Followers

3.05.2010

Preview Buku: Pedang Allah Khalid Al-Walid



Selepas beberapa ketika menghabiskan satu buku yang amat menarik iaitu Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya karangan Leftenan General A.T Akram, saya merasakan satu kepuasan yang amat sangat. Saya pernah juga membaca tentang pahlawan Islam yang tidak pernah kalah itu sebelum ini tetapi tidak pernah lagi mendapat kepuasan seperti.

Satu buku yang sangat lengkap (bagi saya) tentang penceritaan berkenaan Pedang Allah itu. Bahkan ianya diselangi dengan penerangan tentang strategi yang diguna Khalid sepanjang kempen yang disertainya. Sesekali diceritakan juga penggunaan taktik seperti itu di zaman kemudian. Kelebihan penulis ini sebagai seorang general tentera angkatan darat Pakistan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menterjemah strategi Khalid dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Semoga Allah memberkati usaha beliau ini.

Setiap kali buku ini menceritakan tentang perlawanan duel (satu lawan satu-biasanya sebelum peperangan bermula), saya merasa seolah-olah saya berada di sana dan memerhati dengan cermat perlawanan yang sedang diadakan itu. Kehebatan Khalid dalam perlawanan ini menyaksikan beliau menang dalam semua duel yang disertai. Bahkan suara hati saya tidak dapat menafikan kebenaran dari kata-kata pemimpin tentera dan kerajaan Rom dan Parsi yang takjub dengan Islam kerana mampu melahirkan dari kalangan mereka yang tidak bertamadun pejuang-pejuang yang begitu teguh dengan dasar penaklukan mereka iaitu Islam, jizyah atau perang dan mencintai mati seperti mana tentera mereka mencintai hidup.

Antara watak-watak yang menarik untuk dihayati sepanjang membaca buku ini adalah Dhirar al-Azwar(pahlawan berlengeng-tidak berbaju), Abdul Rahman bin Abu Bakar, Abu Ubaidah al-Jarrah (yang digelar orang paling kacak bagi mereka yang tiada gigi kacip), Khaulah al-Azwar(saudara perempuan Dhirar), seorang janda yang cekap memanah.

Sementara watak-watak yang menyebabkan saya memejam mata untuk membayangkannya adalah Amru bin Abdul Wudd yang kuatnya umpama 1000 pahlawan dan orang Arab meriwayatkan beliau mampu untuk mengangkat kuda dan melemparkannya ke tanah dan mampu mengangkat anak lembu dengan sebelah tangan untuk dijadikan perisai dan sebelah lagi bermain pedang (dikalahkan oleh Ali bin Abi Talib dalam perang Khandak), Adi bin Abi Hatim yang tingginya menyebabkan jika beliau menunggang kuda, kakinya akan mencecah tanah, Hazar Mard, pahlawan Parsi yang bengis dengan kekuatan 1000 pahlawan juga digelar gergasi kerana saiznya yang luar biasa besar berbanding orang lain.

Tidak lupa juga watak kegemaran saya selain Khalid iaitu Dhirar Al-Azwar yang gemar untuk tidak memakai baju. Kali pertama beliau membuang baju perang adalah kerana panas dan tidak selesa dan selepas itu kelibatnya dengan trademark tidak berbaju itu menyebabkan ianya menjadi igauan ngeri kebanyakan pihak musuh. Nampak sahaja di kalangan tentera Islam yang tidak memakai baju perang, maka mereka akan tahu itulah Dhirar yang boleh memberi mudarat kepada mereka dengan kehandalannya beraksi. Orang yang terpenting dalam pasukan pengawal bergerak Khalid.

Banyak lagi yang jika diceritakan pasti akan merasa bahawa alangkah bagusnya jika filem Khalid al-Walid ini dapat difilemkan sepertimana cerita Genghiz Khan dicerekakan. Apatah lagi Khalid dan Genghiz ini merupakan antara orang yang tidak pernah tewas dalam peperangan yang disertai. Pasti menarik dengan kemunculan watak-watak hebat ini.

Jangan lepaskan peluang anda untuk sama-sama mengecapi betapa bernilainya buku yang bertajuk Pedang Allah Khalid Al-Waleed ; Kehidupan dan Kempennya. Pasti tidak rugi memilikinya. Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.