Followers

8.09.2010

Kembara Ke MDQ siri 3

Cerita tentang sejarah MDQ dulu-dulu sewaktu saya berada di tahun 1 seringkali menjadi satu cerita kegemaran. Cerita yang sering dihikayatkan oleh abang-abang yang diamanahkan menjaga kami waktu itu. Lokasi yang sering penuh dengan kawan-kawan setingkatan saya adalah katil yang paling hampir dengan pintu masuk hadapan asrama (dikenali dengan asrama lama). Disitulah semua abang-abang berkisah tentang kehebatan generasi dulu, imma dari segi pelajarannya, persilatannya, ketahanannya, kesusahannya, kesungguhannya hatta kehebatan abang-abang dulu dalam melawan hantu puaka.

Dulu sememangnya cukup taksub dengan cerita manusia melawan jin atau hantu ini, mungkin terbawa-bawa dengan watak hero Tamar Jalis dalam siri bercakap dengan jin. Tapi bila dah besar, maka banyak juga cerita yang dikisahkan kepada kami yang akan membawa kepada ketawa sahaja kerana tiadanya unsur logika tapi bukan semua.

Biasanya bila berkumpul di atas katil tersebut, maka 2-3 orang abang-abang ini akan saling berkongsi cerita, tugas kami pada waktu itu adalah menjadi pendengar yang setia dengan penuh kekaguman. Tiada sepatah pun suara kami kedengaran kerana ketaksuban yang amat sangat. Setiap mata dan telinga tertumpu kepada pembawa cerita, satu demi satu.

Dari cerita belajar, masuk cerita kekuatan mental fizikal, kemudian masuk pula cerita betapa susahnya MDQ diawal penubuhannya dan penutup pasti akan diakhiri dengan cerita hantu puaka. Mungkin strategi mereka mahu kami menjadi lebih berani atau lebih penakut. Antara kisah yang paling menarik adalah kisah pembinaan asrama lama itu sendiri. Benar atau tidak, Allahu A'lam.

Hantu Kekabu

Dikisahkan bahawa asrama lama itu tempatnya keras, bukanlah berbatu-batu, akan tetapi kerasnya berpuaka, hinggakan kerja-kerja pembinaannya itu mengalami sedikit kesukaran (kesukaran yang bagaimana tidaklah pula digambarkan oleh periwayat cerita ini). Kebetulan pula, di tepi tapak pembinaan asrama itu terdapat sepohon pokok kekabu yang agak besar. Mungkin sesuatu yang mengganggu itu datangnya dari pokok itu(pokok itu masih lagi ada hingga sekarang). Lalu para buruh ini mengadu hal kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang(Ayah Chik) selaku pengasas kepada MDQ, sekaligus meminta Ayah Chik melakukan sesuatu.

Lalu, Ayah Chik pergi dan memagar kawasan tersebut dengan pagar yang tak dapat dilihat mata kasar. Alhamdulillah gangguan itu tidak melarat. Tambahan dari cerita itu, ada pula soalan yang keluar dari mulut salah seorang abang-abang tersebut, katanya :

"Enta semua tahu tak dekat batang kekabu tu, ada 3 batang paku?"

Kami yang mula suspen ini serentak menjawab " Taakk, kenapa bang?"

"Paku tu, ayah chik paku 3 ekor jin yang mengacau tapak asrama ni dulu... Kerana tu, jangan sesekali salah seorang dari kamu pergi sentuh ke, cabut ke, apa ke kat paku yang melekat di batang pokok tu, buruk padahnya!"

Masa tu, tak tahulah tinggi mana meremangnya bulu roma kami.


Tangisan Dari Siling

Kisah lain yang boleh menyebabkan kami pada waktu itu tak berani tidur berseorangan, adalah kisah suara tangisan dari siling. Siling asrama itu, seringkali juga dijadikan bahan mistik yang kami tidak mampu melihatnya lama-lama jika terjaga ditengah malam. Menurut abang-abang, siling tersebut pada malam-malam tertentu akan terdengar bunyi merengek macam budak-budak menangis. Tetapi bukanlah suara budak, tetapi suara yang telah akil baligh lagaknya.

Bunyi huu, huu, huu dan bunyi nafas orang menangis dapat didengar jelas dari siling jika berkesempatan untuk mengalaminya. Kisahnya adalah berpunca dari seorang pelajar generasi dulu, juga penghuni asrama itu yang mati lemas dipantai. Selepas kematiannya, kawan-kawan lain tidak berani untuk menggunakan tilam dan bantal beliau. Lalu, tilam dan bantal beliau itu diletakkan di atas siling. Sejak dari itu, seringkali pada malam-malam tertentu, siling itu mengeluarkan bunyi tangisan.

Perkara yang saya takuti selepas mendengar cerita itu adalah tempat tidur saya yang kebetulan betul-betul di bawah lubang untuk naik ke siling. Saya tidak sesekali memandang lubang tersebut jika terjaga diwaktu malam kerana bimbang ada kepala yang memerhati dengan senyuman. Bagi saya, senyuman hantu itu lebih saya takuti dari hantu yang bermuka masam walaupun hakikatnya saya tidak pernah lagi bertemu dengan dua jenis hantu ini. :)

Abang-Abang Pahlawan

Tidak lengkap sesi mari bercerita bersama ustaz Zamri ini jika tidak disebutkan tentang cerita berkenaan dengan figura-figura hebat yang menjadi idola kepada abng-abang yang bercerita ini. Dengan cerita itu, ramailah nama-nama yang naik seperti Ustaz Soud, Ustaz Awi Warden, Man Ali, Asman (ustaz), Arif (ustaz), ustaz Zulyadain, Kili Nara bahkan abang saya sendiri, Hishamuddin(ustaz). Walaupun di rumah, beliau biasa-biasa saja. Ramai lagi nama-nama lain yang diceritakan, tapi tidak semuanya saya ingat.

Lalu, sempena Ijtima Alumni sempena 25 tahun penubuhan MDQ ini, ada satu perkara yang saya pasti tentang generasi awal MDQ ini, mereka memang hebat. Kehebatan mereka bukan hanya terletak pada mereka berpencak imma gerak tubuh atau gerak pena, tetapi mereka hebat kerana memilih MDQ sebagai sekolah menengah mereka. Mereka hebat kerana tahan dengan kesusahan. Mereka hebat kerana mereka memberi inspirasi kepada ribuan ibu bapa yang lain yang terus menerus menghantar anak-anak mereka ke MDQ. Apa yang saya tahu, generasi awal MDQ sudah menepati matlamat asal penubuhan MDQ, melahirkan generasi al-Quran yang Unggul dan terjun berjuang di dalam perjuangan Islam. Generasi kemudian bila lagi?

P/s: Semoga semangat generasi awal diwarisi oleh generasi kemudian. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.