Followers

8.17.2010

Penghuni Asrama Belakang '99


Minggu Pengetahuan dan Persaudaraan Tahun 1999

Semalam saya dan seorang kawan serumah yang namanya Khasie juga merangkap kawan dari bangku menengah lagi baring-baring sambil bersembang. Sembang yang asalnya kosong menjadi lebih hidup apabila saya dan beliau mula naik semangat mahu menjadikan kata-kata kami tidak kosong.

Isi perbualan kami adalah mengira dan mengingati gelagat dan telatah kawan-kawan yang saya kenali dari tahun 1999 yang pada waktu itu kami baru berada di tingkat 1 menengah. Khasie dengan gaya seorang setiausaha agung, beliau mula membuka buku tulis milik saya dan penuh semangatnya mahu menyalin balik nama-nama yang disebut dalam bual kami sebelum itu.

Dari satu-satu nama dicatit hingga berjaya kami kumpul kurang lebih 80 nama. Termasuk yang masuk pada tahun-tahun yang lain namun sempat belajar sekelas. Habis semua dicatitnya. Selepas itu gerak kerja mula ditingkatkan lagi dengan efektifnya dengan menggunakan kemudahan kemodenan. Pada malam itu juga, saya dan beliau mencipta akaun Facebook Page untuk digunakan oleh sahabat-sahabat kami dulu.

10 Tahun Dulu

Hingar bingar asrama kami dengan teriakan demi teriakan. Ada yang bergusti di atas katil. Jagoannya tentulah Rizal yang kami gelar Pok Lang walaupun beliau meminta kawan memanggilnya The Rock. Maklumlah, dalam ramai-ramai teman gustinya, dialah yang mahir mengangkat kening sebelah yang menjadi trademark The Rock yang popular dulu.

Dari katil Rizal yang berada di barisan yang kedua dari pintu masuk asrama, telinga kami tertarik mendengar bait-bait lagu yang cukup masyhur pada zaman itu. Lagu cinta dari filem Dil To Pagal Hai dan Kuch-Kuch Hota Hei bersilih ganti.

Penyanyi tersebut, kami kenali dengan Kamal, salah seorang yang paling tinggi dalam asrama kami. Memang hardcore Hindustan dia ni. Seorang lagi yang menjadi saingan kepada ketinggian beliau adalah Khairul Fahmi. Datang dari Johor. Elok benarlah mereka berdua ni, Seorang duduk di katil hujung sebelah depan asrama, seorang lagi katilnya duduk di hujung sebelah belakang asrama. Takut juga nak menegur Fahmi ni, nampak garang dengan gigi taringnya yang jelas kelihatan, tapi bila dah kenal, tak adalah garang sangat.

Di sebelah katil Fahmi, terdapat group-group yang usia mereka dah tua. Di katil atas, Ehsan mengelamun mengingatkan seseorang mungkin, di katil bawah pula kelihatan Badri sedang khusyuk membaca novel cinta. Tiba-tiba Badri dikejutkan dengan suara jeritan seorang budak yang berlari ketakutan kerana dikejar kawannya. Jelas beliau terganggu dengan suara tersebut.

Pemilik suara yang serak-serak tapi nyaring itu adalah Nakir Sayuki, pelajar imigran dari Kemboja yang dikejar oleh kawan baiknya Amirul.

"Mu nak gi mana tu Nakir?" Jeritnya. "Aku tak habis lagi tunjuk kuasa sakti aku ni!" tambahnya lagi termengah-mengah. Maklumlah, badannya boleh tahan juga 'sihat'

Di tengah-tengah asrama, kelihatan seorang pelajar dikerumuni kawan-kawannya. Di depannya terdapat satu gayung air. Sepi.

Masing-masing tertumpu kepada susuk tubuh yang di tengah ramai itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tiba-tiba, beliau menepuk lantai dan menjerit "aku tahu dah siapa yang ambik! Aku tahu siapa yang ambik" Hampir tumpah air dalam gayung tadi dek kuatnya tepukan beliau.

Orang ramai yang berkerumun yang berkerumun tadi mula menyoal sambil berpandangan sesama sendiri.

"Sape?" Tanya Amir Omar

"Ni bukan orang jauh ni, orang yang ambik ni ada dengan kita ni jugak !" Jawabnya dengan yakin.

"Ye la, tapi sape?" Tanya Abang Salam, penjaga asrama kami yang turut tertarik dengan method pelajar ini mengesan pencuri.

"Tak boleh bagitahu, ni pantang larang ilmu saya belajar" katanya selamba sambil bingkas bangun meninggalkan pelajar lain yang terpinga-pinga.

Sejak dari kejadian itu, kami panggilnya Duan Nujum.

Usai upacara tilik menilik itu, mata kami tertumpu dengan 3 orang Sufian dan seorang Irham. Keempat-empat mereka datang dari Hulu Terengganu. Sufian Harun seorang yang serba boleh dalam sukan, habis semua bidang beliau cemerlang. Sufian Abdullah pula orangnya kecik, putih-putih dan tak banyak cakap. Sufian Said pula cakapnya laju bukan main. Kadang-kadang nak faham pun susah tapi hati baik. Yang akhir pulak, Irham, selesa dengan panggilan Ma'an. Menjadi penghibur kepada ketiga-tiga Sufian. Ada saja yang diusik.

Kami melangkah ke koridor berhampiran pokok kekabu pula, di situ kelihatan kawan-kawan dari luar negeri Terengganu berkumpul. Hujung koridor itu, Azrul dari Pahang sedang menggunting rambut Islah Jengka sementara Fikri Johor sedang menunggu giliran.

Apabila kami masuk kembali ke dalam asrama, kelihatan Lutfi yang dikelilingi kawan-kawan Kemamannya yang leka melihat beliau melukis komik. Memang berbakat Lutfi ni, sampai berjilid-jilid komik yang dilukisnya. Turut ada disitu sebagai pembaca dan pemberi komentar setia, Syukri(Ayie), Daus Ali dan Irwan yang kurus-kurus.

Berjalan melewati katil abang penjaga asrama, kelihatan Abro sedang mendemonstrasikan silat di depan Sulaiman(Leman), Fadhlan(Palang) dan Zuhairi. Sampai ternganga-nganga mereka melihat si Abro berpencak.

Sebelum melangkah keluar, kami berhenti di katil kedua sebelum menjengah pintu masuk. Di situ, Faizul Sungai Buaya sedang memujuk kawannya Khairi yang menangis teringat keluarga. Rapat betul dua orang ni bersahabat. Khairi katil bawah, Faizul katil atas.

Mencari Peluang

Setelah minda dan fikiran saya terbang sejauh 10 tahun dulu, kini saya dan Khasie mencari peluang kalau-kalau ada masa untuk kami semua yang berbagai-bagai ragam ini dapat duduk sekali sambil bertukar-tukar cerita. Melihat gambar-gambar yang lalu sambil bergelak tawa kembali seperti 10 tahun dulu.

Saya betul-betul mengidam mahu melihat wajah-wajah dulu yang tidak sempat saya berkawan dengan semua mereka dan kalau boleh setiap orang yang saya jumpa, saya mahu katakan bahawa kita beruntung bersekolah di Ma'had Darul Quran. Sekolah yang unik dan hebat.

Saya fikir, untuk permulaan ini, biarlah Facebook menjadi medan kita berkumpul semula. Andai diberi peluang, kita akan berjumpa secara realiti bukan lagi di alam maya. Pertemuan yang boleh bertepuk tampar tentunya.

Sesiapa saja yang membaca tulisan ini dan mengenali kawan-kawan saya dari MDQ dari tahun 1999 hingga 2005 agar memanjangkan kepada mereka bahawa kami X-MDQ tahun 1999 hingga 2005 sedang berkumpul di Facebook.

P/s: Kenangan silam memang indah kerana kita tidak lagi berupaya untuk kembali ke zaman tersebut

2 comments:

  1. cantek pye cerite...tringat plok aku zaman dlu2...gambor ade skit2 ngn aku tp aku dop scan lg..klu aku scan aku try arr update,,

    ReplyDelete
  2. Cantek r bos.. hehe.. Tengah kumpul skit2 ni.. Kalu ade rezeki bleh wat kumpul awok2, bleh r kelih mula mane2 gambo hok ade tu.. hehe

    ReplyDelete

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.