah je, sebenarnya si Zaki ni yang kene melapor diri di pejabat YIT cawangan Kuala Berang, disebabkan beliau ni demam, maka saya dan rakan-rakan menghulurkan tangan meringankan beban dengan mengajak beliau menaiki kereta. Demam-demam pun masih lagi punya semangat untuk pergi melapor diri, tulah berdedikasinya seorang insan bernama Zaki ni.

Siap je urusan tu, terus straight ke bandar, berenti tak berenti kat Pengadang Baru, ada urusan ngan Tuhan. Apepun, yang paling boleh dibanggakan adalah kualiti kebersihan kat tandas masjid ini, amat-amat memuaskan hati, kirenya walaupun masjid ni masjid yang tak mendapat seliaan kerajaan, tapi bersihnya jauh melangkaui masjid-masjid yang besenye sultan gi solat jumaat kat sana cam Ladang, Wakaf Tembesu (sultan pernah gi ke sini?) dan lain-lain masjid yang perlu untuk dibersihkan segera tandasnya supaya sesuai dengan status rumah ibadah orang Islam.

Allah punya hebat rancangannya, menjadikan segala urusan kitorang berjalan ngan lancar, lagi-lagi kat KWSP, pergh.. Superb r servis dia, maybe tak ramai orang kot, kirenye dalam 3 minit je dah siap untuk satu penyata. Disebabkan saya ngan Lukman je yang buat, Zaki punye IC tertinggal, jadi 6 minit je la..

So, bila akak kaunter tu bagi borang hijau (cam borang muhasabah r), tanpa syak wasangka terus r saya ngan Lukman menanda yang baik-baik saja sebagai tanda kitorang berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.

Sampailah kat satu kolum berkenaan Kiosk servis, si Lukman ni plak suara dia macam warden asrama, kuat habis.. Boleh pulak dia sound, "yang ni aku tak puas hati" dahle Kiosk tu belakang kitorang je. So saya tengok la apa yang die tak puas hati sangat tu, tup-tup dia tulis, sila baiki 'enjin' no giliran. Cis, tu je, padahal takde r besar sangat, tak padan ngan apa yang disoundnya. Dahle tulis enjin, hehe.. Bikin saspen akak kiosk tu je.

Anyway, Alhamdulillah atas limpahan rahmatNya memudahkan urusan kami dan hari ni dah start kelas KAFA bagi sekolah-sekolah tertentu walaupun saya tidak bersetuju dengan matlamat YIT mewakili Kerajaan Negeri Terengganu supaya bilangan murid yang khatam Quran bertambah kerana bila pada pendapat saya, bila kuantiti yang terlalu dititikberatkan, kualiti pula akan terabai, buktinya jelas setelah saya menemuduga beberapa pelajar yang telah khatam quran dengan program ini. Apapun, amanah selaku seorang guru, tetap akan dilaksanakan

*KL : Kubang Lembek
*KB : Kuala Berang
*KT : Kuala Terengganu

P/s: Saya mencuba menulis dengan style penulisan jurnal peribadi yang santai ini sebagai satu proses untuk memahirkan diri dengan penulisan bergenre penceritaan. Jadi, bila anda baca, jangan kecewalah ye, masih di takuk yang rendah. ~~

1.04.2010

Majukan Kembali Pendidikan Jemaah

Assalamualaikum w.b.

Kali ini, saya mahu menulis tentang nilai pendidikan khususnya dalam jiwa orang yang berada di dalam perjuangan Islam di Malaysia ini. Nanti dulu, sebelum anda beranggapan bahawa saya menulis ini atas dasar SS (Syok Sendiri), saya mahu terangkan di sini bahawa tulisan ini adalah dari pengalaman ciput yang saya ada, perbincangan dengan orang tua saya, luahan yang saya dengar dari masyarakat dan hasil pemerhatian saya pada keadaan sekeliling

Sekadar cadangan, mungkin terselit kritikan tetapi bukanlah untuk menjatuhkan, sekadar mahu menyegarkan, andai ada yang tidak kena dengan apa yang diperkatakan, maka kemaafanlah yang saya dahulukan, cuma apa yang saya harapkan, jangan sesekali menutup fikiran, renungilah dengan dada yang lapang. Tu la, kang tak pasal-pasal dah bergurindam. hehe

1- Perkara nombor wahid yang wajib ditekankan oleh institusi pendidikan jemaah adalah kualiti pendidikan itu sendiri. Saya bukan siapa-siapa dalam hal menentukan kualiti ini, bahkan orang besar-besar berucap dalam majlis idul ilmi, MIBG, JIBG dan Konvokesyen pun sentiasa menekankan tentang betapa kualiti ini penting. Tetapi betulke penekanan dari ucapan ini berjalan seiring dengan tindakan, sila fikirkan.

2- Sebagai institusi bagi sebuah jemaah Islam terbesar negara, mahu tidak mahu usaha untuk melahirkan pelapis kepada generasi yang ada sekarang mestilah diperhebatkan, bukan mahu membangkang, tetapi mahu menjelaskan bahawa usaha yang ada sekarang hanya sekadar akan melahirkan pemacak bendera, pengutip derma dan lain-lain tugas yang diperlukan ketika terdesak. Saya tidak memaksudkan bahawa tugas-tugas di atas ini tidak mulia, tetapi tugas tersebut terlalu sedikit jika dibandingkan dengan matlamat sebenar penubuhan institusi jemaah ini. Lalu saya memohon agar ditingkatkan lagi usaha melahirkan pemimpin, bukan sekadar penyokong dan pendokong semata-mata. Apa yang pasti, usaha ini haruslah melibatkan semua ustaz-ustazah-pendidik-pensyarah bahkan pimpinan PAS dan bukan hanya dibiarkan bahu pimpinan pelajar sahaja yang memikulnya

3- Saya berjalan-jalan di sana-sini pada dua tiga minggu ini, saja mendengar cerita-cerita sensasi yang boleh diterjemahkan ke dalam tulisan, lalu dari apa yang saya dapat dan saya perhatikan, para pendidik terlalu sibuk dengan urusan jemaah, sehingga membawa kepada terabainya kelas-kelas pengajian. Jika saya sebagai pelajar, pastilah menjadi suatu kebahagiaan bila tiada kelas, tetapi semenjak menjawat jawatan sebagai pemerhati dari luar ini, saya cukup merana bila saya lihat pelajar-pelajar yang semangat partinya cukup kuat (PRK di mana-mana pasti akan turut serta) akan tetapi persediaan dari ilmu dan ma'rifah amat-amat menyedihkan. (Termasuk saya)

4- Saya mahu memberitahu, usaha-usaha meningkatkan pengetahuan agama sedang gigih dibuat oleh pihak lawan, jika kita tiada daya usaha untuk menjadikan institusi pendidikan kita menjadi yang lebih baik, maka kita sudah tewas sebelum perlawanan final diadakan. Saya rasa jika kita mampu menyusun kerja kita dengan lebih sistematik dan berstrategis, saya fikir, belajar di bawah pokok pun sudah memadai untuk melawan mereka yang belajar dengan bangunan agam berfasiliti tinggi ini.

5- Cis, kau cakap memanglah senang bhai!... Saya akui, memang senang sekali bercakap dan menulis itu dan ini, tetapi jika frasa "Cis, kau bercakap memanglah senang bhai!" atau yang sewaktu dengannya sering diulang-ulang dan dijadikan jawapan tetap, tanpa cakap banyak, saya berani katakan bahawa setakat itu sajalah tahap yang kita mampu capai.

6- Akhir tulisan, saya terdorong untuk menulis ini kerana saya merasakan mereka yang berada di institusi pendidikan kerajaan lebih hebat perjuangan mereka, lebih idealis tindakan mereka dan yang lebih penting kewujudan mereka lebih relevan dengan suasana mu'asoroh. Ingat Allah boleh memilih orang lain untuk meneruskan KalimahNya di atas muka bumi ini. Semoga kita sentiasa menjadi pilihan Allah.

Akhir kalam, semoga institusi pendidikan jemaah benar-benar mempunyai mutu untuk melahirkan pemimpin Islam berkualiti samada dari kepimpinannya dan ilmunya.

1.02.2010

Solatlah Weei... Tak Ruginyee!



Saya akui, saya bukanlah orang yang tegar bersolat jemaah, lebih-lebih lagi apabila bermastautin di rumah. Waktu Isya' lah yang menjadi pengubat lara, manakala waktu-waktu lain bergantung kepada keadaan saya ketika itu, jika saya keluar ke bandar atau ke mana saja, apabila kena waktunya, saya akan bersolat jemaah dengan singgah di mana-mana masjid. Alhamdulillah, semenjak mengajar al-Quran di Seberang Takir kini, Asar menjadi satu lagi pengubat lara kepada solat jemaah.

Berbeza dengan bi'ah sewaktu saya di KUDQI dulu, rasanya bilangan saya bersolat jemaah lebih mendahului bilangan solat saya secara fardi di asrama dan saya rindukan suasana itu. Tanpa ada apa-apa kerja, sekadar menyiapkan assignment-assignment yang tidak akan memberikan kesan jika kita tinggalkan kerja itu selama sepuluh minit untuk mengadap tuhan.

Lalu saya ada pesanan buat bakal pemimpin keluarga lebih-lebih lagi sekarang sudah dilancarkan Bait Muslim, solatlah berjemaah selagi anda berpeluang melakukannya. Jangan pernah meninggalkannya. Kerana solat berjemaah ini sumber kekuatan orang Islam, ukhuwah pasti terikat dengan solat berjemaah. Mungkin sesekali kita terasa sebagai beban yang menyusahkan, tapi percayalah suatu hari nanti bila kita sudah tidak berpeluang, maka kita pasti akan rindukannya.



Bagi orang yang menyertai Seminar Gerakan Islam anjuran MPMKUDQI baru-baru ini, pasti anda mengagumi cerita yang dihikayatkan oleh Ustaz Riduan Mohd Nor tentang ummat Islam Palestin sekarang bilamana solat Subuhnya sudah mencapai bilangan hadirin yang hadir ke solat Jumaat. Subuh dengan dua kali azan yang bertujuan mengejutkan penduduk sekitar bangun bertahajjud pada azan pertama dan memanggil mereka keluar menuju masjid pada azan kedua menunjukkan kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan mereka kepada tidur dan mimpi. Bila begini, apa yang akan menghalang mereka dari mendapat kecintaan kepada syahid? Semoga Allah memberkati mereka dan kita.

Perhatian yang patut diberikan oleh kita selaku tholib Ilm adalah tunjukkan rasa cinta kita kepada Allah dengan kekerapan kita menziarahi rumahnya sekurang-kurangnya 5 kali setiap hari atau setakat mana yang anda terdaya. Mudah-mudahan, ilmu anda bertambah dan semakin diberkati.

Maghrib sebagai satu waktu yang menjadi keutamaan penduduk kampung biarlah turut diisi dengan kehadiran warga kolej selaku tuan rumah kepada surau yang ada. Sedih benar jika penduduk kampung boleh dinisbahkan dengan 4 @ 5 berbanding satu pelajar. Jika tidak kita yang memeriahkan markaz kita, siapa lagi.

Cadangan untuk pihak berwajib, banyakkanlah aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat di surau, bahkan saya turut mengharapkan jika ada liqa' mahabbah untuk muhasabah sekali pun, biarlah dipindahkan lokasinya ke surau berbanding tempat yang ada sekarang yang tidak boleh langsung menandingi keselesaan surau. Moga dengan usaha ini, kita semua semakin mencintai rumah Allah dan berhak mendapat tempat di bawah naungannya kelak.



Akhirnya, saya ada beberapa point untuk diperhatikan :

1. Orang yang kerap berjemaah lebih berseri mukanya berbanding orang yang solat fardi dan kadang-kadang terlepas terus untuk solat.

2. Orang yang terlampau miskin, jika diperhatikan kebanyakannya bukanlah ahli surau atau masjid, maksudnya bukan kaki sembahyang. Jika orang yang rajin bersembahyang lebih-lebih lagi berjemaah, insyaAllah, baginya kelapangan atas kesempitan yang dilaluinya.

3. Andaikata kita ini begitu hebat dalam berorganisasi dan pelajaran, malangnya kita tidak melazimi solat jamaah, sebenarnya kita masih lagi tidak hebat. Segala yang kita war-warkan dalam kelas mahupun dalam mesyuarat hanya akan mendatangkan beban kepada diri sendiri, tiada izzah yang keluar dari tiap tutur bicara kita.

4. Bonusnya dalam dunia belajar adalah ketenangan yang tak akan dapat dicari di mana-mana kedai makan di waktu Maghrib. Seganas manapun kita, akhirnya kita akan tersungkur dengan kekuasaan Allah dan kita akan merayu denganNya untuk dikasihani. Lalu, ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara.

5. Andai kita ini jenis bebal payah nak faham, solatlah berjemaah, lazimilah majlis-majlis Ilmu, insyaAllah dipermudahkan olehnya. Jangan ingat Allah tidak nampak bahawa kita sedang berusaha untuk dekat ke arahNya. Bagi yang pandai dan terlebih genius pula, ingatlah ilmu yang dipelajari jika tidak diberkati pasti akan menyebabkan kita mudah lupa dengan apa yang dipelajari. Kerana itulah kita tidak segan silu melakukan perkara yang kita tahu bahawa itu tak boleh ini tak boleh.

Akhir kata dari saya, berilah diri kita masa untuk bersendirian memerhati diri, memerhati sekeliling, memerhati sejauh mana kita membazir masa belajar bermacam-macam ilmu syariat tapi tidak mampupun untuk mengamalkannya. Dengan tiga tahun masa yang ada, jika kita di bidang mekanikal, kita sudah boleh menjadi pomen. Hisablah diri, hitunglah amalan, sama-sama renungkan.

1.01.2010

Sudah Tua Benar

Assalamualaikum W.b.t..

Usia bumi dan segala yang menghuninya telah bertambah setahun lagi, samada ianya kiraan masihi atau hijri. Fakta yang harus kita gigit adalah kita semakin hampir dengan mati. Bumi ini pula semakin hampir dengan tempoh luputnya.



Baru tadi saya melihat National Geographic yang memaparkan tentang gerakan di bawah bumi dan pengaruhnya kepada bencana alam yang melanda di permukaan bumi ini. Lalu semakin yakinlah saya bahawa dunia hampir benar dengan qiamat. Ingatkah anda dengan kisah Nabi Muhammad s.a.w yang ber'mikraj' dari Aqso ke langit bertemu Allah yang dipanggil oleh wanita tua yang memakai perhiasan yang sarat itu? Kisah itu memberikan kita pengetahuan bahawa 1400 tahun lalu, dunia sudah terlalu tua.

Dua tiga ketika, fikiran saya sering memikirkan tentang akhir zaman dan kesediaan Ummat Islam menghadapinya. Tiada fitnah yang lebih dahsyat dari fitnah-fitnah yang datang pada akhir zaman. Dengan iman sejemput di dada, adakah kita mampu menangani fitnah serta ujian yang datang menyembah ke kaki kita nanti?

Allahumma inni a'uzubika min fitnatil masihid Dajjal..

Matikanlah aku dengan kesudahan yang baik ya Allah. Tiada apa yang aku inginkan melainkan rahmatMu ya Allah.