Followers

8.17.2010

Madrasah Ramadhan

Ramadhan ini adalah Ramadhan yang ketiga saya berada jauh dari rumah dan isi rumah milik orang tua saya. Sudah dua bulan saya berada di Yaman dan sudah 7 hari pula saya merasai bagaimana ahli Sana'a berpuasa.

Boleh dikatakan, entri kali ini adalah entri cerita tentang Yaman versi Istimewa Ramadhan. Jua didedikasikan kepada sahabat saya Sabri khususnya dan rakan-rakan lain yang mula menunjukkan minat dan semangat yang luar biasa untuk datang ke sini. Ya, minat dan semangat kerana minat sahaja tidak memadai untuk ke sini.

Masuk hari yang ketujuh saya berpuasa di sini dan dua kali Ramadhan di Damascus, saya dapat simpulkan bahawa kebanyakan negara arab memang Ramadhannya lebih meriah dari Aidil Fitri. Menyambut Ramadhan lebih hidup dan meriah dari menyambut lebaran. Malam mereka bagai siang. Kedai-kedai dibuka hingga ke pagi.

Pagi pula bertukar menjadi malam, digunakan untuk rehat. Bahkan syarikat telekomunikasi milik qabilah terbesar negara ini juga menghantar mesej sempena ramadhan yang menyatakan bahawa malam Yaman di bulan Ramadhan bermula pada waktu sahur hingga pukul 11 pagi!

Bandar Sana'a kembali terjaga menjelang Zohor, kehidupan mula diteruskan dengan rancaknya saat salam kedua solat Zohor diberi dan ianya berterusan hingga ke sahur keesokannya.

Al-Quran Didampingi

Sesuai dengan bulan yang diturunkan al-Quran padanya, masyarakat di sini tidak lekang dengan al-Quran. Boleh lihat di masjid-masjid. Pada satu-satu saat, tiada lagi quran di atas rak masjid, semuanya dilihat berada kemas di genggaman dewasa atau lembut dilapik peha kecil kanak-kanak. Semua mereka kelihatan begitu akrab dengan al-Quran.

Paling menarik adalah bila melihat kanak-kanak mengaji. Yang lancar bacaannya tak dapat dibilang jari manakala yang tak lancar di ajar ayah atau abang mereka. Suasana tersebut mendidik hati supaya kita juga harus malu apabila lekang dengan Quran.

Kedai di bawah rumah saya juga turut menjadi guru motivasi kepada saya apabila saya turun membeli roti dan halib untuk dibuat sahur, tuan kedai dan anaknya yang berumur 13 tahun leka membaca Quran. Dekatnya mereka dengan barakah Ramadhan. Cemburu pula saya bila negara kita Qurannya ghalib dibaca di surau masjid dan di rumah sahaja.

Takhfidh Ramadhan

Membeli belah di bulan Ramadhan cukup menarik, kebanyakan peniaga mengamalkan sedekah dalam jualan. Tawar menawar menjadi lebih mudah dan menarik dengan dua perkataan. Takhfidh Ramadhan. Bulan keuntungan pahala ini digunakan sebaik mungkin dari segala segi.

Teksi-teksi juga menjadi lebih senang diurusi. Biasanya sebelum ittifaq harga, bukan main dibedilnya dengan caj yang tinggi, selepas pujuk memujuk dan tawar menawar, barulah dikurangnya caj dengan wajah kelat. Masakan tidak, alasan zahmah (traffic jam) sudah dapat ditepis kita.

Sekarang tambang menjadi relevan dengan jarak yang ingin kita tuju. Bahkan jika dicaj tinggi sekalipun, sekali dipujuk terus berjaya mendapat diskaun. Ramadhan menjadi madrasah yang mengajarkan subjek murah hati dan tolak ansur secara berkesan.

Terawih dan Tazkirah

Di sini tak perlu memikirkan sangat untuk menjadi iman dan memberi tazkirah sebagaimana di kampung, jadi tanggungjawab sudah berkurang. Pancaindera sepenuhnya dapat ditumpukan kepada cara pelaksanaan terawih dan tazkirah di sini. Jika sesuai, boleh diadaptasi.

Menariknya, masjid-masjid merancang pelbagai program-program yang molek benar jika ingin ditiru masyarakat kita. Masjid Abu Ammar yang paling hampir dengan rumah saya mengisi masa setiap kali selepas terawih dengan membacakan soalan kuiz sirah. Usai sahaja solat witir, imam akan bangun membacakan soalan.

Tiada zikir dan wirid yang panjang-panjang yang menjadi alasan kukuh untuk orang-orang muda angkat punggung, kuiz ini dilihat sebagai penarik kepada anak-anak kecil dan remaja. Mereka beramai-ramai merapati imam itu untuk mendengar soalan. Sesiapa yang berjaya menjawab dengan betul, dapatlah membawa pulang senashkah al-Quran dan sebuah kitab.

Madrasah Ramadhan

Sering kita dengar perkataan Madrasah Ramadhan, tetapi sangat sukar untuk menjadikannya madrasah sebenar jika bi'ah suasana tidak membantu. Alhamdulillah di sini ada suasana mendidik tersebut.

Moga-moga, hasil usaha kita untuk merubah suasana diri, keluarga seterusnya masyarakat dapat menjadikan madrasah Ramadhan dirasai di tempat kita. Selamat berpuasa.

"Ramadhan, awalnya Rahmah, pertengahannya Maghfirah dan akhirnya pembebasan dari Api Neraka"

8 comments:

  1. "Ramadhan, awalnya Rahmah, pertengahannya Maghfirah dan akhirnya pembebasan dari Api Neraka"
    sedikit teguran, hadis ini dhaif menurut apa yang ana tau lah..kalau hadis ramadhan imanan wahtisaban ha yang tu kuat...kalau tak silap lah sebab mungkin ada pandangan lain sebab dalam hadis pun kdg2 ada khilaf...

    ermm tempat ana buat dah kuiz berdasarkan apa yang ustz2 bagi tazkirah tiap2 malam...idea us syed norhisyam, mentor imam muda kalau enta kenal lah...dia memang duduk kat tempat ana..ky wassalam..bergembiralah di bumi barokah tu..untung enta, dua kali menjejaki bumi barokah yang dijanjikan nabi...syam dan yaman sekarang..Allahumma barak....ermm tak ingat pulak doa nabi pada dua tmpat ni..hihihi dulu kat syria ust ana selalu baca hdis ni...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih maklumat tentang hadis tu. :

    Kebetulan, ustaz norhisyam pun belajar yaman jugak dulu kan.. hehe..

    Allahumma bariklana fi syamina wa bariklana fi yamananina. :)

    ReplyDelete
  3. Amin...ky berseronok lah dalam perjuangan..berseronok bukan bermakna berhibur benda2 lagho tu...tp berseronok lah dalam mencari ilmu dan menuntut keredhaan dan syurga firdaus Nya...:)

    ReplyDelete
  4. Sama2 r kite berseronok.. :) Tapi entri baru enta tu, tajuknye bleh tahan kan.. Sempat agi pekena ana dalam tu.. hehe.. :)

    ReplyDelete
  5. jeles plak baca entry ni.best ade pengalaman b'ramadhan di negara orang.

    kalo di jordan,pakcik teksi cas mahal sbb minyak naek katanya..huhu

    ramadhan elmubarak.kulla 'am wa antum fi mardhotillah..

    ReplyDelete
  6. Aik, mieha.. Takkan r x pernah b'ramadhan di negara orang? hehe..

    Anyway, syukran ziarah.. Mari r komen acap2 skit.. :)

    Salam Ramadhan, Salam Ibadah. Moga Allah berikan kesembuhan sepenuhnya kepada Ustaz. :)

    ReplyDelete
  7. huhu..stakat ni kalo ber'amadhan di jordan xpernah.tu pun sehari je berpengalaman menyambut ramdhan kt sane.
    nk wat cane,org kata rezeki..so bolehla berpose di tanah air sendiri..huhu

    insyaallah..kan kalo komen acap2 takot boring le plak.hehe

    syukran atas doa..
    selamat maju jaya..

    ReplyDelete
  8. Oo, gitu.. xpe r, ade kelebihan belake.. Hehe..

    Yg bace ni x boring pun, takut yang bagi tu boring.. hehe

    Afwan, dah tanggungjawab sesama manusia
    Terima kasih, sama2 maju hendaknye.. :)

    ReplyDelete

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.