Followers

5.25.2009

Dua Kepuasan !

Saya merasai dua kepuasan dari program 2 Tamrin baru-baru ini. Pada perkiraan saya, setiap orang yang mengusahakan sesuatu pasti akan merasai kepuasan jika matlamat atau sasaran yang kita usahakan itu dapat dicapai. Saya merasai perasaan tersebut setelah saya menjadi sebahagian dari pelaksana dua tamrin yang diadakan di kampung Basung baru-baru ini.

Saya merupakan pemegang amanah yang menjaga perkara berkaitan dengan disiplin, tatatertib dan tingkahlaku peserta. Saya bersyukur kerana peserta-peserta ini tidak mendatangkan banyak masalah kepada saya. Mudah-mudahan ada hati yang telah disentuh oleh hidayah Allah sepanjang program 3 hari ini. Tiada siapa yang mampu memberikan kemanisan hidayah
melainkan Allah jua.

Teringat firman Allah yang diturunkan keatas NabiNya ketika Rasulullah dirundung kesedihan dengan kematian insan-insan yang disayanginya. Apa yang lebih didukacitakan Rasul adalah kerana baginda tidak sempat mengajak bapa saudaranya, Abu Talib untuk bersama-sama beriman dengan Tuhan Yang Esa. Firman Allah :

{ ........إِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِى مَنْ يَشَاء}
Sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang engkau sayang. Sesungguhnya Allah jualah yang mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Saya kira program ini boleh dikatakan berjaya dari sudut membangkitkan kemanisan iman dengan berukhwah. Proses mengerat dan mengikat ukhuwwah ini mungkin paling banyak terjana ketika slot Highway Tracking yang memerlukan peserta untuk berjalan sejauh kurang lebih 12 kilometer. Perjalanan sejauh itu pastilah akan hilang penatnya dengan senda gurau, bercerita tentang pengalaman masing-masing dan mengenal sikap kawan-kawan dalam kumpulan yang akan menunjukkan sikap sebenar jika diuji dengan kesusahan.

Pada masa susah beginilah seseorang ini akan menunjukkan sikap ketua, sikap pentingkan diri,sikap bersendiri, sikap menjernihkan suasana dan bermacam lagi. Kesusahan akan menjadikan kita tidak sanggup lagi bermuka-muka, tidak sangup lagi berlakon. Maka setiap kesusahan yang dikongsi itulah yang akan menjadi pengikat kepada ukhuwwah yang longgar.Semakin tinggi tahap kesusahan, semakin kuatlah simpulan yang menyimpul ukhuwwah antara mukmin ini. Ini adalah satu kepuasan kepada saya.

Seperkara lagi, adalah idea dari unit disiplin muslimat pimpinan Kak Al-Suwibah Jusuh yang mencadangkan agar mendiskusi sebuah buku dijadikan sebagai barang amanah tahap kedua. Perkara ini disambut baik oleh peserta yang melihat hukuman ini tidak memalukan dan dari kami sendiri ianya akan menjadi satu faedah kepada pesalah ini. Terima kasih kepada beliau dan semua team Disiplin tamrin baru-baru ini

Kesannya jelas, saya pernah merasainya. Apabila kita membaca untuk diri kita,nescaya kita tidak akan mengingati dengan baik dan kadang-kadang fikiran kita menerawang jauh dari apa yang kita baca. Tetapi jika kita membaca untuk orang lain, maka kita akan cuba memberikan yang terbaik dan cuba memahaminya lebih dari orang yang akan menerima maklumat dari kita. Bezanya bagi saya adalah sama dengan beza seseorang yang mengambil peperiksaan untuk lulus dan mendapat markah tinggi dengan orang yang mengambil peperiksaan untuk mendapat ilmu dan memberikan ilmu itu kepada orang ramai selepas lulus peperiksaan itu.

Kepuasan saya yang kedua adalah bilamana ada beberapa peserta yang diberi barang amanah berbentuk buku ini datang kepada saya dan meminta untuk meminjam buku tersebut kerana masih belum menghabiskan bacaan mereka. Ini adalah satu motivasi buat saya. Saya senyum dan mengharapkan kalian semua akan mendapat apa yang anda matlamatkan.

Semoga peserta-peserta yang mengikuti tamrin ini akan mendapat faedah dan manfaat. Saya doakan agar peserta-peserta yang mengikuti tamrin ini akan menjadi sebahagian dari watak-watak utama perjuangan Islam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.