Followers

2.28.2010

Hidup Ini Bukan Filem!

Hidup ini takkan seindah filem jika kita tidak berusaha untuk mengindahkannya. Takkan pula ianya menjadi novel cinta yang penamatnya menang-menang jika diri hanya diam membatu tanpa bergerak ke arah kecantikan susunan plot-plotnya.

Hidup ini adalah untuk memilih samada mahu bahagia atau derita. Manusia bukan malaikat yang sentiasa saja patuh kepada Allah tatkala diperintahkan sesuatu kepadanya tetapi tidaklah menjadi satu keganjilan bila ada manusia yang darjatnya jauh mengatasi malaikat Allah.

Itulah manusia yang penuh dengan objektif yang boleh dipilih untuk menentukan gaya menendang pesaka (akhir hayat) mereka nanti. Samada mahukan kedamaian di bawah naungan rahmat Ilahi ataupun mahukan kesengsaraan dengan menghimpun segala marah dan murka Allah.

Sebagaimana sabda baginda yang paling saya cinta :

"Allah tidak akan sesekali mengubah sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubahnya sendiri."

Lihat Qabil yang memilih untuk membunuh Habil dari mengahwini kembar Habil.

Lihat kaum Ad dan Thamud yang memilih kekufuran dari menerima dakwah Nabi mereka yang langsung tidak mengurangkan harta benda mereka.

Lihat pula pendeta besar memilih untuk berdoa agar Allah menyesatkan Nabi Musa dan kaumnya selama 40 hari di padang pasir sebelum Allah menghukumnya dengan lidah menjulur keluar dari mulutnya

Lihat bapa saudara Nabi Muhammad yang memilih untuk kekal dengan agama nenek moyang mereka dari mengucapkan dua kalimah syahadah yang bisa menyelamatkannya dari neraka.

Lihat kesilapan mereka memilih dan mereka degil untuk memilih kebenaran. Dengan contoh yang letih untuk dihitung, kita sebenar-benarnya sedang berhadapan dengan dua simpang setiap hari dan setiap masa. Hanya kita yang mampu memilih jalan mana yang ingin dilalui.

Sekali lagi jika anda muslim mukmin, saya ingin segarkan kembali matlamat kita iaitu keredhaan Allah yang menjamin kehidupan kita di syurga selama-lamanya. Ya, selama-lamanya.

Untuk itu, saya memilih untuk tinggalkan cinta manusia agar cinta Allah dan Rasulnya yang keciciran selama ini dapat saya kutip kembali. Semoga diri saya ini masih diberi ruang untuk diisi dalam jiwa besar Baginda yang saya kasihi. Labbaika Ya Rasulullah. Bi abi anta wa ummi...

Tunjukilah aku jalan lurusMu ya Rahman, ya Rahim. Izinkan aku mencintaiMu dan PesuruhMu sebelum aku mengisi hatiku dengan cinta insan lain yang turut cintakanMu dan RasulMu.

AstaghfiruLlah wa Laa Ilaha IllaLlah, Muhammadur Rasulullah.
SollaLlahu Ala Muhammad Ibni Abdillah
Mabda'il Amri Wamuntahaah
Wasolla Ala Aalihi Wa Sohbihi Waman Tabi'ahu wa Waalaah

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.