Followers

1.08.2010

Bila Ilmu Diniagakan

Assalamualaikum w.b.t.

"Saya rasa kecewa dengan kolej saya, sekarang ni dah setahun saya kat sana tapi still tak dapat nak masuk semester dua. Saya ambik kursus Beauty Therapy, sekarang ni dah hampir RM9000 duit saya habis kat kolej ni, dah la duit pinjaman, tapi pihak pentadbiran masih lagi tak dapat nak beri jaminan samada saya boleh graduate atau tak dari kolej ni.. Saya harap, kalau betul kolej ni menipu, rhentikan lee kerja menipu orang ni.. Jangan cari makan dengan menipu.." begitulah luahan kecewa seorang pelajar yang tidak tahu hujung pangkal nasibnya di sebuah kolej swasta yang dalam surat tawarannya dulu penuh dengan jaminan dan disiplin-disiplin ilmu yang bakal membuatkan pelajar itu terjamin masa depannya.

Itulah kelemahan yang ada pada kolej-kolej swasta yang kini berghiyok cok (istilah geng Ganu) bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan bilamana kerajaan menjadikan pendidikan sebagai suatu kepentingan yang perlu diberi kepada seluruh warga.

Namun bukan semua yang tumbuh itu bermatlamatkan pengembangan budaya ilmu, rata-rata dilihat sebagai satu cara untuk mendatangkan keuntungan sebagai menyambut teori ekonomi kapitalisme yang menjadikan apa jua cara mendapat keuntungan adalah halal selagi mana ianya tidak memberi mudarat kepada keselamatan negara.

Kerana itulah kita sendiri melihat lambakan mat-mat gelap yang kaya raya dengan senang hati datang ke Malaysia dan semudah mengupas kulit kacang pula mereka mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta yang kadang-kadang fasilitinya bagai setinggan. Apa nak diheran, selagi ada duit, andalah pelajar kami. Kami akan mentarbiyah anda, 3 tahun lagi anda akan alim dan wara'.

Lalu bila mat-mat gelap yang jahat berleluasa sekarang ini di ibu kota, mulalah kerajaan menggelabah mencari inisiatif bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Sepatutnya kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab memantau dan menyita kolej-kolej yang tiada tauliah dan pengajarannya sekadar kilas kain pelikat seorang datuk tua di atas pangkin di petang hari, rokok daun berasap di celah jari. (peribahasa versi sendiri)

Itu baru dari sudut pendidikan, belum sebut penyelewengan tentang pembinaan, perniagaan, produk-produk perubatan dan lain-lain servis yang hebatnya bagai khidmat di syurga tetapi kesan selepas itu umpama terperap di celah neraka. Kau tanya kenapa tidak diambil tindakan? Kerana keuntungan itu boleh dikongsi, tidak dipanggil rasuah tetapi digelar sebagai hadiah. Rela warga Malaysia merana selagi tidak kena kepada batang tubuh sendiri tambahan pula duit disumbat ke mulut agar diam dan mengangguk-angguk.

Sebagai satu cara mencari solusi, satu pihak menghubungi pihak kolej bertanya tentang pelajar tersebut dengan sekian-sekian masalahnya, dari operator bertukar tangan ke meja pendaftaran, seterusnya ke meja akademik, dari akademik disuruh refer kepada pihak pentadbiran, dari pihak pentadbiran disuruhnya rujuk kepada pihak akademik, alih-alih tiada jawapan yang diberikan dan pengkhianatan amanah dilihat semakin jelas terpapar.

P/s: Kejadian ini baru saja saya dengar tadi (9.20am/8.1.2010) dari stesen radio Era menerusi segmen Merisik Khabar kendalian Aznil Nawawi. Kolej itu pula tidak disebut namanya, jika tidak saya pasti sudah menyebutkannya di sini sebagai cara memberi inzar kepada pelajar-pelajar yang mahu ke sana agar membatalkan niat mereka.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.