Followers

4.11.2010

Tak Tahu Bersosial ?

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada seorang adik, bukan maksud saya hanya seorang adik, ada dua orang sebenarnya tapi yang saya ingin ceritakan ini bukan kuantiti orangnya tetapi sikapnya, jadi sikap seorang adik saya ini adalah merasakan dirinya terlalu rendah dalam erti kata lain, rendah diri walaupun hakikatnya beliau lebih tinggi sedikit dari saya kalau saya berambut pendek dan tidak memakai selipar.

Disebabkan itu, beliau banyak bertanya dan mahu tahu sesuatu yang sepatutnya tidak perlu sangat untuk diketahui sekarang bahkan lebih berkesan jika beliau melaluinya melalui pengalaman sendiri kerana berjalan melalui pengalaman orang lain akan mudah lupa berbanding pengalaman sendiri. Let's yourlife walk itself brother.

Sering beliau bangkitkan adalah soal bersosial. Baginya, beliau seorang yang tidak pandai bersosial, terlalu pemalu dan agak kerap juga mengagumi abang-abangnya terutamanya Hisyamuddin yang padanya berjaya dari sudut kesosialan dan kemasyarakatan. Kerana itu perasaan rendah dirinya mula meningkat ke level seterusnya kerana membandingkan dirinya dengan abangnya yang sudah mempunyai tiga orang anak. Hmm, masalah jugak tu. Tapi saya merasakan perkara ini akan kembali normal bila sudah sampai waktunya.

Baik, setelah agak panjang bermuqoddimah dengan cerita ahli keluarga, saya mahu juga menulis tentang bersosial atau bermasyarakat. Pada tamrin nuqoba' di KUDQI kira-kira tiga minggu lepas, ada persoalan yang dibangkitkan sewaktu pembentangan perancangan usrah setiap kumpulan iaitu berkenaan bagaimana mahu menangani masalah mulut bisu dengan masyarakat sekeliling yang menyebabkan timbul cakap-cakap mengatakan "KUDQI tak macam dulu daah..." dan sebagainya.

Memang saya akui, sejak saya belajar di sana lagi, sudah ada cakap-cakap demikian dan ianya makin kerap diulang sejak saya jadi pemerhati mungkin penyibuk dari luar ini. Faktor pelajar tidak ramai mungkin menjadi faktor yang terbesar di sebelah muslimin tetapi tidak disebelah muslimat namun ada faktor yang jauh lebih besar dari itu. Egois dan cepat terasa. Ya, saya meletakkan egois dan cepat terasa di tempat yang tertinggi sebagai punca permasalahan ini. Jangan bimbang, egois ini bukan hanya di sini dan tidak pada semua orang namun ianya menjadi seolah-olah satu sikap yang mesti ada pada setiap orang muda yang ada sekarang. Sikap tidak boleh tegur tidak boleh larang.

Kedua apa yang saya perhatikan, bi'ah membentuk peribadi yang penuh dengan suu' zhon juga menyumbang kepada keruntuhan perhubungan sosial antara pelajar dan masyarakat sekeliling. Terlalu mengambil kira dan terlampau tidak hirau juga menjadi sebab kepada perasaan suu zhon yang menyebabkan keluar perkataan seperti "huh.. Orang kampung ni kalau time dia nak mintak tolong kita baru dia buat baik, kalau tak duk kutuk laa memanjang" dan ada juga yang terlampau tidak hirau sehingga baginya, hidupnya adalah miliknya, "biarkan aku hidup dalam duniaku, aku sudah tak hiraukan lagi apa orang nak cakap". Kedua-dua ini menjadi masalah bukan baru bermula pada tahun ini tapi sudahpun bermula dari awal kemasukan saya ke KUDQI cuma sedikit ketara (jangan terjemah dengan kullu tetapi baca dengan jamii') sejak dua menjak ini.

Pada akhir program nuqoba' itu juga, selesai sembahyang maghrib di musolla, saya duduk dan bertegur sapa dengan Pak Imam suami mak cik Zah kedai makan, dari tegur sapa menjadi perbualan dan dari bicara berdua menjadi bertiga dengan datangnya seorang lagi pak cik yang seingat saya, tiga tahun di KUDQI tidak pernah beliau berbual dengan saya, alih-alih malam itu keluar pelbagai cerita.

Antara yang menarik adalah berkenaan dengan putera Ustaz Harun yang banyak mengambil alih tugas ayahnya yang sakit sejak kebelakangan ini dan menurut pak cik itu, payah nak mencari orang muda yang setiap kali lepas sembahyang, beliau pasti akan cuba menyalami setiap orang di dalam musolla. Ya, bersalam dan kadang-kadang bertanya sihat atau tidak.

Saya berfikir, kalau bersalam dan bertanya khabar saja sudah boleh membuatkan pakcik-pakcik otai ini senang hati, kenapa perlu kita bersusah payah untuk menganjurkan program kemasyarakatan yang jelas dengan kewangan yang terhad ianya bukan program yang sesuai untuk dianjurkan buat masa ini. Apa kata kalau aulakan kehadiran ke musolla dan memesrai orang-orang kampung lebih dari menganjurkan gotong royong contohnya yang kadang-kadang kehadirannya tidak lebih dari hadirin yang hadir ke musolla. Sila faham, bukan memansuhkan gotong royong dan program seumpamanya tetapi jadikan ziarah 5 kali sehari ke musolla sebagai asas dan program-program kemasyarakatan sebagai penambah perisa kepada ziarah 5 kali sehari itu.

Saya kalau mahu mencari menantu juga mahukan yang kaki surau, yang sentiasa solat jemaah dan lebih-lebih lagilah berkenan jika orang itu adalah yang aktif bermasyarakat. Tetapi jika aktif bermasyarakat dan tidak pula hadir ke surau melainkan 2 kali setahun (Aidil Fitri dan Aidil Adha) maka tentu sekali hati saya tidak senang untuk memberikan anak saya kepadanya. Ini contoh sahaja.

Seterusnya, selaku pemuda yang ada ilmu bahkan sentiasa menuntut ilmu tiap-tiap hari, maka untuk menguruskan jiwa yang ego dan pantang ditegur rasanya lebih mudah. Kita belajar tentang tawadhu', ikhlas, menghormati orang tua, senyum itu sedekah, melazimi salam, mengambil berat dan bermacam-macam akhlak islam lain sudah pastilah ianya menjadi penguat kepada kita saat mendepani karenah orang kampung yang berbagai-bagai.

Usahakan untuk mencuba cara yang saya analisis ini selama sebulan dan lihat kesannya kepada penerimaan masyarakat setempat kepada kita. Jika anda membaca artikel ini, tolong sebarkan cabaran saya ini kepada sahabat-sahabat untuk dilaksanakan dalam tempoh sebulan iaitu :

-Lazimi ziarah 5 waktu ke musolla
-Bersalam dengan semua pak cik mak cik di musolla
- Memberi salam ketika bertemu
- Bertanya khabar jika sempat
- Turun membantu jika ada majlis masyarakat

Selebihnya ialah pengurusan kendiri, sabar mendengar cemuhan, husnu zhon saat kita di suu zhon, buang sikap anak-anak yang cepat merajuk dan sebagainya. Muslim yang baik adalah muslim yang memberi manfaat kepada muslim yang lain.

...الصبر ضياء
Sabar itu umpama cahaya matahari...

Cahaya memberi faedah kepada manusia dan sumber cahaya itu datangnya bukan dari bakaran yang bukan sembarangan, diri perlu kuat dan jiwa juga begitu. Semoga kekal dalam menerangi mad'u. Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.