Followers

5.27.2009

Betulkah Tiada Persefahaman?



Pada dua minggu yang lepas, saya mengikuti satu lawatan ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu. Sempat juga mengikuti kes-kes yang dibicarakan pada hari tersebut. Apa yang membimbangkan saya, kadar perceraian di Terengganu menunjukkan peningkatan yang agak pesat.

Perkara ini disebut oleh hakim yang bertugas pada hari itu. Bayangkan, saya hanya duduk sekitar setengah jam atau lebih sedikit, enam kes permohonan cerai didengar. Bahkan saya merasakan, mungkin lebih dari itu kerana saya memasuki dewan perbicaraan agak lewat dari masa ia bermula.



Kebanyakan dari pemohon cerai ini mengatakan bahawa tiada lagi persefahaman. Apa yang menyedihkan, ada dua pasangan yang agak berusia juga memfailkan permohonan cerai. Saya kira mereka berumur sekitar 40-50an. Mungkin setakat itu sahaja pertemuan mereka.

Selebihnya adalah mereka yang berumur sekitar 20-30an. Salah satu pasangan itu ketika ditanya hakim berapa lama berkasih sebelum kahwin? Si isteri menjawab, dalam enam bulan. Si suami pula mengiyakan. Saya sedih bercampur takut dengan kes-kes yang saya dengar. Sedih kerana alasan yang diberi adalah tiada persefahaman dan takut kerana saya bimbang saya juga turut sukar mendapatkan persefahaman dengan isteri kelak.

Dalam rumahtangga, sewajarnya kita mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam mengetuai isteri-isterinya dan mendidik mereka serta menunjukkan sikap adil dalam memberikan kasih sayang kepada Ummahatil Mukminin itu.

Khadijah

Rasulullah bertemu jodoh pertama dengan seorang hartawan Quraisy iaitu Khadijah. Melalui Khadijah inilah Nabi mendapat enam zuriat kecuali Ibrahim yang dilahirkan oleh Mariah al-Qibtiyyah. Khadijah menjadi motivasi kepada Rasulullah dalam menghadapi liku-liku perjuangan. Mungkin kerana usianya lebih tua dari Nabi, maka Khadijah menjadi tempat mengadu Rasulullah dan seringkali Berjaya meneutralkan kembali perasaan Nabi saat berkecamuk dengan beribu macam ancaman musyrikin Makkah.

Nabi dan Isteri-Isterinya Di Madinah

Ketika mendiami Madinah, Nabi mempunyai lebih kurang tujuh orang isteri. Pada saat inilah, toleransi dan kebijaksanaan Rasulullah menjadi penyelamat kepada keretakan rumahtangga. Pernah suatu ketika, isteri-isteri Nabi s.a.w berjumpa baginda untuk menanyakan, siapakah yang paling Rasulullah sayang. Nabi menyuruh mereka semua pulang dan akan memberikan jawapan dalam masa yang akan datang.

Rasulullah kemudiannya berjumpa dengan isteri-isterinya selepas itu secara berseorangan. Lalu Nabi menghadiahkan setiap isterinya itu sebentuk cincin dan meminta kepada isterinya itu agar merahsiakan dari setiap isteri-isteri yang lain.

Lalu pada beberapa hari berikutnya, Nabi menghimpunkan isterinya dan mengumumkan bahawa isteri yang paling disayanginya adalah yang menerima hadiah berupa sebentuk cincin. Maka masing-masing tersenyum dengan hati yang puas bahawa dialah yang paling disayangi Nabi. Begitulah Nabi kita yang sentiasa adil dalam membuat keputusan dan pintar dalam menyelesaikan masalah.

Pernah juga Rasulullah pulang ke rumah sayyidatina Aa’isyah dalam keadaan tiada sesuatu untuk dimakan pada hari itu. Rasulullah bertanya kepada Aa’isyah : “Wahai Aa’isyah, adakah apa-apa yang boleh aku makan pada hari ini?” . Aa’isyah menjawab : “ Tiada wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah menjawab : Kalau begitu, “aku berpuasa sahaja hari ini”. Lihatlah jawapan yang keluar dari mulut Rasulullah, tiada sungutan yang boleh menimbulkan konflik keluarga. Semoga saya dan anda semua berjaya mencontohi sifat dan sikap Nabi kita dalam segenap aspek kehidupan.

Fazakkir...

Saya sedar, mungkin saya mampu memberikan contoh dan menyuruh orang yang sudah berumahtangga supaya mencontohi Nabi dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan adalah kerana saya masih belum mengetahui bagaimana ujian berbentuk hubungan suami isteri ini datang. Tapi selaku manusia, saya rasa sewajarnya kita saling mengingati. Betulkah kita tiada persefahaman atau kita yang tidak mahu mencari persefahaman. Jangan kita pernah letih mencari titik pertemuan dalam setiap masalah yang timbul dalam hubungan suami isteri. Jangan kita terlalu cepat ingin melafazkan cerai dan memohon cerai. Kerana cerai adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah sebagaimana dalam hadith.



Saya mendoakan kesejahteraan kepada mereka yang telah berumahtangga dan saya doakan agar hubungan kalian akan kekal menuju mardhotiLlah. Semoga kalian akan dijodohkan sekali lagi di syurga Allah kelak. Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu dan bapa saya yang sentiasa berkasih sayang hingga dapat dilimpahkan pula kepada anak-anak. Moga mendapat keredhaan Allah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.