Followers

6.24.2010

Sona'a...

Assalamualaikum w.b.t.

Berminggu-minggu blog saya sepi tanpa sebarang perkembangan, jika dibilang perkataan minggu di ayat sebelum ini, bererti ada 3 minggu yang diulang (sekarang empat) yang membawa maksud bahawa saya sudah tidak menulis hampir 4 minggu. Kesibukan menguruskan segala kelengkapan ke Yaman menyebabkan entri ini terpaksa ditulis di dalam sebuah CC usang di Yaman. (selepas ini saya berikrar untuk menulis dulu di rumah sebelum menerbitkan tulisan di CC kerana butang keyboard yang banyak tertanggal~ huh)

Alhamdulillah setelah berjam-jam saya dan sahabat-sahabat terbang dari KLIA ke Yaman, kami disambut meriah sahabat-sahabat kami di sini yang menunggu kami sejam lebih awal bahkan mungkin lebih dari sejam. Dari Airport Sona'a kami dibawa (macam kene tahan je ayat ni) ke Rumah Persatuan Malaysia Yaman. Alhamdulillah kami sampai dan mula menghirup udara kering Sona'a pada jam 11 malam waktu Yaman (4 pagi Malaysia).

Mungkin kerana keterujaan sahabat-sahabat kami yang sudah lama merindukan kedatangan kami di sini (chewah), tanpa dapat ditahan-tahan mereka beria-ia mahu membelanja kami 'aseer ataupun jus buah-buahan di sebuah kedai berhampiran Rumah PERMAYA. Kami pula tanpa dapat dielak-elak terus menerima pelawaan mereka tanpa berbolak-balik dan hasilnya 'aseer manju(mango) yang pertama kami hirup benar-benar hebat dan lazat rasanya. Lebih-lebih lagi ianya percuma. Terima kasih kepada mereka yang berhabis duit membayar titik peluh kami menghabiskan segelas 'aseer yang penuh dengan kenikmatan itu.

Keesokannya kami terus dibawa ke rumah. Untung juga punya kawan yang baik, urusan rumah semuanya sudah diuruskan. Jadi tidak perlu lama menumpang di rumah PERMAYA, jika tidak ianya mungkin menyukarkan urusan kerja dan pejabat mereka sepanjang kami berada di sana.

Saya rasa eloklah tulisan ini disambung ke episod yang seterusnya kerana azan maghrib sudah berkumandang dan tidak manis jika sekira pemuda yang manis seperti saya ini masih terkial-kial menekan keyboard untuk menghabiskan cerita di sini. Lalu bersambung... Episod yang kedua.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.