Followers

5.05.2009

Kejadian dan Pemberian. (S.H.I 2009)

Sperma lelaki yang normal dan tidak mandul adalah 7-9 juta, jika bilangan sperma kurang dari 7 juta, ia adalah tidak subur dan jika dibawah 3 juta maka tiada peluanglah untuk mendapatkan zuriat. Ini adalah satu kenyataan hasil dari kajian sains.

Daripada berjuta-juta sperma yang subur itu, hanya satu sahaja yang akan mendapatkan ovum dan melalui proses percantuman ini, dengan izin Allah akan membawa kepada kejadian manusia iaitu kita-kita semua. Dalam dunia ini, hanya 3 orang yang dilahirkan tanpa proses percantuman ini iaitu, Nabi Allah Adam dan isterinya sayyidah Hawa serta Nabi Isa a.s. Selain dari ini semuanya terhasil dari gabungan Sperma dan Ovum.

Apabila kedua ini bergabung, maka ianya akan membentuk segumpal darah seterusnya menjadi daging lalu ianya menjadi tulang dan sekali lagi dibaluti daging dan kulit, lalu ditiupkan Ruh dan ditetapkan kepada insan baru ini empat perkara. Rezekinya, ajalnya, kebahagiaan dan kecelakaannya serta amalannya. Perkara ini disebut di dalam Hadis.

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim

Apabila insan baru ini ditiupkan ruh, maka prosesnya di alam rahim yang penuh kasih sayang bermula. Di sekelilingnya dilindungi oleh uri yang bertindak seumpama atmosfera kepada bumi. sembilan bulan kita menumpang di alam rahim. Pembawa janin itu dinamakan dengan berbagai nama. Ibu, mak, cek, bonda, mother, mama, umi dan beribu macam lagi bahasa dunia.

Kebiasaannya, wanita yang mengandung akan melalui proses yang meletihkan. Bayangkan membawa sesuatu di perut untuk tempoh sembilan bulan, pastilah ianya memenatkan. Saya memakai jeans, tapi saya tidak mampu memakainya dalam tempoh sehari. Jeans dari jenis apapun, walau dari kepala kain dari negara-negara pengeluar asal dan sebagainya pasti tidak mempu menjamin yang saya akan memakainya untuk tempoh sehari suntuk. Menjelang maghrib, pasti jeans akan bertukar kepada kain sarung.

Untuk tempoh yang lama, wanita membawa anak mereka ke hulu kehilir, ke masjid hinggalah ke tandas. Memasak hinggalah makan, tidur hingga ke jaga, mereka terus dan terus membawa ke mana saja hingga urat-urat dibetis mereka mulai timbul dan mengakibatkan kelenguhan yang amat sangat.

Sampai tempoh kelahiran, sekali lagi mereka meneran untuk mengeluarkan bayi mereka dari rahim untuk dijadikan sebagai ahli baru keluarga dengan deraian air mata dan seribu macam kesakitan. Dengan berat purata bayi 2KG hingga ke 3KG, pastilah ianya suatu perkara yang boleh menyebabkan lelaki seperti saya mendegup jantung melebihi kadar degupan normal. Semua ini boleh dibuat oleh wanita yang kaya emosi.

Umur saya 22 tahun yang bererti saya telahpun memiliki 22 pasang baju melayu raya. Namun,wanita yang mengandungkan saya, yang menjaga saya dari saya lembik hingga boleh mengangkat beban melebihi 50KG tetap memberikan saya kasih sayang yang sama. Tetap tidak melupakan tentang makan minum, tidur jenere, sakit demam dan kegembiraan dan kesedihan saya.

Tujuan saya menulis ini, bukan sekadar memberitahu tentang kejadian manusia, tetapi saya ingin memberitahu bahawa saya beruntung menjadi anak kepada ibu saya. Dalam hayat saya selama 22 tahun ini, saya tidak mampu langsung untuk membalas segala apa yang diberi oleh ibu saya.

Selamat Hari Ibu kepada Ibu saya yang saya panggil mak dan kepada semua ibu-ibu di dunia ini. Anda adalah insan mulia. Semoga Allah membalas jasa anda. Wassalam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.