Followers

12.14.2009

Kelibat Si Pejuang



"Ke hulu ke hilir, ke sana ke mari, dia tak penat ke? Kalau aku, ish, tak pergi laa kalau dipanggil kuliah jauh-jauh gitu. Bayang r, rumah kat hulu ni gi kuliah di Pinang Merah kat Dungun tu," Kata seorang sahabat.

"...Pastu kene drive agi balik rumah, tu tak masuk agi kalau ada mesyuarat kat mana-mana tu. Usrah agi, program tak henti-henti.." Tambah seorang sahabat lagi.

" Orang berjuang ni macam tu r, rehat sekejap-sekejap, tanggungjawab melebihi masa yang ada, bak kata Al-Banna" Kata seorang lagi membuat kesimpulan.

Begitulah cerita berkenaan seorang Murabbi yang mengajar saya subjek tafsir sewaktu di KUDQI dulu. Sepanjang 11 hari saya menetap di kampung Basung, sedikit sebanyak perihal ustaz Kamaruzzaman Abdullah dapat saya singkap, bagaimana cara hidupnya, bagaimana kegiatan ilmunya, bagaimana cita-citanya, kebanyakannya beliau luahkan sewaktu dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk ke kuliah maghrib di kampung Nibong dan ke majlis Usrah di Padang Air.

Kampung Basung merupakan antara kampung yang paling hampir dengan Kenyir dan untuk melalui jalan alternatif ke Gua Musang, kampung ini adalah antara yang wajib di lalui. Populasi penduduknya yang kurang padat dan masih banyak lagi kemodenan belum menerjah masuk ke kawasan ini. Yang ada hanyalah keperluan seperti elektrik, telefon dan lain-lain. Pendek kata, pendedahan terhadap perkara agama atau kejahatan moden masih belum meluas. Cumanya, masalah kejahilan penduduk terhadap agama boleh dikira sebagai satu barah dan usaha untuk memberikan penawar sedang giat dijalankan oleh seorang pemuda bernama Kamaruzzaman Abdullah dan sahabat-sahabatnya.

Dahulu, kenyataan-kenyataan syirik seperti kalau tiada pemimpin ini, parti ini, kami tak boleh nak hidup pun. Kerana parti ini, pemimpin inilah kami dapat makan masih lagi dimelodikan oleh penduduk kampung di sini, tetapi setelah dihidangkan dengan hidangan kuliah pagi jumaat oleh Ustaz Kamaruzzaman, kenyataan-kenyataan seperti itu kian lenyap dari bibir mulut penduduk tempatan.

Kerana kesibukan beliau, surau Madrasah al-Ansar yang menjadi nadi Ilmu dan Dakwah bagi penduduk kampung Basung tidak dapat dipenuhi setiap hari, seminggu hanya 2 kali sahaja kuliah dijalankan, bahkan kata beliau, sedih juga melihat aktiviti-aktiviti keagamaan dan keilmuan di kampung-kampung lain yang pernah memanggil beliau mengisi kuliah-kuliah begitu meriah dengan kehadiran ramai orang tetapi kampung beliau sendiri tidak semeriah itu.

Dengan penubuhan Madrasah al-Ansar yang masih belum siap sepenuhnya lagi, beliau kini gigih mengumpul dana bagi memastikan projek pembinaan ini tidak tergendala. Cita-cita besar beliau untuk melihat satu institusi Ilmu berdiri megah di kampung sendiri bukanlah hangat-hangat tahi ayam. Segala usaha dan kudrat dicurahkan hanya untuk memastikan agar masyarakat sekeliling tidak terpinggir dari agama dan ilmu.

Sewaktu sehari sebelum program penutup Kem Tahfeez dan Tahseen Al-Quran, beliau diserang demam yang agak teruk, memaksa beliau berehat semalaman. Muaz, anaknya yang cukup ramah memberitahu kami, "walid tak boleh bangun, walid demam" sudah cukup membuat saya dan rakan-rakan fasilitator runsing, masakan tidak, bagaimana kami yang masih hingusan mahu menangani kehadiran ibu dan bapa pada keesokan harinya.

Alhamdulillah, sakit orang berjuang tidak lama, keesokan harinya beliau menggagahkan diri memberikan kuliah jumaat yang menjadi rutin setiap minggu. Dalam serak, beliau kuatkan juga suaranya agar bukan hanya orang yang di dalam surau mendapat mutiara yang disampaikan bahkan yang tidak hadir ke majlis ilmu itu pun juga mendapat mutiara-mutiara ilmu yang dicurahkan.

Sebelum menuju ke kampung Nibong untuk memberikan kuliah di sana, sempat juga beliau pergi bertegur sapa dengan orang-orang muda yang masih melepak di atas motosikal di simpang kampung. " Assalamualaikum Tuan..." Katanya bersahaja.. " Sembahyang dulu... Pasni sambung balik" Tambahnya lagi dengan mesra. "Terima kasih Ustaz" jawab salah seorang pemuda yang ada di situ. Mungkin merasa malu sendiri dengan teguran bersahaja Ustaz.

Kata beliau, "budak-budak muda tak boleh kasar-kasar. Tegur-tegur gitu je, nanti dia malu sendiri je la.. Kalau tegur kasar, kita pulak yang kene dengan puak-puak ni."

Jauh di sudut hati saya, rasa kagum dengan usaha gigih ustaz Kamaruzzaman Abdullah dalam usahanya untuk membentuk masyarakat dan pengorbanan yang dilakukannya tanpa mengeluh. Banyak perkara yang perlu ditinggalkannya untuk perjuangan. JazaakaLlahu Khairal Jazaa' ya Syeikhi.. Allahumma thabbit qulubana ala diinika wa ala thoatik....

P/S: Jika anda kenal orang yang mahu memberikan sumbangan untuk melancarkan proses menyiapkan madrasah membina ummah (Madrasah al-Ansar), sila hubungi beliau di talian :019-981 6357.

Semoga usaha kita yang ini dipandang oleh Allah S.W.T.. Ingatlah, selagi bangunan madrasah itu berdiri dan masih digunakan dan selagi pelajar itu mengamalkan pelajaran yang dipelajari di sana, selagi itulah pahalanya mengalir kepada anda.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.