Followers

9.06.2009

Fasa-Fasa Ramadhan

Salam pertengahan Ramadhan. Salam terawih yang kembali suram saf solatnya. Tidak semeriah awal Ramadhan lalu.

Sebulan itu 30 hari. Rasulullah membahagikan Ramadhan itu kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah rahmat, fasa kedua pula keampunan dan fasa terakhir adalah perlepasan dari api neraka. Secara mudahnya 10 hari pertama adalah untuk rahmat, 10 hari kedua untuk keampunan dan 10 hari ketiga adalah jaminan pelepasan dari api neraka.

Ramadhan dikurniakan kepada umat Muhammad dengan kelebihan-kelebihan tertentu. Antara yang terdapat dalam bulan ini dan tidak terdapat dalam era orang-orang terdahulu adalah Lailatul Qadar. Ulama berpendapat bahawa malam istimewa ini berada di celahan malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Wallahua'lam. Namun sekali mendapatnya, pasti tergolong dari kalangan jutawan ibadah. Semalam beribadah nilainya dengan seribu bulan bersamaan 83 tahun. Cukup bernilai hadiah yang dikurniakan Allah kepada umat Muhammad.

Ramadhan juga menyimpan beberapa peristiwa besar Islam iaitu penurunan al-Quran, dari Luh Mahfuuz ke langit dunia secara sekaligus sebelum di kecil-kecilkan penurunannya ke dalam hati Rasulullah mengikut suasana samada berupa jawapan kepada soalan masyarakat dan juga menjadi asbab untuk lebih senang mengingati al-Quran itu sendiri.

Tiga fasa yang disebutkan tadi, walaupun mudah dan senang saja bunyinya, namun untuk melepasinya dengan cemerlang, agak sukar kecuali bagi orang yang punya keazaman yang kuat dan istiqamah yang tinggi. Untuk itu, mintalah bantuan dari Allah, kerana tanpa bantuan dariNya, mustahil untuk kita mencapai target kejayaan Ramadhan kali ini.

Renungan akhir, berapa umur kita semua? Sudah berapa kali Ramadhan melepasi kita dan sejauh mana ianya memberikan kesan kepada kita? Jawapan saya, jika dinisbahkan kepada 100% perubahan dari 21 Ramadhan yang telah saya lalui, mungkin tidak sampai pun 20% dari perubahan yang diharapkan. AstaghfiruLlah..

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.