Followers

9.15.2010

Lima Kali Alhamdulillah

Acara raya meraya kembali kepada asal. Manusia kembali kepada rutin asal mereka. Bagi yang bekerja, terus bekerja. Bagi yang suka makan, terus dapat makan di siang hari dan bagi yang sibuk menyelesaikan urusan masuk Jamiah, tekun dengan urusan mereka. Termasuk diri ini

Walaupun saya beraya di negara yang Aidil Adhanya lebih meriah dari Aidil Fitri, namun aktiviti ziarah menziarahi tetap berjalan seperti tahun yang sudah-sudah. Bezanya kali ini ziarah saya lebih kerap pergi ke rumah orang Arab berbanding orang Melayu dengan nisbah 2;1. Sungguh bersungguh sahabat Arab mengajak saya ke rumah mereka. Sebagai insan yang punya jadual dan sistem makan yang tidak menentu, maka tidak manis jika saya menolak. Mungkin kadangkala akan menyebabkan perut saya memberontak.

Alhamdulillah, setakat kenalan Arab yang saya kenali, rata-rata mereka tidak punya masalah sahsiah, disiplin mahupun akhlak. Ya, saya akui kadang-kadang mereka ini kurang ajar bila bergurau. Pukul-pukul kepala tu biasa walaupun bagi kita orang Melayu yang berdarah pendekar merupakan satu perbuatan yang boleh membabitkan maruah, mutu dan keunggulan seseorang. Saya tak kisah kerana saya menghormati budaya mereka. Jika mereka memukul kepala saya, saya pun memukul kepala mereka. Bukan hal yang besar sangat. Apatah lagi saya bukan keturunan pendekar.

Alhamdulillah buat kali kedua kerana dalam 20 hari ini, yakni bermula pada malam 20 Ramadhan lalu, saya merasakan bahawa bahasa arab saya menunjukkan sedikit perkembangan. Hasil dari pergaulan dengan Arab secara kerap dan konsisten mungkin. Sedikit sebanyak, cakap laju-laju mereka mula difahami. Tak adalah mulut saya ternganga saja jika mendengar mereka bercakap.

Alhamdulillah buat kali ketiga kerana ditakdirkan olehNya, saya beriktikaf di kalangan orang-orang yang sebaya dan yang cukup menghormati tamu. Rasa macam dianak-emaskan pula. Bahkan sewaktu iktikaf, ramai pula yang mahu menjadi bodyguard dan bonzer tanpa gaji kepada kami mu'takifin dari Malaysia. Mungkinkah kami kelihatan lebih jambu dan muda dari mereka walaupun umur kami sebaya hingga mereka melihat kami sebagai insan yang perlu dilindungi. Hmm, mungkin. Saya masih memikirkan hal itu.

Alhamdulillah untuk kali keempat kerana mengurniakan nikmat bercakap dengan dua insan yang paling saya sayangi atas sebab mereka menyayangi saya terlebih dahulu. Mereka adalah emak dan ayah saya. Berjauhan juga adalah satu nikmat dari Allah. Hasil dari jauh itulah yang menghasilkan perasaan rindu yang melampau. Jika dekat, adalah mustahil untuk mendapat nikmat itu.

Alhamdulillah jua kali yang kelima kerana melancarkan gerak kerja saya dan sahabat-sahabat yang ditugaskan sebagai persiapan sambutan Hari Raya Permaya 2010. Kata pengarah, mahukan sentuhan dari KUDQI. Maka segala pengalaman menghias dengan tangan yang keras ini, dibuat juga dengan sepenuh jiwa agar tidak menghilangkan seri Hari Raya yang disambut saban tahun itu. Tahniah juga kepada Khasie kerana beliau bertugas hingga migrain kerana memikirkan cara mehu menggubah bunga dari kain. Hasilnya sungguh superb.

P/s: Selamat menghabiskan puasa 6 Syawal. Semoga Allah tidak berhenti melimpahkan berkatnya kepada kita dan semoga cepat sembuh saya ucapkan kepada rakan sebilik yang punya kasut Converse yang sama dengan saya. Sakit itu kifarah dosa. Sabar ye. :)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.