Followers

5.30.2009

Sehampeh-hampeh Rumah! (I'jaaz Ilmi-siri 1)

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. dan Sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka Mengetahui.

Dalam muhadharah (kelas) Tafsir Maudhu'ie oleh ustaz Nik Mohd Noor Khamis lalu, beliau membawakan satu artikel tentang I'jaz berkenaan ayat di atas. Katanya, artikel ini ditulis oleh sahabatnya sewaktu beliau berada di Yaman dulu. Sesiapa yang berminat untuk membaca versi asal berbahasa arab, boleh klik di sini.



Auhanal Buyut

(أوهن) menurut pengertian bahasa adalah bermaksud lemah. Makna ini tiada khilaf lagi di kalangan ulama'. Maka boleh ia dikatakan lemah dari semua sudut samada, infrastukturnya, keselamatannya, ketahanannya dan sebagainya. Kata al-Farahidiey, al-wahnu juga bermaksud lemah dari sudut kerja dan lemah dari sudut jasmani. Beginilah yang dimaksudkan dengan al-wahn.

Dalam ayat ini disebut rumah atau habitat labah-labah. Lalu, ia menyebabkan kita berfikir kenapa disebut rumah tidak disebut benang atau jalinan sarang itu sendiri? Dari penemuan sains, labah-labah mempunyai benang yang dihasilkan dari tubuhnya sendiri dan ianya sememangnya satu mekanisma yang sangat-sangat kuat sehingga dapat menampung berat badannya yang berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus kali ganda saiz benang itu. Sifirnya secara mudah, umpama kita berpaut pada tali jenis rafia pada keberatan 50Kg. Tali itu akan putus, tetapi benang labah-labah tidak.

Nisbah sehelai benang yang dibuat oleh labah-labah yang biasanya bersarang di rumah kita adalah 1 per 4000 sehelai rambut. Ini bermakna kita memerlukan 4000 helai benang itu untuk menyamai skala ukur lilit sehelai rambut!

Namun, dengan bahan sekuat itu, labah-labah tetap dikelaskan oleh Allah sebagai binatang yang mempunyai habitat yang paling kopeh bak kata orang Terengganu. Mana tidaknya, sarang labah-labah boleh sahaja dihancurkan oleh angin, tidak dapat menahan air dan berbagai jenis serangan alamiah yang lain. Kerana itu Allah menggunakan perkataan rumah dan tidak benang kerana labah-labah bersifat menggunakan benda yang kuat untuk menghasilkan sesuatu yang bersifat lemah. Itulah Auhanal buyut.

Tafsiran Mufassirin

Jika kita membaca ayat ini, mungkin secara dasarnya kita telah mengetahui apakah yang dikehendaki di sini. Allah membandingkan kebergantungan kita, manusia kepada sesuatu yang selainnya adalah sesuatu yang bersikap dangkal. Ianya umpama berlindung dengan sesuatu yang tidak dapat memberi perlindungan. Maha Hebat Allah yang membuat perbandingan dengan jelas sehingga kita tidak terkial-kial mencari apakah yang dikehendakiNya pada ayat itu.


Dr. Wahbah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah

Dalam Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaily yang dianugerahkan tokoh Maal Hijrah Kebangsaan oleh kerajaan Malaysia awal tahun hijrah lalu berkata : Maksud ayat ini adalah berkenaan sikap golongan Musyrikin yang mengambil berhala sebagai tuhan mereka dan mereka mengharapkan pertolongan, jaminan rezeki, mendapat manfaat dan meneguhkan kepercayaan mereka ketika dilanda kesusahan adalah umpama labah-labah yang menggunakan sarangnya dari serangan sejuk, panas, kering dan basah sedangkan ia tidak memperoleh manfaat langsung dari sarangnya itu. Apabila angin bertiup, sarangnya itu pasti akan rosak tanpa jaminan ianya kekal bertahan. Sila rujuk jilid 20, mukasurat 244.

Begitulah sifat orang-orang yang syirik kepada Allah yang tiada jaminan bahawa mereka akan mendapat faedah daripada benda yang mereka agung-agungkan, tidak akan mendapat guarantee untuk melindungi mereka dari bencana. Maka perbuatan mereka itu adalah satu perkara yang sia-sia.

Sebagai tambahan, buka minda kita agar apabila kita menyebut berhala ini, kita tidak memandang kepada batu, kayu dan patung sahaja bahkan ianya juga termasuk orang yang kita serahkan kebimbangan dan masa depan kita kepada mereka seperti parti pemerintah, ketua-ketua jabatan, menteri-menteri yang boleh menukar mereka yang mengajar J-Qaf sesuka hati serta mereka-mereka yang mempunyai kuasa. Mereka tidak mengiktiraf diri mereka sebagai berhala sebagaimana patung-patung batu yang diam tatkala disembah akan tetapi kitalah yang menjadikan mereka berhala kerana takutkan kuasa mereka. Sila ambil perhatian.

Tafsiran Hasilan Sains

Allah menyuruh makhlukNya supaya menjadi orang yang berfikir dan mudah-mudahan dengan kecenderungan kita berfikir mengenai alam ini, Allah akan meneguhkan iktikad kita serta menambah keimanan kita dalam meyakini kekuasaanNya.

Dulu, ahli-ahli tafsir masih belum terdedah dengan kajian-kajian secara sains, ianya mula berkembang hanya beberapa abad ini. Saya merasakan, jika ulama'-ulama' dahulu hidup di zaman kita ini, nescaya dunia Islam pasti lebih jauh mendahului kemajuan yang didahului barat zaman sekarang.

Dalam tidak terdedah dengan kajian mendalam tentang sains pun, mereka telah berjaya membuat kesimpulan berdasarkan tawakkal dan ilmu mereka dan banyak teori-teori yang dikeluarkan oleh mereka bertepatan dengan natijah sains yang ditemui pada hari ini.

Oleh itu, dalam menafsirkan ayat ini secara saintifik, biarlah natijahnya ini tidak menenggelamkan kesungguhan mufassirin dahulu apatah lagi untuk mengatakan ketidakmampuan mereka dalam memberikan tafsiran yang lebih luas dari yang ada sekarang. Tujuannya adalah satu, iaitu agar kita sentiasa membumikan tapak kita berdiri dan tidak menerawang terbang dalam khayal mengagumi penemuan kita dari segi sains. Biarlah natijah ini menjadi penyeri dan nilai tambah untuk lebih memahami al-Quran.

Sifat Labah-Labah

Labah-labah adalah haiwan yang menyediakan habitatnya dari bahan-bahan yang diambil dari badannya sendiri. Benang yang dikeluarkan badannya merupakan satu bahan mampat yang sangat kuat. Andainya ada seekor labah-labah yang besar dan mampu mengeluarkan benang yang mempunyai ukur lilit sebesar 1 inci, maka kekuatannya jika dibandingkan dengan kabel besi adalah melebihi sebanyak 20 kali ganda. Tiada masalah untuk mengangkat sebuah pesawat Jumbo.


Pesawat Jumbo

Benang yang dikeluarkan oleh labah-labah juga bersifat elastik dan fleksibel. Benang labah-labah yang panjangnya satu inci boleh ditarik hingga mencapai kepanjangan 5 inci sebelum ianya putus. Maka ini adalah satu mekanisme yang kuat untuk dibuat sebagai tempat perlindungan. Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Labah-Labah Betina Yang Memanipulasi

كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً
Jika diperhatikan disini, Allah telah memberitahu kita bahawa kuasa labah-labah betina adalah melebihi kekuasaan si jantan. Ianya dapat dikesan dengan penggunaan ganti nama untuk perempuan iaitu pada اتَّخَذَتْ dan tidak digunakan ganti nama lelaki.

Lalu ianya dikuatkan lagi melalui kajian sains bahawa kontraktor yang membuat sarang labah-labah semuanya adalah yang berjantina betina. Labah-labah jantan tidak mempunyai autoriti untuk membuat rumah. Bahkan tugasnya tidak lebih dari penyumbang benih untuk meneruskan zuriat. Selepas itu ia akan dimakan oleh si betina. Labah-labah yang berkecenderungan melakukan perkara itu adalah dari jenis Black Widow dari Afrika.


Black Widow
Si jantan tidak punya peranan yang besar melainkan membantu dalam proses pengembangan zuriat sahaja. Kerana itu, labah-labah jantan hanya menumpang sahaja di sarang betina dan berkemungkinan besar akan menjadi santapan kepada labah-labah betina. Begitulah keadaannya sehingga bila-bila pun. Kebiasaannya, labah-labah jantan adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan yang betina.

Selepas melahirkan anak, ibu labah-labah ini kadang-kadang memakan anaknya sendiri jika tiada makanan lain. Begitu juga dengan anak-anak ini yang gemar memakan sesama sendiri jika ibunya tidak memperolehi makanan. Kebiasaannya, ia berlaku ketika labah-labah ini masih lagi tinggal di dalam kantung yang dibuat untuknya dan mereka tinggal secara beramai-ramai.

Saya tidaklah mempunyai autoriti untuk membuat penelitian yang lebih dalam perkara ini. Hanya sekadar melalui proses bacaan dan melihat dokumentari yang telah dibuat orang. Hanya penelitian asas sahaja. Jadi untuk mengelaskan spesis mana yang berperangai begitu, saya memang tidak layak, noktah.

I'jaznya Adalah..

Jika dulu, ulama mufassirin menafsirkan bahawa perumpaan ini adalah untuk mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Tapi sains hari ini, menjadikan ayat tersebut lebih luas maknanya dengan menjadikan sifat labah-labah itu sendiri dan bagaimana ianya berkait dengan kehidupan manusia akibat dari membelakangkan Tuhan Yang Maha Esa.

Allah bukan sahaja menumpukan kepada aspek pembinaan dan kelemahan sarang semata-mata. Bahkan ianya juga turut mengenengahkan gaya hidup labah-labah itu sendiri. Baik, saya membuat natijah mudah :

Labah-labah betina membuat sarang = Wanita yang menguasai kehidupan

Labah-labah jantan menumpang dan menjadi teman ketika mengawan sahaja = Lelaki berkelakuan dayus dan malas serta tiada lagi keizzahan sebagai ketua keluarga.

Ibu labah-labah memakan anak-anaknya dan anak-anaknya memakan sesama sendiri = berlaku kekecamukan dalam institusi kekeluargaan. Tiada lagi kepercayaan sesama keluarga.

Kesemua perbandingan di atas adalah hasil dari keengganan manusia menerima Allah sebagai tuhan. Keengganan mereka itu tidak semesti dizahirkan bahawa mereka ada tuhan lain selain Allah, akan tetapi cukup dengan mereka tidak meyakini kuasa Allah dan mereka berharap dengan makhluk.



Solat ditinggalkan kerana Tv, maka berhala kita adalah TV.
Zakat tidak dibayar kerana ekonomi tak stabil, maka berhala kita adalah ekonomi.
Hudud tidak dilaksana kerana bimbang tiada kemajuan, maka berhala kita adalah kemajuan.
Ikhtilat tidak dijaga kerana sayangkan kekasih, maka berhala kita adalah kekasih kita sendiri.

Jika semua ini berlaku, maka institusi kekeluargaan kita pasti akan berantakan dan tidak tenteram. Jika ini semua berlaku, nescaya tiada lagi kasih sayang suami isteri. Jika ini semua berlaku, maka akan hilanglah kekuatan lelaki untuk memimpin keluarga. Oleh itu, marilah kita berserah diri kepada Allah dan bersama-sama mengamalkan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarangnya. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mengambil iktibar.

5.27.2009

Mau'idzah - Siri 1

Sifat Neraka Dan Penghuninya


Sekadar Gambar Hiasan

Saya membaca satu buku berkenaan dengan dosa-dosa, azab neraka dan sifat-sifat penghuninya. Saya merasakan agak rugi jika tidak dikongsikan dengan sahabat-sahabat sekalian. Semoga dengan perkongsian ini, kita sama-sama berusaha untuk menjauhi perkara-perkara yang mungkar dan sama-sama mengamalkan perkara yang ma'ruf.

1. Neraka telah mengadu kepada Allah. Katanya : “Wahai Tuhanku, sebahagian dari kami memakan antara satu sama lain. Lalu Allah mengizinkan kepada neraka supaya menjadi dua bahagian. Salah satunya musim sejuk dan salah satunya musim panas. Ia adalah lebih panas dari kepanasan di atas dunia dan lebih sejuk dari kesejukan di atas dunia.

2. Seketul batu yang besar telah terjatuh dari tebing neraka Jahannam. Ia jatuh selama tujuh puluh tahun tetapi belum sampai ke dasarnya.

3. Penghuni neraka akan menangis sehinggakan jika diletakkan kapal di dalam air mata mereka nescaya kapal itu akan belayar. Mereka menangis hingga mengeluarkan darah.
Jika secebis Zaqqum (sejenis makanan dari neraka yang berbau busuk) jatuh ke dunia, nescaya binasalah seluruh penghuni dunia. Bagaimana kiranya orang yang menjadikannya sebagai makanan.

4. Api di atas dunia adalah dalam skala satu pertujuh puluh api neraka Jahannam. Ia melebihi api dunia sebanyak 69 kali dengan kepanasan yang sama bagi setiap tahap.

5. Seringan-ringan siksaan bagi ahli neraka ialah dipakaikan kepadanya sepasang kasut dari api neraka. Otaknya menggelegak kerana kepanasan kasut tersebut.

6. Ahli neraka akan dibesarkan sehingga dikatakan gigi ahli neraka sahaja akan menjadi sebesar bukit Uhud, tebal kulitnya pula adalah 42 hasta dan apabila ia duduk, keluasannya adalah seumpama antara Madinah dan Makkah.

7. Neraka adalah daerah yang penghuninya akan menyesal dengan sesungguhnya, sentiasa terdengar tangisan, rengekan, rintihan dan kesakitan. Mereka sentiasa memohon untuk dimatikan.

8. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Usamah bin Yazid, katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Pada hari kiamat seorang lelaki dihumbankan ke dalam api neraka, lalu isi perutnya terpancul keluar. Ia kemudiannya berpusing seperti keldai. Para penghuni neraka mengelilinginya."

Mereka berkata :"apakah yang telah terjadi kepada kamu? Bukankah kamu telah menyuruh perkara baik dan melarang dari melakukan perkara yang mungkar?"

Jawabnya : “Memang benar, aku telah menyuruh manusia melakukan kebaikan tetapi aku tidak melakukannya dan aku telah melarang manusia melakukan kemungkaran tetapi aku melakukannya." (Bukhari dan Muslim)


Betulkah Tiada Persefahaman?



Pada dua minggu yang lepas, saya mengikuti satu lawatan ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu. Sempat juga mengikuti kes-kes yang dibicarakan pada hari tersebut. Apa yang membimbangkan saya, kadar perceraian di Terengganu menunjukkan peningkatan yang agak pesat.

Perkara ini disebut oleh hakim yang bertugas pada hari itu. Bayangkan, saya hanya duduk sekitar setengah jam atau lebih sedikit, enam kes permohonan cerai didengar. Bahkan saya merasakan, mungkin lebih dari itu kerana saya memasuki dewan perbicaraan agak lewat dari masa ia bermula.



Kebanyakan dari pemohon cerai ini mengatakan bahawa tiada lagi persefahaman. Apa yang menyedihkan, ada dua pasangan yang agak berusia juga memfailkan permohonan cerai. Saya kira mereka berumur sekitar 40-50an. Mungkin setakat itu sahaja pertemuan mereka.

Selebihnya adalah mereka yang berumur sekitar 20-30an. Salah satu pasangan itu ketika ditanya hakim berapa lama berkasih sebelum kahwin? Si isteri menjawab, dalam enam bulan. Si suami pula mengiyakan. Saya sedih bercampur takut dengan kes-kes yang saya dengar. Sedih kerana alasan yang diberi adalah tiada persefahaman dan takut kerana saya bimbang saya juga turut sukar mendapatkan persefahaman dengan isteri kelak.

Dalam rumahtangga, sewajarnya kita mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam mengetuai isteri-isterinya dan mendidik mereka serta menunjukkan sikap adil dalam memberikan kasih sayang kepada Ummahatil Mukminin itu.

Khadijah

Rasulullah bertemu jodoh pertama dengan seorang hartawan Quraisy iaitu Khadijah. Melalui Khadijah inilah Nabi mendapat enam zuriat kecuali Ibrahim yang dilahirkan oleh Mariah al-Qibtiyyah. Khadijah menjadi motivasi kepada Rasulullah dalam menghadapi liku-liku perjuangan. Mungkin kerana usianya lebih tua dari Nabi, maka Khadijah menjadi tempat mengadu Rasulullah dan seringkali Berjaya meneutralkan kembali perasaan Nabi saat berkecamuk dengan beribu macam ancaman musyrikin Makkah.

Nabi dan Isteri-Isterinya Di Madinah

Ketika mendiami Madinah, Nabi mempunyai lebih kurang tujuh orang isteri. Pada saat inilah, toleransi dan kebijaksanaan Rasulullah menjadi penyelamat kepada keretakan rumahtangga. Pernah suatu ketika, isteri-isteri Nabi s.a.w berjumpa baginda untuk menanyakan, siapakah yang paling Rasulullah sayang. Nabi menyuruh mereka semua pulang dan akan memberikan jawapan dalam masa yang akan datang.

Rasulullah kemudiannya berjumpa dengan isteri-isterinya selepas itu secara berseorangan. Lalu Nabi menghadiahkan setiap isterinya itu sebentuk cincin dan meminta kepada isterinya itu agar merahsiakan dari setiap isteri-isteri yang lain.

Lalu pada beberapa hari berikutnya, Nabi menghimpunkan isterinya dan mengumumkan bahawa isteri yang paling disayanginya adalah yang menerima hadiah berupa sebentuk cincin. Maka masing-masing tersenyum dengan hati yang puas bahawa dialah yang paling disayangi Nabi. Begitulah Nabi kita yang sentiasa adil dalam membuat keputusan dan pintar dalam menyelesaikan masalah.

Pernah juga Rasulullah pulang ke rumah sayyidatina Aa’isyah dalam keadaan tiada sesuatu untuk dimakan pada hari itu. Rasulullah bertanya kepada Aa’isyah : “Wahai Aa’isyah, adakah apa-apa yang boleh aku makan pada hari ini?” . Aa’isyah menjawab : “ Tiada wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah menjawab : Kalau begitu, “aku berpuasa sahaja hari ini”. Lihatlah jawapan yang keluar dari mulut Rasulullah, tiada sungutan yang boleh menimbulkan konflik keluarga. Semoga saya dan anda semua berjaya mencontohi sifat dan sikap Nabi kita dalam segenap aspek kehidupan.

Fazakkir...

Saya sedar, mungkin saya mampu memberikan contoh dan menyuruh orang yang sudah berumahtangga supaya mencontohi Nabi dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan adalah kerana saya masih belum mengetahui bagaimana ujian berbentuk hubungan suami isteri ini datang. Tapi selaku manusia, saya rasa sewajarnya kita saling mengingati. Betulkah kita tiada persefahaman atau kita yang tidak mahu mencari persefahaman. Jangan kita pernah letih mencari titik pertemuan dalam setiap masalah yang timbul dalam hubungan suami isteri. Jangan kita terlalu cepat ingin melafazkan cerai dan memohon cerai. Kerana cerai adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah sebagaimana dalam hadith.



Saya mendoakan kesejahteraan kepada mereka yang telah berumahtangga dan saya doakan agar hubungan kalian akan kekal menuju mardhotiLlah. Semoga kalian akan dijodohkan sekali lagi di syurga Allah kelak. Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu dan bapa saya yang sentiasa berkasih sayang hingga dapat dilimpahkan pula kepada anak-anak. Moga mendapat keredhaan Allah.

5.25.2009

Dua Kepuasan !

Saya merasai dua kepuasan dari program 2 Tamrin baru-baru ini. Pada perkiraan saya, setiap orang yang mengusahakan sesuatu pasti akan merasai kepuasan jika matlamat atau sasaran yang kita usahakan itu dapat dicapai. Saya merasai perasaan tersebut setelah saya menjadi sebahagian dari pelaksana dua tamrin yang diadakan di kampung Basung baru-baru ini.

Saya merupakan pemegang amanah yang menjaga perkara berkaitan dengan disiplin, tatatertib dan tingkahlaku peserta. Saya bersyukur kerana peserta-peserta ini tidak mendatangkan banyak masalah kepada saya. Mudah-mudahan ada hati yang telah disentuh oleh hidayah Allah sepanjang program 3 hari ini. Tiada siapa yang mampu memberikan kemanisan hidayah
melainkan Allah jua.

Teringat firman Allah yang diturunkan keatas NabiNya ketika Rasulullah dirundung kesedihan dengan kematian insan-insan yang disayanginya. Apa yang lebih didukacitakan Rasul adalah kerana baginda tidak sempat mengajak bapa saudaranya, Abu Talib untuk bersama-sama beriman dengan Tuhan Yang Esa. Firman Allah :

{ ........إِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِى مَنْ يَشَاء}
Sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang engkau sayang. Sesungguhnya Allah jualah yang mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Saya kira program ini boleh dikatakan berjaya dari sudut membangkitkan kemanisan iman dengan berukhwah. Proses mengerat dan mengikat ukhuwwah ini mungkin paling banyak terjana ketika slot Highway Tracking yang memerlukan peserta untuk berjalan sejauh kurang lebih 12 kilometer. Perjalanan sejauh itu pastilah akan hilang penatnya dengan senda gurau, bercerita tentang pengalaman masing-masing dan mengenal sikap kawan-kawan dalam kumpulan yang akan menunjukkan sikap sebenar jika diuji dengan kesusahan.

Pada masa susah beginilah seseorang ini akan menunjukkan sikap ketua, sikap pentingkan diri,sikap bersendiri, sikap menjernihkan suasana dan bermacam lagi. Kesusahan akan menjadikan kita tidak sanggup lagi bermuka-muka, tidak sangup lagi berlakon. Maka setiap kesusahan yang dikongsi itulah yang akan menjadi pengikat kepada ukhuwwah yang longgar.Semakin tinggi tahap kesusahan, semakin kuatlah simpulan yang menyimpul ukhuwwah antara mukmin ini. Ini adalah satu kepuasan kepada saya.

Seperkara lagi, adalah idea dari unit disiplin muslimat pimpinan Kak Al-Suwibah Jusuh yang mencadangkan agar mendiskusi sebuah buku dijadikan sebagai barang amanah tahap kedua. Perkara ini disambut baik oleh peserta yang melihat hukuman ini tidak memalukan dan dari kami sendiri ianya akan menjadi satu faedah kepada pesalah ini. Terima kasih kepada beliau dan semua team Disiplin tamrin baru-baru ini

Kesannya jelas, saya pernah merasainya. Apabila kita membaca untuk diri kita,nescaya kita tidak akan mengingati dengan baik dan kadang-kadang fikiran kita menerawang jauh dari apa yang kita baca. Tetapi jika kita membaca untuk orang lain, maka kita akan cuba memberikan yang terbaik dan cuba memahaminya lebih dari orang yang akan menerima maklumat dari kita. Bezanya bagi saya adalah sama dengan beza seseorang yang mengambil peperiksaan untuk lulus dan mendapat markah tinggi dengan orang yang mengambil peperiksaan untuk mendapat ilmu dan memberikan ilmu itu kepada orang ramai selepas lulus peperiksaan itu.

Kepuasan saya yang kedua adalah bilamana ada beberapa peserta yang diberi barang amanah berbentuk buku ini datang kepada saya dan meminta untuk meminjam buku tersebut kerana masih belum menghabiskan bacaan mereka. Ini adalah satu motivasi buat saya. Saya senyum dan mengharapkan kalian semua akan mendapat apa yang anda matlamatkan.

Semoga peserta-peserta yang mengikuti tamrin ini akan mendapat faedah dan manfaat. Saya doakan agar peserta-peserta yang mengikuti tamrin ini akan menjadi sebahagian dari watak-watak utama perjuangan Islam.

5.21.2009

Hijrah Ummu Salamah

Saya mendengar kisah ini dari pensyarah saya, ustaz Nik Mohd Noor dalam muhadharah terakhir kami minggu ini. Beliau membaca kitab Sirah Nabawiyyah karangan Abul Hassan Ali Hasan an-Nadwi. Bagi yang belum mengenali pengarang ini, saya ingin memperkenalkan dahulu tentang sedikit maklumat tentang beliau.


Maulana Syeikh Abul Hassan Ali Hasan An-Nadwi

Syeikh An-Nadwi merupakan seorang ulama' mu'asarah yang berasal dari India dan saya mengaguminya kerana kemampuannya mengarang dalam bahasa arab setanding dengan ulama'-ulama' yang berasal dari tanah arab. Beliau hebat dalam falsafah. Antara anak muridnya adalah Mursyidul Am PAS sendiri, iaitu tuan guru Nik Abdul Aziz. Mungkin kerana itulah, stail tuan guru mirip kepada Syeikh an-Nadwi yang gemar menggunakan perumpaan jika memberikan contoh.

Saya amat terkesan dengan kenyataan ulama' ini berkenaan tentang kemajuan yang dicapai barat pada hari ini seperti kejayaan mereka yang mampu membongkar 1000 penemuan sains atau lebih dalam masa sehari ! Ini adalah fakta. Kata Syeikh Hassan, masyarakat barat menjadi maju kerana mereka membebaskan diri mereka dari taqlid (mengikut tanpa kajian mendalam). Setiap fakta yang disampaikan kepada mereka (barat) tidak diambil dan dipercayai 100% bahkan ianya dikaji dahulu dan selepas terbukti, barulah mereka berpegang dengan apa yang disampaikan. Jika seorang muslim mampu berbuat demikian, maka method pengajaran Alif, Ba, Ta di Malaysia pasti akan berubah daripada Alif atas Aa kepada Hamzah atas Aa.

Permulaan

Hijrah Ummu Salamah yang ingin saya ceritakan di sini adalah ketika mana Muslimin yang berada di Makkah berterusan diseksa dan dizalimi lalu selepas beberapa kali penghijrahan, maka Rasulullah S.A.W berjaya mendapat keyakinan dari Kabilah Ansar untuk mengajarkan mereka Islam dan memberikan untuk Muslimin Makkah tempat perlindungan di negeri mereka, Yathrib. Perkara ini dipanggil Bai'atul Aqabah. Rentetan daripada itu, berlakulah penghijrahan besar-besaran dalam Islam ke Madinah yang dulunya dikenali sebagai Yathrib.

Kisah Ummu Salamah menarik minat saya untuk kembali membuka kitab Sirah Nabawiyyah ini. Abu Salamah, suami kepada Ummu Salamah mula mengatur gerak untuk bersama muslimin yang lain. Ummu Salamah menceritakan bagaimana pada hari mereka ingin keluar dari Makkah untuk menuju ke Madinah, Abu Salamah mengangkatnya dan meletakkannya ke atas unta. Bersama-sama mereka adalah anak kecil yang bernama Salamah.

Kejadian ini disedari oleh keluarga Ummu Salamah dari Bani al-Mughirah lalu mereka menghalang Abu Salamah membawa Ummu Salamah berhijrah. Mereka membawa Ummu Salamah lari dari pangkuan suaminya, akan tetapi datang pula Bani Abdil Asad iaitu kabilah Abu Salamah yang bertindak tidak membenarkan Ummu Salamah menjaga anaknya, Salamah.

Perebutan Keluarga


Salamah direbut oleh dua kabilah itu hingga sendi lengan Salamah yang masih kecil itu tercabut dihadapan ibunya sendiri. Menangislah anak kecil itu diiringi tangisan Ummu Salamah. Lalu kabilah Bani Abdil Asad berjaya merampas anak kecil itu dan membawanya pulang ke perkampungan mereka. Maka berhijrahlah Abu Salamah berseorangan membawa semangat Islam menuju ke Madinah.

Ummu Salamah kehilangan dua insan yang penting dalam hidupnya iaitu suaminya Abu Salamah dan anaknya Salamah. Katanya, setiap hari beliau akan keluar ke padang pasir dan menangis mengenangkan nasibnya itu. Hampir setahun Ummu Salamah berbuat demikian hinggalah timbul rasa kasihan oleh kabilahnya kepada beliau. Hinggalah pada suatu hari kabilahnya mengizinkannya untuk berhijrah kerana kasihan melihat Ummu Salamah berkeadaan begitu.

Hijrah Ummu Salamah


Peta perjalanan Hijrah ke Madinah Al-Munawwarah

Ummu Salamah berhijrah berseorangan, beliau nekad membuktikan kasih sayangnya kepada suaminya dan perjuangan Islam adalah seimbang. Bayangkan, seorang wanita memangku seorang anak dengan menaiki unta menempuh debu padang pasir dalam perjalanan sejauh 500 kilometer. Tiada apa yang dibawanya melainkan hati yang telah diserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Apabila sampai di Tan'im, beliau berjumpa dengan seorang Quraisy yang bernama Uthman bin Talhah bin Abi Talhah. Uthman inilah yang dipuji oleh Ummu Salamah yang mengatakan "Tidak pernah lagi aku berjumpa sahabat yang mulia seperti Uthman dari kalangan orang Arab". Uthman mempelawa Ummu Salamah untuk menunjuk jalan dan membawanya ke Madinah dengan selamat. Uthman, walaupun dia masih belum Islam ketika itu, tetapi ia begitu mulia kerana menjaga kehormatan Ummu Salamah sepanjang perjalanan. Ketika mereka berhenti berehat, Uthman akan menjauh dari unta yang dinaiki Ummu Salamah kerana khuatir akan terlihat aurat Ummu Salamah.

Ummu Salamah sampai di Quba' iaitu di perkampungan Bani Amru bin Auf. Uthman memberitahu Ummu Salamah bahawa suaminya tinggal di sini. Lalu Ummu Salamah sekali lagi mengucapkan terima kasih dan memuji Uthman sebagai sahabat yang baik dan mulia sepertinya. Uthman berlalu untuk pulang ke Makkah. Perjalanannya sekitar 500 kilometer hanya untuk menghantar Ummu Salamah ke Madinah dan memastikan keselamatannya dan pulang setelah semuanya selesai. Uthman memeluk Islam ketika peristiwa Fathu Makkah.

Perjalanan memperjuangkan Islam sememangnya dipenuhi liku-liku dan cabaran, hanya dengan semangat dan dorongan yang kuat sahaja boleh menjadikan kita menjadi sebahagian dari mereka yang meneruskan ini. Artikel ini saya dedikasikan khas buat peserta Tamrin Thaqafi dan Tarbawi yang bakal menempuh perjalanan yang agak jauh Sabtu ini. Moga perjalanan kalian diberkati.

5.16.2009

Selamat Hari Guru

Kepada semua insan yang pernah mendidik dan mengajar susuk tubuh yang bernama Mohd Ridhuan bin Abdul Karim, anda adalah insan hebat yang saya takkan lupa jasa dan pengorbanannya. Ajaran anda adalah panduan, marah anda adalah didikan, pukulan anda adalah tarbiyyah, segala yang anda berikan adalah berguna buat insan kecil ini mengenal dunia mengejar akhirat. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama-sama anda, GURUKU.

Dalam sebuah hadith sahih riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah, al-Suyuti dan lain-lain, Nabi s.a.w bersabda maksudnya :

Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penghuni langit & bumi hinggakan semut dalam lubangnya dan ikan dalam air mendoakan untuk sesiapa yg mengajar manusia kebaikan.

Hadis hasan sahih gharib, dinilai oleh at-Tirmizi.

Kepada Guru-guru Pasti al-Husna, Tok Jembal - Darul Taqwa, Batu 6 - Al-Imam International Institute, Kubang Kerian - Maahad Darul Quran, Rusila - Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro (Abu Nour), Damascus - Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembek. Saya dedikasikan sajak dari Usman Awang kepada kalian.


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979









5.14.2009

Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu - siri 2

Selepas berjanji sekitar paling tidak 2 minggu untuk saya meng'update' artikel berkenaan Kembara Saya Sekarang Ke MDQ Dahulu, ternyata saya tidak mampu untuk berbuat demikian kerana alasan yang berbagai. Jika dihimpunkan, ianya boleh menyebabkan pembaca-pembaca akan merasa senak perut dan sakit mata. Jadi saya memilih untuk tidak menulis alasan-alasan itu di sini.

Pada tulisan saya berkenaan MDQ pada kali ini adalah sewaktu saya mula-mula melangkah kaki ke sekolah ini. Saya masuk ke MDQ ketika berumur 12 tahun dan agak lewat dari kawan se-Dar yang lain kerana saya pergi ke Kelantan terlebih dahulu untuk bersekolah tahfiz di sana selama 6 bulan.

Tahun 1999 adalah tahun kemenangan PAS di bumi Terengganu. Saya masuk ke MDQ setelah PAS mula mendapat tempat yang selesa untuk memerintah negeri, MDQ pasti akan mendapat faedah dari itu. Maka dalam tempoh 1999 -2004, maka bermacam-macamlah benda baru yang masuk ke MDQ terutamanya dari segi infrastruktur dan pentadbiran.

Saya tidak kisahkan sangat dengan semua ini sewaktu berada di Awwal I'dadie. Apa yang saya kisah adalah kawan-kawan. Selagi ada kawan selagi itu saya tidak peduli kepada benda lain. MDQ merupakan sekolah untuk membina memori indah dan bagi mereka yang rajin dan benar-benar bermatlamat, mereka pasti boleh jadi insan hebat hasil dari 7 tahun pengajian di sini.

MDQ pada ketika saya mula mendaftarkan diri di situ, ianya adalah sebuah sekolah yang dhaif, begitu banyak kekurangan yang perlu diisi, namun hasil dari kekurangan inilah yang mendidik pelajarnya untuk bersyukur dan tahan lasak dalam berjuang menegakkan Islam.

Suasana ketika di dewan makan lama

Apa yang saya takkan lupa tentang MDQ adalah kantin lama yang bila saya ingat kembali, pasti akan tersenyum sendiri. Susahnya untuk mendapat roti yang hanya diberi pada hari Isnin. Tiga ketul seorang adalah begitu berharga. Proses untuk membawa roti dari dapur ke tempat membahagi makanan dikawal dengan begitu ketat, umpama membawa harta negara dengan diiringi pengawas seramai 2-3 orang yang bertindak sebagai pengawal untuk mengelakkan roti dirampas ditengah jalan oleh pelajar-pelajar yang nakal.

Ada juga taktik yang mengambil roti 2 kali kerana tidak cukup dengan 3 ketul yang diberi kepada mereka. Biasanya taktik ini dilakukan oleh muafakat dua orang. Seorang akan beratur dahulu dan seorang lagi akan mengambil air. Siap beratur, roti akan dihantar ke meja makan, seorang akan berada di situ untuk menjaga harta berharga milik mereka dan yang mengambil air tadi akan beratur sekali lagi untuk mendapatkan roti. Jika mereka tidak dicam oleh pengawal bertugas, mereka akan mendapat roti, jika tidak akan mendapat malu. Perkara ini membuat saya dan kawan-kawan yang sempat dengan kantin lama ini ketawa beramai-ramai di kedai makan.

Taktik yang sama juga digunakan untuk mengumpul koleksi ayam yang pada masa itu, sangat-sangat berharga. Nasi akan dimakan dahulu dan ayam akan dimakan kemudian. Mendapat ayam goreng adalah suatu kepuasan. Beratur untuk mendapatkan nasi dan lauk di tengah terik matahari Zohor tidak begitu memberi kesan kepada semangat untuk mendapatkan ayam goreng, siapa lambat pasti akan menggigit jari. Makan di dalam dewan makan pada waktu itu umpama berada dalam sebuah sauna, berpeluh-peluh. Maklum sajalah, atap zink. Pastilah ianya membahang.

Selesai makan, masing-masing akan berpusu-pusu pula ke dapur untuk mengambil air. Jika bernasib baik akan mendapat air yang sejuk dan jika tidak, pasti air itu masih lagi berasap. Minum dalam pinggan adalah penyelesaian kepada masalah tersebut. Siapa yang sempat pasti akan tersenyum teringat penyeduk air yang dibuat dengan tin milo,handmade oleh Tok ki tukang masak nasi.

Sambil meminum air, sambil berjaga-jaga bimbang habuk pun diminum sama. Saya tersenyum mengingatkan itu semua kerana dari itu saya lahir dan saya bangga kerana sempat menjadi sebahagian dari kesusahan itu.

P/s : Saya sedih melihat roti yang berlebihan ditinggalkan diatas meja makan di dewan makan baru yang sejuk dan nyaman, kerana roti yang dulunya boleh membuat plastik koyak akibat direnggut kawan-kawan yang nakal kerana nilainya yang tinggi. Kini seumpama tiada nilainya lagi.